Pergi ke kandungan

Taman Mini Malaysia dan ASEAN

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Koordinat: 2°16′50.5″N 102°18′02.3″E / 2.280694°N 102.300639°E / 2.280694; 102.300639

Mini Malaysia and ASEAN
Cultural Park
ASEAN تامن ميني مليسيا دان
Pintu masuk ke MMACP
JenisTaman rekreasi/kebudayaan
LokasiAyer Keroh, Melaka, Malaysia
Dibuka pada
17 Julai 1986
(Taman Mini Malaysia)[1]
3 September 1991
(Taman Mini ASEAN)[1]
Dimiliki oleh
Perbadanan Melaka (MCORP)[2]
StatusDijenamakan semula kepada Malaysia Heritage Studios
Kos pembinaanM$5.5 juta
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Taman Mini Malaysia dan ASEAN (nama rasmi: Mini Malaysia and ASEAN Cultural Park, disingkatkan sebagai MMACP) ialah sebuah taman tema bercirikan kebudayaan yang terdapat di Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN. Taman ini terletak di Ayer Keroh di negeri Melaka di mana ianya bertempat kira-kira satu kilometer dari Plaza Tol PLUS Ayer Keroh dan bersebelahan dengan Zoo Melaka[3].

MMACP dibahagikan kepada dua bahagian berdasarkan kepada tema dan tarikh pembukaannya. Seksyen Mini Malaysia atau Taman Mini Malaysia mula dibuka pada 17 Julai 1986, mempamerkan rumah tradisional dan hasil kraf tangan asli dari kesemua negeri dalam Malaysia[4]. Seksyen Mini ASEAN atau Taman Mini ASEAN pula mempamerkan rumah tradisional dari beberapa negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN)[5], mula dibuka pada 3 September 1991. Selain daripada itu, antara perkhidmatan yang disediakan di MMACP termasuklah bermalam di hostel, bermesyuarat dan mengadakan majlis perkahwinan[6].

Kawasan Taman Mini Malaysia dan ASEAN dimiliki oleh Perbadanan Melaka (MCORP)[2] (dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka[7]) iaitu sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri Melaka. Pada tahun 2024, MMACP dijenamakan semula sebagai Malaysia Heritage Studios di bawah pengurusan baharu ekoran terdapat aduan yang mengatakan bahawa MMACP tidak diuruskan dengan baik serta banyak fasiliti yang tidak diselenggara dan tidak selamat untuk digunakan[2]. Walaupun penjenamaan semula ini mengekalkan taman tema bercirikan kebudayaan seperti yang dibawa oleh MMACP, namun ia menawarkan pengalaman yang agak berbeza.


Projek Taman Mini Malaysia mula diperkatakan sekitar tahun 1984 apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rahim Thamby Chik mengatakan bahawa projek pembinaan taman ini akan dikendalikan secara bersama dengan syarikat swasta[8]. Pada tahun 1985, projek ini telah dibincangkan semasa Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-13 apabila setiap ketua kerajaan negeri bersetuju dengan permintaan Kerajaan Negeri Melaka untuk mengemukakan reka bentuk dan membina rumah tradisional negeri masing-masing[9].

Pada 4 Jun 1986, Taman Mini Malaysia yang berkeluasan 11 hektar mula dibuka untuk tontonan umum dan ia juga mendapat liputan dari stesen televisyen RTM dan TV3 pada ketika itu[10]. Pada mulanya, tidak ramai pengunjung yang hadir ketika taman ini dibuka pada pukul 10 pagi kerana hujan lebat yang berterusan selama satu jam, namun bilangan pengunjung meningkat selepas cuaca bertambah baik[10]. Sebanyak 13 replika rumah tradisional yang mewakili setiap negeri di Malaysia telah dibina di mana pengunjung perlu membuka kasut jika mereka berhasrat untuk memasuki rumah-rumah tersebut[11]. Antara rumah tradisional yang dibina ialah Rumah Minangkabau dari Negeri Sembilan dan Rumah Panjang dari Sarawak. Setiap isi rumah tradisional ini dipenuhi dengan patung manusia yang diperagakan dengan pakaian tradisional negeri terbabit serta menggambarkan pelbagai aspek kebudayaan Melayu seperti majlis berkhatan dan perkahwinan[12].

Beberapa delegasi kerajaan luar pernah mengadakan lawatan ke Taman Mini Malaysia. Pada 11 Oktober 1987, delegasi kerajaan Czech yang diketuai Menteri Perdagangan Luar, Bohumil Urban meluangkan masa melawat beberapa lokasi pelancongan di Melaka, termasuklah Taman Mini Malaysia dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke Malaysia[13]. Pada bulan Februari 1989, Presiden Turki Kenan Evren bersama 23 pegawai delegasi bertemu dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rahim Thamby Chik dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Syed Ahmad Shahabuddin dan melawat Taman Mini Malaysia[14].

Pembangunan Taman Mini ASEAN di bawah projek kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka mula dilaksana sekitar tahun 1988 dengan kos pembinaan sebanyak M$1 juta[15]. Pada bulan Oktober 1990, Taman Mini ASEAN dilaporkan hampir siap, di mana kos pembinaan dianggarkan meningkat sehingga M$6 juta[16], merangkumi pembinaan dua buah rumah tradisional dari negara Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina dan sebuah rumah tradisional dari Brunei dan terletak di antara Taman Mini Malaysia dan Zoo Melaka[16].


  1. ^ a b "Taman Mini Malaysia dan ASEAN". MPHTJ. Diarkibkan daripada yang asal pada 19 September 2024. Dicapai pada 20 September 2024.
  2. ^ a b c "Taman Mini Malaysia, ASEAN perlu henti operasi". Sinar Harian. 16 September 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 September 2020. Dicapai pada 20 September 2024.
  3. ^ Ah Choy, Er. "Pembangunan pelancongan lestari di Melaka: Perspektif pelancong". Geografia – Malaysian Journal of Society and Space. 9 (3 (2013)): 12–23. ISSN 2682-7727. Dicapai pada 20 September 2024.
  4. ^ "About Us". MMACP. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Disember 2021. Dicapai pada 20 September 2024.
  5. ^ "Dekat-dekat tetapi memikat". Berita Harian. 30 Ogos 1997. m/s. 12. Dicapai pada 20 September 2024.
  6. ^ "Facilities". MMACP. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Januari 2022. Dicapai pada 20 September 2024.
  7. ^ Salman Hamat (12 November 2022). "PKNM dikenali MCorp tahun hadapan". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Disember 2022. Dicapai pada 20 September 2024.
  8. ^ "10,000 houses to be built by Malacca". New Straits Times. 14 Ogos 1984. m/s. 4. Dicapai pada 20 September 2024.
  9. ^ Khairuddin Hassan (1 Julai 1985). "States vote 'no glamour projects' ". New Straits Times. m/s. 4. Dicapai pada 20 September 2024.
  10. ^ a b "Rainfall fails to dampen opening of Mini Malaysia". New Straits Times. 5 Jun 1986. m/s. 4. Dicapai pada 20 September 2024.
  11. ^ "Sheds for visitors". New Straits Times. 16 Disember 1987. m/s. 10. Dicapai pada 20 September 2024.
  12. ^ "160 delegates to visit Malacca's cultural village". New Straits Times. 9 April 1986. m/s. 5. Dicapai pada 20 September 2024.
  13. ^ "Minister visit". New Straits Times. 12 Oktober 1987. m/s. 13. Dicapai pada 20 September 2024.
  14. ^ "EVREN TOURS MALACCA". New Straits Times. 22 Februari 1989. m/s. 4. Dicapai pada 20 September 2024.
  15. ^ P. Selvarani (8 Jun 1988). "Dynamic new image for 'sleepy' Malacca". New Straits Times. m/s. 6. Dicapai pada 20 September 2024.
  16. ^ a b "Mini-complex a show-place for Asean". New Straits Times. 26 Oktober 1990. m/s. 15. Dicapai pada 20 September 2024.


Lihat juga

[sunting | sunting sumber]