Pergi ke kandungan

Temenggong Daeng Ibrahim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim)
Temenggung Tun Daeng Ibrahim
Dato' Temenggung Seri Maharaja Johor
Temenggung Johor ke-4
Pemerintahan19 Ogos 1841 - 31 Disember 1862
(Memerintah Johor: 10 Mac 1855 - 31 Disember 1862)
Didahului olehTemenggung Tun Abdul Rahman
Diikuti olehTemenggung Tun Abu Bakar
Keputeraan(1810-09-08)8 September 1810
Pulau Bulang, Kepulauan Riau
Kemangkatan31 Januari 1862(1862-01-31) (umur 51)
Teluk Belanga, Singapura
Pasangan1.Inche Ngah
2.Engku Long Muda
3.Tengku Andak
Anakanda1.Sultan Sir Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah
2.Muhammad Ibrahim
3.Abdullah
4.Abdul Rahman
5.Abdul Majid
6.Muhammad Khalid
7.Daud
8.Besar
9.Pah
10.Khadija
11.Zaharah
12.Nong Hawa
KerabatTemenggung Johor
AyahandaTemenggung Tun Abdul Rahman ibni Temenggung Tun Abdul Hamid
BondaInche Yah
AgamaSunni Islam

Seri Paduka Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim ibni Seri Paduka Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Abdul Rahman (8 Disember 1810 - 31 Januari 1862) ialah Temenggung Johor ke-4 dari tahun 1841 hingga 1862. Selepas beliau dan Sultan Ali Iskandar Shah menandatangani Perjanjian Setia 1855, beliau memerintah Johor dari tahun 1855 hingga 1862.

Latar belakang

[sunting | sunting sumber]

Tun Daeng Ibrahim dilahirkan di Pulau Bulang, Kepulauan Riau. Beliau merupakan putera kepada Temenggung Tun Abdul Rahman ibni Temenggung Tun Abdul Hamid dan isteri pertamanya, Inche Yah, dan menerima pendidikan di Singapura. Beliau juga dikenali dengan panggilan Daeng Ronggek, Tengku Chik dan Daeng Kechil.

Pemerintahan

[sunting | sunting sumber]

Pertabalan Tun Ibrahim sebagai Temenggung Johor

[sunting | sunting sumber]

Selepas jatuhnya Singapura ke tangan Inggeris, Johor telah menjadi rebutan antara waris Sultan Hussein Muazzam Shah iaitu Tengku Ali dan waris Temenggung Tun Abdul Rahman iaitu Tun Ibrahim. Pada mulanya, Bendahara Tun Ali tidak mahu mengakui pelantikan Tun Ibrahim sebagai Temenggung Seri Maharaja Johor kerana tindakan bapa Tun Ibrahim iaitu Temenggung Tun Abdul Rahman yang telah menyerahkan Singapura kepada Inggeris tidak dapat diterima oleh pembesar-pembesar Melayu.[1] Namun, pada 19 Ogos 1841, Bendahara Tun Ali telah merasmikan pertabalan Tun Ibrahim sebagai Temenggung Seri Maharaja Johor di New Harbour, Singapura. Pengiktirafan yang diberikan oleh Bendahara Tun Ali kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim adalah bersyarat iaitu Temenggung Tun Daeng Ibrahim mesti bertuankan Sultan Johor yang sebenar iaitu yang bersemayam di Lingga.[2] Untuk memenuhi syarat yang diberikan oleh Bendahara Tun Ali, Temenggung Tun Daeng Ibrahim kemudian telah menghadap Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV ibni Sultan Muhammad Muazzam Shah II yang bersemayam di Lingga. Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV amat menyenangi kedatangan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan meraikannya untuk menunjukkan pengiktirafan baginda kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[3] Pertabalan Temenggung Tun Daeng Ibrahim yang dirasmikan oleh Bendahara Tun Ali telah mengundang rasa minat Tengku Ali untuk meminta Bendahara Tun Ali supaya baginda ditabalkan sebagai Sultan Johor. Pada 13 September 1841, Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Samuel George Bonham telah menulis surat kepada Bendahara Tun Ali untuk meminta beliau menabalkan Tengku Ali sebagai Sultan Johor.[4] Namun, Bendahara Tun Ali tidak melayan permintaan Tengku Ali kerana beliau sendiri tidak pernah mengiktiraf bapa Tengku Ali iaitu Sultan Hussein Muazzam Shah sebagai Sultan Johor.[5]

Pengenalan Sistem Kangcu dan Surat Sungai

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1820-an, ramai orang Cina Singapura berpindah ke Johor untuk menjalankan aktiviti penanaman gambir dan lada hitam atas galakan Temenggung Tun Abdul Rahman dan anaknya Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[6] Pada tahun 1840-an, Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah menubuhkan satu birokrasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai Melayu untuk memantau urusan hal-ehwal melibatkan ketua-ketua orang Cina Singapura yang berpindah ke Johor atau dikenali sebagai Kangcu.[7] Kangcu ialah perkataan bahasa Cina yang bermaksud "Tuan Sungai". Temenggung Tun Daeng Ibrahim mula mengeluarkan permit rasmi yang dikenali sebagai "Surat Sungai" kepada Kangcu yang membenarkan mereka untuk mengusahakan ladang-ladang gambir dan lada hitam di sepanjang tebing sungai. Sebagai balasan, Kangcu dikehendaki membayar cukai hasil keuntungan yang diperoleh daripada ladang-ladang gambir dan lada hitam serta memperbaharui Surat Sungai selepas tempoh masa tertentu.[8] Kawasan perladangan dikenali sebagai "kangkar" iaitu perkataan bahasa Cina yang bermaksud "kaki sungai". Setiap kangkar diketuai oleh seorang Kangcu yang mentadbir dan memungut cukai untuk kerajaan Johor.

Penyatuan semula Empayar Kesultanan Johor

[sunting | sunting sumber]

Setelah lebih 17 tahun menunggu sejak kemangkatan Sultan Hussein Muazzam Shah, pada bulan April 1852, Tengku Ali membuat keputusan untuk berangkat ke Lingga dengan tujuan untuk menyerahkan kembali Tanah Besar Johor kepada Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV. Tengku Ali bertindak sedemikian kerana kecewa dengan sikap Inggeris yang masih tidak mahu mengiktiraf baginda sebagai Sultan Johor menggantikan bapanya Sultan Hussein Muazzam Shah walaupun baginda telah banyak kali menghantar surat kepada Inggeris.[9] Kekecewaan Tengku Ali semakin bertambah apabila baginda melihat hubungan para pegawai Inggeris dan para pedagang Eropah yang lebih rapat dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Tengku Ali melihat Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai saingannya yang kuat untuk mendapatkan kuasa sebagai pemerintah Johor.[10] Dengan penyerahan ini, semua tanah jajahan dalam Empayar Kesultanan Johor kecuali Pulau Singapura kembali bersatu. Penyerahan ini juga telah menyebabkan Inggeris dan Belanda berasa bimbang.[11] Apabila Pemangku Gabenor Negeri-Negeri Selat, Edmund Augustus Blundell di Singapura menerima maklumat tentang penyerahan tersebut daripada Gabenor Jeneral Belanda di Betawi, beliau telah memanggil Tengku Ali untuk pulang ke Singapura dengan ancaman untuk menahan elaunnya.[12][13] Tengku Ali pun pulang ke Singapura dan mengulangi tuntutannya kepada Inggeris iaitu pengiktirafan baginda sebagai Sultan Johor.[14] Selepas itu, Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV kerap berangkat ke Singapura untuk bertemu dengan Tengku Ali. Kebetulan pada ketika itu, berlaku konflik antara Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV dan Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Ali bin Raja Jaafar. Inggeris mengesyaki bahawa Tengku Ali dan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV merancang untuk menubuhkan kembali Empayar Kesultanan Johor yang berpusat di Lingga.[15]

Pengisytiharan Pahang sebagai hak milik peribadi Bendahara

[sunting | sunting sumber]

Selepas peristiwa Tengku Ali menyerahkan Tanah Besar Johor kepada Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV, Bendahara Tun Mutahir telah mengisytiharkan Pahang sebagai satu kuasa autonomi pada tahun 1853.[16] Bendahara Tun Mutahir dan bapanya Bendahara Tun Ali merasakan mereka perlu mengingatkan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV bahawa status Tanah Johor tidak sama dengan status Tanah Pahang kerana Tanah Pahang merupakan tanah kurnia kepada keluarga Bendahara yang turun-temurun manakala Tanah Johor bukan tanah kurnia kepada keluarga Temenggung dan keluarga Temenggung hanya menjadi pentadbir sahaja.[17] Pengisytiharan tersebut merupakan "pengisytiharan semula" yang menunjukkan kedudukan Pahang yang telah dikurniakan kepada keluarga Bendahara sejak zaman Bendahara Tun Abdul Majid ibni Bendahara Tun Abbas ibni Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.[18][19] Ini bermakna walaupun Bendahara di Pahang tunduk kepada Sultan di Lingga, Tanah Pahang tetap menjadi hak milik peribadi keluarga Bendahara dan kerajaan Bendahara yang memerintah Pahang sebagai Raja Bendahara Pahang adalah sah.[20][21]

Temenggung Ibrahim menjadi pemerintah Johor melalui Perjanjian Setia 1855

[sunting | sunting sumber]

Jasa-jasa Temenggung Tun Daeng Ibrahim sepanjang menjadi Temenggung Seri Maharaja Johor seperti mengusahakan ladang-ladang lada hitam, gambir[22] dan getah perca[23], mengutip cukai hasil di Johor[24] serta membantu Inggeris membanteras lanun di perairan Singapura dan Johor[25] telah menyebabkan beliau lebih berpengaruh daripada Tengku Ali yang terpaksa menanggung hutang yang banyak untuk menyara diri dan keluarganya serta berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Sultan Johor daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Pemangku Gabenor Blundell berusaha untuk menyelesaikan konflik antara Tengku Ali dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Walaupun pada mulanya Syarikat Hindia Timur Inggeris melarang Pemangku Gabenor Blundell untuk campur tangan dalam konflik tersebut, namun Syarikat Hindia Timur Inggeris kemudian membantu Pemangku Gabenor Blundell dengan memberikan beberapa cadangan untuk dipersetujui oleh Tengku Ali dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Akhirnya pada 10 Mac 1855, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Tengku Ali menandatangani Perjanjian Setia 1855 di mana Tengku Ali menyerahkan sepenuhnya kerajaan Johor dan hak baginda ke atas Johor kecuali daerah Kesang kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan waris-warisnya untuk selama-lamanya. Sebagai balasan, Tengku Ali diangkat sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Ali Iskandar Shah tetapi baginda tidak boleh campur tangan dalam urusan pemerintahan Johor dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim membayar elaun bulanan kepada Sultan Ali Iskandar Shah.

Iskandar Puteri sebagai pusat pentadbiran Johor yang baru

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1855, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memilih tempat yang bertentangan dengan Singapura iaitu Tanjung Puteri, Johor sebagai pusat pentadbiran beliau yang baru. Temenggung Tun Daeng Ibrahim menamakan tempat tersebut sebagai Iskandar Puteri. Nama Iskandar Puteri ini merupakan hasil gabungan nama penuh Temenggung Tun Daeng Ibrahim iaitu Tun Ibrahim Iskandar dan nama Tanjung Puteri iaitu tempat Temenggung Tun Daeng Ibrahim mendarat untuk mencari kawasan pentadbiran.[26]

Reaksi Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV dan Bendahara Tun Ali terhadap Perjanjian Setia 1855

[sunting | sunting sumber]

Perjanjian Setia 1855 mendapat kecaman hebat daripada raja-raja Melayu kerana perjanjian tersebut jelas bertentangan dengan adat Melayu di mana hanya Sultan yang berdaulat sahaja boleh memberikan tanah dalam bentuk kurnia. Memandangkan bapa Sultan Ali Iskandar Shah iaitu Sultan Hussein Muazzam Shah sendiri tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor, maka Sultan Ali Iskandar Shah juga bukan Sultan Johor yang sah menurut adat Melayu. Selepas Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim menandatangani Perjanjian Setia 1855, Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV menulis surat kepada Bendahara Tun Ali untuk meminta penjelasan daripada beliau tentang perkembangan yang berlaku di Singapura. Hal ini demikian kerana Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV menganggap bahawa Tengku Ali telah menyerahkan kembali Tanah Besar Johor kepada baginda pada tahun 1852 tetapi Tengku Ali kini telah menyerahkan Tanah Besar Johor kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim untuk mendapatkan gelaran 'Sultan'. Bendahara Tun Ali membalas bahawa beliau tidak reda dengan perjanjian tersebut yang melanggar adat Melayu dan tanah jajahan dalam Empayar Kesultanan Johor merupakan hak Sultan Johor yang tidak boleh diwarisi oleh orang lain kecuali melalui cara kurnia. Jelas di sini bahawa tindakan Sultan Ali Iskandar Shah yang menyerahkan Tanah Besar Johor kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim adalah tidak sah menurut adat Melayu.[27]

Cubaan Sultan Ali Iskandar Shah untuk merampas Johor daripada Temenggung Ibrahim

[sunting | sunting sumber]

Walaupun Perjanjian Setia 1855 telah termeterai, konflik antara Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim masih tidak selesai. Pada tahun 1858, Sultan Ali Iskandar Shah telah bertemu dengan Gabenor Blundell di Singapura untuk mengadu tentang layanan buruk yang diberikan oleh Temenggung Tun Ibrahim kepada pengikut-pengikutnya yang datang mencari getah perca dan kayu balak di Johor. Apabila Gabenor Blundell meminta penjelasan daripada Temenggung Tun Daeng Ibrahim mengenai aduan yang dibuat oleh Sultan Ali Iskandar Shah, Temenggung Tun Daeng Ibrahim menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan bahawa apabila pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah datang ke Johor, mereka perlu mematuhi undang-undang dengan membayar cukai dan mereka juga perlu memohon surat kebenaran jika mereka mahu mengutip hasil-hasil hutan di Johor.[28] Kemuncak konflik antara Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim berlaku apabila pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah mencabar bahawa Perjanjian Setia 1855 tidak sah dan mereka bertemu dengan Gabenor Blundell untuk meminta supaya perjanjian tersebut dibatalkan atas alasan Sultan Ali Iskandar Shah tidak berunding dengan pembesar-pembesar Melayu terlebih dahulu sebelum baginda menandatangani perjanjian tersebut. Namun, Gabenor Blundell telah menolak permintaan mereka.[29]

Pada tahun 1860, pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah telah berkumpul di Muar untuk membuat persiapan peperangan dengan tujuan untuk menyerang Johor dan mengembalikan Johor kepada Sultan Ali Iskandar Shah. Apabila Temenggung Tun Daeng Ibrahim mendengar berita tersebut, beliau meminta bantuan Gabenor Blundell supaya masuk campur. Gabenor Blundell memberi amaran kepada Sultan Ali Iskandar Shah agar tidak mengganggu keamanan di Semenanjung Tanah Melayu selagi baginda bersemayam di Singapura di bawah kekuasaan kerajaan Inggeris namun Sultan Ali Iskandar Shah tidak mengendahkan amaran tersebut.[30] Menurut berita yang diterbitkan oleh surat khabar The Straits Times pada tahun 1861, lebih daripada 30,000 orang telah bersedia untuk melancarkan serangan ke atas Johor dan mereka hanya menunggu Sultan Ali Iskandar Shah untuk mengetuai serangan tersebut.[31] Pada 14 Februari 1861, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memberitahu Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir William Orfeur Cavenagh bahawa adinda kepada Bendahara Tun Mutahir iaitu Wan Ahmad ibni Bendahara Tun Ali, pengikut Sultan Ali Iskandar Shah yang bergelar Suliwatang, dan ketua-ketua dari Rembau dan Sungai Ujong telah berkumpul di Muar atas perintah Sultan Ali Iskandar Shah untuk menyerang Johor.[32] Pada 21 Februari 1861, Gabenor Cavenagh mengarahkan Residen Kaunselor Melaka untuk melarang orang-orang Melayu di Melaka daripada meninggalkan Melaka untuk pergi ke Muar. Kapal perang Inggeris yang bernama Hooghly telah dihantar ke Tanjung Gading, Muar untuk meninjau kekuatan pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah. Gabenor Cavenagh juga mengarahkan Residen Kaunselor Singapura untuk memberi amaran kepada Sultan Ali Iskandar Shah bahawa Perjanjian Setia 1855 telah disahkan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian tersebut tidak boleh diketepikan oleh mana-mana pihak yang menandatangani perjanjian tersebut. Gabenor Cavenagh mengarahkan Residen Kaunselor Singapura untuk melarang Sultan Ali Iskandar Shah pergi ke Muar dan menyekat bekalan senjata dari Singapura.[33] Akhirnya, Sultan Ali Iskandar Shah dan pengikut-pengikutnya terpaksa menghentikan rancangan mereka untuk menyerang Johor.

Pengukuhan kuasa Temenggung Ibrahim sebagai pemerintah Johor melalui Perjanjian Pahang-Johor 1861

[sunting | sunting sumber]

Kedudukan Temenggung Tun Daeng Ibrahim di Johor tergugat akibat tindakan pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah yang mencabar keabsahan Perjanjian Setia 1855 walaupun Sultan Ali Iskandar Shah sendiri yang menandatanganinya. Perjanjian 1855 telah menyebabkan orang Melayu berpecah di mana pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah mencabar keabsahan Perjanjian Setia 1855 manakala pengikut-pengikut Temenggung Tun Daeng Ibrahim menerima Perjanjian Setia 1855 sebagai perjanjian yang sah. Walaupun Sultan Ali Iskandar Shah bukan Sultan Johor yang sah kerana ayahandanya Sultan Hussein Muhammad Shah tidak mendapat pengiktirafan sebagai Sultan Johor, raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu yang lain di Semenanjung Tanah Melayu memandang serong kedudukan terkini Temenggung Tun Daeng Ibrahim kerana mereka hanya mengiktiraf kedudukan asal Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Temenggung Johor yang sah ditabalkan oleh Bendahara Tun Ali dengan restu Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV pada tahun 1841 dan mereka tidak mengiktiraf kedudukan terkini beliau sebagai pemerintah Johor yang disahkan oleh Inggeris pada tahun 1855. Untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai pemerintah Johor yang sah dari segi adat-istiadat Melayu, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memujuk Bendahara Tun Mutahir supaya mengiktiraf kedudukan terkininya berdasarkan Perjanjian Setia 1855. Hal ini demikian kerana Bendahara ialah penaung kepada adat raja-raja Melayu.[34] Akhirnya, pada bulan Disember 1861, Temenggung Tun Daeng Ibrahim mewakili kerajaan Johor dan Bendahara Tun Mutahir mewakili kerajaan Pahang telah membuat satu perjanjian setia di mana Bendahara Tun Mutahir telah mengiktiraf Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai pemerintah Johor yang sah dan keturunan Temenggung Tun Daeng Ibrahim memerintah Johor untuk selama-lamanya. Dalam perjanjian yang sama, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Bendahara Tun Mutahir bersepakat untuk membantu antara satu sama lain jika negeri mereka diserang musuh dan jika timbul sebarang masalah antara mereka, mereka akan menyerahkan masalah mereka kepada Inggeris sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah mereka.[35]

Usaha Bendahara Tun Mutahir untuk menyelamatkan adat Melayu

[sunting | sunting sumber]

Sebab sebenar Bendahara Tun Mutahir melakukan tindakan sedemikian adalah untuk menyelamatkan adat Pahang dan Johor semampu yang boleh walaupun pada hakikatnya adat raja-raja Melayu sudah menjadi bercelaru pada ketika itu. Ketika Kesultanan Johor masih wujud, Temenggung diamanahkan untuk mentadbir Tanah Besar Johor dan Pulau Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya manakala Bendahara diamanahkan untuk mentadbir Tanah Pahang. Namun, dengan keadaan di mana Kesultanan Johor sudah tiada, pembesar-pembesar Melayu yang tinggal hanyalah Bendahara di Pahang dan Temenggung di Johor dan wilayah mereka tidak lagi mempunyai penaung. Maka, timbul persoalan iaitu siapa yang berhak menjadi penaung mereka. Yang Dipertuan Muda yang memerintah Riau memilih untuk bertuankan Belanda dan beliau tidak mahu ada kaitan dengan Johor dan Pahang.[36] Persoalan ini susah untuk diselesaikan kerana Bendahara Tun Mutahir perlu mengambil kira faktor-faktor seperti bangsawan Melayu sudah berpecah-belah dan campur tangan Inggeris yang tidak mahu Kesultanan Johor dihidupkan semula dan Sultan Johor yang baru ditabalkan. Oleh sebab itu, Bendahara Tun Mutahir merasakan bahawa tindakannya yang mengiktiraf Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai pemerintah Johor adalah yang terbaik. Walaupun begitu, pengiktirafan tersebut tidak menjadikan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Sultan Johor.[37]

Bendahara Tun Mutahir tidak dapat mengiktiraf Sultan Ali Iskandar Shah sebagai Sultan Johor kerana bukan sahaja Sultan Ali Iskandar Shah dan ayahandanya Sultan Hussein Muazzam Shah bukan Sultan Johor yang sah, malahan Sultan Ali Iskandar Shah juga menyerahkan Johor secara sukarela sebanyak dua kali iaitu kepada Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV pada tahun 1853 dan kemudian kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim pada tahun 1855.[38] Selain itu, tindakan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV yang membantu Wan Ahmad dalam usaha untuk merampas kuasa daripada Bendahara Tun Mutahir telah menyebabkan Pahang berada dalam keadaan huru-hara.[39] Bendahara Tun Mutahir juga tidak dapat memenuhi permintaan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV yang ingin ditabalkan sebagai Sultan Pahang selepas baginda disingkirkan daripada takhta Sultan Riau-Lingga kerana Tanah Pahang bukan milik baginda tetapi telah dikurniakan kepada keluarga Bendahara sejak zaman Bendahara Tun Abdul Majid.[40] Memandangkan tuntutan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV hanya melibatkan Pahang dan baginda tidak pernah meminta untuk ditabalkan sebagai Sultan Johor, maka Bendahara Tun Mutahir tidak melayan tuntutan baginda.[41]

Temenggung Tun Daeng Ibrahim mangkat pada 31 Januari 1862 di Teluk Belanga, Singapura. Putera sulung Temenggung Tun Daeng Ibrahim iaitu Tun Abu Bakar menggantikan bapanya sebagai Temenggung Seri Maharaja Johor yang bergelar Seri Paduka Dato' Temenggung Seri Maharaja Abu Bakar.

Temenggung Tun Daeng Ibrahim ibni Temenggung Tun Abdul Rahman mempunyai tiga orang isteri, iaitu:-

  1. Inche Ngah
  2. Engku Long Muda
  3. Tengku Andak (anak perempuan ketiga kepada Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Sultan dan Yang di-Pertuan Besar bagi Riau-Lingga.

Anak Lelaki

[sunting | sunting sumber]

Temenggung Tun Daeng Ibrahim ibni Temenggung Tun Abdul Rahman mempunyai tujuh orang anak lelaki:-

  1. Sultan Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim, (Sultan Johor Moden pertama)
  2. Ungku Muhammad ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim
  3. Ungku Abdullah ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim, (Ungku Seri Paduka Pemangku Raja Johor)
  4. Ungku Abdul Rahman ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim
  5. Ungku Abdul Majid ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim, (Ungku Seri Paduka Pemangku Raja Johor)
  6. Ungku Muhammad Khalid ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim
  7. Ungku Daud ibni Temenggung Tun Daeng Ibrahim

Anak Perempuan

[sunting | sunting sumber]

Temenggung Tun Daeng Ibrahim ibni Temenggung Tun Abdul Rahman mempunyai lima orang anak perempuan:-

  1. Ungku Besar binti Temenggung Tun Daeng Ibrahim
  2. Ungku Pah binti Temenggung Tun Daeng Ibrahim
  3. Ungku Khadija binti Temenggung Tun Daeng Ibrahim
  4. Ungku Zaharah binti Temenggung Tun Daeng Ibrahim
  5. Ungku Nong Hawa binti Temenggung Tun Daeng Ibrahim

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  • Laman web Christopher Buyers
  • Annabelle R. Gambe (2000). Overseas Chinese Entrepreneurship and Capitalist Development in Southeast Asia.
  • Buyong Adil (2020). Sejarah Johor: Edisi Semakan.
  • Keat Gin Ooi (2004). Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor.
  • Suzana Haji Othman (2018). Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863.
  • Virginia Matheson Hooker (2003). A Short History of Malaysia.
  • Zuraidah Mohamed (22 November 2017). Iskandar Puteri bandar raya ke-14. Berita Harian.

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 245-246
  2. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 246
  3. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 246
  4. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 247
  5. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248
  6. ^ Annabelle R. Gambe (2000), Overseas Chinese Entrepreneurship and Capitalist Development in Southeast Asia, halaman 82-83
  7. ^ Virginia Matheson Hooker (2003), A Short History of Malaysia, halaman 108
  8. ^ Keat Gin Ooi (2004), Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor, halaman 710
  9. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 252
  10. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 252
  11. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253
  12. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 240
  13. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253
  14. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 240
  15. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253
  16. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253
  17. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253-254
  18. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 189
  19. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 254
  20. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 192
  21. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 254
  22. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 231 dan 234
  23. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 234
  24. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 236
  25. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 235
  26. ^ Zuraidah Mohamed (22 November 2017), Iskandar Puteri bandar raya ke-14, Berita Harian, Diambil daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/353911/iskandar-puteri-bandar-raya-ke-14
  27. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 260
  28. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 262
  29. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 262
  30. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 263
  31. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 264
  32. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 264
  33. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 265
  34. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 335
  35. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 337-338
  36. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 335
  37. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 340
  38. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 340
  39. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 340-341
  40. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 295
  41. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 341


Penyandang Terdahulu Temenggung Johor ke-4
1841 – 1862
Penyandang Kemudian
Temenggung Tun Abdul Rahman Temenggung Tun Abu Bakar