Pergi ke kandungan

Cursinu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Cursinu
Seekor cursinu dalam pandangan sisi
Nama lainAnjing Corse
Negara asalPerancis
Trait
Berat hampir-hampir 25 kg (55 lb)
Bulu Tebal, pendek atau sederhana panjang
Warna Semua cahaya warna sawo matang dan hitam dengan brindle atau tanpa brindle. Tompok-tompok putih terbatas.
Anjing (Canis lupus familiaris)
Seekor cursinu muda

Cursinu atau anjing Corse[a] ialah satu baka anjing yang berasal dari Corse. Ia telah wujud di pulau itu sejak abad ke-16, tetapi mengalami kemerosotan semasa lewat abad ke-20; walau bagaimanapun, ia telah diselamatkan dan diiktiraf oleh Société Centrale Canine. Dengan penggunaan untuk pelbagai tujuan kerja, ia tidak mempunyai isu kesihatan spesifik.

Anjing Corse telah dikenali di Corse sejak abad ke-16.[1] Sehingga tahun 1950-an, baka ini digunakan sebagai anjing pemburu dan anjing ladang serba guna di pulau itu. Semasa separuh kedua abad ke-20, baka ini menderita akibat persaingan daripada baka-baka benua. Pada tahun 1989, l'Association de Sauvegarde du Chien Corse didirikan untuk melindungi baka ini.[2]

Baka ini telah diiktiraf oleh Société Centrale Canine, iaitu kelab kenel Perancis, sejak tahun 2003; ia ditempatkan dalam baka kumpulan spits dan primitif, sebagai baka primitif.[1][2]

Baka ini berukuran setinggi 46–58 sentimeter (18–23 in) pada paras kelasa dengan anjing jantan yang lebih besar sedikit daripada anjing betina. Lapis bulunya dapat memiliki jumbai, dengan warna biasa yang merupakan brindle, perang kekuning-kuningan, hitam dan sawo matang, atau perang. Kehadiran topeng melanisme diizinkan menurut piawaian baka. Tanda-tanda putih dapat berada pada dada atau tungkai. Kulit anjing ini melekat rapat dengan badan dan gelambir tidak muncul pada baka ini. Anjing Corse juga dapat mempunyai lapis bulu panjang dan gebu.

Anjing Corse adalah jinak, setia, dan sangat terikat dengan pemiliknya. Ia berhati-hati terhadap orang asing. Ia merupakan anjing cerdas, tenang, dan stabil yang mampu menyesuaikan dirinya terhadap banyak situasi. Ia tenang di rumah namun meledak dengan tenaga dan kelajuan apabila beraksi.[2] Pada umumnya, sehingga berusia 1 tahun, anjing Corse adalah sangat hiperaktif, tetapi walaupun dewasa ia tetap bertenaga. Ia sangat berdikari, jarang menyalak, dan suka bergaul. Ia baik dan lemah lembut dengan kanak-kanak.[3]

Ia merupakan baka serba guna yang telah digunakan sebagai anjing gembala biri-biri serta untuk menggembala lembu dan, dalam sesetengah kejadian, untuk laga anjing. Dalam perburuan, ia paling kerap digunakan dalam pemburuan babi hutan, tetapi telah digunakan untuk rubah dan kelinci.[2] Ia masih digunakan sebagai anjing gembala, anjing pengawal, dan untuk pendampingan. Ia mungkin memerlukan pelatihan lanjut berbanding dengan sesetengah baka lain, tetapi dapat menjadi teman menyenangkan kepada pemiliknya.[1]

Tiada isu kesihatan spesifik baka.[1]

Pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Baka ini mungkin memerlukan lebih banyak kesabaran dengan pelatihan kerana ia lahir dengan naluri perburuan semula jadi kuat yang membuatnya kadang-kadang terlupa tentang hal yang berlaku di sekelilingnya. Sebaik terdidik, ia patuh.[3]

Keadaan kehidupan

[sunting | sunting sumber]

Anjing Corse dapat menyesuaikan diri terhadap sebarang suhu asalkan suhunya tekal. Ia dapat tinggal di luar atau di dalam rumah. Ia pada umumnya hidup sehingga usia 10 atau 15 tahun dan dapat merosakkan perabot jika bosan, terutamanya sebagai anak anjing.[4]

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Ia mempunyai keimunan sangat kuat dan memerlukan sedikit penyelenggaraan. Ia tidak memerlukan jenis makanan spesifik, tetapi ia memerlukan banyak senaman.[4] Lapis bulunya patut diberus sekali-sekala walaupun jika tidak menggugurkan bulu. Sedikit keguguran bulu berlaku dua kali setahun.

  1. ^ Jawi: کورسينو; انجيڠ کورس; Perancis: chien corse; bahasa Inggeris: Corsican dog
  1. ^ a b c d "Le Cursinu" (dalam bahasa Perancis). Club de Cursinu. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Februari 2011. Dicapai pada 29 Mac 2024.
  2. ^ a b c d "Standard SCC (2003)" (dalam bahasa Perancis). Club du Cursinu. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Februari 2011. Dicapai pada 29 Mac 2024.
  3. ^ a b "Cursinu : caractère, santé, alimentation, prix et entretien". Woopets (dalam bahasa Perancis). Dicapai pada 29 Mac 2024.
  4. ^ a b "Cursinu: Character & Ownership - Dog Breed Pictures". dogbible (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 29 Mac 2024.