Pergi ke kandungan

Musang hitam pudar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Musang hitam pudar
frames
Pengelasan saintifik

Musang hitam pudar (Jawi: موسڠ هيتم ڤودر atau musang gunung (nama saintifik: Diplogale hosei[1]) ialah spsesies musang tergolong dalam famili Viverridae yang endemik di Borneo utara.

Tidak banyak yang diketahui mengenai mamalia pemangsa ini. Apa yang diketahui mengenai spesies ini datangnya daripada maklumat yang diperolehi daripada 17 buah spesimen yang disimpan di muzium-muzium di seluruh dunia. Hanya seekor Musang Hitam Pudar pernah ditangkap hidup hidup dalam sejarah: seekor Musang Hitam Pudar betina yang ditangkap padas tahun 1997 di Brunei dan disimpan dalam kurungan selama 2 bulan sebelum dilepaskan kembali.[1] Tidak ada seekor Musang Hitam Pudar yang hidup di dalam kurungan pada masa ini di mana mana tempat di dunia.

Ia diberi beberapa nama setempat termasuk dalam bahasa Dusun: Tani; bahasa Kadazan: Toni; bahasa Penan: Perayen. adalah sejenis mamalia carnivora

Rupa Bentuk

[sunting | sunting sumber]

Bahagian atasnya (dari hujung hidung sampai hujung ekor, termasuk bahagian luar kakinya) berwarna gelap (hitam pudar hingga hitam) dan bahagian bawahnya berwarna putih hingga putih kekuningan.[1][2] Ia mempunyai selaput di antara jari-jari kakinya (macam itik) dan ada bulu di bahagian bawah tapak kakinya.[2]

Ukuran kepala sampai badan adalah 472 – 540mm, ekornya 298-346mm, kaki belakang 74-81mm dan telinganya 35 – 39mm. Ia dianggarkan seberat 1.4 – 1.5kg bila dewasa, dan mempunyai 40 batang gigi.[1][2]

Corak Aktiviti

[sunting | sunting sumber]

Musang Hitam Pudar dipercayai aktif hanya pada waktu malam sahaja. Ia dipercayai bergerak atas tanah dan jarang naik pokok seperti musang musang lain.[3][9] Ia dipercayai bersarang di lubang-lubang antara batu dan akar akar pokok.[1]

Pemakanan

[sunting | sunting sumber]

Tidak banyak diketahui tentang apa yang dimakan oleh musang ini. Kemungkinan besarnya ia mencari ikan ikan kecil, udang, katak dan serangga[1][4] di sebalik batu-batu yang berlumut di anak-anak sungai.

Taburan dan Habitat

[sunting | sunting sumber]

Setakat ini, Musang Hitam Pudar pernah dijumpai hanya di beberapa kawasan di Sarawak, Sabah dan Brunei; ia belum pernah dijumpai di Kalimantan.

Kawasan di mana ia paling kerap ditemui setakat ini adalah sebuah kawasan pembalakan di Ulu Baram, Sarawak, iaitu Sela’an-Linau Forest Management Unit (FMU), di mana antara tahun 2004 hingga 2005, sebanyak 14 keping gambar carnivora ini didapati dari kamera kamera otomatik khas yang disimpan di hutan.[9] Sebelum ini, kawasan di mana paling banyak specimen binatang ini didapati adalah Tanah Tinggi Kelabit (Kelabit Highlands), di mana antara tahun 1945 hingga 1949, Tom Harrisson mendapati 4 ekor specimen.[4] Oleh kerana Sela’an Linau FMU dan Kelabit Highlands terletak berdekatan antara satu sama lain, kawasan ini mungkin merupakan habitat yang paling sesuai untuk Musang Hitam Pudar.[3][9]

Setakat ini, hampir semua rekod Musang Hitam Pudar adalah dari Hutan Montane (gunung).[1][2][3][5] Ini menyebabkan ianya dipercayai sebagai spesies pergunungan. Namun demikian, ia pernah dijumpai di ketinggian hanya 450m di Brunei,[6] 600m di Batu Song, Sarawak,[2] dan salah satu daripada 14 keping gambar dari Sela’an – Linau FMU diambil dari paras ketinggian 730m.[3][9]

Status Pemuliharaan

[sunting | sunting sumber]

Pada masa ini, faktor faktor yang akan menentukan pemuliharaan Musang Hitam Pudar pada jangka masa panjang (seperti jumlah individu, tahap tangunggan terhadap hutan tua, kawasan keliaran (kewilayahan), corak pergerakan dan sebagainya) langsung tidak diketahui. Jadi, langkah langkah yang perlu diambil untuk memastikan pemuliharaannya buat jangka masa panjang tidak dapat ditentukan.[3][9] Tidak ada mana-mana kawasan terlindung sepenunya yang menampung populasi besar Musang Hitam Pudar.[3] Di negeri Sarawak, tiada mana mana kawasan terlindung sepenuhnya yang diketahui menampung spesies ini.

Musang Hitam Pudar sekarang tergolong sebagai “Vulnerable” di Senarai Merah Spesies Terancam IUCN (Red List) IUCN,[7] berdasarkan kawasan keliarannya yang sangat terhad dan kemusnahan habitat yang berleluasa di kawasan kawasan sedemikian,[8] terutamanya disebabkan pembalakan dan perladangan secara besar-besaran (seperti kelapa sawit dan Pokok Akasia). Pemburuan mungkin juga satu ancaman terhadap spesies ini.[3][8] Ia mungkin akan disenaraikan kepada golongan ancaman yang lebih tinggi di Senarai Merah IUCN, sekiranya lebih banyak maklumat diperolehi tentang ancaman dan ekologinya. Oleh yang demikian, kajian harus dilakukan atas spesies ini secepat mungkin.[8]

  1. ^ "JABATAN HIDUPAN LIAR SABAH" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2011-11-11. Dicapai pada 2013-01-10.
  • 1. Yasuma, S. (2004). Observations of a live Hose’s Civet Diplogale hosei. Small Carnivore Conservation 31: 3–5.
  • 2. Payne, J., Francis, C. M., & Phillips, K. (1985). A field guide to the mammals of Borneo. The Sabah Society with World Wildlife Fund Malaysia, Kota Kinabalu and Kuala Lumpur, Malaysia.
  • 3. Mathai, J., Hon, J., Juat, N., Peter, A., & Gumal, M. (2010). Small carnivores in a logging concession in the Upper Baram, Sarawak, Borneo. Small Carnivore Conservation 42: 1 – 9.
  • 4. Davis, D. D. (1958). Mammals of the Kelabit plateau, northern Sarawak. Fieldiana, Zoology 39: 119–147.
  • 5. Dinets, V. (2003). Records of small carnivores from Mount Kinabalu, Sabah, Borneo. Small Carnivore Conservation 28: 9.
  • 6. Francis, C. M. (2002). An observation of Hose’s Civet in Brunei. Small Carnivore Conservation 26: 16
  • 7. IUCN (2010). IUCN Red List of Threatened Species. Version 2010.2 on 29 July 2010.
  • 8. Hon, J. & Azlan, M.J. (2008). Diplogale hosei. Senarai Merah Spesies Terancam IUCN 2008. IUCN 2008. Dicapai pada 22 March 2009. Listed as Vulnerable (VU A2c+3c v3.1)
  • 9. Mathai, J. (2010). Hose's Civet: Borneo's mysterious carnivore. Nature Watch 18/4: 2-8.