Pergi ke kandungan

Perjanjian Pangkor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Perang Larut)

Perjanjian Pangkor merupakan satu perjanjian yang ditandatangani pada 20 Januari 1874 antara Gabenor Negeri-Negeri Selat Andrew Clarke dari pihak Inggeris dan Raja Muda Abdullah yang berkuasa di Hilir Perak bersama pembesar-pembesar yang menyokong baginda iaitu Bendahara, Temenggung, Orang Kaya Menteri, Shahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato' Sagor. Perjanjian ini memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak, satu kesilapan yang telah dilakukan oleh Raja Abdullah dan membuka kepada campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan negeri Melayu. Perjanjian ini telah ditandatangani di atas kapal HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding, iaitu di kawasan perairan di antara Lumut dan Pulau Pangkor.

Dengan persetujuan Sultan Abdullah juga, Gabenor Sir Andrew Clarke berani bertindak menjalan dan menurunkan Sultan Ismail yang berkuasa di Hulu Perak dan bersemayam di Tanjong Belanja, Parit, daripada pangkat sultan tetapi membenarkan Sultan Ismail memakai gelaran "Sultan Muda" dengan memberi pencen 1,000 ringgit tiap-tiap bulan. Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut.

Sebab - sebab

[sunting | sunting sumber]
Raja Muda Abdullah ibni Sultan Jaafar, Sultan Perak ke 26 dari 1874 - 1876

Perak merupakan pengeluar bijih timah utama yang mendahului United Kingdom pada abad ke-19. Sementara Inggeris, yang pada masa itu sudah mendapat Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, menganggap Perak sebagai sebuah negeri yang amat penting. Tetapi keadaan yang tidak stabil seperti Perang Larut dan pergaduhan antara kongsi gelap Cina mengganggu perniagaan bijih timah ketika itu.

Perjanjian ini berputik daripada kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Raja Abdullah, sebagai Raja Muda, sepatutnya dilantik sebagai sultan baru akan tetapi disebabkan baginda tidak menghadiri upacara pengebumian, Raja Bendahara Raja Ismail telah dilantik. Raja Bendahara Ismail diangkat dan ditabalkan kerana mengikut istiadat pertabalan Raja-raja Melayu, baginda ialah sultan yang sah oleh kerana baginda memiliki alat-alat kebesaran diraja. Baginda berkuasa dan mempunyai pengikut yang ramai di Hulu Perak.

Perasaan tidak puas hati mendorong Raja Abdullah meminta bantuan kepada Inggeris. Pada masa yang sama, berlaku permusuhan dua kongsi gelap Cina, Ghee Hin yang dipimpin oleh Chin Ah Yam dan Hai San yang dipimpin oleh Chung Keng Quee untuk merebut lombong bijih timah.

Raja Abdullah meminta pertolongan Inggeris untuk menyelesaikan dua masalah tersebut. Menurut Lucy Bird (1831-1904) dalam bukunya "The Golden Chersonese and The Way Thither" (diterbitkan pada 1892 oleh G.P Putnam dan Anak-anak), Raja Abdullah meminta pertolongan rakannya di Singapura, Tan Kim Ching. Tan bersama seorang pedagang Inggeris di Singapura merangka surat kepada Gabenor Sir Andrew Clarke yang ditandatangani oleh Abdullah. Dalam surat tersebut, Abdullah menyatakan hasrat untuk meletakkan Perak di bawah naungan Inggeris. Pada 26 September 1872, Chung Keng Quee menghantar petisyen yang ditandatanganinya serta 44 orang lagi ketua orang Cina, meminta campur tangan Inggeris selepas diserang 12,000 orang Chung San. Pihak Inggeris melihat perkara ini sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia Tenggara dan menguasai perdagangan bijih timah. Hasilnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874.

Perjumpaan mesyuarat Raja Muda Abdullah, Sir Andrew Clarke dan beberapa Orang Besar Perak tanpa kehadiran Sultan Ismail dan Raja Yusuf di Pulau Pangkor, pada 20 Januari 1874 telah menghasilkan Perjanjian Pangkor dan syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

Raja Muda Abdullah diangkat menjadi Sultan Perak, Bendahara Ismail bekas Sultan itu dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda; Sultan Perak hendaklah menyediakan tempat Residen itu, nasihat Residen British hendaklah diikuti kecuali pada perkara-perkara yang mengenai agama dan adat orang Melayu; fasal menjaga dan memungut segala cukai dan hasil negeri, demikian pula aturan pemerintahan Am hendaklah ditetapkan dengan nasihat Residen British.

Syarat penuh ialah:[1]

  1. Raja Muda Abdullah diiktiraf sebagai Sultan Perak.
  2. Raja Bendahara Ismail, yang sekarang ini menjadi Pemangku Sultan, dibenar mengekalkan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen dan sebuah wilayah kecil diserahkan hak kepadanya.
  3. Segala perlantikan pegawai besar lain yang dibuat pada masa Raja Bendahara Ismail menerima alat kebesaran diraja hendaklah disahkan.
  4. Kuasa yang diberikan kepada Orang Kaya Menteri ke atas Larut oleh Al-Marhum Sultan hendaklah disahkan.
  5. Semua hasil negeri hendaklah dikutip dan semua perlantikan hendaklah dibuat atas nama Sultan.
  6. Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang pegawai British yang dinamakan Residen. Pegawai ini akan ditauliahkan ke istana Sultan, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.
  7. Seorang Penolong Residen, iaitu seorang Pegawai British yang bertindak di bawah Residen Perak, dengan kuasa yang serupa dan tertakluk hanya kepada Residen tersebut hendaklah ditempatkan di istana Gabenor Larut.
  8. Pembiayaan untuk Residen-Residen ini dan Perjawatan mereka hendaklah ditentukan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan menjadi tanggungjawab pertama daripada hasil Negeri Perak.
  9. Peruntukan diraja yang mengawal selia pendapatan yang akan diterima oleh Sultan, Bendahara, Menteri, dan Pegawai lain hendaklah menjadi tanggungan seterusnya daripada hasil tersebut.
  10. Pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am negeri dikawal selia di bawah nasihat Residen-residen ini.
  11. Persetiaan di mana Pulau Dinding dan pulau-pulau Pangkor telah diserahkan kepada Great Britain telah tersalah faham, dan dengan yang demikian, maka perlulah diselaraskan semula supaya dapat dikuatkuasakan tujuan sebenar para penggubal Persetiaan itu, dan dengan ini maka diisytiharkan bahawa sempadan wilayah yang diserahkan itu hendaklah diperbetulkan seperti berikut: Dari Bukit Segari, seperti yang tertera dalam Lembaran Carta No. 1 Selat Melaka, yang salinannya dilampirkan, dengan bertanda A, merentas lurus hingga kelaut, kemudiannya di sepanjang pantai laut ke selatan, ke Pulau Katta di sebelah Barat, dan dari Pulau Katta merentang ketimur laut kira-kira sepanjang lima batu, dan kemudiannya ke utara, iaitu ke Bukit Segari.
  12. Bahawa legih selatan Sungai Krian, iaitu bahagian kawasan yang salirannya masuk ke sungai itu dari selatan diisytiharkan sebagai Wilayah British, sebagai membetulkan Sempadan Province Wellesley (Seberang Perai). Sempadan itu hendaklah ditandakan oleh Pesuruhjaya, seorang yang dinamakan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat, dan seorang lagi dinamakan oleh Sultan Perak.
  13. Bahawa apabila keadaan kacau-bilau sekarang ini sudah terhenti di Negeri Perak dan keamanan dan ketenteraman telah kembali pulih dalam kalangan puak-puak yang berbalah di Negeri itu, maka langkah-langkah segara di bawah kawalan dan seliaan seorang atau lebih daripada seorang Pegawai British hendaklah dilaksanakan bagi memulihkan sejauh mana yang boleh dilakukan kerja-kerja perlombongan dan pemilikan alat jentera, dan lain-lain. seperti keadaan sebelum berlaku kacau-bilau, serta bagi menguruskan pembayaran pampasan kerana kerosakan, dan keputusan pegawai atau pegawai-pegawai itu dalam hal sedemikian adalah muktamad.
  14. Menteri Larut berjanji mengaku sebagai hutangnya kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat untuk segala caj dan perbelanjaan yang ditanggung atas penyiasatan ini, dan juga atas caj dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Tanah Jajahan Negeri-Negeri Selat dan Great Britain dalam usaha mereka bagi mewujudkan ketenteraan di Negeri Perak dan keselamatan perdagangan.

Raja Ismail tidak mengiktiraf perjanjian tersebut. Akan tetapi, Raja Abdullah telah diiktiraf Inggeris sebagai sultan dan Sir James W.W. Birch menjadi Residen Inggeris yang pertama di Perak. Berikutan dengan perjanjian ini, Inggeris terlibat secara langsung dalam urusan pentadbiran negeri Melayu.

Campur tangan Residen Inggeris telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang Melayu, khasnya golongan istana yang berasa kuasa mereka telah hilang. Kesannya, orang Melayu Perak mula bertindak. Mereka telah berpakat membunuh Birch. Pembunuhan tersebut dilakukan pada tahun 1875 di Pasir Salak. Kejadian ini mengakibatnya beberapa siri peperangan antara Melayu Perak dan Inggeris hingga tahun 1876.

Banyak pihak yang semuanya orang Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh. Antaranya Dato Maharaja Lela, Dato Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan lain-lain. Sultan Abdullah pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles.

Dengan kejayaan membantutkan penentangan Melayu, Inggeris berjaya mengukuhkan kedudukannya di Perak dan kemudiannya membuka lebih banyak lombong bijih timah di Perak dan ladang-ladang getah. Perak bersama-sama Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang kemudiannya dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia (1791-1965), Institut Terjemahan Negara, Kuala Lumpur, 2008. (Paparan ini merupakan terjemahan isi kandung Perjanjian Pangkor ke Bahasa Malaysia moden oleh Institut Terjemahan Negara dan bukannya transkripsi rumi daripada tulisan Jawi yang asal.)