Pergi ke kandungan

Dendam Sarakit

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dendam Sarakit
Genre
Ditulis olehAzmy Ariff
PengarahFairuz Loy
Dibintangi oleh
Lagu pembukaan"Mungkin Ada Lagi" oleh Han
Lagu penutup"Mungkin Ada Lagi" oleh Han
Negara asalMalaysia
BahasaMelayu
Bilangan episod13
Penerbitan
Penerbit eksekutifAmzari Amir
PenerbitRusmawarnis Rusdi
Penyunting
  • Mohd Nur Zohri Ithnin
  • Al-Ashraf Nordin
Lokasi
SinematografiIrwan Munir
Tempoh siaran39–40 minit
Syarikat penerbitan
Wayang Tinggi Produksi
Penyiaran
Saluran asalTV3 (Slot Seram)
Format gambar480i (SDTV)
Format audioStereo
Siaran asal27 September 2012 – 17 Januari 2013
Kronologi
MengikutiWaris

Dendam Sarakit ialah sebuah siri drama televisyen seram Malaysia 2012 arahan Fairuz Loy dibintangi oleh Fouziah Gous, Zain Hamid dan Sharifah Sakinah. Siri ini memulakan tayangan perdana di Slot Seram TV3 dari 27 September 2012 hingga 17 Januari 2013 menggantikan Waris. Ia merupakan drama terakhir yang disiarkan di Slot Seram sebelum ditamatkan pada Januari 2013.[1][2][3]

Siri ini boleh didapati melalui penstriman dalam talian di saluran YouTube rasmi TV3.[4]

Mengisahkan cinta seorang isteri yang tidak kesampaian akibat dirogol dan dibunuh ketika suaminya, Rafiq pulang ke Kuala Lumpur melawat ibunya, Puan Mariam selepas beberapa bulan mereka berkahwin. Rafiq (Zain Hamid) ditugaskan oleh majikannya di sempadan Malaysia dan Thailand. Dia telah bertemu dengan Sarakit (Fouziah Gous), seorang gadis berketurunan Siam. Walaupun hubungan cinta Rafiq dan Sarakit tidak direstui oleh ibu Rafiq, Puan Mariam (Datin Noniswara), mereka telah berkahwin dan berjanji untuk sehidup semati walaupun apa halangan yang datang.

Rafiq yang bimbang dengan keadaan isterinya yang sedang berbadan dua telah bergegas pulang. Puan Mariam kecewa dengan sikap anaknya yang ingkar dengan kehendaknya supaya meninggalkan Sarakit. Puan Mariam sanggup menggunakan khidmat bomoh dan berpakat dengan Dina (Sharifah Sakinah) untuk memisahkan Rafiq dan Sarakit. Dalam diam-diam, Dina telah mengikut Rafiq pulang.

Rafiq pulang ke pangkuan Sarakit tanpa menduga tragedi yang sudah menimpa ke atas Sarakit. Mereka menjalani hidup seperti biasa. Penduduk kampung digemparkan oleh beberapa kejadian aneh. Mereka sering terserempak dengan hantu tenggek. Pada waktu yang sama, perogol Sarakit didapati mati seorang demi seorang dalam keadaan yang mengerikan. Ramdi (Adam Shah) yang turut berada di tempat kejadian semasa Sarakit dirogol pada malam peninggalan Rafiq telah meninggalkan kampung kerana takut dengan hantu Sarakit.

Sementara itu, Puan Mariam juga diganggu oleh lembaga yang menyerupai wajah Sarakit. Dengan bantuan Ustaz Hambali (Dato’ Zamshuri Ramli), Puan Mariam berjaya dipulihkan malah Ustaz Hambali juga mendapat alamat bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku pada Rafiq. Justeru, Ustaz Hambali telah pergi ke tempat tinggal Rafiq dan Sarakit.

Sejak kedatangan Ustaz Hambali, Sarakit sering kelihatan resah. Dia merayu kepada Rafiq agar Rafiq jangan berubah hati walaupun apa yang akan berlaku. Sarakit juga meminta agar Rafiq menjaga anak mereka dengan baik. Ustaz Hambali mendedahkan perkara sebenar kepada Rafiq bahawa Sarakit telah mati. Qarin Sarakit telah dipuja dan menguasai badan Dina untuk bersama Rafiq. Namun, demi cintanya kepada Sarakit, Rafiq berjanji akan terus tinggal bersama Sarakit sambil menunggu kelahiran anak mereka.

Ramdi muncul semula di kampung. Apakah Ramdi akan menceritakan kejadian rogol yang dilakukan oleh Jali, Keol, Gato dan Tat? Apakah pula kaitan Pak Bado dengan kematian Sarakit? Berjayakah Ustaz Hambali memisahkan Rafiq dan Sarakit serta memulihkan semangat Rafiq? Apakah yang akan terjadi kepada Dina?

  • Namron sebagai Pak Bado
  • Zamshuri Ramli sebagai Hambali
  • Jobot Maheran sebagai Jali
  • Adam Shah sebagai Ramdi
  • Jaslin Puasa sebagai Gato
  • Nizen Ayob sebagai Tat

Penerbitan

[sunting | sunting sumber]

Penggambaran drama ini dijalankan di Betong, Thailand. Menurut pengarah Fairuz Loy, pemilihan lokasi itu dibuat kerana mahu memberikan kelainan untuk visual drama ini.[5] Beliau turut menolak dakwaan bahawa Dendam Sarakit meniru filem seram Thailand Nang Nak.[5]

  1. ^ Budiey (21 September 2012). "Sinopsis drama Dendam Sarakit". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 16 April 2013.
  2. ^ "Dendam Sarakit hantui Slot Seram TV3". Selebriti Online. 21 September 2012. Dicapai pada 16 April 2013.
  3. ^ "Drama Dendam Sarakit, drama slot Seram terakhir di TV3?". EDtv. 16 Januari 2013. Dicapai pada 16 April 2013.
  4. ^ Dendam Sarakit (2012): Episod Penuh. YouTube. TV3. Dicapai pada 29 Mei 2019.
  5. ^ a b Wahiduzzaman (21 September 2012). "'Dendam Sarakit' Tidak Ciplak Filem Seram 'Nang Nak'". mStar Online. Dicapai pada 16 April 2013.