Peristiwa Bukit Kepong
Peristiwa Bukit Kepong | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Sebahagian daripada Sejarah Malaysia dan Darurat Tanah Melayu | |||||||
| |||||||
Pihak yang terlibat | |||||||
Parti Komunis Malaya | |||||||
Komandan dan pemimpin | |||||||
Fail:Flag of the Royal Malaysian Police.svg Sarjan Jamil Mohd Shah (Ketua Balai Polis Bukit Kepong) Ali Mustapha (Ketua kampung Bukit Kepong) |
Mat Indera ☠ Lek Tuan | ||||||
Kekuatan | |||||||
25 orang anggota polis | 180 orang pengganas komunis | ||||||
Kerugian dan korban | |||||||
14 anggota polis terbunuh | 40 terbunuh | ||||||
Orang awam
4 ahli keluarga anggota polis terbunuh |
Sebahagian daripada siri tentang |
---|
Sejarah Malaysia |
Portal Malaysia |
Peristiwa Balai Polis Bukit Kepong ialah kejadian serangan komunis yang berlaku semasa keadaan darurat di Persekutuan Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. Dalam kejadian tersebut, Balai Polis Bukit Kepong telah diserang oleh segerombolan 180 orang komunis bermula sekitar jam 5.00 pagi (Waktu Malaysia Barat, jika sekarang 5.30 pagi - waktu yang telah diselaraskan bersama-sama Semenanjung, Sabah dan Sarawak sekarang) pada 23 Februari 1950.
Dalam kejadian tersebut, sekitar 25 orang anggota polis berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur. Dua orang isteri anggota polis turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru.
Dalam kejadian ini, 19 orang anggota polis dan sejumlah 40 tentera komunis telah terkorban.
Permulaan
Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (1948-1963). Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak di tebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor, Malaysia.[1]
Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam pertumpahan darah di mana penyerang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepungan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal balai polis tersebut dalam tempoh yang singkat. Ini disebabkan beberapa faktor yang menyebelahi mereka:
- Kelebihan senjata dan jumlah keanggotaan;
- Keadaan balai polis yang terpencil
Balai Polis Bukit Kepong terletak di selekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai oleh Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhidmat di Palestin. Ketika serangan ke atas balai polis tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih oleh Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara tersebut diketahui oleh penyerang komunis.
Selain itu, terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabel polis khas dan empat polis tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.
Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.
Serangan Komunis
Menurut saksi, terdapat sekitar 180 orang pengganas komunis daripada Kompeni Bebas ke-4 yang menyerang dan menurut kandungan buku "Memoir Abdullah C.D.", serangan tersebut diketuai oleh Muhammad Indera, seorang Komunis Melayu yang memimpin 2 platun komunis Melayu.[2][3] Hal ini juga disahkan oleh Chin Peng semasa wawancara oleh penulis buku Dialogues with Chin Peng: new light on the Malayan Communist Party By C. C. Chin, Karl Hack.[4] Menurut rancangan asal, Muhammad Indera dimaklumkan bahawa serangan itu hanya sebagai amaran sahaja,[perlu rujukan] bagaimanapun serangan yang turut disertai Komisar Goh Peng Tun itu bertukar menjadi tragedi buruk. Pihak komunis mengepung Balai Polis dengan separuh di bahagian hadapan, bakinya mengelilingi balai polis tersebut. Pertempuran bermula sekitar 4.15 pagi. Apabila Mata-Mata Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang pengganas komunis yang sedang memotong kawat berduri balai tersebut. Pihak komunis kemudiannya menyerang dari segenap sudut, terutamanya dari bahagian hadapan. Mereka berharap serangan ini mengejutkan pihak polis tetapi kini berhadapan dengan tentangan hebat anggota-anggota polis tersebut, terutamanya daripada dua kedudukan Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik Kawalan. Sungguhpun dengan kekuatan anggota yang sedikit, pihak polis yang diketuai oleh Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah, walaupun berkali-kali diseru oleh komunis agar mereka menyerah. Satu persatu anggota gugur apabila pertempuran berterusan dan dua orang isteri polis yang bertahan turut serta berjuang apabila mendapati suami mereka terkorban semasa pertempuran.[5]
Sekitar pukul 5.00 pagi, pasukan Polis Bantuan berserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan shotgun digerakkan dari Kampong Jawa di bawah pimpinan Penghulu Ali bin Mustaffa, dan bergerak untuk memberi bantuan. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran di kawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Bren Gun turut dimusnahkan komunis.
Sekitar pukul 7.00 pagi, pihak komunis menawan seorang isteri polis Mariam Ibrahim, isteri kepada Mata-Mata Mohamad Jaafar. Dikhabarkan, ketua kumpulan komunis, Mat Indera memaksa Mariam merayu agar pihak polis menyerah tetapi tidak diendahkan oleh Jamil sendiri. Pada masa ini Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditawan dan dipaksa menyeru pihak polis menyerah. Mereka yang bertahan enggan berbuat demikian dan terus berjuang habis-habisan. Apabila mereka enggan menyerah, Mariam dicederakan dan Fatimah dibunuh. Suami Fatimah, Mata-Mata Abu Bakar Daud yang bertugas sebagai pemandu bot di sungai Muar, turut berjuang menentang pihak komunis sehingga cedera setelah ditembak di dada dan tangan, ketika mempertahankan botnya.
Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis.[6] Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin. Pada ketika itu hanya tiga orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu. Ketika ini penduduk kampung Durian Chondong di sebelah barat menghantar bot ke Lenga untuk memberitahu pihak berkuasa mengenai serangan ini.
Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur ke dalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Antaranya termasuk Hassan bin Abu Bakar anak kepada Mata-Mata Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup kedalam api.
14 anggota polis termasuk Sarjan Jamil, empat pengawal kampung, tiga polis bantuan, isteri Abu Bakar Daud (suaminya adalah seorang polis yang terselamat) dan tiga anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Jumlah kematian adalah 25 orang. Mereka yang terselamat pertempuran maut itu adalah 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka.
Bantuan dari perkampungan berdekatan
Semasa serangan tersebut, bantuan dihantar dari Kampung Tui semasa pertempuran bergema ke beberapa kampung berdekatan. Sekumpulan penduduk yang diketuai oleh Penghulu Mukim, Ali Mustafa dari Kampung Tui diiringi oleh 13 anggota AP/HG (Polis Bantuan - Auxiliary Police/Pengawal Kampung - Home Guard). Mereka diserang hendap oleh komunis dalam perjalanan sekitar setengah kilometer dari balai polis Bukit Kepong. Keupayaan senjata mereka amat terhad berbanding pengganas komunis yang menggunakan senjata automatik dan separa automatik berbanding raifal, shotgun dan revolver yang dibekalkan kepada penduduk kampung. Beberapa pengawal kampung tercedera dan terbunuh. Walaupun tersekat, kehadiran mereka mengurangkan tekanan kepada pasukan bertahan di Bukit Kepung dan memaksa pengunduran umum komunis.
Disebabkan keadaan tidak seimbang, Penghulu Ali Mustafa mengarah anggotanya berundur sementara yang lain diarah mempertahankan kawasan sekeliling bandar Bukit Kepong. Pihak komunis akhirnya berundur selepas membakar pejabat kampung dan merompak beberapa kedai.
Pada masa yang sama, sekumpulan pegawal kampung lain dari Kampung Durian Chondong menggunakan sampan berkayuh kearah Bukit Kepong bagi memberi bantuan. Dalam perjalanan, mereka turut diserang hendap oleh komunis. Hanya separuh daripada 7 penduduk dalam kumpulan tersebut terselamat untuk terus ke Lenga. Mereka sampai kesana pada jam 10.00 pagi dan ketika itu berita mengenai serangan keatas balai polis Bukit Kepong disampaikan.
Selanjutnya
Apabila pengawal kampung memasuki pekan Bukit Kepong, mereka dapat melihat kemusnahan akibat serangan kejam tersebut. Penghulu Ali Mustafa mengambil alih pentadbiran pos luar tersebut sehingga diganti oleh pasukan polis dari Muar dan Lenga. Pertempuran Bukit Kepong dianggap sebagai kekalahan tragik yang bagaimanapun mengukuhkan lagi semangat kerajaan dan penduduk untuk memerangi pengganas komunis. Sepasukan kecil berjuang menentang pasukan yang jauh lebih besar meningkatkan semangat dan moral dalam perjuangan menentang komunis. Terdapat pendapat yang menyamai peristiwa Bukit Kepong dengan Alamo, di mana anggota polis Bukit Kepong sama seperti penduduk Texas berhadapan dengan cabaran yang hebat daripada tentera Mexico dan berjuang sehingga ketitisan darah terakhir.[7]
Mereka yang terselamat
- Anggota Polis
- Mata-Mata 10533 Othman bin Yusoff (meninggal);
- Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud (meninggal);
- Mata-Mata Tambahan 3472 Ahmad bin Khalid (meninggal);
- Mata-Mata 7645 Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)
- Ahli keluarga anggota
- Mariam binti Ibrahim - isteri Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
- Zainun binti Muhamad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
- Abu Samah bin Muhamad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
- Zaleha binti Muhamad- anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
- Jamilah binti Abu Bakar - anak perempuan Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
- Hussain bin Abu Bakar- anak lelaki Mata-Mata 37 Abu Bakar bin Daud
- Fatimah binti Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Mata-Mata Hassan Osman
- Pon binti Khalid - isteri Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
- Fatimah binti Tuani - isteri Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
- Edmund Ross Williams Hunt - orang asli bertugas sebagai pemandu arah
Mereka yang gugur dalam pertempuran
- Anggota Polis
- Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong)
- Koperal 7068 Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong)
- Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar
- Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman
- Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
- Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan
- Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
- Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
- Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh
- Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
- Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
- Mata-Mata Marin 181 Basiron bin Adam
- Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim
- Mata-Mata Tambahan 3795 Jaafar bin Arshad
- Polis Bantuan / Auxiliary Police
- AP 2130 Samad bin Yatim
- AP 1912 Mahmud bin Sa'at
- AP 1925 Ali bin Akob
- AP 2127 Othman Yahya
- Keluarga Anggota
- Fatimah binti Yaaba - isteri Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
- Hassan bin Abu Bakar - anak Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
- Saadiah - isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
- Simah binti Abu - anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
- Arafah binti Yusoff - isteri Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
- Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis
- AP 2098 Redzuan bin Alias
- Embong bin Lazim
- Mendiang Koh Ah Cheng
Kontroversi
Kenyataan Semasa mengenai Peristiwa Bukit Kepong
Pada 21 Ogos 2011 semasa satu ceramah di Gelugor, Pulau Pinang, Mohamad Sabu mengeluarkan satu kenyataan kontroversi dengan mengatakan kononnya Muhammad Indera dan 180 anggota tentera pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Peristiwa Bukit Kepong 1950 yang selayaknya digelar "wira negara" dan bukannya anggota polis yang berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan balai polis Bukit Kepong, dengan mendakwa kononnya kesemua anggota polis semasa penyembelihan tersebut sebagai "pegawai British" manakala askar PKM pula dianggap "wira negara sebenar" memandangkan mereka "menentang British".[8] Ceramah tersebut, yang videonya tersebar luas di laman YouTube, telah mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh Malaysia, memandangkan kenyataan tersebut dianggap sabagai satu penghinaan terhadap ahli keluarga mangsa yang terkorban,[9] di samping para pejuang kemerdekaan lain yang tiada kaitan dengan PKM seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn Jaafar.[10]
Walau bagaimanapun, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menafikan segala tuduhan tersebut serta mempertahankan kenyataan dan dakwaan Mohamad Sabu atas alasan sama.[11]
Lihat juga
- Bukit Kepong (filem) (1981)
- Bukit Kepong
Rujukan
- ^ Tan, CP. "Bukit Kepong: The Malayan Alamo". Armorama (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-07. Dicapai pada 5 Mei 2010.
- ^ Memoir Abdullah C.D., Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10, muka 116 -117, terbitan SIRD,2007.
- ^ Memoir Abdullah CD Sangkal Kenyataan Adik Mat Indera.
- ^ Dialogues with Chin Peng: new light on the Malayan Communist Party By C. C. Chin, Karl Hack.
- ^ Universiti Kebangsaan Malaysia - Peristiwa Bukit Kepong Diarkibkan 2012-01-27 di Wayback Machine. Dicapai pada 01-09-2011
- ^ Dialogues with Chin Peng: new light on the Malayan Communist Party By C. C. Chin, Karl Hack.
- ^ Bukit Kepong was bathed in blood, By Tan Choe Choe and Rizalman Hammim, 2011/02/20
- ^ Pisau.net. "Mat Sabu hina pejuang negara". Dicapai pada 2 September 2011.
- ^ "Waris tragedi Bukit Kepong tersinggung". Utusan Malaysia. 28 Ogos 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-10-03. Dicapai pada 2 September 2011.
- ^ "Mat Sabu's remarks an insult, says Tan Sri Muhyiddin" (dalam bahasa Inggeris). The Star. 28 Ogos 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-10-19. Dicapai pada 2 September 2011.
- ^ "Isu sebenar ceramah Md Sabu". harakahdaily.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-11. Dicapai pada 2 September 2011.
Pautan luar
- http://askari_mb.tripod.com/id45.htm
- Statistik berkenaan Insiden
- Koleksi kesaksian oleh Polis Diraja Malaysia Diarkibkan 2007-03-20 di Wayback Machine (dalam bahasa Inggeris)
- Perbincangan mengenai kesan Insiden berkenaan (dalam bahasa Inggeris)
- Kesaksian terperinci mengenai peristiwa itu oleh A L (Paddy) Bacskai (dalam bahasa Inggeris)
- Gambar-gambar Bukit Kepong oleh M Jeffri Razali (dalam bahasa Inggeris)