Pergi ke kandungan

Pilihan raya umum Malaysia 1964

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

← 1959 25 April 1964 1969 →
← Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Tanah Melayu pertama

104 daripada 159 kerusi dalam Dewan Rakyat
53 kerusi diperlukan untuk majoriti
Terdaftar2,681,895
Pengundi hadir80.03%
  Parti pertama Parti kedua Parti ketiga
 
Pemimpin Tunku Abdul Rahman Tan Chee Khoon Burhanuddin al-Helmy
Parti Perikatan BS PAS
Pilihan raya
lepas
74 kerusi, 51.8% 8 kerusi, 12.9% 13 kerusi, 21.3%
Kerusi yang
dimenangi
89 2 9
Perubahan kerusi 15 6 4
Undian popular 1,204,340 330,898 301,187
Peratusan 58.5% 16.1% 14.6%
Peralihan undi 6.7% 3.2% 6.7%

  Parti keempat Parti kelima Parti keenam
 
Pemimpin Lim Chong Eu D. R. Seenivasagam Lee Kuan Yew
Parti DUP Parti Progresif Penduduk PAP
Pilihan raya
lepas
Baharu 4 kerusi, 6.3% Baharu
Kerusi yang
dimenangi
1 2 1
Perubahan kerusi 2
Undian popular 88,223 69,898 42,130
Peratusan 4.3% 3.4% 2.0%


Perdana Menteri sebelum pilihan raya

Tunku Abdul Rahman
Perikatan

Perdana Menteri dilantik

Tunku Abdul Rahman
Perikatan


Pilihan raya umum Malaysia 1964 merupakan pilihan raya umum yang pertama selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, serta pilihan raya umum yang kedua selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Ia telah diadakan pada hari Sabtu, 25 April 1964 itu 2 hari selepas Hari Raya Haji. Bagaimanapun, Sabah dan Sarawak tidak menyertai pilihan raya umum ini dan oleh itu, bilangan kerusi dalam Dewan Rakyat dikekalkan pada bilangan 159.

Parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya kedua ini ialah Perikatan, Sosialis Front, PAS, UDP, NEGARA, PPR, PAP.

Pilihan raya kali ini berjalan ketika negara Malaysia berhadapan ketegangan Konfrontasi daripada negara jiran terutama Indonesia. Konfrantasi dan cita-cita Sukarno yang hendak menjajah Malaysia telah dikemukakan sebagai soal terbesar yang perlu diputuskan dalam pilihan raya ini.

Proses pilihan raya

[sunting | sunting sumber]

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya ketika itu, Tuan Haji Mustapha Al-Bakri telah membuat pengumuman rasmi tarikh Pilihanraya Umum Kedua bahawa hari penamaan calon akan diadakan pada hari Sabtu, 21 Mac 1964, dan hari Mengundi pula ialah pada hari Sabtu, 25 April 1964. Pilihanraya kali ini diadakan serentak bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Semenanjung.[1]

Rukun pilihan raya dan amanat

[sunting | sunting sumber]

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menganjurkan sebuah sidang pada hari Sabtu, 4 April 1964 dengan semua pemimpin parti politik yang bertanding, Ini bertujuan untuk mengesahkan ‘Rukun Kempen Pilihan Raya". Antara kandungan rukun ini ialah[1]:

  1. Serangan peribadi mestilah dihindarkan
  2. Debat atas pentas depan orang ramai hendaklah dielakkan. Cabaran-cabaran tidak boleh dibuat untuknya. Parti-parti lawan hanya boleh menjawab pada pentasnya sendiri.
  3. Taktik membawa beramai-ramai penyokong dari luar kawasan pilihanraya hendaklah juga dihindarkan
  4. Jangan menggunakan kongsi-kongsi gelap untuk berkempen.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Jamalullail turut menyeru seluruh rakyat supaya memilih dengan bijak pada hari mengundi agar kerajaan yang berkuasa kelak dapat memberi kemakmuran yang lebih besar kepada dan negara. Baginda menyampaikan seruan tersebut dalam titah selepas sembahyang sunat Hari Raya Haji bertempat di halaman Istana Negara pada Khamis, 23 April 1964. Terdahulu daripada itu, Seri Paduka Baginda telah menyatakan rasa bangga dengan kemajuan-kemajuan yang telah dicapai oleh kerajaan sejak empat tahun sebelumnya.[1]

Hebahan keputusan pilihan raya

[sunting | sunting sumber]

Radio Malaysia di Kuala Lumpur dan Singapura bertugas untuk menyiarkan keputusan-keputusan pilihanraya mulai jam 12 tengah malam, 25 April 1964. Siaran tersebut diteruskan sehingga pukul tiga atau empat pagi sehingga sesebuah parti mendapat suara majoriti. Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Radio, Encik Dol Ramli. Keputusan Pilihanraya ini akan disiarkan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil melalui saluran siaran masing-masing. Siaran ini dipancarkan melalui stesen radio di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bharu, Kuala Lumpur dan Singapura.

Hari pengundian

[sunting | sunting sumber]

Rakyat telah keluar membuang undi mulai pukul 8 pagi hingga pukul 8 malam. Seramai 276 orang calon bertanding merebut 102 kerusi Parlimen, manakala sejumlah 765 orang calon lagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri.

Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra bersama isteri Puan Sharifah Rodziah mengundi di sekolah Cina Kampung Perak, Alor Setar, Kedah. Tunku memakai baju hawai, iaitu baju yang sama dipakai oleh Tunku sewaktu mengundi dalam pilihanraya umum tahun 1959. Kemeja hawai yang digelar beliau ‘kemeja bertuah' itu menunjukkan gambar kapal layar iaitu logo Perikatan.[1]

Keputusan

[sunting | sunting sumber]

Dalam pilihan raya umum ini, Parti Perikatan memenangi 89 kerusi dalam Dewan Rakyat. Ini merupakan satu majoriti sebanyak 85.6% dalam Dewan Rakyat, walaupun parti campuran ini hanya memperoleh 58.5% daripada jumlah undi. Bagaimanapun, prestasi ini merupakan satu perbaikan yang amat besar, iaitu satu kenaikan sebanyak 20.3% dalam bilangan kerusi berbanding pilihan raya umum yang dahulu. Pencapaian 85.6% ini juga adalah jauh melebihi majoriti dua pertiga yang diperlukan oleh Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk kerajaan.

Seramai enam orang calon wanita telah bertanding merebut kerusi Parlimen. Daripada jumlah tersebut, hanya dua orang calon sahaja yang berjaya iaitu Datin Hajah Fatimah Hashim dan Datin Fatimah Haji A. Majid, kedua-duanya merupakan calon Parti Perikatan. Datin Hajah Fatimah Hashim bertanding yang bertanding di kawasan Jitra-Padang Terap mendapat 15,835 undi mengalahkan Lebai Isa Haji Mohd Mohd dari PAS dengan kelebihan sebanyak 9,730 undi. Manakala Datin Fatimah Haji A. Majid yang bertanding bagi kawasan Johor Bahru Timur memperolehi 12,606 undi mengalahkan lawannya Puan Tan Ag Ngoh dari Parti Sosialis Front yang mendapat 5,343 undi dan Encik Mohd Noor bin Jetty dari parti PETIR yang hanya mendapat undi sebanyak 733.

Walaupun parti-parti pembangkang pada keseluruhannya memperoleh 41.5% daripada jumlah undi, mereka hanya memenangi 15 kerusi yang tinggal, berbanding 30 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya umum yang dahulu. Dengan kata yang lain, kekuatan mereka dalam Dewan Rakyat dikurangkan menjadi hanya separuh.

Jadual keputusan

[sunting | sunting sumber]

Ringkasan Keputusan Pilihan Raya 1964: Parlimen

Parti % undi Kerusi
Parti Perikatan (Alliance): 58.37 89
   Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) 38.14 59
   Persatuan Cina Malaysia (MCA) 18.68  27
   Kongres India Malaysia (MIC)  1.55   3
Parti Tindakan Rakyat (PAP/PETIR)  2.06   1
Parti Progresif Penduduk (PPP)  3.65   2
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 14.45  9
Barisan Sosialis 16.15   2
Parti Negara 0.36   0
UDP 4.30   1
Calon bebas 0.66   0
Jumlah besar 100.0 104
Sumber: 5 Men & 5 Ideas oleh Hng Hung Yong

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  • Arah Aliran Malaysia: Penilaian Pilihan Raya (PDF) – satu himpunan kerta kertas 62-halaman daripada Institut Penyelidikan Asia Tenggara.


Didahului oleh:
1959
Pilihan Raya Umum Malaysia Diikuti oleh:
1969