Malcolm X
Malcolm X El-Hajj Malik El-Shabazz | |
---|---|
Kelahiran | Malcolm Little 19 Mei 1925 |
Meninggal dunia | 21 Februari 1965 | (umur 39)
Sebab kematian | Dibunuh (melalui tembakan berganda) |
Dikebumikan | Ferncliff Cemetery |
Nama lain | El-Hajj Malik El-Shabazz |
Organisasi | Nation of Islam, Muslim Mosque, Inc., Pertubuhan Perpaduan Afro-Amerika |
Gerakan politik | Nationalisme kulit hitam, Pan-Afrikanisme |
Pasangan | Betty Shabazz (m. 1958) |
Anak-anak | Attallah Shabazz Qubilah Shabazz Ilyasah Shabazz Gamilah Lumumba Shabazz Malikah Shabazz Malaak Shabazz |
Ibu bapa | Earl Little, Louise Norton Little |
Tandatangan | |
Malcolm X (19 Mei 1925 - 21 Februari 1965, juga dikenali sebagai El-Hajj Malik El-Shabazz, Arab: الحاجّ مالك الشباز, rumi: Al-Haj Malik Asy-Syabaz ) merupakan seorang aktivis hak asasi manusia Amerika Syarikat. Semasa hayatnya, Malcolm X dikenali sebagai seorang ketua gerakan nasionalisme kulit hitam yang terkemuka di Amerika Syarikat melalui keterlibatan dalam Nation of Islam di mana beliau meraih perhatian tinggi saat memuncaknya gerakan penyetaraan hak sesama warga kulit hitam dan kulit putih di negaranya.
Pendiriannya berubah setelah menghadapi keadaan mengekang dalam pertubuhan tersebut, lagi-lagi dengan pemelukan mazhab Sunah Waljamaahnya tidak lama selepas meninggalkan pertubuhan ini. Beliau masih bergiat dalam aktivisme caranya sendiri seperti pengasasan Muslim Mosque, Inc. dan Pertubuhan Perpaduan Afro-Amerika (Organization of Afro-American Unity) serta berhubung dengan banyak persatuan dan negara sedunia sehingga saat beliau dibunuh tahun 1965. Beliau merupakan tokoh sangat disanjung dalam kalangan warga kulit hitam dan umat Islam Amerika Syarikat atas sumbangan lewat usianya ini.
Awal hidup
[sunting | sunting sumber]Malcolm Little lahir di Omaha, Nebraska kepada Louise Helen Norton, seorang aktivis kelahiran Grenada, dan Earl Little,[1] seorang paderi Baptist kelahiran Georgia. Ayahnya begitu lantang menyokong fahaman Pan-Afrikanisme dibawa Marcus Garvey serta mengetuai cawangan persatuan Universal Negro Improvement Association setempat, penggiatan ini banyak mendatangkan ancaman daripada pendokong ketuanan kulit putih seperti Ku Klux Klan[2] sehingga keluarga mereka beberapa kali diganggu, mereka turut berpindah randah menyelamatkan diri ketika itu.[3] Kematian Earl dalam suatu kemalangan jalan raya di Lansing, Michigan pada 1931 turut disyaki dibuat dengan sengaja oleh suatu kumpulan pengganas ini iaitu Black Legion.
Malcom berhenti bersekolah untuk berpindah ke Boston untuk mencuba nasib memulakan kehidupan baru, beliau tinggal dengan kakak tirinya. Dia telah mendapat kerja sebagai pengilat kasut di sebuah kelab malam Lindy Hop; dalam autobiografinya, Malcolm berkata dia pernah mengilat kasut Duke Ellington dan beberapa pemuzik kulit hitam yang terkenal.
Setelah beberapa ketika, dia berpindah ke Harlem, New York, di mana dia mula terlibat di dalam pengedaran dadah haram, berjudi, pelacuran, memeras ugut, dan merompak (dirujuk secara menyeluruh oleh Malcom sebagai hustling); dia juga sanggup berlakon gila untuk mengelakkan dari dihantar sebagai askar kerahan semasa Perang Dunia Kedua.
Zaman dewasa
[sunting | sunting sumber]Malcolm ditahan pada 12 Januari 1946 pada umur 20 tahun dan telah dipenjarakan selama lapan hingga sepuluh tahun di Penjara Negeri Charlestown atas kesalahan memecah masuk, membawa senjata api, dan merompak. Beliau pada ketika itu sangat membenci terhadap sebarang benda berkaitan agama sampai menyumpah seranah terhadap Tuhan dan kitab Bible; keadaan ini menyebabkan beliau mendapat gelaran Satan ("Syaitan") dalam kalangan orang setahanan.[4]
Pada 1948, keluarganya memeluk ajaran Islam. Saudara lelakinya Reginald telah menulis surat meminta dia menyertai Nation of Islam. Jadi Malcolm mula mempelajari ajaran Elijah Muhammad dengan gigihnya dan telah mula mengembangkan pemikiran inteleknya. Kakaknya Ella telah menolong memindahkannya ke koloni penjara berkawalan rendah di Norfolk, Massachusetts di mana dia telah mula minat membaca dan menemui kebenaran di dalam ajaran Elijah Muhammad dan Nation of Islam dalam sejarah dan falsafah. Beliau juga menyertai debat mingguan di koloni penjara itu. Beliau telah menyalin seluruh kamus daripada perpustakaan di situ dalam usahanya menambahkan pengetahuan dan memperbaiki tulisannya.
Pertama kali Malcolm mengenali Elijah Muhammad ialah semasa beliau berada di penjara dimana beliau surat-menyurat dengan pemimpin tersebut. Dalam usaha mempertingkatkan ilmunya sendiri, beliau menulis kepada Elijah setiap hari.
Selepas dibebaskan dari parol pada 7 Ogos, 1952, beliau membeli beg suitcase, sepasang kacamata, dan sebuah jamtangan, barang-barang yang paling kerap digunakan dalam kehidupannya.
Pemasukan ke Nation of Islam
[sunting | sunting sumber]Setelah dilepaskan dari penjara pada 1952, Malcolm berjumpa dengan Elijah Muhammad di Chicago. Di sinilah dia menerima tanda X yang dilihat menidakkan nama keluarga yang sedia ada - menurut autobiografi beliau, nama keluarga orang kulit hitam yang ada sebenarnya diberikan mengikuti tuan-tuan hamba yang memiliki leluhur mereka pada zaman dahulu sambil memutuskan pertalian asal hamba abdi didagangkan tersebut.[5]
Pada 1953, Malcolm meninggalkan Boston untuk tinggal bersama dengan Elijah Muhammad di Chicago. Beliau kemudiaanya kembali ke Boston dan menjadi Ketua Minister Kuil Nombor 11 Nation of Islam.
Kegiatannya yang aktif sebagai pemimpin di kuil tersebut telah membawanya untuk membuka lebih banyak kuil di seluruh negara, dimana beliau seringkali menjadi Minister. Khutbahnya yang memukau serta berinspirasi dan personalitinya yang bersih, menyebabkan beliau naik pangkat dengan cepat sekali. Akhirnya beliau telah menjadi orang nombor dua kepada pemimpin Nation of Islam (N.o.I) iaitu Elijah Muhammad.
Sewaktu Malcolm berusaha keras untuk gerakan ini, beliau kerap mendengar desas-desus mengenai skandal Elijah Muhammad dengan beberapa setiausahanya. Penzinaan adalah ditolak oleh ajaran Nation of Islam. Pada mulanya beliau tidak percaya dengan tohmahan ini. Tetapi selepas disiasat beliau dapati kebenarannya. Malah Elijah Muhammad sendiri mengaku melakukan zina tetapi berkata ia adalah dibenarkan kerana dia adalah "Pesuruh Tuhan". Walaupun begitu, kepercayaan beliau kepada Elijah Muhammad tidak pernah goyah. Pada 1963, selepas pembunuhan Presiden John F. Kennedy, Malcolm telah memberi satu khutbah. Selepas khutbah tersebut, beliau diminta memberi komen mengenai pembunuhan Kennedy. Beliau dengan sinis berkata ini adalah kes "ayam pulang ke reban." (chickens coming home to roost) -- keganasan yang Kennedy gagal tangani akhirnya telah "memakan dirinya sendiri". Komen ini telah mendapat reaksi yang hebat oleh rakyat Amerika yang rata-rata menyanjungi Presiden Kennedy dan Nation of Islam terpaksa mengumumkan hukuman terhadap Malcolm X. Akibatnya, beliau telah diharamkan untuk memberi khutbah selama enam bulan dan beliaupun mematuhi perintah ini.
Setahun kemudian, Malcolm mula berganding bahu dengan karyawan kulit hitam terkenal Alex Haley dalam penulisan buku "The Autobiography of Malcolm X". Beliau juga mengumumkan perpisahannya dengan Nation of Islam, dan menubuhkan gerakan yang lain iaitu Muslim Mosque, Inc. Namun, beliau tetap mengikuti ajaran Nation of Islam. Pada April tahun yang sama, beliau membuat ucapannya yang terkenal iaitu Mengundi atau Peluru (Ballot or Bullet).
Malcolm lama-kelamaan merasakan keadaan di N.o.I sangat mengekang pergerakan beliau untuk bekerjasama dengan aktivis-aktivis lain. Elijah pun didapati melakukan hubungan luar nikah bersama seberapa setiausahanya hasil perbualan dengan anak Elijah, Wallace atau Warith Deen.[6] Oleh dengan sebab-sebab ini, Malcolm mengumumkan keluarnya diri beliau daripada Nation of Islam pada 8 Mac 1964.[7]
Memeluk ajaran Sunnah, perjalanan sedunia
[sunting | sunting sumber]Beliau berkenalan dengan seberapa orang Muslim Sunnah beberapa minggu selepas meninggalkan N.o.I, Malcolm memeluk mazhab tersebut hasil perkenalan ini.[8][9]
Ibadah haji
[sunting | sunting sumber]Pada musim bunga 1964, Malcolm berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa JFK ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji di Mekah. Beliau pada awalnya ditahan seketika memandangkan beliau berkewarganegaraan Amerika Syarikat malah tidak tahu berbahasa Arab lalu mendatangkan kesangsian,[10][11] namun gendalaan ini dapat diselesaikan dengan seorang kenalan menerangkan keadaan kepada pihak kastam Saudi. Perjalanan ini telah mengubahkan hidup beliau. Ikatan persaudaraan yang beliau saksikan di Baitullah telah mengubah kepercayaannya selama ini bahawa perhubungan antara kaum adalah mustahil. Beliau juga mula sedar tentang kepalsuan Nation of Islam:[12][13]
Beliau berkata "Perjalanan haji telah membuka pemikiran saya dengan menganugerahkan pandangan baru selama dua pekan di tanah suci saya melihat hal yang tidak pernah saya lihat selama 39 tahun hidup di Amerika Syarikat. Saya melihat semua ras dan warna kulit bersaudara dan beribadah kepada satu Tuhan tanpa menyekutukannya. Benar pada masa lalu saya bersikap benci pada semua orang kulit putih namun saya tidak merasa bersalah dengan sikap itu lagi karena sekarang saya tahu bahawa ada orang kulit putih yang ikhlas dan mahu bersaudara dengan orang negro. Kebenaran Islam telah menunjukkan kepada saya bahwa kebencian membabi buta kepada semua orang putih adalah sikap yang salah seperti halnya jika sikap yang sama dilakukan orang kulit putih terhadap orang negro".
Sebaik sahaja pulang ke negaranya, beliau terus memeluk agama Islam dan menukarkan namanya kepada - El-Hajj Malik El-Shabazz dan menubuhkan Organisasi Persatuan Afro-Amerika Organization of Afro-American Unity. Disana beliau berkhutbah mengenai toleransi terhadap bangsa lain dan juga nasionalisme kulit hitam.
Ke Afrika
[sunting | sunting sumber]Beliau terbang ke Afrika pada bulan Julai tahun sama.[14] Selama kunjungan dia bertemu para pejawat, memberikan wawancara, dan berbicara dalam televisyen dan radio di Mesir, Habsyah, Tanganyika, Nigeria, Ghana, Guinea, Sudan, Senegal, Liberia, Algeria dan Maghribi.[15] Beliau ke Kaherah menghadiri pertemuan kedua dari Organisasi Persatuan Afrika sebagai wakil dari Organisasi Persatuan Afro-Amerika,[16] di situ Kwame Nkrumah, Gamal Abdel Nasser dan Ahmed Ben Bella ada mengundang Malcolm untuk bekerja dalam pemerintahan mereka.[17]
Kematian dan selepasnya
[sunting | sunting sumber]Ketegangan meningkat antara Malcolm dan Nation of Islam. Perintah diberi oleh anggota Nation untuk membunuh Malcolm. Pada 14 Februari 1965 rumahnya di New York dibaling dengan bom api oleh Nation of Islam, tetapi Malcolm dan keluarganya terselamat.
Seminggu kemudian pada 12 Februari, di Audubon Ballroom, Manhattan, Malcolm baru sahaja memulakan ucapannya apabila kekecohan berlaku dalam himpunan 400 orang. Seorang lelaki kedengaran menjerit "Negro! Keluarkan tanganmu dari sakuku!"[nota 1] Sewaktu pengawal peribadi beliau berlari ke arah kekacauan tersebut untuk meredakan keadaan,[nota 2] seorang berkulit hitam disaksikan meluru kehadapan dan menembak Malcolm di dadanya dengan sepatah senapang dikerat.[20][21] Dua orang lagi yang bersenjatakan pistol melepaskan tembakan ke arah hadirin.[22] Malcolm dibawa ke hospital Columbia Presbyterian Hospital yang berdekatan namun gagal diselamatkan, beliau menghembuskan nafas terakhir akibat luka dialami pada jam 3:30 petang.[23]
Mayat Malcolm dikebumikan di Ferncliff Cemetery di Hartsdale, New York. Tiga lelaki ditahan atas tuduhan membunuh dan kesemuanya adalah ahli Nation of Islam iaitu Talmadge Hayer, Norman 3X Butler, dan Thomas 15X Johnson. Suatu memo FBI telah mendedahkan penglibatan agensi itu, dengan mengadakan perselisihan antara kedua gerakan itu yang berakhir dengan pembunuhan Malcolm X. Peranan FBI tidak begitu jelas. Walaupun begitu, adalah diketahui bahawa salah seorang pengawal peribadi beliau merupakan pegawai polis NYPD yang melapor kepada FBI.
Petikan
[sunting | sunting sumber]- You're not to be so blind with patriotism that you can't face reality. Wrong is wrong, no matter who does it or says it.
(Anda tidak seharusnya dibutakan dengan semangat patriotisme sehingga tidak menyedari kenyataan. Apa yang salah itu adalah salah, tidak kira siapa yang melakukan atau mengatakannya.)
Pengaruh
[sunting | sunting sumber]Penampilan dalam media
[sunting | sunting sumber]Filem biopik Malcolm X dikeluarkan pada 1992, dan diarah oleh Spike Lee; Filem ini dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Denzel Washington sebagai Malcolm, Angela Bassett sebagai Betty dan Al Freeman Jr. sebagai Elijah Muhammad.[24]
Pada 2002, filem Ali mengenai peninju hebat Muhammed Ali juga menunjukkan pertemuan mereka berdua, di mana watak Malcolm dilakonkan oleh Mario Van Peebles.[25]
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]- The Autobiography of Malcolm X ( ISBN 0-345-35068-5 ) oleh Alex Haley , berdasarkan temuramah dengan beliau antara 1964 dan 1965 sebelum terbunuh (dengan epilog selepas itu), dan diterbitkan pada 1972.
- Malcolm X Speaks: Selected Speeches and Statements ISBN 0-8021-3213-8
Nota
[sunting | sunting sumber]- ^ Petikan asal: "Nigger! Get your hand outta my pocket! Don't be messin' with my pockets!"[18][19]
Perkataan "Nigger" di sini lebih berkonotasi kepada panggilan "saudara" sesama kedua-dua pendengar dan pecakap yang sama kaum dalam konteks ini. - ^ In his Epilogue to The Autobiography of Malcolm X, Haley wrote that Malcolm X said, "Hold it! Hold it! Don't get excited. Let's cool it, brothers" (p. 499). According to a transcript of an audio recording, Malcolm's only words were, "Hold it!", repeated ten times (DeCaro, p. 274).
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Watson, Clarence; Akhtar, Salman (2012). "Ideology and Identity: Malcolm X". Dalam Akhtar, Salman (penyunting). The African American Experience: Psychoanalytic Perspectives. Lanham, Md.: Jason Aronson. m/s. 120. ISBN 978-0-7657-0835-9.
- ^ DeCaro, pp. 43–44.
- ^ Natambu, p. 3.
- ^ Perry, pp. 104–106.
- ^ Malcolm X, Autobiography, p. 229.
- ^ Perry, pp. 230–234.
- ^ Handler, M. S. (March 9, 1964). "Malcolm X Splits with Muhammad". The New York Times. m/s. 1. Dicapai pada June 19, 2018.
- ^ Marable, Malcolm X, pp. 300–301.
- ^ Perry, p. 261.
- ^ Perry, pp. 262–263.
- ^ DeCaro, p. 204.
- ^ Perry, p. 267.
- ^ Malcolm X, Autobiography, pp. 388–393; ucapan dari pp. 390–391.
- ^ Carson, p. 305.
- ^ Natambu, pp. 304–305.
- ^ Marable, Malcolm X, pp. 360–362.
- ^ Natambu, p. 308.
- ^ Karim, p. 191.
- ^ Evanzz, p. 295.
- ^ Marable, Malcolm X, pp. 436–437.
- ^ Perry, p. 366.
- ^ Evanzz, p. 295.
- ^ Kihss, Peter (February 22, 1965). "Malcolm X Shot to Death at Rally Here". The New York Times. m/s. 1. Dicapai pada June 19, 2018.
- ^ Canby, Vincent (November 18, 1992). "'Malcolm X,' as Complex as Its Subject". The New York Times. Dicapai pada June 19, 2018.
- ^ Mitchell, Elvis (December 25, 2001). "Master of the Boast, King of the Ring, Vision of the Future". The New York Times. Dicapai pada June 19, 2018.
- Sumber utama
- Carson, Clayborne (1991). Malcolm X: The FBI File. New York: Carroll & Graf. ISBN 978-0-88184-758-1.
- DeCaro Jr., Louis A. (1996). On the Side of My People: A Religious Life of Malcolm X. New York: New York University Press. ISBN 978-0-8147-1864-3.
- Evanzz, Karl (1992). The Judas Factor: The Plot to Kill Malcolm X. New York: Thunder's Mouth Press. ISBN 978-1-56025-049-4.
- Karim, Benjamin; with Peter Skutches and David Gallen (1992). Remembering Malcolm. New York: Carroll & Graf. ISBN 978-0-88184-881-6.
- Malcolm X; with the assistance of Alex Haley (1992) [1965]. The Autobiography of Malcolm X. New York: One World. ISBN 978-0-345-37671-8. Citations in this article refer to this edition, of the many that have been published.
- Marable, Manning (2011). Malcolm X: A Life of Reinvention. New York: Viking. ISBN 978-0-670-02220-5.
- Natambu, Kofi (2002). The Life and Work of Malcolm X. Indianapolis: Alpha Books. ISBN 978-0-02-864218-5.
- Perry, Bruce (1991). Malcolm: The Life of a Man Who Changed Black America. Barrytown, N.Y.: Station Hill. ISBN 978-0-88268-103-0.