Undang Luak Johol
Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia
Undang Dato' Luak Johol Negeri Sembilan | |
---|---|
Wilayah/Negeri | |
Penjawat kini | |
Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Undang Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Laksamana Pertama (K) Dato' Muhammad Al-Haj ibni Dato’ Haji Abdullah sejak 2016 | |
Butiran | |
Gelaran | Ke Bawah Kaus Yang Teramat Mulia |
Pewaris takhta | Dato' Baginda Luak Johol |
Penyandang pertama | Dato' Perdana Menteri Sitiawan |
Pembentukan | 1723 |
Yang Teramat Mulia Dato' Undang Luak Johol merupakan Pemerintah atau Raja sebagaimana perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan berkenaan takrif "Raja" bagi Negeri Sembilan Darul Khusus dan Luak Johol. Luak (Negeri) Johol merupakan salah satu daripada luak yang membentuk Negeri Sembilan. Baginda memerintah Negeri Sembilan Darul Khusus bersama Yang Dipertuan Besar ,Undang Luak Sg Ujong,Jelebu,Rembau dan Tunku Besar Tampin.
Gelaran bagi Tuanku Dato' Undang Luak Johol ialah Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan. Gelaran itu mula digunakan oleh Dato' Undang Luak Johol yang pertama iaitu seorang wanita bergelar Puteri Kanun atau Puteri Sitiawan yang memerintah sejak 1723[1]. Puteri Sitiawan ialah anak kepada nenek kerbau yang berkahwin dengan Bendahara Paduka Raja Sekudai dari Kesultanan Johor lama.
Kedudukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri
[sunting | sunting sumber]Kedudukan Dato' Undang Luak Johol diiktiraf menerusi Perkara 71 (2), Perkara 160, Perkara 181 dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 sebagai pemerintah (ruler) Luak Johol dan Raja bagi Negeri Sembilan bersama dengan Yang di-Pertuan Besar, Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu dan Dato' Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin[2].
Akta Tafsiran 1948 & 1967 juga mendefinisikan Dato' Undang Luak Johol sebagai Pihak Berkuasa Negeri, khususnya di jajahan takluk Luak Johol dalam Negeri Sembilan yang meliputi Johol, Gemencheh, Gemas, Pasir Besar, Air Kuning Selatan, Kepis, Dangi, Selaru dan Palong. Dato' Undang Luak Johol adalah juga ketua agama Islam bagi Luak Johol[3].
Dato' Undang Luak Johol juga adalah anggota Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Rembau, Tengku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong, yang mana ia dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan[4].
Dato' Undang Luak Johol bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu dan Dato' Undang Luak Rembau mempunyai kuasa prerogatif memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu mengikut Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959[5].
Pada masa sama, Dato' Undang Luak Johol bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu dan Dato' Undang Luak Rembau juga mempunyai kuasa prerogatif mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, menarik segala kuasa serta keistimewaan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya penyandang didapati melanggar hukum Syarak, didapati bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh negeri atau dirasakan tidak lagi layak menjadi Yang di-Pertuan Besar[6].
Peranan utama lain bagi Dato' Undang Luak Johol bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Rembau serta Tengku Besar Tampin adalah mempunyai kuasa persetujuan[7] berhubung:-
- pelantikan Menteri Besar,
- menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,
- pengurniaan darjah kebesaran negeri,
- hal ehwal agama Islam dan adat Melayu,
- kedudukan tanah adat dan rizab Melayu dan,
- kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain,
- pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pemerintahan Tuanku Dato' Undang Luak Johol
[sunting | sunting sumber]Penggiliran jawatan YTM Dato' Undang Luak Johol adalah mengikut penggiliran daripada Suku Biduanda Waris Johol (Waris Johol di-Baruh & Waris Johol di-Bukit) Institusi pemerintahan Luak Johol juga mempunyai perjawatan iaitu Timbalan Undang Luak Johol yang bergelar Yang Amat Mulia Dato Baginda Luak Johol (dahulu Dato Baginda Tan Mas).
Timbalan Undang Luak Johol akan menjadi Dato' Undang Luak Johol secara automatik sekiranya penyandang terdahulu mangkat. Dato Baginda juga adalah ‘haluan sembah’ bagi Dato’ Undang Luak Johol kerana mempunyai kuasa untuk mewakili YTM Dato' Undang Luak Johol dalam pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan mengundi secara proksi.
Jawatan YTM Dato' Undang Luak Johol dan YAM Dato' Baginda Luak Johol diisi berdasarkan giliran bagi Waris Johol sahaja pada ketika dahulu. Waris Gemencheh hanya di lantik pada YTM Dato' Undang ke 8 dan seterusnya bermulanya pengiliran diantara waris johol dan waris gemencheh, Sekiranya YTM Dato' Undang dilantik daripada Waris Johol, maka jawatan YAM Dato Baginda akan diisi oleh Waris Gemencheh dan seterusnya. Kedua-dua jawatan tersebut tidak disandang oleh waris yang sama.
Bagaimanapun, sejak 2016, keputusan dibuat secara sebulat suara oleh pembesar-pembesar Luak Johol dan Suku Biduanda Waris Johol bahawa giliran menyandang Dato' Undang Luak Johol dan Dato Baginda Luak Johol dilakukan antara Suku Biduanda Waris Johol di-Baruh & Waris Johol di-Bukit sahaja.
Pemilihan Dato' Undang Luak Johol dibuat oleh Dato’ Jenang dan Buapak Yang Enam. Dato’ Jenang adalah Kepala Waris Biduanda dan Kepala Buapak Biduanda Yang Enam. Dato' Undang Luak Johol sekarang ialah Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato' Haji Muhammad bin Haji Abdullah, Undang Luak Johol ke-15.
Pemerintahan Dato' Undang Luak Johol dibantu oleh pembesar-pembesar Luak Johol iaitu Lembaga Tiang Balai, Orang Besar Balai dan Buapak Yang Enam. Berikut adalah pembesar-pembesar Luak Johol:-
- Lembaga Yang Empat (Dato’-Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang Luak Johol)
1) Dato’ Raja Balang (Suku Raja Balang)
2) Dato’ Andika (Suku Seri Melenggang)
3) Dato’ Raja Senara (Suku Mungkal)
4) Dato’ Baginda Raja (Suku Tiga Batu)
- Orang Besar Balai Undang Luak Johol
1) Dato’ Jenang (Suku Biduanda)
2) Dato’ Gempa (Suku Gempa)
3) Dato’ Menteri (Suku Menteri)
4) Dato’ Panglima Hitam (Suku Raja Balang)
5) Dato’ Panglima Putih (Suku Seri Melenggang)
- Buapak Yang Enam
1) Dato’ Nenggarang (Suku Nenggarang) - Ketua Buapak Yang Enam
2) Dato’ Paduka Kebangsa (Suku Kebangsa)
3) Dato’ Seribu Garang (Suku Sa-ibu)
4) Dato’ Serumpun (Suku Sarumpun)
5) Dato’ Baginda Melana (Suku Baginda Melano)
6) Dato’ Paduka Raja Lela (Suku Jelelo)
Senarai Dato' Undang Luak Johol
[sunting | sunting sumber]No | Nama | Waris | Tempoh Pemerintahan |
---|---|---|---|
1 | Dato' Putri Kanun Siti Awan [Sitiawan I] | Johol | 1723 - 1747 |
2 | Dato' Rambut Panjang | Johol | 1747 - 1760 |
3 | Dato' Putri Sitiawan II | Johol | 1760 - 1790 |
4 | Dato' Rambutan Jantan | Johol | 1790 - 1810 |
5 | Dato' Nuri | Johol | 1810 - 1820 |
6 | Dato' Abu Bakar Gubah | Johol | 1820 - 1840 |
7 | Dato' Wan Saeto Rubah [Wan Eta] | Johol | 1840 - 1900 |
8 | Dato' Wan Omar bin Wan Hassan | Gemencheh | 1901 - 1918 |
9 | Dato' Kamat bin Haji Sulaiman | Johol (Bukit) | 1918 - 1947 |
10 | Dato' Abdul Manap bin Tolok | Gemencheh | 1947 - 1973 |
11 | Dato' Haji Abdul Majid bin Abdul Wahid | Johol (Baruh) | 1973 - 1985 |
12 | Dato' Haji Abdu'l Rahman bin Mat Som | Gemencheh | 1985 - 1988 |
13 | Dato' Abdul bin Ali | Johol (Bukit) | 1988 - 2007 |
14 | Dato' Mohd Jan bin Abdul Ghani | Gemencheh | 2007 - 2016 |
15 | Dato' Haji Muhammad bin Haji Abdullah | Johol (Baruh) | 2016 - kini |
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Faridzwan Abdul Ghafar (2019). Balai Undang di Negeri Sembilan: 1933-2004. Sungei Ujong Press Resources. ISBN 9789671716502.
- ^ Perlembagaan Persekutuan
- ^ Akta Tafsiran 1948 & 1967
- ^ Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
- ^ Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
- ^ Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
- ^ Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959