Pergi ke kandungan

Pudel

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Poodle)
Pudel
Seekor pudel hitam dengan bulu keriting dan ekor terangkat memandang kamera
Negara asalJerman atau Perancis (lihat sejarah)
Trait
Berat
  • Besar: 20–32 kilogram (44–71 lb)
  • Sederhana: 9–13 kilogram (20–29 lb)
  • Kerdil: 4.5–7 kilogram (9.9–15.4 lb)
  • Mainan: 2–3 kilogram (4.4–6.6 lb)
Tinggi
  • Besar: 45–62 sentimeter (18–24 in)
  • Sederhana: 35–45 sentimeter (14–18 in)
  • Kerdil: 28–35 sentimeter (11–14 in)
  • Mainan: 24–28 sentimeter (9.4–11.0 in)
Bulu Keriting
Warna Putih, perang kekuning-kuningan, perang, kelabu, hitam, brindle, hitam dan perang kekuning-kuningan, perang dan perang kekuning-kuningan, dwiwarna, dan triwarna
Anjing (Canis lupus familiaris)

Pudel[a] ialah satu baka anjing air. Baka ini dibahagikan kepada empat keragaman berdasarkan saiz, iaitu pudel besar[b] atau pudel piawai,[c] pudel sederhana[d] atau pudel kecil,[e] pudel kerdil[f] atau pudel katik,[g] dan pudel mainan,[h] walaupun pudel sederhana tidak diiktiraf di semua tempat. Ia mempunyai lapis bulu keriting tebal tersendiri yang terdapat dengan banyak warna dan corak dengan hanya warna-warna padu yang diiktiraf oleh pejabat pendaftaran baka. Pudel adalah aktif dan cerdas dan khususnya mampu belajar daripada manusia. Pudel cenderung untuk hidup sehingga 10–18 tahun, dengan keragaman lebih kecil yang cenderung untuk hidup lebih lama daripada yang lebih besar.

Pudel mungkin sekali berasal dari Jerman, walaupun Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI) dan sebahagian kecil ahli kinologi percaya bahawa ia berasal dari Perancis. Anjing serupa bertarikh kembali sekurang-kurangnya ke abad ke-17. Pudel lebih besar pada asalnya digunakan oleh pemburu unggas buruan untuk mengutip buruan dari air, sementara keragaman lebih kecil pernah umum digunakan sebagai penghibur sarkas. Pudel diiktiraf oleh kedua-dua The Kennel Club United Kingdom dan American Kennel Club (AKC) tidak lama selepas pengasasan kelab-kelab itu. Sejak pertengah abad ke-20, pudel telah mengalami kepopularan besar sebagai anjing peliharaan anjing pertunjukan – Pudel ialah baka paling berdaftar AKC dari tahun 1960 hingga tahun 1982 dan kini baka ketiga paling berdaftar FCI. Pudel juga umum dalam pertunjukan anjing dengan peserta yang kerap memiliki pangkasan benua yang diiktiraf secara popular, dengan muka dan punggung yang dipangkas rapat-rapat, dan gombak bulu pada keting dan di hujung ekor.

Sebuah ukiran abad ke-17 tentang seekor pudel

Kebanyakan ahli kinologi percaya bahawa pudel berasal dari Jerman pada Zaman Pertengahan, daripada anjing yang serupa dengan pudel besar kini. Pudel ialah anjing air Jerman, sebagaimana England mempunyai spaniel air Inggeris, Perancis mempunyai barbet, Ireland mempunyai spaniel air Ireland, dan Belanda mempunyai wetterhoun.[1][2][3][4][5] Antara bukti yang digunakan untuk menyokong teori ini ialah nama bahasa Jermanik untuk baka ini, pudel atau "Pudel" dalam bahasa Jerman, yang diterbitkan daripada perkataan bahasa Jerman Hilir "puddeln", yang memaksudkan "memercik, memercikkan". Banyak karya oleh pelbagai seniman Jerman dari seawal abad ke-17 menggambarkan anjing daripada jenis pudel yang dikenali.[1][2][3][5] Sesetengah ahli kinologi percaya bahawa pudel berasal dari Perancis yang mengenalinya sebagai "caniche" dan bahawa baka ini diturunkan daripada barbet. Pandangan ini dikongsi oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI).[6][7][8][9] Yang lain pula berhujah bahawa baka ini berasal dari Rusia, Piemonte, atau Afrika Barat Laut.[4][9]

Walau apa pun negara asal pudel, kedua-dua nama baka Jerman dan Perancis menunjukkan bahawa leluhur kepada pudel moden digunakan secara meluas oleh pemburu unggas air untuk mengutip buruan tertembak dan memulihkan anak panah hilang yang telah terlepas daripada sasaran.[3][4]

Varian saiz

[sunting | sunting sumber]

Oleh sebab kecerdasan, sifat patuh, atletisisme, dan rupa, pudel kerap digunakan dalam sarkas, khususnya di Perancis.[2][3][5][9] Dalam sarkas Perancis, pudel dikecilkan melalui pembiakbakaan terpilih untuk menghasilkan anjing yang kini dikenali sebagai pudel kerdil[f] atau pudel katik,[g] yang dikenali sebagai pudel mainan sehingga tahun 1907, kerana anjing bersaiz lebih kecil lebih mudah dikendalikan dan diangkut dalam sarkas bergerak.[5] Sebagai penghibur sarkas, keragaman itu kerap terlihat melakukan segala macam trik termasuk berjalan di atas tali tegang, melakonkan komedi, malah juga melakukan silap mata dan helah kad.[2][3][5]

Pudel mainan[h] dihasilkan pada permulaan abad ke-20 apabila pembiak baka sekali lagi mengecilkan pudel kerdil atau pudel katik melalui pembiakbakaan untuk menghasilkan anjing pendamping popular.[2][3][5] Pada mulanya, usaha ini mengakibatkan anak anjing cacat serta anak anjing dengan masalah tingkah laku akibat pembiakbakaan tidak bertanggungjawab untuk saiz kerdil sahaja. Apabila amalan pembiakbakaan baharu diterima pakai, keragaman itu menjadi tetap sebagai replika bersaiz mainan bagi yang asli.[2][3][5] Percubaan lanjut untuk menghasilkan keragaman malah lebih kecil, iaitu pudel cawan teh, tidak dapat mengatasi keabnormalan genetik serius dan ditinggalkan.[5]

Keragaman pudel terakhir yang diiktiraf ialah pudel sederhana[d] atau pudel kecil,[e] yang saiznya di tengah-tengah antara pudel besar[b] atau pudel piawai[c] dengan pudel kerdil atau pudel katik. Pudel sederhana yang tidak diiktiraf secara universal oleh kelab kenel di dunia diiktiraf oleh FCI dan kebanyakan kelab kenel Eropah Benua.[3][5][6][7][8] Salah satu sebab untuk menghasilkan keragaman saiz keempat ini mungkin merupakan keinginan untuk mengurangkan angka peserta pudel menurut keragaman dalam pertunjukan pengakuran.[5]

Sejarah terkini

[sunting | sunting sumber]

Pudel diiktiraf oleh The Kennel Club United Kingdom pada tahun 1874 dan oleh American Kennel Club (AKC) pada tahun 1886, tidak lama selepas pengasasan kedua-dua kelab.[10] Di Amerika Syarikat, pudel tidak popular sehingga tahun 1935, apabila pudel Nunsoe Duc de la Terrace memenangi best in show dalam pertunjukan Westminster.[11] Selepas itu, ia secepatnya menjadi terkenal, lalu menjadi baka paling banyak berdaftar AKC dari tahun 1960 hingga tahun 1982.[12] Sejak tahun 1935, pudel telah memenangi best in show dalam pertunjukan Westminster sebanyak 10 kali, yang kedua paling banyak antara mana-mana baka.[13] Setakat tahun 2012, pudel ialah baka berdaftar FCI ketiga paling popular di seluruh dunia, selepas anjing pengutip Labrador dan anjing gembala Jerman, dengan 118,653 ekor anjing baharu yang didaftarkan pada setiap tahun dari 25 buah negara yang ditinjau.[14]

Penampilan

[sunting | sunting sumber]
Pudel besar hitam

Pudel ialah baka aktif dan atletik dengan keragaman yang kebanyakannya berlainan mengikut saiz.[1][2][3] Piawaian baka FCI menyatakan bahawa pudel besar atau pudel piawai berdiri setingg 45–62 sentimeter (18–24 in), pudel sederhana atau pudel kecil setinggi 35–45 sentimeter (14–18 in), pudel kerdil atau pudel katik setinggi 28–35 sentimeter (11–14 in), dan pudel mainan setinggi 24–28 sentimeter (9.4–11.0 in).[6][7][8]

Kelab kenel yang tidak mengiktiraf keragaman pudel sederhana biasanya mempunyai pudel piawai yang setinggi 38–60 sentimeter (15–24 in) dan pudel katik yang setinggi 28–38 sentimeter (11–15 in), dengan keragaman mainan yang kekal tidak berubah.[3][5]

Pudel piawai dewasa sihat biasanya berukuran seberat 20–32 kilogram (44–71 lb), pudel sederhana seberat 15–19 kilogram (33–42 lb), pudel katik seberat 12–14 kilogram (26–31 lb), dan pudel mainan seberat 6.5–7.5 kilogram (14–17 lb).[3]

Pudel mempunyai lapis bulu tebal dan keriting dengan helaian bulu kasar. Pemilik haiwan peliharaan dapat menjangkakan dandanan pudel setiap empat hingga lapan minggu.[15]

Pudel kerap disebut sebagai baka anjing hipoalergenik. Setiap folikel bulu mempunyai tempoh pertumbuhan aktif yang lebih lama daripada yang untuk banyak baka lain; sekali dengan lapis bulu bergulung rapat, yang memperlahankan kehilangan bulu gugur dan bulu mati dengan memerangkapnya di dalam keriting, pudel mungkin melepaskan kurang bulu ke persekitaran. Walau bagaimanapun, penyelidik pada umumnya belum menemukan perbezaan alergen merentasi baka.[16][17][18]

Pemangkasan dan dandanan

[sunting | sunting sumber]
Pudel kerdil dengan gaya pangkasan benua

FCI dan AKC mengizinkan agar pudel ditunjukkan dalam dengan gaya pangkasan bulu anak anjing, gaya pangkasan bulu benua (singa dalam piawaian FCI), gaya pangkasan bulu pelana Inggeris, atau gaya pangkasan bulu sukan (moden). FCI turut mengiktiraf gaya pangkasan bulu Skandinavia.[19][6][7][8] Yang paling popular dalam gelanggang pertunjukan ialah gaya pangkasan bulu benua, iaitu apabila bulu pada muka dan punggung tubuh dipangkasa, lalu meninggalkan jumbai pada keting dan hujung ekor dan roset pada pinggul.[20][19] Gaya pangkasan bulu serupa pernah digunakan dalam sejarah untuk menghalang pudel daripada terbeban oleh berat bulunya apabila berenang untuk mengutip burung, sambil tetap membiarkan sendi dan organ pentingnya tertutup.[13] Pudel peliharaan paling kerap dipangkas serupa dengan gaya pangkasan bulu sukan — sekata pada seluruh tubuh dengan bulu pada muka dan kaki yang dipotong lebih pendek.[20]

Dalam kebanyakan kes, sama ada pudel memilik gaya pangkasan bulu peliharaan atau pertunjukan, bulunya diberus sepenuhnya. Bulu pudel juga dapat "dipintalkan" dengan kusutan mirip tali yang serupa dengan yang pada komondor atau rambut pilinan manusia. Walaupun pernah kerap seperti pudel keriting, pudel terpintal kini jarang. Lapis bulu terpintal sukar dikekalkan bersih-bersih dan mengambil masa lama untuk kering selepas dicuci.[21] Pudel terpintal boleh ditunjukkan dalam semua pertunjukan kelab kenel besar.[6][7][8][22]

Pudel mempunyai pelbagai jenis pewarnaan, termasuk putih, hitam, perang, biru, kelabu, perak, kopi susu, kuning air perak, krim, aprikot, dan merah, dan corak seperti warna-warni, abstrak, sabel, brindle, dan fantom.[23][24] Pewarnaan beriktiraf FCI merupakan hitam, putih, perang, kelabu, perang kekuning-kuningan, brindle, hitam dan perang kekuning-kuningan, perang dan perang kekuning-kuningan, dwiwarna, dan triwarna.[6][7][8] Pengiktirafan pudel berbilang warna berbeza-beza mengikut pejabat pendaftaran. Dahulu ia kerap, tetapi menjadi kurang popular pada awal tahun 1900-an, dan terkecuali daripada banyak pejabat pendaftaran.[25] American Kennel Club (AKC) mengiktiraf pudel sama ada dengan lapis bulu berwarna padu dan berbilang warna; walau bagaimanapun, hanya pudel berwarna padu boleh bersaing dalam pengakuran.[19][26]

Pudel berwarna-warni mempunyai tompok-tompok dengan mana-mana warna padu lain di atas lapis bulu yang terutamanya putih.[27] Apabila pudel berwarna-warni mempunyai tanda-tanda hitam dan putih yang menyerupai tanda-tanda tuksedo, ia dipanggil pudel "tuksedo".[28] Pudel abstrak terutamanya berwarna padu dengan tompok-tompok putih.[27] Pudel fantom mempunyai warna utama padu dengan warna lebih cerah yang muncul pada "kening", muncung dan tekak, tungkai dan kaki, serta di bawah ekornya. Pudel fantom juga mungkin mempunyai muka penuh berwarna sekunder.[27]

Pudel ialah baka amat cerdas, bertenaga, dan mudah bergaul. Buku tahun 1994 oleh Stanley Corey meletakkannya di tempat kedua antara 130 baka dari segi "kecerdasan kerja dan kepatuhan", iaitu ukuran keupayaannya untuk belajar daripada manusia.[29] Kesiluan atau ketajaman dianggap sebagai kecacatan serius pada baka ini.[19]

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Kelanjutan usia pudel berbeza-beza berdasarkan saiz, kerana anjing lebih kecil hidup lebih lama daripada anjing lebih besar.[30] Sebuah kajian di Jepun mendapati bahawa pudel mainan mempunyai kelanjutan usia selama 12.7 tahun.[31] Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 pula mendapati jangka hayat sebanyak 14 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[32] Sebuah kajian Sweden tahun 2005 mendapati bahawa 25% daripada jumlah pudel katik dan pudel mainan mati menjelang usia 10 tahun, yang lebih rendah daripada kadar keseluruhan pada 35% daripada jumlah anjing yang mati menjelang usia 10 tahun.[33]

Pudel menderitai sebilangan penyakit keturunan. Poodle Health Registry menyenaraikan lebih daripada 50 gangguan kesihatan besar bagi pudel piawai.[10] Sesetengah penyakit keturunan umum paling teruk pada pudel merupakan penyakit kulit adenitis sebum (anggaran prevalens 2.7%) dan penyakit Addison, iaitu satu gangguan sistem endokrin. Kedua-dua penyakit menjadi lebih prevalen pada pudel ledakan tahun 1960-an dari segi kepopularan pudel yang membawa kepada pembiakbakaan pesat yang bertujuan untuk menghasilkan anjing pertunjukan bagus. Pembiakbakaan tertumpu pada sebilangan kecil susur galur popular, lalu mewujudkan kejejalan genetik.[34][10] Sebuah kajian menganggarkan bahawa dua ekor pudel piawai purata adalah kira-kira berkait rapat seperti anak kepada dua ekor anjing kampung yang bersaudara.[34]

Pudel cenderung terhadap keadaan dermatologi berikut: penyakit kulit alahan, alopesia X atau hentian folikel, alopesia tapak suntikan, otitis luaran, melanoma, dan adenitis sebum.[35]

Pudel cenderung terhadap hipotiroidisme[36][35] dan sindrom Cushing.[37]

Pudel ialah salah satu baka yang lebih lazim terjejas akibat degenerasi rod-kon progresif. Suatu mutasi resesif autosom pada gen PRCD bertanggungjawab atas keadaan ini pada baka ini.[38]

Kerja dan sukan

[sunting | sunting sumber]
Pudel yang mengutip seekor itik

Pudel pada asalnya dibiakbakakan untuk pemburuan unggas air.[6][7][8] Walaupun terdapat sejarah ini, ia buat masa ini dikelaskan sebagai anjing teman oleh FCI.[6][7][8] Sejak lewat tahun 1980-an, sesetengah pembiak baka di Amerika Syarikat dan di Kanada telah memilih anjing dengan dorongan terhadap burung untuk menghidupkan baka ini semula untuk perburuan dengan sedikit kejayaan.[39] Pudel ialah anjing yang sangat mudah dilatih yang biasanya cemerlang dalam pelatihan kepatuhan.[23] Dari segi sejarah, ia merupakan anjing sarkas popular. Selain ujian perburuan, ia cemerlang dalam ketangkasan dan rally.[13] Ia merupakan antara baka anjing khidmat paling popular.[40]

Pudel telah digunakan sebagai anjing pekerja dalam ketenteraan sejak sekurang-kurangnya abad ke-17, kemungkinan besar kerana sifat amat cerdas dan boleh latih. Latar belakangnya sebagai anjing pemburu menjadikannya sesuai untuk medan perang dan ia dapat dilatih untuk mengabaikan tembakan senjata api. Semasa Perang Saudara England, Putera Rupert dari Rhein mempunyai seekor pudel pemburu masyhur yang bertempur dengan tuannya yang menunggang kuda. Napoleon Bonaparte menulis dalam memoir beliau tentang kesetiaan pudel peliharaan milik seorang grenadier yang kekal bersama mayat tuannya dalam Pertempuran Marengo.[41]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Jawi: ڤودل; Perancis: caniche; Jerman: Pudel, bahasa Jerman: [ˈpuːdl̩]  ( dengar); bahasa Inggeris: poodle
  2. ^ a b Jawi: ڤودل بسر; Perancis: grand caniche; Jerman: Großpudel
  3. ^ a b Jawi: ڤودل ڤياواي; bahasa Inggeris: standard poodle
  4. ^ a b Jawi: ڤودل سدرهان; Perancis: caniche moyen; bahasa Inggeris: medium poodle
  5. ^ a b Jawi: ڤودل کچيل; Jerman: Kleinpudel
  6. ^ a b Jawi: ڤودل کرديل; Perancis: caniche nain; Jerman: Zwergpudel
  7. ^ a b Jawi: ڤودل کاتيق; bahasa Inggeris: miniature poodle
  8. ^ a b Jawi: ڤودل ماءينن; Perancis: caniche toy; Jerman: Toypudel; bahasa Inggeris: toy poodle
  1. ^ a b c Alderton, David (1987). The Dog: The Most Complete, Illustrated, Practical Guide to Dogs and Their World [Anjing: Panduan Amali Berilustrasi Paling Lengkap untuk Anjing dan Dunianya] (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom: New Burlington Books. m/s. 87–88. ISBN 9780948872136. OCLC 16631237.
  2. ^ a b c d e f g Alderton, David (2008). Encyclopedia of Dogs [Ensiklopedia Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Bath, United Kingdom: Parragon. m/s. 131, 354. ISBN 9781445408538. OCLC 650217109.
  3. ^ a b c d e f g h i j k Fogle, Bruce (2009). The Encyclopedia of the Dog [Ensiklopedia Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1 Amerika). New York, New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley Publishing. m/s. 68–69, 190, 282. ISBN 9780756660048. OCLC 697506545.
  4. ^ a b c Hancock, David (17 Julai 2013). Gundogs: Their Past, Their Performance and Their Prospects [Gundog: Masa Lalunya, Prestasinya, dan Prospeknya] (dalam bahasa Inggeris). Ramsbury, Marlborough, Wiltshire, United Kingdom: The Crowood Press. m/s. 33, 37–38. ISBN 9781847974921. OCLC 834977734.
  5. ^ a b c d e f g h i j k Morris, Desmond (2002). Dogs: The Ultimate Dictionary of Over 1,000 Dog Breeds [Anjing: Kamus Muktamad Lebih daripada 1,000 Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). North Pomfret, Vermont, Amerika Syarikat: Trafalgar Square Publishing. m/s. 295–297, 526–529. ISBN 9781570762192. OCLC 859060407.
  6. ^ a b c d e f g h "Standard-FCI N° 172 CANICHE" [Piawaian FCI No. 172 Pudel] (PDF) (dalam bahasa Perancis). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 23 Januari 2015. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 22 Mac 2024. Dicapai pada 22 Januari 2024.
  7. ^ a b c d e f g h "FCI-Standard Nr. 172 CANICHE (Pudel)" [Piawaian FCI No. 172 Pudel] (PDF) (dalam bahasa Jerman). Diterjemahkan oleh Goffin, Laurence. Disemak oleh Verband für das Deutsche Hundewesen. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 21 September 2016. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 22 Mac 2024. Dicapai pada 22 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  8. ^ a b c d e f g h "FCI-Standard N° 172 CANICHE (Poodle)" [Piawaian FCI No. 172 Pudel] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Nicholson, Ian. Disemak oleh Renée Sporre-Willes, Raymond Triquet, dan Claude Guintard. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 23 Januari 2015. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 23 Januari 2024. Dicapai pada 22 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  9. ^ a b c Fiorone, Fiorenzo (1973). The Encyclopedia of Dogs: The Canine Breeds [Ensiklopedia Anjing: Baka Anjing] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Thomas Y. Crowell Co. m/s. 377–381. ISBN 9780690000566. OCLC 624065.
  10. ^ a b c Pedersen, Niels C.; Liu, Hongwei; McLaughlin, Bryan; Sacks, Benjamin N. (18 April 2012). "Genetic characterization of healthy and sebaceous adenitis affected Standard Poodles from the United States and the United Kingdom" [Pencirian genetik bagi pudel piawai yang sihat dan yang terjejas akibat adenitis sebum dari Amerika Syarikat dan United Kingdom]. Tissue Antigens (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 80 (1): 46–57. doi:10.1111/j.1399-0039.2012.01876.x. ISSN 2059-2310. PMID 22512808. S2CID 13485854.
  11. ^ Flaim, Denise (15 Oktober 2019). "Madame Poodle: Hayes Blake Hoyt Helped Create the Modern Sculpted Show Dog" [Madame Poodle: Hayes Blake Hoyt Bantu Wujudkan Anjing Pertunjukan Arca Moden] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  12. ^ "AKC Registration Statistics Fact Sheet" [Lembaran Fakta Statistik Pendaftaran AKC] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 13 April 2011.
  13. ^ a b c Flaim, Denise. "The Poodle Paradox: History Behind a Haircut" [Paradoks Pudel: Sejarah di Sebalik Potongan Bulu]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  14. ^ "Registration figures worldwide – from top thirty to endangered breeds" [Angka pendaftaran sedunia – daripada tiga puluh teratas kepada baka terancam]. DogWellNet (dalam bahasa Inggeris). 14 April 2017. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  15. ^ Guidry, Virginia Parker (5 Mei 2010). Your Poodle's Life: Your Complete Guide to Raising Your Pet from Puppy to Companion [Kehidupan Pudel Anda: Panduan Lengkap Anda untuk Mengasuh Haiwan Peliharaan Anda daripada Anak Anjing hingga Teman] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). New York, New York, Amerika Syarikat: Crown Publishing Group. ISBN 9780307549983. OCLC 861508383.
  16. ^ Nicholas, Charlotte E.; Wegienka, Ganesa R.; Havstad, Suzanne L.; Zoratti, Edward M.; Ownby, Dennis R.; Johnson, Christine Cole (1 Julai 2011). "Dog Allergen Levels in Homes with Hypoallergenic Compared with Nonhypoallergenic Dogs" [Paras Alergen Anjing di Dalam Rumah dengan Anjing Hipoalergenik yang Dibandingkan dengan Anjing Tidak Hipoalergenik]. American Journal of Rhinology & Allergy (dalam bahasa Inggeris). Sage Publishing. 25 (4): 252–256. doi:10.2500/ajra.2011.25.3606. ISSN 1945-8932. PMC 3680143. PMID 21819763. S2CID 2607295.
  17. ^ Grady, Denise (5 Februari 1997). "Nonallergenic Dog? Not Really" [Anjing Tidak Alergenik? Tidak Juga]. The New York Times (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Januari 2009. Dicapai pada 7 Februari 2024. How hypoallergenic the dog is may vary with the individual dog and the individual person.
  18. ^ Bakalar, Nicholas (11 Julai 2011). "The Myth of the Allergy-Free Dog" [Mitos Anjing Bebas Alahan]. New York Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  19. ^ a b c d "AKC Breed Standard" [Piawaian Baka AKC]. Poodle Club of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  20. ^ a b "Poodle" [Pudel] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  21. ^ Zsolt (9 Julai 2015). "How to Cord a Poodle Coat" [Cara untuk Memintal Lapis Bulu Pudel]. Dog Grooming Tutorial (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  22. ^ "United Kennel Club: Standard Poodle Breed Standard" [United Kennel Club: Piawaian Baka Pudel Piawai] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 11 November 2006.
  23. ^ a b "Poodle Dog Breed Information" [Maklumat Baka Anjing Pudel]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  24. ^ "Breed Standards : Multi-Colored Standard Poodle | United Kennel Club (UKC)" [Piawaian Baka: Pudel Piawaian Berbilang Warna | United Kennel Club (UKC)]. United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  25. ^ "Multi-Colored Poodle History" [Sejarah Pudel Berbilang Warna]. United Poodle Association (dalam bahasa Inggeris). 29 Mac 2018. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  26. ^ "Parti Poodles: Full Breed Guide" [Pudel Berwarna-warni: Panduan Baka Lengkap] (dalam bahasa Inggeris). 4 Januari 2021. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  27. ^ a b c Ewing, Susan M. (4 Mei 2011). Poodles for Dummies (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Hoboken, New Jersey, Amerika Syarikat: Wiley. m/s. 28. ISBN 9781118068120. OCLC 781253161.
  28. ^ "Poodle Coat Colors" [Warna Bulu Pudel]. United Poodle Association (dalam bahasa Inggeris). 5 Februari 2018. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  29. ^ Coren, Stanley (5 Januari 2006). The Intelligence of Dogs: A Guide to the Thoughts, Emotions, and Inner Lives of Our Canine Companions [Kecerdasan Anjing: Panduan untuk Fikiran, Emosi, dan Kehidupan Dalaman Teman Anjing Kita] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Atria Publishing Group. ISBN 9780743280877. OCLC 61461866.
  30. ^ Nam, Yunbi; White, Michelle E.; Karlsson, Elinor K.; Creevy, Kate E.; Promislow, Daniel E. L.; McClelland, Robyn L. (17 Januari 2024). Englert, Christoph (penyunting). "Dog size and patterns of disease history across the canine age spectrum: Results from the Dog Aging Project" [Saiz anjing dan pola-pola sejarah penyakit merentasi spektrum usia anjing: Hasil keputusan daripada Dog Aging Project]. PLOS One (dalam bahasa Inggeris). PLOS. 19 (1): e0295840. Bibcode:2024PLoSO..1995840N. bioRxiv 10.1101/2022.05.03.490110. doi:10.1371/journal.pone.0295840. hdl:20.500.14038/53103. ISSN 1932-6203. PMC 10793924 Check |pmc= value (bantuan). PMID 38232117 Check |pmid= value (bantuan). S2CID 267029361 Check |s2cid= value (bantuan).
  31. ^ Inoue, Mai; Kwan, Nigel C. L.; Sugiura, Katsuaki (24 Mei 2018). "Estimating the life expectancy of companion dogs in Japan using pet cemetery data" [Menganggarkan jangka hayat anjing teman di Jepun dengan menggunakan data perkuburan haiwan peliharaan]. Journal of Veterinary Medical Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Sains Veterinar Jepun. 80 (7): 1153–1158. doi:10.1292/jvms.17-0384. ISSN 1347-7439. PMC 6068313. PMID 29798968. S2CID 44157193.
  32. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan). PMID 38302530 Check |pmid= value (bantuan). S2CID 267382263 Check |s2cid= value (bantuan).
  33. ^ Egenvall, Agneta; Bonnett, Brenda N.; Hedhammar, Åke; Olson, Pekka (30 September 2005). "Mortality in over 350,000 Insured Swedish Dogs from 1995–2000: II. Breed-Specific Age and Survival Patterns and Relative Risk for Causes of Death" [Mortaliti pada lebih daripada 350,000 ekor Anjing Insured Sweden dari 1995–2000: II. Pola Usia dan Kemandirian Spesifik Baka dan Risiko Relatif untuk Punca Kematian]. Acta Veterinaria Scandinavica (dalam bahasa Inggeris). BioMed Central. 46 (3): 121–136. doi:10.1186/1751-0147-46-121. ISSN 1751-0147. PMC 1624818. PMID 16261925. S2CID 15198478.
  34. ^ a b Pedersen, Niels C.; Brucker, Lynn; Tessier, Natalie Green; Liu, Hongwei; Penedo, Maria Cecilia T.; Hughes, Shayne; Oberbauer, Anita M.; Sacks, Benjamin N. (27 Ogos 2015). "The effect of genetic bottlenecks and inbreeding on the incidence of two major autoimmune diseases in standard poodles, sebaceous adenitis and Addison's disease" [Kesan kejejalan genetik dan pembiakbakaan dalam terhadap insiden dua penyakit autoimun besar pada pudel piawai, adenitis sebum dan penyakit Addison]. Canine Medicine and Genetics (dalam bahasa Inggeris). BioMed Central. 2 (1): 14. doi:10.1186/s40575-015-0026-5. ISSN 2662-9380. PMC 4579369. PMID 26401342. S2CID 9890690.
  35. ^ a b Hnilica, Keith A.; Patterson, Adam P., penyunting (19 September 2016). Small Animal Dermatology: A Color Atlas and Therapeutic Guide [Dermatologi Haiwan Kecil: Atlas Berwarna dan Panduan Terapi] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-4). St. Louis, Missouri, Amerika Syarikat: Saunders. doi:10.1016/C2014-0-01191-4. ISBN 9780323376518. OCLC 1052802486.
  36. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion: Small Animal Dermatology [Teman Klinikal Rujukan Veterinar Lima Minit Blackwell: Dermatologi Haiwan Kecil] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 148. ISBN 9780813815961. OCLC 645598149.
  37. ^ Carotenuto, Gaia; Malerba, Eleonora; Dolfini, Costanza; Brugnoli, Francesca; Giannuzzi, Pasquale; Semprini, Giovanni; Tosolini, Paolo; Fracassi, Federico (15 Februari 2019). "Cushing's syndrome—an epidemiological study based on a canine population of 21,281 dogs" [Sindrom Cushing—kajian epidemiologi berdasarkan populasi 21,281 ekor anjing]. Open Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). African Journals OnLine. 9 (1): 27–32. doi:10.4314/ovj.v9i1.5. ISSN 2218-6050. PMC 6500859. PMID 31086762. S2CID 86493500.
  38. ^ Oliver, James A. C.; Mellersh, Cathryn Suzanne (14 Disember 2020). "Genetics" [Genetik]. Dalam Cooper, Barbara; Mullineaux, Elizabeth; Turner, Lynn (penyunting). BSAVA Textbook of Veterinary Nursing [Buku Teks Kejururawatan Veterinar BSAVA] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-6). Gloucester, United Kingdom: British Small Animal Veterinary Association. m/s. 131. ISBN 9781910443392. OCLC 1197697572.
  39. ^ "Poodles ready to hunt" [Pudel bersedia untuk berburu] (dalam bahasa Inggeris). Denverpost.com. 19 Februari 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Disember 2014. Dicapai pada 7 Februari 2024.
  40. ^ Bauhaus, Jean (15 Julai 2021). "Most Popular Service Dog Breeds" [Baka Anjing Khidmat Paling Popular]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 7 Februari 2024.
  41. ^ Cawthorne, Nigel (17 April 2012). Canine Commandos: The Heroism, Devotion and Sacrifice of Dogs in War [Komando Anjing: Heroisme, Kesetiaan, dan Pengorbanan Anjing dalam Perang] (dalam bahasa Inggeris). Berkeley, California, Amerika Syarikat: Ulysses Press. m/s. 17. ISBN 9781612430553. OCLC 785706193.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  • Media berkenaan Poodle di Wikimedia Commons