Brunei
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Empayar Brunei melalui zaman kegemilangannya pada abad ke-15 hingga abad ke-18, sewaktu ia memperluaskan kekuasaannya ke seluruh pulau Borneo dan ke Filipina di sebelah utaranya.
Brunei mencapai kemuncak kekuasaannya pada zaman pemerintahan Sultannya yang kelima iaitu Sultan Bolkiah (1485 - 1524), yang terkenal disebabkan pengembaraan baginda di laut, malah pernah seketika menakluki Manila; dan pada zaman pemerintahan sultan yang kesepuluh, Sultan Muhammad Hasan (سلطان محمد حسن) (TM 1582 - 1598), yang membangunkan susun atur adat istiadat kerajaan dan istana yang masih kekal hingga ke hari ini.
Selepas zaman Sultan Hassan, Brunei memasuki zaman kejatuhan berpunca dari pergolakan dalaman disebabkan perebutan kuasa antara waris diraja dan juga disebabkan timbulnya pengaruh kuasa penjajah Eropah di rantau sebelah sini yang telah menggugat corak perdagangan tradisi serta memusnahkan asas ekonomi Brunei dan kesultanan Asia Tenggara yang lain.
Pada tahun 1839, pengembara Inggeris bernama James Brooke tiba di Borneo dan membantu Sultan menundukkan sebuah pemberontakan. Sebagai balasan, beliau dilantik menjadi gabenor dan kemudiannya "Rajah" Sarawak (سراوق) di barat laut Borneo sebelum meluaskan kawasan di bawah pemerintahannya.
Pada masa yang sama, Syarikat Borneo Utara British (SBUB) sedang meluaskan penguasaannya di timur laut Borneo. Pada tahun 1888, Brunei menjadi sebuah negeri di bawah perlindungan kerajaan British dengan mengekalkan kedaulatan dalam negerinya tetapi hal ehwal luar negara di bawah kawalan British.[1] Pada tahun 1906, Brunei menerima suatu lagi langkah perluasan kuasa British apabila kuasa eksekutif dipindahkan kepada seorang residen British yang menasihati baginda Sultan dalam semua perkara kecuali yang bersangkut-paut dengan adat istiadat tempatan dan agama.
Pada tahun 1959, Brunei mengisytiharkan kerajaan baru yang berkuasa memerintah kecuali dalam isu hubungan luar, keamanan dan pertahanan dimana isu-isu ini menjadi tanggungjawab British. Percubaan untuk membentuk sebuah badan perundangan pada tahun 1962 terpaksa dilupakan kerana berlaku pemberontakan oleh parti pembangkang iaitu Parti Rakyat Brunei dan dengan bantuan British, pemberontakan ini berjaya dibanteras. Manakala pada akhir 1950 dan awal 1960, kerajaan Brunei ketika itu menolak cadangan (walaupun pada awalnya menunjukkan minat) untuk bergabung dengan Singapura, Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu untuk membentuk persekutuan Malaysia dan akhirnya Sultan Brunei ketika itu bercadang untuk membentuk sebuah negara yang merdeka.
Pada tahun 1967, Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien telah turun dari takhta dan melantik anakanda sulung baginda, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, menjadi Sultan Brunei ke-29. Baginda juga berkenan menjadi Menteri Pertahanan setelah Brunei mencapai kemerdekaan penuh dengan gelaran Paduka Seri Begawan Sultan. Pada tahun 1970, pusat pemerintahan negeri Bandar Brunei atau Brunei Town telah diubah namanya menjadi Bandar Seri Begawan untuk mengenang jasa baginda. Baginda layu pada tahun 1986.
Pada 4 Januari 1979, Brunei dan United Kingdom telah menandatangani Perjanjian Kerjasama dan Persahabatan. Pada 1 Januari 1984, Negara Brunei Darussalam telah berjaya mencapai kemerdekaan sepenuhnya.
Politik dan kerajaan
[sunting | sunting sumber]Brunei merupakan sebuah menjalankan sistem pemerintahan mutlak dan mengamalkan sistem undang-undang Inggeris walaupun undang-undang syariah Islam menggantikan undang-undang itu dalam beberapa perkara dan kes. Sistem politik di Brunei ditetapkan oleh perlembagaan dan berdasarkan konsep Melayu Islam Beraja. Hassanal Bolkiah yang gelarannya dalam wangsa sejak abad ke-15 ialah ketua negara serta ketua kerajaan Brunei pada masa kini. Baginda dinasihati oleh beberapa majlis dan sebuah kabinet menteri, walaupun baginda secara berkesan merupakan pemerintah tertinggi. September 2004, Sultan Brunei mengadakan persidangan Ke 1 Parlimen sejak kemerdekaan pada tahun 1984. Parlimen ini tidak mempunyai kuasa selain daripada menasihati sultan disebabkan oleh pemerintahan mutlak oleh Sultan. Brunei ialah salah satu daripada negara yang paling stabil dari segi politik di Asia. Brunei seperti sesetengah negara yang lain juga menuntut beberapa kawasan tuntutan seperti wilayah di Sarawak iaitu Limbang dan kawasan Kepulauan Spratly yang dipertikaikan. Banyak pulau kecil yang terletak di antara Brunei dan Labuan termasuk Pulau Kuraman telah dipertikaikan oleh Brunei dan Malaysia. Walau bagaimanapun, pulau-pulau ini diakui sebagai sebahagian daripada Malaysia di peringkat antarabangsa.
Media massa
[sunting | sunting sumber]Pembahagian Pentadbiran
[sunting | sunting sumber]Geografi
[sunting | sunting sumber]Brunei dikelilingi oleh negara Malaysia di bahagian selatan, barat dan timurnya serta Laut China Selatan di utara dan Teluk Brunei di bahagian timur laut. Brunei terdiri daripada dua bahagian yang dipisahkan oleh negeri Sarawak, Malaysia dengan keluasan 5765 kilometer persegi (2226 batu persegi). Bahagian barat negara Brunei terdiri daripada Belait, Tutong dan Brunei Muara serta Temburong di bahagian timur. Garis pantai di Brunei ialah sepanjang 161 kilometer (100 batu) dan berkongsi 381 kilometer (237 batu) garis sempadan dengan Malaysia. Keluasan kawasan perairan di Laut China Selatan pula ialah 500 kilometer persegi (193 batu persegi) dan 200 batu nautika bagi kawasan zon ekonomi eksklusif.[2]
Kawasan Panaga yang terletak di daerah Belait merupakan kediaman kepada sebilangan besar rakyat asing disebabkan oleh kemudahan perumahan dan rekreasi di Shell Belanda Diraja dan Tentera British. Kelab Panaga yang terkenal terletak di sini.
Kebanyakkan kawasan di Brunei terdiri daripada hutan hujan tropika tanah rendah yang memenuhi kebanyakkan kawasan di pulau Borneo.[2] Tetapi, terdapat juga kawasan hutan gunung terutamanya di bahagian timur Brunei (Temburong). Iklim Brunei ialah jenis khatulistiwa iaitu iklim yang mempunyai suhu dan kelembapan yang tinggi serta taburan sinaran matahari dan hujan lebat pada sepanjang tahun. Purata suhunya ialah kira-kira 26.1 °C (79.0 °F). Pada bulan April hingga Mei purata suhunya sedikit rendah iaitu 24.7 °C (76.5 °F) dan pada bulan Oktober hingga Disember pula menunjukkan sedikit peningkatan purata suhunya iaitu 23.8 °C (74.8 °F).[3]
Bulan | Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogs | Sep | Okt | Nov | Dis | Tahun |
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Jumlah Min Maksimum (°C) |
25.8 |
24.8 |
27.2 |
27.1 |
27.5 |
27.1 |
28.4 |
28.3 |
28.0 |
26.5 |
24.4 |
24.0 |
28.3
|
Jumlah Min Minimum (°C) |
22.1 |
22.0 |
22.5 |
23.9 |
23.9 |
24.7 |
24.1 |
24.3 |
25.3 |
23.1 |
22.2 |
23.6 |
26.2
|
Taburan Curahan Hujan Purata (mm) | 277.7 | 138.3 | 113.0 | 200.3 | 239.0 | 214.2 | 228.8 | 215.8 | 257.7 | 319.9 | 329.4 | 343.5 | 2873.9
|
Ekonomi
[sunting | sunting sumber]Ekonomi kecil yang kaya ini adalah suatu campuran keusahawanan dalam negeri dan asing, kawalan kerajaan, kebajikan, serta tradisi kampung. Pengeluran minyak mentah dan gas asli membentuk hampir separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara Brunei. Pendapatan yang cukup besar daripada pelaburan luar negeri menambah pendapatan daripada pengeluaran dalam negeri. Kerajaan membekalkan semua perkhidmatan perubatan dan memberikan subsidi beras dan isi rumah. Pemimpin-pemimpin Brunei berasa bimbang bahawa persepaduan dengan ekonomi dunia yang semakin bertambah akan menjejaskan perpaduan sosial dalaman, walaupun Brunei telah memainkan peranan yang lebih ketara dengan menjadi pengerusi forum APEC pada tahun 2000. Rancangan-rancangan yang dinyatakan untuk masa hadapan termasuk peningkatan kemahiran tenaga buruh, pengurangan pengangguran, pengukuhan sektor-sektor perbankan and pelancongan, serta secara umumnya, peluasan lagi asas ekonominya. Syarikat Penerbangan Diraja Brunei yang merupakan syarikat penerbangan negara sedang berusaha menjadikan Brunei sebagai pusat untuk perjalanan antarabangsa antara United Kingdom dan Australia. Syarikat ini juga mempunyai perkhidmatan ke destinasi-destinasi Asia yang utama.
Demografi
[sunting | sunting sumber]Jumlah penduduk Brunei adalah seramai 411,900 dimana 75% penduduk tinggal di kawasan bandar (urban) dan 97% daripada jumlah penduduknya tinggal di bahagian barat yang lebih besar dengan hanya kira-kira 10,000 (3%) orang tinggal di daerah Temburong iaitu di bahagian timur. Daripada bilangan ini, lebih kurang 46,000 orang tinggal di ibu negara Bandar Seri Begawan.[4]
Bangsa
[sunting | sunting sumber]Berdasarkan Lembaga Perlembagaan Negara Brunei Darussalam yang bermula pada tahun 1984, etnik Negara Brunei Darussalam terdiri daripada puak atau rumpun jati secara rasmi di bawah pendaftaran kebangsaan iaitu etnik Melayu Brunei, Kedayan, Tutong, Dusun, Belait, Murut dan Bisaya.
Walau bagaimanapun, penduduk tetap Brunei Darussalam juga terdiri daripada berbilang bangsa seperti bangsa Inggeris, Orang Cina , India serta kaum etnik majoriti dari Sarawak dan Sabah, Malaysia seperti Iban dan Kadazan. Terdapat juga golongan ekspatriat di Brunei yang besar jumlahnya dengan kebanyakannya warganegara British serta Australia.[5]
Berikut merupakan peratus jumlah penduduk mengikut etnik di Brunei:
Agama
[sunting | sunting sumber]Islam ialah agama rasmi Brunei yang meliputi 82.1% daripada jumlah penduduk Brunei dan Sultan Brunei merupakan ketua agama negara itu.[2] Agama-agama lain yang dianuti termasuk Kristian (8.7%), Buddha (dianuti oleh kaum Cina) serta kepercayaan animisme (dengan jumlah yang amat kecil iaitu kira-kira 4.7%).
Bahasa
[sunting | sunting sumber]Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara ini.[6] Bahasa Melayu yang digunakan di Brunei adalah berbeza daripada negara Nusantara yang lain kerana penduduk Brunei menggunakan loghat Melayu Brunei sebagai alat pertuturan dan perbualan. Bahasa Cina, Bahasa Arab dan juga Bahasa Inggeris turut dipertuturkan.[7] Bahasa kaum pribumi yang turut digunakan ialah Bahasa Iban, Bahasa Murut, Bahasa Kedayan, Bahasa Belait, Bahasa Bisaya, Bahasa Tutong dan Bahasa Dusun.[7] Bahasa Inggeris juga dipertuturkan secara meluas dan dipelajari dalam institusi pendidikan.
Kebudayaan dan warisan
[sunting | sunting sumber]Budaya Melayu Brunei seakan sama dengan budaya Melayu di Semenanjung Malaysia dengan pengaruh kuat daripada Hindu dan Islam tetapi kelihatan lebih konservatif berbanding di Malaysia.[8] Budaya ini berasal daripada Dunia Melayu Lama yang merangkumi Kepulauan Melayu (Alam Melayu) dan ini berpunca daripada apa yang dikenali sebagai Tamadun Melayu. Walaupun budaya Brunei dipengaruhi oleh Hindu, Islam, animisme dan Barat tetapi pengaruh Islam adalah lebih kuat kerana telah tertanam lama dalam budaya Brunei sehingga menjadi cara hidup serta ideologi dan falsafah negara.[9]
Pengharaman alkohol
[sunting | sunting sumber]Sebagai sebuah negara Islam dan mengamalkan hukum syariah, jualan dan penggunaan alkohol adalah diharamkan tetapi orang luar dan bukan Islam dibenarkan membawa 12 tin bir dan dua botol spirit setiap kali mereka masuk ke negara ini.[10][11] Selepas pengenalan larangan pada awal 1990an, semua pub dan kelab malam dipaksa tutup.
Kesenian
[sunting | sunting sumber]Seni disenaraikan di Brunei terdiri daripada pelbagai jenis cabang termasuk:
- Puisi, seperti pantun, sajak, syair dan sebagainya
- Sastera dan bahasa, seperti koleksi buku-buku novel, sejarah, peribahasa, perambahan Brunei, bidalan, hikayat dan sebagainya
- Muzik tradisional, termasuklah iramanya, rentaknya dan alat-alatnya yang tertentu
- Lagu-lagu asli dan lagu-lagu rakyat, seperti Samalindang
- Tarian tradisional dan teater, seperti zapin, joget, alai sekap, adai-adai dan sebagainya
- Lukisan
- Kraftangan, seperti menenun kain jong-sarat dan menganyam seperti membuat bakul seperti tekiding
- Memburis perahu, seperti perahu tambang
- Pertukangan tangan, seperti emas dan perak untuk barang perhiasan
- Senjata seperti keris
- Pakaian, perhiasaan dan kustom negara, seperti pakaian etnik negara
- Seni mempertahankan diri, seperti pencak silat
- Pantang larang
- Adat, seperti adat perkahwinan
- Adat-istiadat negara
- Makan sirih pinang.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Tentera Laut Diraja Brunei
- Polis Diraja Brunei
- Dolar Brunei
- Akhbar Brunei
- Istana Nurul Iman (Istana Sultan)
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Handbook By IBP USA, USA International Business Publications.
- ^ a b c d Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamacia
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-04-06. Dicapai pada 2011-07-03.
- ^ 2001 Summary Tables of the Population Census. Department of Statistics, Brunei Darussalam
- ^ Ozog, A. C. K. (1996). The unplanned use of English: The case of Brunei Darussalam. In P. W. Martin, C. Ozog & G. Poedjosoedarmo (Eds.), Language use & language change in Brunei Darussalam (pp. 156-166). Athens, Ohio: Ohio University Center for International Studies.
- ^ "Perambahan: A unique feature of Brunei Malay | The Brunei Times". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-06. Dicapai pada 2011-07-03.
- ^ a b Martin, P. W., & Poedjosoedarmo, G. (1996). An overview of the language situation in Brunei Darussalam. In P. W. Martin, C. Ozog & G. Poedjosoedarmo (Eds.), Language use & language change in Brunei Darussalam (pp. 1-23). Athens, Ohio: Ohio University Center for International Studies.
- ^ For a discussion of religious freedom, see http://www.state.gov/g/drl/rls/irf/2006/71334.htm (United States Department of State).
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-05-11. Dicapai pada 2011-07-03.
- ^ "Brunei Tourism Website (Government appointed)". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-07-10. Dicapai pada 2011-07-03.
- ^ "bruneipress.com.bn"
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Ketahui lebih lanjut tentang Brunei di Wikipedia: | |
Takrifan dari Wikikamus | |
Imej dan media dari Commons | |
Sumber pembelajaran dari Wikiversity | |
Berita dari Wikiberita | |
Petikan dari Wikipetikan | |
Teks sumber dari Wikisumber | |
Buku teks dari Wikibuku |
- (Melayu) Laman web rasmi Kerajaan Brunei
- (Inggeris) Sejarah Brunei
- (Melayu) (Inggeris) Laman rasmi Pejabat Perdana Menteri
- (Melayu) (Inggeris) Laman rasmi Brunei