Pergi ke kandungan

Anjing pemburu Yunani

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Anjing pemburu kelinci Yunani)
Anjing pemburu Yunani
Anjing pemburu Yunani
Nama lainAnjing pemburu kelinci Yunani
Negara asalGreece
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing pemburu Yunani[a] atau anjing pemburu kelinci Yunani[b] ialah satu baka anjing yang hanya terdapat dengan warna hitam dan sawo matang, pada asalnya dibiakbakakan sebagai anjing pemburu bau untuk penjejakan dan pengejaran kelinci di Greece Selatan.

Penampilan

[sunting | sunting sumber]

Anjing pemburu Yunani ialah anjing pemburu bau dengan lapis bulu hitam dan sawo matang berbulu pendek. Ia merupakan anjing bersaiz sederhana yang berukuran seberat 17–20 kg (37–44 lb). Jantan dan betina patut mempunyai ketinggian 47–55 cm (19–22 in) dan 45–53 cm (18–21 in) pada paras kelasa masing-masing.[perlu rujukan]

  • Kepala: Tengkoraknya, yang agak rata, adalah sama panjang atau kurang sedikit berbanding dengan panjang muncung. Dahinya pada umumnya lebar.
  • Rahang: Anjing pemburu Yunani mempunyai rahang berkuasa. Giginya patut sama ada bergigitan gunting atau bergigitan sepit dan sejarak antara satu sama lain.[1]
  • Mata: Baka ini memiliki mata berwarna perang cerah yang bersaiz sederhana. Matanya tidak patut terlalu dalam atau menonjol.
  • Telinga: Telinga terletak tinggi-tinggi dan patut tergantung ke separuh paras tengah kepala.
  • Bulu: Anjing pemburu Yunani mempunyai lapis bulu pendek dan padat yang mempunyai tekstur sedikit keras. Lapis bulunya biasanya hanya berwarna hitam dan sawo matang, namun tompok putih kecil mungkin ada pada sesetengah individu.[2] Pemotongan atau pencabutan tidak diperlukan.
  • Ekor: Panjang ekornya tidak patut melebihi titik keting. Ekornya terletak tinggi-tinggi, tebal di dasar, dan menirus sedikit ke hujung.

Anjing pemburu Yunani mempunyai perangai bersemangat, yakin, dan ramah. Anjing ini merupakan pemburu mahir dan tidak takut, dan mempunyai deria bau yang tajam serta kekuatan dan stamina cemerlang. Paras aktivitinya tinggi dan ia memerlukan senaman harian dan kesempatan untuk memanfaatkan naluri perburuannya, contohnya melalui perburuan atau permainan kerja bau. Anjing pemburu Yunani juga setia kepada tuannya dan pada umumnya merupakan anjing peliharaan keluarga yang hebat, namun ia lebih baik dengan kanak-kanak lebih tua. Oleh sebab anjing pemburu Yunani pada asalnya dibiakbakakan untuk berburu dalam kawanan, ia tenang sesama anjing lain, namun mungkin bersyak wasangka dan curiga di sekitar orang asing.

Seperti baka anjing pemburu bau lain, anjing pemburu Yunani berdikari dan tekun pada masa tertentu. Anjing ini dapat memiliki jangka perthaitan pendek dan mudah terganggu. Maka, ia perlu dilatih dari usia muda. Pengukuhan positif dan ketekalan diperlukan apabila melatih anjing pemburu Yunani dan pengendalian kasar patut dielakkan.[3] Oleh sebab tujuan perburuan aslinya, anjing pemburu Yunani dapat kuat bersuara dan sangat lantang dan mungkin menikmati pengejaran haiwan kecil dan benda bergerak. Ia juga mungkin menunjukkan sikap pemusnah apabila bosan atau terbiar bersendirian buat tempoh masa yang panjang.

Anjing ini merupakan anjing pemburu jenis pekerja aktif. Ia mencabar untuk dilatih dan tidak disyorkan untuk pemilik anjing kurang aktif atau untuk kehidupan pangsapuri.

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Anjing pemburu Yunani ialah baka sihat tanpa kecacatan genetik yang dikenali, namun seperti anjing lain dengan telinga labuh, telinganya lebih terdedah kepada jangkitan dan perlu dicuci dengan kerap. Ia juga mengalami displasia pinggul. Jangka hayatnya adalah sekitar 11 tahun.

  1. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو يوناني; Yunani: ελληνικός ιχνηλάτης, rumi: ellinikós ichnilátis; bahasa Inggeris: Hellenic hound; Greek hound
  2. ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو کلينچي يوناني; bahasa Inggeris: Greek harehound
  1. ^ "United Kennel Club: Hellenic Hound" [United Kennel Club: Anjing Pemburu Yunani] (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 27 Disember 2023.[pautan mati kekal]
  2. ^ "PetWellbeing: Hellenic Hound" [PetWellbeing: Anjing Pemburu Yunani] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Mei 2010. Dicapai pada 27 Disember 2023.
  3. ^ "Dr. Doogle: Hellenikos Ichnilatis" [Dr. Doogle: Anjing Pemburu Yunani] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Jun 2020. Dicapai pada 27 Disember 2023.