Pergi ke kandungan

Chih Tu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tanah Merah ini sebenarnya ialah serpihan daripada Funan. Pada asalnya, Negeri Tanah Merah ini merupakan sebuah Negeri Persekutuan, dikenali sebagai Kalathana yang membawa maksud Tanah Raksasa.

Tanah Raksasa

[sunting | sunting sumber]

Persekutuan ini mengandungi empat negeri iaitu:

Negeri-negeri dalam Kalathana ini telah bersetuju melantik Bhadreswararaja, Raja Kalathana sebagai pemimpin persekutuan ini pada 418 M. Pada waktu itu, Funan dinaungi oleh Empayar Campa, justeru kewujudan persekutuan Kalathana ini tidak direstui oleh Maharaja Campa sendiri, natijahnya pada 427 M, Maharaja Campa telah menghantar bala tentera melalui Langkasuka untuk menghukum Raja Kalathana tersebut. Serangan tersebut dapat dipatahkan dan perajurit Kalathana telah melakukan serangan balas. Serangan tersebut telah membuahkan hasil yang gemilang dengan merebut kawasan dari Langkasuka hingga ke Tambralingga seterusnya menguasai seluruh Segenting Kra.

Pada masa yang sama, Campa turut terlibat dalam siri peperangan dengan China hingga Maharaja Campa mengabaikan keadaan empayarnya yang sedang berpecah belah di bahagian selatan dengan menyerahkan urusan tersebut kepada Funan. Kemenangan Kalathana terhadap angkatan Campa telah membolehkan kerajaan mereka merdeka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kerajaan asing.

Raja Funan, Sresthawarman yang tidak bertangguh terhadap perlakuan Kalathana yang tidak diiktiraf itu, telah membuat persiapan untuk merebut kembali kawasan Segenting Kra dan Semenanjung. Persiapan ini telah diketahui oleh Bhadreswararaja dan baginda dengan segera membuat hubungan diplomatik dengan Maharaja China pada tahun 430 M untuk melindungi Kalathana daripada diserang oleh Funan. Maharaja China telah menjamin keselamatan Kalathana dengan menghantar surat kepada Funan agar hasrat serangan itu dibatalkan. Negara Kalathana dalam bentuk persekutuan empat negeri yang dicantumkan dengan wilayah Segenting Kra (dari Langkasuka hingga ke Tambralingga) telah disebut sebagai Ho-lo-tan, K’ou-lo-tan atau K’ou-lo-ch’ieh dalam rekod China. Ahli sejarah China, Shenyao (414-512) dalam bukunya Sung Shu (Sejarah Awal Sung) ada menyebut tentang satu utusan dari negeri "Ho-Lo-Tan" yang dihantar oleh Raja "Shih-li-pi-cho-yeh" ("Sriwijaya") pada tahun 434 M.

Lahirnya Empayar Tanah Merah

[sunting | sunting sumber]

Pada awal abad ke-6 Masihi, Kalathana telah dikuasai kembali oleh Funan yang berpusat di Campa. Pada tahun 522 M, kerajaan Funan telah runtuh akibat diserang oleh suku Khmer dari bahagian tengah Sungai Mekong.

Kalinggawarman, Raja Kalathana telah menyerang Funan dan berjaya mengusir suku Khmer yang telah menawan kota Campa pada 556 M, seterusnya membina kembali empayar Funan yang runtuh dan melaksanakan penaklukan kembali wilayah kekuasaan Funan. Pada 561 M pula, Kalinggawarman telah mengisytiharkan diri baginda sebagai Maharaja Funan dan melantik adinda baginda Raja Gautama menjadi Raja Kalathana seterusnya berfungsi sebagai gabenor tertinggi bagi seluruh Segenting Kra dan Semenanjung. Namun pada 566 M, Raja Gautama telah membelot kakanda baginda dengan mengisytiharkan kemerdekaan Kalathana daripada Funan dan telah memindahkan ibu empayarnya dari kota Yawakotti, terletak di Hilir Kelantan ke arah Hulu Kelantan yang dipercayai kawasan Nenggiri sekarang. Kawasan baru ini amat strategik dari aspek ketenteraan dan perlindungan. Perpindahan ibu kota ini sebenarnya dilakukan untuk mengelak serangan daripada Funan, selain itu kawasan Hulu Kelantan juga kaya dengan lombong-lombong emas.

Raja Gautama telah menukar nama Kalathana kepada nama baharu iaitu Tanah Merah sesuai dengan lokasi ibu empayarnya yang terletak di kawasan tanah rata berwarna merah batu kawi. Baginda juga menamakan ibu empayar Tanah Merah sebagai Kota Singa dan dirujuk oleh sarjana China sebagai Seng-Chih atau Shih-tzu, manakala nama Tanah Merah dirujuk pula dengan nama Chih Tu oleh China dan Raktamrittika oleh India. Negeri ini hanya mencakupi Kelantan pada hari ini, Besut di selatan dan Narathiwat di utara, memandangkan negeri-negeri lain dalam Segenting Kra dan Semenanjung masih taat kepada Funan. Kalinggawarman, Maharaja Funan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Raja Gautama, seolah-olah merestui tindakan adinda baginda membebaskan Kalathana dan menubuhkan Tanah Merah. Sebaliknya baginda telah melantik adinda baginda yang juga Raja Thanathana menggantikan Raja Gautama sebagai gabenor Funan untuk wilayah Segenting Kra dan Semenanjung.

Bukti sejarah

[sunting | sunting sumber]

Batu Bersurat Cherok Tok Kun atau Batu Bersurat Budhagupta ditemui di Province Wellesley (Seberang Perai) oleh Col. Low dalam abad ke-19. Prasasti ini berukir dengan satu stupa dan satu chattravali di atasnya. Manakala tulisan berada pada kiri dan kanannya. Tulisan ini yang ditulis dalam huruf Pallava dari abad ke-5 (400-500 M) menyatakan kejayaan dalam suatu pelayaran oleh seorang nakhoda kapal bernama Budhagupta, seorang penduduk Negeri Tanah Merah. Berdasarkan sejarah yang diterangkan dalam rencana ini, batu bersurat ini ditulis tidak lebih awal daripada tahun 566 M.

Pemerintah

[sunting | sunting sumber]
  1. Raja Gautama 566-591
  2. Raja Sri Jaya 591-624
  3. Raja Nayaka 624-667
  4. Sri Jayanaga 667

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  • Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting oleh Abdullah Nakula, 1981