Pergi ke kandungan

Zerdava

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Zerdava
Nama lainSpits Laut Hitam Timur, anjing Laz, anjing Georgia, laika Turki, mekverna[a]
Nama ringkasAnjing pintu
Negara asalTurki, Georgia
Trait
Berat Jantan 17 kg (37 lb)
Betina 11–13 kg (24–29 lb)
Bulu Ganda
Warna Hati padu, hati dan putih, hati kemerah-merahan
Saiz perinduk 5 ekor
Anjing (Canis lupus familiaris)

Zerdava[b] ialah baka laika asli yang berasal dari rantau Laut Hitam di Turki dan di Georgia.[1][2] Zerdava digunakan secara tradisional sebagai anjing pengawal dan anjing pemburu dan amat dihargai untuk pemburuan babi hutan.[3][2] Nama "zerdava" ialah perkataan Slavik untuk mustelid yang mungkin merujuk warna perang samur atau tingkah laku treeing-nya semasa memburu samur.[3]

Terdapat sangat sedikit bukti bertulis mengenai asal usul zerdava di Turki dan di Georgia.[3][4] Penjelasan paling mungkin ialah bahawa laika pemburu diperoleh melalui perdagangan dari Rusia, kerana pelabuhan-pelabuhan Baltik dan Laut Hitam merupakan laluan utama perdagangan bulu Rusia ke Eropah dan ke bahagian-bahagian Asia walaupun pada awal Zaman Pertengahan.[3] Zerdava telah didokumenkan di rantau Laut Hitam Timur selama sekurang-kurangnya seratus tahun, terutamanya di wilayah Trabzon dan Giresun di Turki.[2]

Rantau asli zerdava

Penampilan

[sunting | sunting sumber]

Zerdava ialah baka spits dengan tubuh padat dan atletik, telinga segi tiga dan tegak, dan ekor melengkung.[3][5] Ia mempunyai lapis bulu ganda yang sentiasa sama ada berwarna perang hati padu atau gabungan hati dan putih, seperti hati dan berbintik putih, piebald, berbintik, atau hati kemerah-merahan.[3][5] Warna perang diperihalkan sebagai warna mirip samur. Semasa kelahiran, ia kerap berwarna hampir hitam dan bahagian putihnya tidak berbintik. Zerdava mempunyai hidung perang mata kuning-perang.[3] Ekor berbentuk sabitnya biasanya berhujung putih dan sebarang tompok perang mempunyai cahaya warna perang sama seperti selebih tubuhnya.[2]

Dua ekor zerdava di Turki

Tingkah laku

[sunting | sunting sumber]

Seperti yang tipikal pada laika, zerdava ialah pemburu tahan lasak dan serba guna yang mampu memburu buruan pelbagai saiz; ia diketahui mengejar buruan kecil ke atas pokok (treeing), menghendap mangsa besar dengan senyap sehingga terkepung, dan bekerja dalam pasukan untuk mengepung jakal, beruang, dan babi hutan.[3][2] Ia amat dihargai kerana keupayaannya untuk mengelakkan kecederaan semasa pemburuan babi hutan, yang merupakan haiwan perosak utama kepada petani jagung.[3] Zerdava telah mencapai kejayaan besar sebagai anjing pencarian dan penyelamatan.[2]

Ia mengabdikan diri kepada manusianya dan tidak mempercayai orang asing, sehingga ia mendapat gelaran "anjing pintu" kerana keupayaan cemerlangnya sebagai anjing pengawal.[4][2] Anak anjing memerlukan sosialisasi banyak dengan orang ramai untuk mengelakkan tingkah laku terlalu malu atau agresif. Zerdava kerap kesusahan untuk ditempatkan semula dan akan mencuba untuk melarikan diri dan menemukan pemilik aslinya.[3]

Zerdava di Trabzon, Turki

Mulai tahun 2016, Angkatan Tentera Turki telah melatih zerdava untuk pelbagai kegunaan ketenteraan termasuk pengesanan bom dan narkotik, pencarian dan penyelamatan, serta penahanan kakitangan.[6]

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Zerdava dihargai kerana kesihatan cemerlangnya dalam keadaan mencabar dengan penjagaan minimum. Seperti laika lain, betina lebih lazim mengalami estrus hanya sekali setahun.[3]

Populasi di Georgia sangat terancam kerana kekerapan pembiakbakaan dalam. Terdapat anggaran hanya 15–20 ekor anjing baka tulen yang tinggal dengan pakar yang bersetuju bahawa satu-satunya cara untuk menstabilkan populasi adalah dengan mengimport anjing dari Turki.[1]

  1. ^ Bahasa Georgia: მეკვერნე
  2. ^ Jawi: زيرداۏا
  1. ^ a b "საქართველოს აგრარული ბიომრავალფეროვნება" [Biokepelbagaian Pertanian Georgia] (dalam bahasa Georgia). Dicapai pada 31 Mac 2024.
  2. ^ a b c d e f g Özbaşer, Fatma Tülin; Atasoy, Fatih; Erdoğan, Metin; Özkul, Banu Yüceer; Özarslan, Bora (5 Jun 2020). "Morphological and Genetic Characteristics of Zerdava, a Native Turkish Dog Breed" [Ciri Morfologi dan Genetik Zerdava, Baka Anjing Asli Turki]. Kafkas Universitesi Veteriner Fakultesi Dergisi (dalam bahasa Inggeris). Fakulti Veterinar Universiti Kafkas. 26 (5): 617–623. doi:10.9775/kvfd.2020.24004. ISSN 1309-2251. S2CID 229788099.
  3. ^ a b c d e f g h i j k Sözüer, Özgün; Sivrioğlu, Ulaş Töre; Aktay, Lale; Ataol, Murat; Yapıcı, Nilgün; Saatçi, Mustafa (November 2018). "Some characteristics of a population of a Southern Spitz Dog, called the Zerdava, in the Eastern Black Sea Region of Turkey, as a part of biocultural diversity, possibly to be identified as a "Turkish Laika"" [Sesetengah ciri populasi spits selatan, yang dipanggil zerdava, di Rantau Laut Hitam Timur di Turki, sebagai sebahagian daripada kepelbagaian biobudaya, yang mungkin akan dikenal pasti sebagai sebagai "laika Turki"] (PDF). Journal of the International Society for Preservation of Primitive Aboriginal Dogs (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Anjing Primitif dan Peribumi. 48: 1–27.
  4. ^ a b "Protection sought for Turkish Zerdava dog breed" [Perlindungan dikehendaki untuk baka anjing zerdava Turki]. Daily Sabah (dalam bahasa Inggeris). 31 Mac 2017. Dicapai pada 31 Mac 2024.
  5. ^ a b Yılmaz, Orhan; Ertuğrul, Mehmet (2012). "Determination of Zerdava Dog (Kapi Kopegi) Raised in Northeast of Turkey" [Penentuan Zerdava (Kapı Köpeği) yang Dibesarkan di Timur Laut Turki]. Journal of Veterinary Advances (dalam bahasa Inggeris). Global Researchers Journals. 2 (9): 457–461. ISSN 2251-7685. S2CID 73235919.
  6. ^ Sezgin, Sergen (2019). "TSK'nin yeni gözdesi Trabzonlu 'Zerdava'" ['Zerdava' dari Trabzon, kegemaran baharu TAF]. www.aa.com.tr (dalam bahasa Turki). Dicapai pada 31 Mac 2024.