Misi: XX-Ray
Misi: XX-Ray | |
---|---|
Genre | Cereka sains |
Ditulis oleh | |
Pengarah | Aziz M. Osman |
Dibintangi oleh |
|
Negara asal | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bilangan musim | 2 |
Bilangan episod | 26 |
Syarikat penerbitan | Ace Motion Pictures |
Penyiaran | |
Saluran asal | TV3 |
Siaran asal | 18 April 2006 – 5 Mei 2007 |
Kronologi | |
Mengikuti | Natasha (siri TV) |
Diikuti oleh | Dua Hati |
Misi: XX-Ray ialah sebuah siri televisyen cereka sains Malaysia 2006-2007 arahan Aziz M. Osman untuk siaran TV3. Ia merupakan pembikinan semula daripada siri filem XX Ray dan XX Ray II untuk zaman 2000-an yang dibintangi oleh Syed Aiman, Farah Putri Mulyani, Nisha Dirr, Abdul Munir Awang, Qazem Nor, Raja Farah, Kamarool Haji Yusoff dan Ramli Harun.
Siri TV ini terdiri daripada sebuah telefilem di slot Cerekarama pada 15 April 2006 sebagai pengenalan. Ia dibintangi oleh Syed Aiman, Linda Hashim, Que Haidar dan Erry Putra. Diikuti dengan drama rantaian 26 episod yang terbahagi kepada dua musim dan turut berganti pelakon. Musim pertama disiarkan dalam slot Lestary (Selasa, 9 malam) sebanyak 13 episod dari 18 April hingga 11 Julai 2006. Diikuti musim kedua dalam slot Aksi (Isnin, 9 malam), sebanyak 13 episod mulai 5 Februari hingga 5 Mei 2007.
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Misi: XX-Ray mengisahkan seorang pelajar universiti bernama Arill yang menemui seutas jam tangan yang menyebabkan dia mengalami masalah kehalimunan, lalu terpaksa mencari penawar bersama dua rakannya, Eyza dan Jali serta dua perisik bernama Mid dan Mud yang membantu memberikan maklumat rahsia pada Arill untuk memudahkan pencariannya. Yang dicari-cari Arill ialah seorang mahasiswa bernama Amir yang telah pulih setelah lama menjadi halimunan, dengan harapan Amirlah yang mengetahui penawarnya. Pada masa yang sama, Arill menghadapi rintangan, khususnya dari Daniel yang berusaha mencungkil rahsia Arill dan cuba menggagalkan misinya, dan juga perangkap cinta tiga segi yang dicetuskan oleh kedatangan Marini sebagai penggoda.
Pelakon
[sunting | sunting sumber]- Syed Aiman sebagai Arill
- Farah Putri Mulyani sebagai Eyza (musim 1)
- Nisha Dirr sebagai Eyza (musim 2)
- Abdul Munir Awang sebagai Jali
- Qazem Nor sebagai Daniel
- Raja Farah sebagai Marini
- Kamarool Haji Yusoff sebagai Mid (musim 1)
- Ramli Harun sebagai Mud (musim 1)
Penerbitan
[sunting | sunting sumber]Misi: XX-Ray diterbitkan oleh Ace Motion Pictures, syarikat penerbitan televisyen dan filem milik Aziz M. Osman dan Nor Aliah Lee. Kata Aziz, biarpun masih menggunakan perkataan XX-Ray, namun jalan cerita yang ditonjolkan dalam drama itu adalah berbeza dengan versi filem yang pernah dihasilkan.[1]
Usaha penggambaran siri ini memanfaatkan teknologi terbaru yang boleh didapati dalam negara berbanding filem asal. Aziz menjelaskan bahawa dari segi teknikalnya agak sukar sedikit, kerana Syed Aiman selaku pemegang watak utama yang halimunan, terpaksa memakai sut hijau sepanjang penggambaran, juga turut memastikan bahawa latar penggambaran tidak kelihatan warna hijau sedikit pun.[2] Aiman pula berkongsi pengalaman bagaimana Aziz yang mengarahkannya untuk bergerak dan menyelaras suara ketika dalam sut hijau tersebut.[2]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Khadijah Ibrahim (19 April 2006). "Misi XX-Ray beri peluang kepada pelakon baru". Utusan Malaysia. Dicapai pada 24 April 2010.
- ^ a b "Ray of mystery". The Star. 18 April 2006. Dicapai pada 24 April 2010.[pautan mati kekal]