Pergi ke kandungan

Taman Negara Serengeti

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Taman Negara Serengeti
IUCN Kategori II (Taman negara)
Lanskap taman negara Serengeti
Lokasi

Tanzania

Luas

14,750 km2 (5,700 bt2)

Ditubuhkan

1951

Pelawat

350,000 setahun[1]

Badan pentadbir

Tanzania National Parks Authority

Jenis

Semula jadi

Kriteria

vii, x

Penetapan

1981 (sesi ke-5)

Nombor Rujukan

156

State Party

Tanzania

Region

Afrika

sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini
Taman Negara Serengeti

Taman Negara Serengeti adalah sebuah taman negara Tanzania dalam ekosistem Serengeti di kawasan Mara dan Simiyu.[2][3] Ia terkenal kerana migrasi tahunan lebih 1.5 juta ekor wildebeest berjanggut putih dan 250,000 ekor kuda belang di samping banyaknya buaya Nil dan bejar madu.

Sekumpulan singa menghinggap pokok di padang rumput Serengeti.

Orang Maasai sudah menggembala ternakan di dataran terbuka kawasan Mara timur, yang dinamakan "dataran tanpa hujung" selama sekitar 200 tahun apabila pengembara Eropah pertama, Oscar Baumann dari Austria melawat kawasan terbabit pada 1892.[4] Nama "Serengeti" berdasarkan perkataan yang digunakan oleh Maasai untuk memerikan kawasan berkenaan, iaitu siringet yang bermaksud "tempat tanah terbentang selamanya".[5]

Orang Amerika pertama yang memasuki Serengeti, Stewart Edward White, mencatatkan jelajahnya di utara Serengeti pada 1913. Beliau kembali ke Serengeti pada 1920-an dan berkhemah di kawasan sekitar Seronera selama tiga bulan. Selama ini beliau dan teman-teman menembak 50 ekor singa.[6]

Oleh sebab singa semakin jarang ekoran pemburuan, kerajaan penjajah British menetapkan rizab mergastua sekitar 800 ekar (3.2 km2) di kawasan berkenaan pada 1921. Tindakan inilah asas untuk Taman Negara Serengeti yang ditubuhkan pada 1951.

Serengeti kian terkenal ekoran usaha sulung Bernhard Grzimek dan anaknya Michael pada 1950-an yang bersama-sama menghasilkan buku dan filem Serengeti Shall Not Die yang teriktiraf umum sebagai antara karya dokumentari pemuliharaan alam yang terawal.

Untuk memelihara hidupan liar, British memindahkan kaum Maasai dari kawasan taman ke 1959 ke Kawasan Pemuliharaan Ngorongoro. Masih banyak kontroversi mengenai tindakan ini dengan dakwaan mengenai pemaksaan dan penipuan oleh pihak berkuasa penjajah.

Taman inilah taman negara tertua Tanzania dan masih merupakan mercu tanda industri pelancongan negara berkenaan yang menyediakan tarikan utama kepada Northern Safari Circuit yang meliputi Taman Negara Tasik Manyara, Taman Negara Arusha dan Kawasan Pemuliharaan Ngorongoro. Ia mempunyai lebih 2,500 ekor singa dan lebih sejuta ekor wildebeest.

Taman ini meliputi 14,750 kilometer persegi (5,700 bt2)[7] kawasan dataran rumput, savana, hutan sungai dan hutan rimbun. Letaknya di barat laut Tanzania, bersempadan dengan Kenya di utara di mana bersambungnya dengan Rizab Negara Maasai Mara. Di sebelah tenggaranya Kawasan Pemuliharaan Ngorongoro, di barat dayanya Rizab Mergastua Maswa, di baratnya Rizab Mergastua Ikorongo and Grumeti, dan di sebelah timur laut dan timurnya Kawasan Kawalan Mergastua Loliondo. Bersama-sama semuanya bergelar ekosistem Serengeti.

Taman ini terbahagi kepada tiga bahagian:

  • Dataran Serengeti: tanah rumput yang hampir tiada pokok di selatan adalah pemandangan yang paling melambangkan taman. Di sinilah wildebeest tinggal untuk membiak dari Disember hingga Mei. Banyak juga haiwan-haiwan betelapuk lain - kuda belang, gazel, impala, hartebeest, topi, kerbau, waterbuck - pada musim tengkujuh. "Kopjes" merupakan florasi granit yang banyak terdapat di kawasan terbabit, malah merupakan tempat pemerhatian yang baik untuk pemangsa di samping menjadi perteduhan untuk hyrax dan ular sawa.
  • Koridor Barat: tanah liat hitam melitupi savana kawasan ini. Sungai Grumeti dan hutan-hutan gerbangnya menempatkan buaya Nil, monyet patas, badak air, dan helang perang. Migrasi berlalu pada Mei hingga Julai.
  • Wildebeest di lebuh raya utama Koridor Barat
    Serengeti Utara: lanskapnya dikuasai oleh hutan jarang lapang (terutama sekali pokok Commiphora) dan bukit-bukau, menjangkau dari Seronera di selatan hingga Sungai Mara di sempadan Kenya. Di samping wildebeest dan kuda belang bermigrasi (pada Julai-Ogos dan November), sinilah tempat terbaik untuk menemui gajah, zirafah dan dik dik.

Manusia dilarang menduduk taman selain daripada kakitangan Lembaga Taman Negara Tanzania, penyelidik dan kakitangan Persatuan Zoologi Frankfurt, serta kakitangan pelbagai rumah inapan, perkhemahan dan hotel berkenaan. Petempatan utama ialah Seronera yang menempatkan majoriti penyelidik dan ibu pejabat utama taman, termasuklah padang terbang utamanya.

Hidupan liar

[sunting | sunting sumber]
Harimau bintang Afrika betina dan anaknya hinggap di pokok di Dataran Serengeti.
Cheetah Tanzania di prairie Serengeti.
Jenjang balung kelabu di Taman Negara Serengeti
Sekawan gajah pada waktu pagi di Taman Negara Serengeti

Taman ini terkenal sedunia kerana kepelbagaian hidupan liar dan biodiversiti tinggi.

Antara haiwan paling menarik pelancong, iaitu "Lima Teratas" ialah:

  • Singa Afrika Timur: Serengeti dipercayai menyimpan populasi singa terbanyak di Afrika disebabkan oleh antara lainnya banyaknya spesies mangsa. Lebih 3,000 ekor hidup dalam ekosistemnya.
  • Harimau bintang Afrika: pemangsa yang menyepi ini kerap ditemui di kawasan Seronera tetapi ada di seluruh taman dengan sekitar 1,000 ekor.
  • Gajah semak Afrika: bilangannya berjaya dipulihkan dari kemorosotan pada 1980-an akibat pemburuan, kini lebih 5,000 ekor,[8] terutama di kawasan utara taman.
  • Badak sumbu hitam timur: banyak terdapat di sekitar kopjes di pusat taman, amat sedikit yang tinggal disebabkan pemburuan berleluasa. Ada kalanya individu dari Rizab Masai Mara menyeberangi sempadan ke Serengeti.
  • Kerbau Afrika: terdapat 53,000 ekor di dalam taman.

Karnivor -di samping Lima Teratas- termasuklah citah yang banyak terdapat kerana banyaknya mangsa gazel, kira-kira 4,000 ekor dubuk bertompok, dua spesies jakal, serigala keemasan Afrika, bajer madu, dubuk belang, serval, tujuh spesies cerpelai, dua spesies memerang dan anjing liar Afrika Timur yang diperkenalkan semula (pupus tempatan sejak 1991). Primat seperti babun Anubis dam monyet patas juga kelihatan di hutan gerbang Sungai Grumeti.

Mamalia lain termasuk ardvark, serigala tanah (aardwolf), rubah bertelinga kelawar, tenggiling tanah, landak berjambul, tiga spesies hyrax, dan arnab tanjung.

Taman Negara Serengeti turut mempunyai 500 spesies burung, termasuk burung unta Masai, burung sekretari, bustard kori, ayam piru berketopong, enggang tanah selatan, jenjang berbalung, burung botak marabou, burung botak paruh kuning, flamingo kecil, helang perang, burung cinta, oxpecker, dan banyak spesies hering.

Reptilia di Taman Negara Serengeti termasuk buaya Nil, kura-kura harimau bintang, tuntung berengsel gerigi, agama pelangi, biawak Nil, sumpah-sumpah, ular sawa Afrika, mamba hitam, ular tedung meludah leher hitam, dan puff adder.

  1. ^ "Dar registers "three wonders"". Daily News (Tanzania). 20 August 2012. Dicapai pada 28 January 2013. 
  2. ^ The official Map of Tanzania with New Regions and Districts, Ministry of Lands, Housing and Human Settlements Development, 21 September 2012[pautan mati kekal]
  3. ^ "Simiyu Region". Dicapai pada 22 October 2016.
  4. ^ "Dr. Oscar Baumann", Information about northern Tanzania: a personal scrapbook of "cuttings" from published sources
  5. ^ "Heartbreak on the Serengeti", National Geographic Magazine, reported by Robert M. Poole, February 2006
  6. ^ "Stewart Edward White", Information about northern Tanzania: a personal scrapbook of "cuttings" from published sources
  7. ^ Tanzania in figures 2012, National Bureau of Statistics, Ministry of Finance, June 2013, page 12 Error in webarchive template: Check |url= value. Empty.
  8. ^ Mduma H, Musyoki C, Maliti Kyale D, Nindi S, Hamza K, Ndetei R, Machoke M, Kimutai D, Muteti D, Maloba M, Bakari S, and Kohi E. "Aerial Total Count of Elephants and Buffaloes in the Serengeti-Mara Ecosystem" (PDF). WWF-World Wide Fund For Nature (Formerly World Wildlife Fund), Nairobi, Kenya. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2016-09-09. Dicapai pada 2017-12-23.CS1 maint: multiple names: authors list (link) Selenggaraan CS1: Nama yang banyak: authors list (link)