Pergi ke kandungan

Majusi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Zoroastrianisme)
Faravahar adalah pengawal agama Mazdayasna.

Majusi atau Zoroastrianisme atau nama asalnyadalam Bahasa Avesta, Mazdayasna (مزدیسنا) adalah sebuah agama purba Parsi yang diasaskan oleh Zarathustra. Ia juga bukan sahaja sebuah agama, tetapi sebuah falsafah kehidupan, sama seperti taoisme dari China. Sebelum kelahiran nabi Muhammad, agama ini merupakan agama utama di Timur Tengah dan Asia Tengah, namun pada hari ini, penganutnya adalah minoriti, dimana kebanyakan mereka bertumpu di Iran dan India.

Catatan pertama mengenai agama Majusi bertarikh sekitar pertengahan abad ke lima sebelum masihi (SM). Ia adalah tulisan Herodotus yang bertajuk Sejarah (diterbitkan pada 440 SM) yang di mana penulisan ini menceritakan mengenai bangsa Iran purba. Tulisan beliau merupakan sumber utama mengenai sejarah awal Empayar Achaemenid (648 SM330 SM) dan dalam penulisan beliau, orang Parsi digelar sebagai Medes atau Mada dan Parsi ketika itu terbahagi kepada beberapa puak. Puak-puak ini kemudiannya disatukan di bawah pemerintahan Cyrus Agung yang merupakan raja Achaemenid. Dalam penulisan ini juga, tersebut puak ke-enam Medes yang digelar Magi yang berkemungkinan adalah golongan paderi dan mereka ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam pentadbiran Medes. Magi ini berpegang kepada ajaran Zurvanisme, salah satu cabang agama Majusi.

Empayar-empayar Parsi kemudiannya disatukan di bawah pimpinan Cyrus Agung diikuti dengan putranya Cambyses II. Kuasa Magi ketika zaman mereka ini disekat menyebabkan pemberontakan pada tahun 522 SM. Golongan Magi in kemudiannya mencalonkan Smerdis sebagai raja Parsi dan mendakwa bahwa beliau adalah putra Cyrus. Pencalonan ini tidak mendapat bantahan daripada jajahan-jajahan Parsi kerana Cambyses yang memerintah Parsi ketika itu adalah seorang bersikap kuku besi dan juga selalu menghabiskan masa di Mesir daripada di Parsi. Malahan Smerdis menjanjikan pelepasan cukai selama tiga tahun kepada rakyat Parsi. (Herodotus iii. 68).

Inskripsi Behistun.

Menurut Inskripsi Behistun, Smerdis memerintah selama tujuh tahun sebelum digulingkan oleh Darius I pada tahun 521 SM. Golongan Magi kemudiannya ditindas di bawah pemerintahan Darius walaupun beliau mendakwa berpegang kepada ajaran Ahura Mazda, sebuah konsep ketuhanan dalam agama Majusi. Terdapat beberapa cubaan dari golongan Magi ini untuk menjatuhkan Darius, tetapi cubaan-cubaan ini berakhir dengan kegagalan.

Namun begitu agama Majusi mula membina kegemilangannya di dalam masyarakat Parsi ketika zaman Achaemenid dan banyak manuskrip-manuskrip lama mengenai agama ini diterbitkan ketika pemerintahan Achaemenid. Malahan, kalender Majusi juga turut diperkenalkan ketika zaman ini. Ketika pemerintahan dinasti Seleucid dan Parthia pula, status agama ini kurang jelas. Kemudiannya, Parsi jatuh ke tangan Iskandar Agung dimana banyak hasil tulisan agama Majusi dimusnahkan.

Ketika zaman Sassanid, agama Majusi sekali lagi mencapai kegemilangannya. Di mana sahaja Sassanid menawan sesebuah wilayah itu, mereka akan membina kuil Majusi bagi mempromosikan agama ini. Namun begitu, pada masa yang sama, mereka mula menindas orang Nasrani dan penganut Manichaeisme. Pemerintah Sassanid berasa curiga terhadap Nasrani kerana mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan Empayar Rom. Kepercayaan Majusi kemudiannya berkembang sehingga ke China melalui Jalan Sutera.

Pada abad ke tujuh, empayar Sassanid kalah di tangan Arab dan titik ini merupakan penutup kegemilangan Majusi. Penganut Majusi kemudiannya mula memeluk agama Islam. Namun begitu, terdapat beberapa kumpulan yang enggan diperintah oleh kerajaan Islam dan mereka ini melarikan diri ke India.

Demografi

[sunting | sunting sumber]

Penganut agama Majusi ini dianggarkan seramai 200,000 pada tahun 1996. Di India sahaja, jumlah penganutnya adalah seramai 69,601 (bancian 2001). Di Pakistan, jumlahnya seramai 5000 dan kebanyakan mereka bertumpu di Karachi. Terdapat juga beberapa penganut agama Majusi di Asia Tengah dan Iran.

Pautan Luar

[sunting | sunting sumber]