Pergi ke kandungan

Malamut Alaska

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Malamut Alaska
Malamut Alaska kelabu dan putih
Nama lainMalamut
Negara asalAmerika Syarikat
Trait
Berat Jantan 38 kilogram (84 lb)[1]
Betina 34 kilogram (75 lb)[1]
Tinggi Jantan 25 inci (64 cm)[1]
Betina 23 inci (58 cm)[1]
Bulu Tebal, lapis bulu ganda, dengan lapis bulu bawah lebat
Warna Kelabu, sabel, hitam, atau merah, sentiasa dengan putih, serta putih dan perang menyeluruh
Saiz perinduk 4–10 ekor anak anjing
Jangka hayat 11.3 tahun
CatatanAnjing negeri Alaska
Anjing (Canis lupus familiaris)

Malamut Alaska[a] atau hanya malamut ialah satu baka anjing besar yang pada asalnya dibiakbakakan untuk kekuatannya dan ketahanannya, untuk menarik muatan sebagai anjing tarikan, dan sebagai anjing pemburu.[2] Ia serupa dengan baka Artik lain seperti husky, spits, anjing Greenland, anjing Eskimo Kanada, husky Siberia, dan anjing Samoyed.

Walaupun anjing pertama dipercayai tiba di Benua Amerika pada 12,000 tahun lalu, orang dan anjing mereka tidak bertapak di Artik sehingga orang Paleo-Eskimo pada 4,500 tahun lalu, diikuti oleh orang Thule pada 1,000 tahun lalu, kedua-duanya berasal dari Siberia.[3] Malamut disangkakan dibiakbakakan oleh orang Inupiaq Malimiut dari kawasan Norton Sound di Alaska.[4]

Malamut telah dikenal pasti sebagai baka basal yang mendahului baka-baka moden pada abad ke-19. Sebuah kajian pada tahun 2013 menunjukkan bahawa malamut Alaska mempunyai asal usul di Asia Timur yang serupa, namun tidak sejelasnya berkaitan, dengan anjing Greenland dan anjing Eskimo Kanada, tetapi mengandungi percampuran mungkin dengan husky Siberia.[5]

Pada tahun 2015, sebuah kajian yang menggunakan beberapa penanda genetik menunjukkan bahawa malamut, husky Siberia, dan husky Alaska mengongsi hubungan genetik rapat antara satu sama lain dan berkaitan dengan anjing tarikan Chukotka dari Siberia. Anjing-anjing ini terpisah daripada dua baka anjing Inuit, iaitu anjing Eskimo Kanada dan anjing Greenland. Di Amerika Utara, malamut dan husky Siberia kedua-duanya telah mengekalkan zuriat Siberianya dan telah menyumbang dengan ketara kepada husky Alaska, yang menunjukkan bukti persilangan dengan baka-baka Eropah yang tekal dengan baka ini yang dihasilkan di Amerika Utara pascapenjajahan.[3] DNA yang disarikan daripada anjing berusia 9,500 tahun, Zhokhov, dinamai sempena pulau di Siberia, ditemukan mempunyai leluhur bersama dengan anjing tarikan Greenland, malamut Alaska, dan husky Siberia.[6]

Penampilan

[sunting | sunting sumber]
Malamut Alaska betina merah dan putih
Malamut Alaska dengan lapis bulu hitam dan putih pelana

Piawaian American Kennel Club (AKC) memerihalkan julat saiz semula jadi dengan tinggi keutamaan 23 inci (58 cm) dan berat 75 paun (34 kg) untk betina, dan tinggi 25 inci (64 cm) dan berat 85 paun (39 kg) untuk jantan.[7] Individu lebih berat (90 lb (41 kg)) dan anjing lebih kecil daripada 75 paun (34 kg) kerap terlihat. Kerap terdapat perbezaan saiz jelas antara jantan dengan betina. Berat melebihi 100 paun (45 kg) juga terlihat.[7]

Malamut Alaska berlapis bulu ganda. Lapis bulu bawah mempunyai tekstur berminyak dan mirip wul dan dapat menjadi setebal dua inci.[7] Lapis rerambut pengawal atas adalah kasar dan terletak jauh dari tubuh dengan lebih panjang di kelasa tetapi tidak lebih daripada satu inci dari sisi tubuh. Telinganya berperkadaran kecil berbanding dengan kepala dan menegak ke atas apabila ia menumpukan perhatian. Malamut Alaska ialah anjing berat dengan sifat dan tubuh lebih menggerunkan berbanding dengan husky Siberia yang dibiakbakakan untuk kelajuan. Malamut Alaska dibiakbakakan untuk kuasa dan daya tahan yang merupakan fungsi aslinya dan perkara yang disyaratkan oleh piawaian baka untuk pembiak baka malamut Alaska.

Warna biasanya merupakan pelbagai cahaya warna kelabu dan putih, sabel dan putih, hitam dan putih, perang anjing laut dan putih, merah dan putih, atau putih padu.[8] Terdapat pelbagai tanda pada baka ini termasuk tanda muka, takik di tengkuk, dan kolar atau separa kolar. Putih kerap menjadi warna utama pada tubuh, bahagian tungkai, kaki, dan bahagian tanda muka. Dari segi ragam warna, sesetengah malamut memiliki bayang warna antara kelabu gelap dengan kuning pucat di sekitar reja-rejanya dan kawasan putih, terpapar dengan gen terangkai warna yang dikenali sebagai agouti. Dua alel agouti, dengan kemungkinan alel ketiga, kelihatan ditemukan pada malamut: aw (corak agouti atau corak serigala/liar), at (corak titik sawo matan atau corak hitam), dan awat (agouti heterozigus atau agouti gelap).

Mata malamut Alaska berbentuk badam dan memiliki pelbagai cahaya warna perang; walau bagaimanapun, mata lebih gelap lebih diutamakan. Malamut Alaska baka tulen tidak mempunyai mata biru. Tubuh fizikal malamut adalah padat dan kuat dengan isi, tulang, dan kaki.

Menurut piawaian baka AKC, ekor malamut cukup berbulu dan terangkat ke atas paras belakang seperti jumbai melambai. Ekor skru gabus kadang-kadang terlihat tetapi dianggap sebagai kecacatan dalam piawaian baka AKC (ekor skru gabus kerap terlihat pada anjing Akita). Ekor cukup berbulu malamut membantu untuk mengekalkan kehangatan apabila ia berlingkar di dalam salji. Ia kerap terlihat membelitkan ekornya di sekitar hidung dan muka, yang dianggap membantu melindunginya dalam cuaca mencabar seperti salji berhembus. Telinganya pada umumnya tegak, berbentuk baji, berperkadaran kecil berbanding dengan kepala, dan terletak di sisi tengkorak. Muncungnya dalam dan lebar, menirus sedikit dari tengkorak ke hidung. Hidung dan gusinya hitam tetapi sesetengah malamut mempunyai hidung salji, iaitu hitam dengan bayang warna merah jambu yang dapat menjadi lebih gelap atau lebih cerah, bergantung pada musim.

Malamut Alaska bersaudara; betina (kiri) dan jantan (kanan)

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]
Anak malamut Alaska kelabu muda dan putih – berusia dua bulan

Sebuah kajian tahun 2024 di United Kingdom mendapati purata jangka hayat sebanyak 11.3 tahun berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[9]

Masalah kesihatan paling kerap dilaporkan bagi malamut Alaska, dalam tinjauan The Kennel Club tahun 2004 (berdasarkan saiz sampel sebanyak 64 ekor anjing), merupakan masalah otot dan rangka (displasia pinggul) dan katarak keturunan. Terdapat isu kesihatan tambahan pada baka ini, yang asal usulnya tidak diketahui, termasuk gangguan sawan, yang ditemukan pada anak anjing muda serta dewasa, epilepsi, masalah jantung kongenital, masalah ginjal, dan gangguan kulit.[10]

Isu kesihatan lain pada malamut termasuk displasia siku, polineuropati terwaris, osteokondrodisplasia, hipoplasia serebelum, kecacatan jantung, dan masalah mata (khususnya katarak dan atrofi retina progresif).[11] Masalah yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan baka anjing Artik, termasuk malamut Alaska, ialah kencing manis anjing, dengan onsert yang berlaku biasanya pada pertengahan usia (5 hingga 7 tahun).[12]

Lagi satu isu kesihatan lain dengan malamut ialah kekurangan zat zink. Baka ini tidak dapat semudahnya menyerap zink, dan jangkitan serta masalah kulit dan bulu dapat muncul.[13]

Kecelaruan tiroid ialah isu hormon paling kerap pada anjing dan hipotiroidisme adalah umum pada malamut.[14]

Sebuah keluarga Inupiat dengan seekor malamut dari tahun 1915

Malamut Alaska mempunyai peranan utama dengan teman manusianya iaitu sebagai anjing serba guna, yang bekerja, berburu, dan hidup bersama dengan manusia.[15][halaman diperlukan] Anjing ini terkenal kerana kebolehan peruburuan cemerlangnya dan digunakan untuk memburu pemangsa besar seperti beruang. Ia juga membantu pemiliknya untuk menemukan anjing laut dengan memberikan isyarat kepada pemilik tentang lubang hembus anjing laut. Hubungan saling bergantung antara orang Malamute dengan anjing mereka menggalakkan kejayaan sesama kedua-dua pihak dan membolehkan mereka bertahan di tanah yang sukar dihuni di atas Garisan Artik.[perlu rujukan]

Buat tempoh singkat semasa Kerubut Emas Klondike pada tahun 1896, malamut dan anjing tarikan lain menjadi amat bernilai kepada prospektor dan penetap baru tiba dan kerap dibiakbakakan bersilang dengan baka import.[16]

Pengiktirafan baka tiba pada tahun 1935, kebanyakannya melalui usaha Pn. Eva B. Seeley. Pada masa itu, banyak anjing merupakan keturunan leluhur yang tidak diketahui. Yang kelihatan seperti baka tulen digunakan untuk pembiakbakaan, selebihnya disingkirkan. Selepas beberapa tahun, pejabat pendaftaran ditutup.[17]

Kehilangan daripada khidmat dalam Perang Dunia Kedua banyak menjejaskan baka ini namun tidak melenyapkannya. Pada tahun 1947, terdapat anggaran hanya 30 ekor anjing berdaftar yang tinggal. Maka, buku pembaka dibuka semula. Robert J. Zoller terlibat dalam baka ini dan mengambil kesempatan untuk menggabungkan anjing-anjing M'’Loot dan Hinman/Irwin dengan anjing terpilih Kotzebue untuk menghasilkan keturunan yang menjadi susur galur Husky-Pak. Semua malamut moden diturunkan daripada strain-strain awal dan menunjukkan gabungan ciri-ciri ke tahap yang lebih besar atau lebih kecil. Maka, terdapat perbezaan semula jadi yang terlihat kini.
— American Kennel Club[17] (terjemahan)

Malamut pernah mempunyai sejarah tersendiri; membantu Laksamana Muda Richard Byrd ke Kutub Selatan, dan para pelombong yang datang ke Alaska semasa Kerubut Emas tahun 1896, serta berkhidmat dalam Perang Dunia Kedua terutamanya sebagai anjing pencarian dan penyelamatan di Greenland, walaupun juga digunakan sebagai anjing penarikan muatan dan pembungkusan di Eropah. Anjing ini tidak pernah ditakdirkan untuk menjadi anjing tarikan perlumbaan; ia digunakan untuk penarikan muatan berat, iaitu penarikan beratus-ratus, malah beribu-ribu paun bekalan ke kampung-kampung dan kem-kem dalam kumpulan sekurang-kurang empat ekor anjing untuk muatan berat.[perlu rujukan]

Maskot Husky Universiti Washington ialah seekor malamut Alaska.[18] Pada tahun 2010, malamut Alaska dinamai anjing negeri rasmi Alaska.[19][20] Sekolah Tinggi Lathrop di Fairbanks, Alaska menggunakan seekor malamut sebagai maskot rasminya.[21]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Jawi: مالاموت السکا; bahasa Inggeris: Alaskan malamute

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ a b c d "FCI-Standard N° 243 ALASKAN MALAMUTE" [Piawaian FCI No. 243 Malamut Alaska] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 10 Mac 2023. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  2. ^ Fogle, Bruce (1 Oktober 2013). Dennis-Bryan, Kim (penyunting). The Dog Encyclopedia: The Definitive Visual Guide [Ensiklopedia Anjing: Panduan Visual Muktamad] (dalam bahasa Inggeris). Disumbangkan oleh Ann Baggaley dan Katie John. (ed. ke-2). New York, New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley Publishing. m/s. 103. ISBN 9781465421166. OCLC 859155647.
  3. ^ a b Brown, Sarah Krystyna; Darwent, Christyann M.; Wictum, E. J.; Sacks, Benjamin N. (24 Jun 2015). "Using multiple markers to elucidate the ancient, historical and modern relationships among North American Arctic dog breeds" [Menggunakan berbilang penanda untuk menerangkan hubungan purba, hubungan sejarah, dan hubungan moden dalam kalangan baka anjing Artik Amerika Utara]. Heredity (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 115 (6): 488–495. doi:10.1038/hdy.2015.49. ISSN 1365-2540. PMC 4806895. PMID 26103948. S2CID 20747538.
  4. ^ Handford, Jenny Mai (Julai 1998). "Dog sledging in the eighteenth century: North America and Siberia" [Penggunaan kereta luncur salji anjing pada abad kelapan belas: Amerika Utara dan Siberia]. Polar Record (dalam bahasa Inggeris). Cambridge University Press. 34 (190): 237–248. doi:10.1017/S0032247400025705. ISSN 1475-3057. S2CID 128763354.
  5. ^ van Asch, Barbara; Zhang, Aibing; Oskarsson, Mattias C. R.; Klütsch, Cornelya F. C.; Amorim, António; Savolainen, Carl Peter Olavi (7 September 2013). "Pre-Columbian origins of Native American dog breeds, with only limited replacement by European dogs, confirmed by mtDNA analysis" [Asal usul pra-Columbus bagi baka anjing asli Amerika, dengan hanya penggantian terbatas oleh anjing Eropah, disahkan oleh analisis mtDNA]. Proceedings of the Royal Society B: Biological Sciences (dalam bahasa Inggeris). Royal Society. 280 (1766): 20131142. doi:10.1098/rspb.2013.1142. ISSN 1471-2954. JSTOR 23478920. PMC 3730590. PMID 23843389. S2CID 18913715.
  6. ^ "Sled dogs are closely related to 9,500-year-old 'ancient dog'" [Anjing kereta luncur salji berkait rapat dengan 'anjing purba' berusia 9,500 tahun]. ScienceDaily (dalam bahasa Inggeris). 25 Jun 2020. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  7. ^ a b c "Alaskan Malamute Breed Standard" [Piawaian Baka Malamut Alaska]. American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). 2013. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  8. ^ "Breed Standard" [Piawaian Baka]. Alaskan Malamute Club of America (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Januari 2024.
  9. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan). PMID 38302530 Check |pmid= value (bantuan). S2CID 267382263 Check |s2cid= value (bantuan).
  10. ^ "Report from the Kennel Club/British Small Animal Veterinary Association Scientific Committee: Summary results of the Purebred Dog Health Survey for the Alaskan Malamute breed" [Laporan daripada Jawatankuasa Sains The Kennel Club/British Small Animal Veterinary Association: Keputusan Ringkasan Tinjauan Kesihatan Anjing Baka Tulen untuk Baka Malamut Alaska] (PDF). The Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). 2004. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  11. ^ "Alaskan Malamute Club of America Health Committee" [Jawatankuasa Kesihatan Alaskan Malamute Club of America] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Februari 2009.
  12. ^ Loureiro, Regina (30 Januari 2008). "Canine Diabetes" [Diabetes Anjing]. Arctic Dog Rescue and Training Center (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 28 September 2013. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  13. ^ DACVD, Carlo Vitale DVM. "Canine zinc-responsive dermatosis" [Dermatosis responsif zink anjing]. dvm360.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Ogos 2019. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  14. ^ Rhodes, Karen Helton; Werner, Alexander H. (25 Januari 2011). Blackwell's Five-Minute Veterinary Consult Clinical Companion: Small Animal Dermatology [Teman Klinikal Rujukan Veterinar Lima Minit Blackwell: Dermatologi Haiwan Kecil] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley-Blackwell. m/s. 148. ISBN 9780813815961. OCLC 645598149.
  15. ^ Cummins, Bryan David (2002). First Nations, First Dogs [Bangsa-bangsa Pertama, Anjing-anjing Pertama] (dalam bahasa Inggeris). Calgary, Kanada: Detselig Enterprises. ISBN 9781550592276. OCLC 49247572.
  16. ^ Adney, Edwin Tappan (1900). The Klondike Stampede [Rempuhan Klondike] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Harper & Brothers. ISBN 9780598284020. OCLC 2623947.
  17. ^ a b "Alaskan Malamute Illustrated Standard-History" [Sejarah Piawai Berilustrasi Malamut Alaska] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  18. ^ "Washington Huskies". Washington Huskies (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Januari 2024.
  19. ^ Dean, Josh (17 April 2012). ""The Great Dane's Head Resembles the Outline of the Commonwealth's Boundaries"" ["Kepala Anjing Besar Denmark Menyerupai Garis Luar Sempadan Komanwel"] (dalam bahasa Inggeris) – melalui Slate.
  20. ^ "Sorry, huskies, Malamute now AK's state dog" [Maaf, husky, malamut kini anjing negeri Alaska] (dalam bahasa Inggeris). Alaska Dispatch. 10 April 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 April 2010. Dicapai pada 3 Januari 2024.
  21. ^ "Lathrop High / Home". www.k12northstar.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Januari 2024.