Chinta (filem)
Chinta | |
---|---|
Pengarah | B.S. Rajhans |
Dihasilkan oleh | Runme Shaw |
Dibintangi |
|
Sinematografi |
|
Muzik oleh | Zubir Said |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Shaw Brothers |
Tarikh tayangan | 26 Oktober 1948 (Panggung Rex, Singapura) |
Masa tayangan | 1 jam 32 minit |
Negara | Singapura |
Bahasa | Melayu |
Chinta merupakan sebuah filem Melayu yang diarahkan oleh B.S. Rajhans serta diterbitkan oleh Runme Shaw melalui syarikat Malay Film Productions di Singapura pada tahun 1948. Filem yang diterbitkan dalam bentuk hitam putih tanpa warna ini mula ditayangkan di Panggung Rex, Singapura pada 26 Oktober 1948. Selain itu, filem ini merupakan penampilan sulung P. Ramlee dan S. Roomai Noor di layar perak. Semua lagu yang terkandung di dalam filem ini digubah oleh Zubir Said bersama pancaragam pimpinan Alfonso Soliano.[1]
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Sekitar 500 tahun dahulu di Brunei Utara, Raja Kanchi (S. Roomai Nor) bersama pembantunya, Vidush (Daeng Harris) menyamar sebagai ahli perniagaan dalam sebuah pelayaran. Kapal yang dinaiki karam akibat dipukul ombak besar lalu mereka terdampar di sebuah perkampungan nelayan. Pulau tersebut diketuai oleh Datuk Penghulu yang dikenali sebagai Gamban (Jaafar Wiryo). Raja Kanchi diselamatkan oleh anak angkat Datuk Penghulu, iaitu Chinta (Siput Sarawak) manakala Vidush tinggal di rumah seorang gadis, Ruchi (Suhara Effendi) dan ayahnya. Untuk menghilangkan identiti sebenar, Raja Kanchi menggunakan nama samaran, Sanchi dan telah jatuh hati kepada Chinta yang dilihatnya begitu cantik.[1]
Walau bagaimanapun, percintaan Sanchi dan Chinta dihalang oleh Putar (P. Ramlee), seorang pemuda yang telah lama menaruh hati terhadap Chinta. Putar telah memfitnah Sanchi dengan mengatakan Sanchi adalah perompak yang mahu merampas harta karun di pulau tersebut. Usaha Putar untuk menggagalkan percintaan mereka berhasil apabila Datuk Penghulu dan penduduk-penduduk mempercayai berita tersebut lalu menghalau Sanchi keluar dari pulau itu. Sebelum Datuk Penghulu menghalau Sanchi, beliau telah mencadangkan satu pertarungan untuk menentukan kebenaran berpihak pada siapa. Pertarungan berlangsung dengan begitu sengit dan Putar telah mengalami kekalahan di tangan Sanchi. Sanchi melepaskan peluang untuk membunuh Putar yang akhirnya menyesali perbuatannya itu.[1]
Datuk Penghulu telah menerangkan perkara sebenar mengenai diri Chinta yang mahu membalas dendam ke atas Raja Kanchi yang sedang memerintah kerajaan Indrapuri di Brunei Utara. Ayahanda Raja Kanchi telah memberontak dan merampas kerajaan Indrapuri sehingga menyebabkan Gamban, seorang panglima setia bertindak melarikan diri bersama Chinta yang masih kecil. Gamban terpaksa melindungi Chinta daripada pemberontakan tersebut bagi mengelakkan Chinta dibunuh sebagaimana ayahanda dan ibundanya yang merupakan pemerintah asal kerajaan Indrapuri. Penghulu merasakan bahawa sudah tiba waktunya untuk Chinta membalas dendam ke atas peristiwa tersebut dengan membunuh Raja Kanchi. Apabila perkara ini diceritakan kepada Sanchi, Sanchi tidak bersetuju dan Chinta mula menjauhkan diri.[1]
Sanchi pulang ke Indrapuri untuk meneruskan pemerintahannnya. Gamban dan Chinta secara senyap telah menyusup masuk ke dalam pintu rahsia istana dan menemui bilik tidur Raja Sanchi. Mereka berjaya ditangkap sebelum sempat membunuh Raja Kanchi. Apabila mengetahui hal itu, Raja Kanchi mengarahkan supaya mereka dibebaskan. Raja Kanchi kembali semula ke pulau tersebut untuk menerangkan hal sebenar. Sanchi berjanji kepada Chinta untuk membunuh Raja Kanchi dan mengiringi Chinta dan Gamban ke Indrapuri. Sesudah tibanya di sana, Sanchi terus menduduki takhta kerajaan sebagai Raja Kanchi. Akhirnya, mereka mengetahui bahawa Sanchi adalah Raja Kanchi yang sedang memerintah kerajaan Indrapuri. Raja Kanchi secara sukarela ingin menyerahkan takhta kerajaan kepada Chinta, namun ditolak. Chinta dan Raja Kanchi membuat keputusan untuk berkahwin dan mereka sama-sama memerintah kerajaan Indrapuri dengan adil.[1]
Pelakon
[sunting | sunting sumber]Pelakon utama
[sunting | sunting sumber]- Siput Sarawak sebagai Chinta
- S. Roomai Noor sebagai Raja Kanchi/Sanchi
- Jaafar Wiryo sebagai Gamban
Pelakon pembantu
[sunting | sunting sumber]- Daeng Harris sebagai Vidush
- P. Ramlee sebagai Putar
- Suhara Effendi sebagai Ruchi
- Norsiah sebagai Gadis pulau
- Lelawati sebagai Gadis pulau
Pelakon tambahan
[sunting | sunting sumber]Trivia
[sunting | sunting sumber]1. Filem lakonan pertama P. Ramlee. Ketika itu beliau berusia 19 tahun dan memegang watak kecil sebagai penjahat.
2. B. S. Rajhans memilih P. Ramlee sebagai pelakon setelah melihat persembahan nyanyiannya dalam satu pertunjukan.
3. Nyanyian pelakon utama S. Roomai Noor menggunakan suara P. Ramlee.
4. Selain pelakon, P. Ramlee turut bertugas sebagai pekerja di belakang tabir.
5. Pembikinan filem ini mengambil masa lima bulan untuk disiapkan.
Lagu
[sunting | sunting sumber]- Pulau Nelayan - Nona Asiah
- Kumbang dan Rama-Rama - Nona Asiah (versi solo)
- Ole-Ole Nelayan & Kopi Susu - Daeng Harris
- Kumbang dan Rama-Rama - P. Ramlee & Nona Asiah (versi duet)
- Gelora Asmara - P. Ramlee & Nona Asiah
- Chinta - P. Ramlee & Nona Asiah
- Selamat Berjumpa Lagi - P. Ramlee & Daeng Harris
- Mari Pancing Ikan - P. Ramlee & Daeng Harris
- Ciptaan dan gubahan, lirik - Zubir Said
- Muzik iringan - Pancaragam pimpinan Alfonso Soliano
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c d e Mustafar A. R.; Aziz Sattar (2008). Zaini Haji Yusop (penyunting). Filem-Filem P. Ramlee. Kerajaan Negeri Sarawak. m/s. 12–16. ISBN 978-983-43591-0-2.