Sistem Kangcu
Sejak tahun 1844 Johor menjadi sebuah negeri Melayu yang dapat mengawal orang-orang Cina yang jumlahnya lebih ramai dari orang Melayu melalui Sistem Kangcu.
Pada 9 Oktober 1844, Temenggung Daeng Ibrahim, Pemerintahan Kerajaan Johor telah mengeluarkan Surat Sungai yang pertama kepada seorang pekebun Cina bernama Lau Lib Keng. Dengan ini maka bermulalah penghijrahan orang-orang Cina dari Singapura ke Johor dan bermulalah penanaman gambir dan lada hitam secara komersial di Tanah Melayu.
Corak pentadbiran Kerajaan Johor ke atas pekebun-pekebun Cina ini kemudiannya dikenali sebagai Sistem Kangcu. Kangcu adalah perkataan Teochiew yang bererti Ketua Petempatan Cina, manakala Kerajaan Johor menggunakan istilah Tuan Sungai.
Surat Sungai yang pertama ini menyatakan bahawa "Ungku Temenggung Seri Maharaja memberi surat tanda keterangan kepada orang Cina yang hendak berkebun dalam tanah Johor". Di dalam Surat Sungai itu juga dijelaskan bahawa Tuan Sungai mesti membayar cukai kepada Ungku Temenggung. Jika dijelaskan bagi tempoh tiga tahun, Tuan Sungai tersebut akan menerima hukuman yang berat.
Di samping itu juga seorang Tuan Sungai mesti mematuhi beberapa peraturan lain. Peraturan-peraturan ini terkandung di dalam beberapa dokumen seperti Surat Jual-beli, Surat Pajak dan Surat Tauliah. Dokumen yang penting ialah Surat Tauliah yang menggariskan 17 undang-undang mengenai kuasa dan tanggungjawab tiap-tiap Tuan Sungai.
Mulai dari Surat Sungai yang pertama pada 1844 hingga tahun-tahun 1860-an penanaman gambir dan lada hitam telah berkembang dengan pesat di negeri Johor. Dalam tahun 1862 sebanyak 37 Surat Sungai telah dikeluarkan oleh Kerajaan Johor. Dengan itu Johor telah menjadi pengeluar gambir dan lada hitam yang terkemuka di Nusantara mendahului Singapura dan Kepulauan Riau.
Perkembangan yang pesat ini adalah disebabkan oleh tiga faktor penting. Pertama pengeluaran gambir dan lada hitam di Singapura dan Kepulauan Riau telah merosot dengan teruknya. Kedua, pemerintahan Inggeris di Singapura mula mengenakan cukai tanah yang tinggi dan kerana kekurangan tanah di pulau yang kecil itu. Sebaliknya Johor masih mempunyai kawasan hutan yang luas yang belum pernah diteroka. Ketiga, permintaan untuk gambir telah meningkat di Eropah.
Walaupun Surat Sungai yang pertama itu hanya merupakan dokumen yang sederhana dan ringkas, ia merupakan satu pembaharuan dalam sistem pentadbiran tradisional negeri Melayu di abad ke-19.
Buruh-buruh Cina yang mengusahakan ladang gambir dan lada hitam diletakkan di bawah kuasa Kangcu atau ketua Sungai yang dilantik oleh kerajaan Johor. Sistem pengurusan orang Cina cara ini telah menyelamatkan Johor dari 'huru-hara' dan membolehkan Johor menjadi pengeluar gambir dan lada hitam terbaik di dunia. Dalam sistem perladangan cara ini juga membuktikan adanya unsur 'usaha-sama' (jont venture) antara pembesar Melayu dan pelabur modal Cina.