Daerah Belaga
Belaga | |
---|---|
Negara | Malaysia |
Negeri | Sarawak |
Bahagian | Kapit |
Pusat pentadbiran | Pekan Belaga |
Pentadbiran | |
• Pihak berkuasa tempatan | Majlis Daerah Kapit |
Keluasan | |
• Jumlah | 19,050 km2 (7,360 batu persegi) |
Aras | 2,040 m (6,690 ft) |
Penduduk (2020) | |
• Jumlah | 22,502 |
• Kepadatan | 1.2/km2 (3.1/batu persegi) |
Belaga merupakan sebuah daerah yang terletak di Bahagian Kapit, wilayah Sarawak, Malaysia. Belaga merupakan daerah terbesar di Malaysia dengan keluasan hampir 20 ribu kilometer persegi. Pusat pentadbiran bagi daerah ini terletak di Pekan Belaga. Kebanyakan penduduk di daerah ini merupakan Orang Ulu.
Pentadbiran
[sunting | sunting sumber]Daerah Belaga terletak di bawah pentadbiran Bahagian Kapit. Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir daerah ini pula ialah Majlis Daerah Kapit. Bagi urusan pentadbiran tanah pula terletak di bawah Pejabat Daerah Belaga.
Daerah Belaga juga mempunyai satu daerah kecil, iaitu Sungai Asap.
Politik
[sunting | sunting sumber]Daerah Belaga diletakkan di bawah dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Belaga (N65) dan Murum (N66) yang terletak di bawah kawasan Parlimen Hulu Rajang (P216).
Geografi
[sunting | sunting sumber]Daerah Belaga terletak di timur wilayah Sarawak dan bersempadan dengan daerah Telang Usan dan Beluru di timur laut, daerah Sebauh di barat laut, daerah Tatau dan Kapit di barat dan daerah Bukit Mabong di selatan. Daerah ini juga bersempadan dengan Kalimantan Utara, Indonesia di timur.
Daerah Belaga dihampari oleh kawasan dataran tanah tinggi (kebanyakan melebihi 4,000 kaki dari paras laut) dan kawasan lembangan sungai. Titik tertinggi di daerah ini mencapai ketinggian 2,040 meter. Sungai-sungai utama yang terdapat di Daerah Belaga termasuklah Sungai Balui, Sungai Linau, Sungai Plieran dan Sungai Belaga. Daerah ini juga menempatkan empangan terbesar di Asia yang berada di luar China, iaitu Empangan Bakun.
Demografi
[sunting | sunting sumber]Tahun | Pend. | ±% |
---|---|---|
1980 | 11,497 | — |
1991 | 22,284 | +93.8% |
2000 | 22,896 | +2.7% |
2010 | 35,247 | +53.9% |
2020 | 22,502 | −36.2% |
Sumber: [1] |
Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di daerah Belaga ialah seramai 22,502 orang dengan kepadatan penduduk seorang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sangat jarang. Bancian ini juga merekodkan sejumlah 6,808 isi rumah dengan 8,324 tempat kediaman. Majoriti penduduk di daerah Belaga merupakan Bumiputera selain Melayu, dengan majoriti antara mereka merupakan Orang Ulu. Penduduk berbangsa Melayu membentuk kelompok kedua terbesar diikuti penduduk berbangsa Cina. Penduduk bukan warganegara terdiri daripada 2,991 orang.[2][3]
Status | Bangsa | Jumlah |
---|---|---|
Warganegara | Melayu | 640 |
Bumiputera lain | 18,385 | |
Cina | 350 | |
India | 8 | |
Lain-lain | 128 | |
Bukan warganegara | - | 2,991 |
Jumlah | 22,502 |
Agama
[sunting | sunting sumber]Di daerah Belaga, agama Kristian merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan 86 peratus diikuti agama Islam sebanyak 10 peratus. Sebanyak hampir tiga peratus penduduk tidak beragama atau tidak diketahui status agamanya. Penduduk beragama Buddha, Hindu dan lain-lain membentuk kumpulan minoriti yang mencatatkan kurang satu peratus.[5]
Agama | Jumlah |
---|---|
Kristian | 19,394 |
Islam | 2,294 |
Tidak diketahui | 657 |
Buddha | 125 |
Tidak beragama | 17 |
Lain-lain | 10 |
Hindu | 5 |
Jumlah | 22,502 |
Kemudahan
[sunting | sunting sumber]Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 14 buah sekolah yang beroperasi di daerah Belaga, dan lima balai polis.[2] Daerah ini mempunyai 11 sekolah rendah iaitu SK Batu Keling, SK Long Gang, SK Long Urun, SK Uma Sambop, SK Long Segaham, SK Abun Matu, SK Airport, SK Nanga Telawan, SK Lusong Laku, SK Tegulang dan SK Metalun. Daerah ini juga mempunyai dua sekolah menengah iaitu SMK Belaga dan SMK Bakun.
Pengangkutan
[sunting | sunting sumber]Rangkaian jalan raya di daerah Belaga tidak terlalu menyuruh, hanya menghubungkan Pekan Belaga dengan Pekan Sungai Asap. Di Pekan Belaga terdapat Terminal Bot Ekspres Belaga yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan melalui sungai dari Belaga ke Kapit. Daerah ini juga mempunyai satu lapangan terbang kecil, iaitu Lapangan Terbang Belaga.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
- ^ a b c "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
- ^ "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Majlis Daerah Belaga Diarkibkan 2012-02-20 di Wayback Machine
- Peta kedudukan Belaga