Pergi ke kandungan

Agama di Rom kuno

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dea Roma, yang telah dipecahkan, memegang Kemenangan dan memandang mazbah dengan kornukopia dan persembahan lain, salinan panel ukiran timbul dari sebuah altar atau tapak patung
Giove Tonante sebagai arca dari 100 SM

Agama di Rom kuno ialah agama politeisme di Rom kuno yang dianuti oleh penduduknya. Ia sistem agama yang diamalkan oleh rakyat Rom dan popular di Rom dan Itali. Agama Rom kuno mempunyai 12 dewa utama, dan beratus-ratus dewa kecil.

Orang Rom menganggap diri mereka sangat beragama, dan mengaitkan kejayaan mereka menjadi kekuasaan terbesar dunia dengan ketakwaan seluruh masyarakat mereka (pietas) melalui menjaga hubungan dengan para dewa. Agama syirik mereka terkenal kerana memuliakan banyak dewa.

Kedatangan orang Yunani di semenanjung Itali dari awal sejarah mempengaruhi budaya Rom, memperkenalkan amalan agama yang kemudian menjadi penting, seperti pemujaan Apollo. Orang Rom mencari jalan tengah antara dewa-dewa utama mereka dan Yunani (interpretatio graeca), mengadaptasikan mitos dan ikonografi Yunani untuk sastera Latin dan seni Rom, sama seperti orang Etruscan. Agama Etruscan juga berperanan besar, terutamanya dalam amalan penilikan, digunakan oleh kerajaan untuk mencari kerelaan para dewa. Menurut legenda, kebanyakan institusi agama Rom boleh dijejaki kepada pengasas-pengasasnya, khususnya Numa Pompilius, raja kedua Rom dari Sabini, yang berunding secara depan-depan dengan para dewa. Agama arkaik ini menjadi dasar kepada mos maiorum, "adat nenek moyang" ataupun "tradisi", yang dipadang sebagai penting kepada identiti orang Rom.

Agama Rom adalah praktikal dan berkontrak, berdasarkan prinsip do ut des, "saya memberi supaya awak memberi" atau "timbal balik". Ia menumpukan pada mengikuti upacara dan sembahyang yang betul serta membuat korban, bukannya iman atau akidah. Malah mereka yang ragu-ragu terhadap agama, seperti Cicero yang seorang elit dan tukang ramal, percaya bahawa ia membantu mengekalkan ketenteraman sosial. Apabila Empayar Rom berkembang, pendatang ke ibu kota membawa dewa-dewa mereka sendiri, beberapa daripadanya menjadi popular di Itali. Agama Kristian akhirnya menjadi agama yang paling popular dan diisytiharkan sebagai agama rasmi negara pada tahun 380.

Bagi orang biasa Rom, agama sebahagian daripada hidupan seharian.[1] Setiap rumah terdapat keramat untuk doa dan persembahan dibuatkan kepada dewa-dewa rumah tangga. Terdapat juga keramat dan tempat suci seperti mata air dan hutan yang tersebar di seluruh bandar.[2] Kalendar Rom berkisar keliling perayaan keagamaan. Wanita, hamba dan kanak-kanak semuanya mengambil bahagian dalam pelbagai upacara keagamaan. Sesetengah ritual awam hanya dilakukan oleh wanita, dan Paderi Perawan dewi Vesta ialah golongan pendeta perempuan paling terkenal yang menjaga api suci Rom selama berabad-abad sehinggalah mereka dibubarkan oleh orang Kristian.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Jörg Rüpke (2007). "Roman Religion – Religions of Rome". In A Companion to Roman Religion. Blackwell,. p. 4.
  2. ^ Apuleius, Florides 1.1; John Scheid, "Sacrifices for Gods and Ancestors" in A Companion to Roman Religion (Blackwell, 2007), p. 279.