Pergi ke kandungan

Terier hitam Rusia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Terier Rusia hitam)
Terier hitam Rusia
Terier hitam Rusia dalam pertunjukan anjing
Nama lainTerier Rusia
Terier hitam
Negara asalRusia
Trait
Berat Jantan 50–60 kilogram (110–130 lb)
Betina 45–50 kilogram (99–110 lb)
Tinggi Jantan 72–76 sentimeter (28–30 in)
Betina 68–72 sentimeter (27–28 in)
Bulu Kasar dan tebal, sedikit beralun
Warna Hitam
Anjing (Canis lupus familiaris)

Terier hitam Rusia[a] atau terier hitam[b] ialah satu baka anjing dari Kesatuan Soviet. Ia pada asalnya dibiakbakakan di Kenel Bintang Merah (Krasnaya Zvezda) semasa lewat tahun 1940-an dan awal tahun 1950-an untuk kegunaan sebagai anjing ketenteraan atau anjing pekerja. Terier hitam Rusia ialah baka yang diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa (September 1983), American Kennel Club (Julai 2004), Canadian Kennel Club, The Kennel Club, Australian National Kennel Council, New Zealand Kennel Club, dan pertubuhan kinologi lain. Terier hitam Rusia semasa merupakan anjing pekerja, anjing pengawal, anjing sukan, dan anjing teman.

Sungguhpun namanya begitu, terier hitam Rusia bukan terier benar: kira-kira tujuh belas baka dipercayai[oleh siapa?] digunakan dalam perkembangannya, termasuk terier Airedale, schnauzer gergasi, anjing Rottweil, anjing Newfoundland, anjing gembala Kaukasus, anjing gembala Rusia Selatan, dan baka-baka lain.

Terier hitam Rusia secara tradisional telah digunakan untuk pelbagai tugas, seperti carting

Terier hitam Rusia dikembangkan di bekas wilayah USSR di Kenel Bintang Merah (Krasnaya Zvezda) oleh pihak negara untuk digunakan sebagai anjing ketenteraan/pekerja.[1] Ternakan pembiakbakaan sebahagian besarnya diimport dari negara dengan aktiviti pihak Tentera Merah semasa Perang Dunia Kedua, terutamanya Jerman Timur. Baka-baka yang digunakan dalam perkembangan termasuk schnauzer gergasi, terier Airedale, anjing Rottweil, anjing Newfoundland, anjing gembala Kaukasus, dan baka-baka lain. Terier hitam Rusia dibiakbakakan untuk keupayaan kerja, bukan untuk penampilan, dan contoh-contoh awal hanya menyerupai terier hitam Rusia kini dari segi jenis tubuh dan bulunya. Ia dibiakbakakan semata-mata oleh Kenel Bintang Merah milik negara di Moscow sehingga tahun 1957, apabila beberapa ekor anak anjing dijual kepada pembiak baka awam. Pembiak baka ini pula mula membiakbakakan anjing ini untuk penampilan (kerana penampilan asli agak kosong) sambil mengekalkan keupayaan kerja. Lama-kelamaan, baka ini tersebar ke bahagian lain USSR seperti Sankt-Peterburg, Siberia, Ukraine, dan kemudian ke negara Eropah pertama Finland dan seterusnya ke negara Eropah lain: Hungary, Czechoslovakia, Poland, Jerman, dan akhirnya ke Amerika Syarikat, ke Kanada, ke Australia, dan ke negara lain.[perlu rujukan]

Pada tahun 1955, contoh pekerja pertama bagi baka ini telah dipersembahkan dalam pameran di Moscow dan piawaian baka pertama diterbitkan pada tahun 1958,[2] yang kemudian diterima pakai oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 1984.[3] Pada tahun 1996, Pembiak Baka Anjing Pekerja Persekutuan Rusia dan Persekutuan Kinologi Rusia (RKF) menerima pakai piawaian kedua untuk baka ini yang lebih sejajar dengan terier hitam Rusia zaman moden. Pada tahun 1996 juga, baka ini mula diperkenalkan ke United Kingdom. Pada tahun 1998, The Kennel Club menambahkan terier hitam Rusia ke dalam daftar import.

Lapis bulunya ialah lapis bulu ganda dengan rerambut pengawal luaran kasar di atas lapis bulu bawah lebih lembut. Lapis bulunya keras dan padat, tidak pernah lembut, mirip wul, mirip sutera, atau keriting gerbu. Lapis bulunya patut dipangkas hingga panjang 5–15 cm (2.0–5.9 in).[4] Ia patut memiliki janggut dan kening di muka dan sedikit surai di sekeliling kelasa dan leher yang lebih ketara pada jantan. Lapis bulunya kurang gugur dan warnanya hitam atau hitam dengan helaian bulu kelabu yang berselerak.

Terier hitam Rusia dengan ekor terpotong

Menurut piawaian FCI,[4] jantan berdiri setinggi 72–76 cm (28–30 in) dan tidak lebih daripada 78 cm (31 in) pada paras kelasa berbanding dengan betina yang setinggi 68–72 cm (27–28 in) dan tidak lebih daripada 74 cm (29 in). Jantan adalah seberat 50–60 kg (110–130 lb) dan betina pula seberat 45–50 kg (99–110 lb). Pada masa ini, individu lebih besar boleh diterima jika anjing berkenaan berperkadaran baik dan mengekalkan pergerakan betul. Anjing yang dipamerkan oleh The Kennel Club adalah lebih tinggi sedikit sekitar setengah inci.[5]

Pada kebalighan (lebih daripada usia 18 bulan), piawaian AKC[6] mengesyorkan ketinggian 27–30 inci (69–76 cm) untuk jantan dengan ketinggian yang diingini 27–29 inci (69–74 cm) dan 26–29 inci (66–74 cm) untuk betina dengan ketinggian yang diingini 26–28 inci (66–71 cm). Jantan matang yang kurang daripada 27 inci (69 cm) atau lebih daripada 30 inci (76 cm) pada paras kelasa dianggap sebagai kecacatan serius. Betina matang yang kurang daripada 26 inci (66 cm) atau lebih daripada 29 inci (74 cm) pada paras kelasa dianggap sebagai kecacatan serius. Walau bagaimanapun, piawaian itu juga menyatakan bahawa "pertimbangan ketinggian tidak patut diutamakan lebih daripada jenis, perkadaran, pergerakan, dan atribut fungsi lain". Dari segi perkadaran, terier hitam Rusia patut lebih panjang sedikit daripada ketinggiannya, dengan nisbah 9½ dengan 10 sebagai yang unggul.[6]

Penjagaan

[sunting | sunting sumber]

Terier hitam Rusia, oleh sebab pembiakbakaannya sebagai anjing pekerja, mempunyai "etika kerja" sangat kuat, dan memerlukan pekerjaan untuk dilakukan untuk menjadi gembira. Pelatihan awal ialah kemestian dan ia sangat responsif terhadap pelatihan tegas dan konsisten, cemerlang dalam pertandingan kepatuhan. Ia juga berprestasi baik dalam sukan anjing lain, seperti ketangkasan, dan pelatihan schutzhund. Ia mempunyai lapis bulu kurang gugur dan memerlukan penjagaan bulu beberapa kali seminggu. Anjing yang bertanding dalam pengakuran perlu didandan sekurang-kurangnya setiap tiga minggu untuk mengekalkan lapis bulu dalam keadaan sesuai untuk pertunjukan. Baka ini membentuk ikatan kuat dengan seorang dan tidak akan bertahan jika dihantar ke kemudahan asrama. Terier hitam Rusia muda tidak patut dipaksa untuk bersenam sebagai anak anjing dan cenderung untuk tidur hampir sepanjang hari kerana ia membesar dengan sangat cepat [sekitar 1kg seminggu]. Ia mungkin menjadi hiperaktif dan bersifat pemusnah apabila lebih tua jika tidak diberi saluran keluar untuk tenaganya. Apabila anjing berkenaan telah mencapai kebalighan, paras tenaganya berkurang secara mendadak dan ia paling berpuas hati berbaring dekat dengan pemiliknya.

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 10.9 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[7]

Terier hitam Rusia terdedah kepada penyakit kebakaan tertentu:

Kebimbangan utama:[8]

Kebimbangan kecil:[perlu rujukan]

  • Osteodistrofi hipertropik (HOD): penyakit perkembangan berasaskan pemakanan terutamanya pada anak anjing muda, berat, dan cepat membesar
  • Panosteitis (pano atau ketempangan rayau): penyakit perkembangan berasaskan pemakanan terutamanya pada anak anjing muda, berat, dan cepat membesar
  • Penyakit jantung: masalah jantung paling umum merupakan stenosis aorta, displasia injap mitral, kardiomiopati
  • Penyakit mata: masalah mata paling umum merupakan ektropion, entropion, konjunktivitis
  • Alahan merupakan penyakit umum pada anjing dan terier hitam Rusia tidak terkecuali. Terdapat tiga jenis utama alahan: alahan makanan, alahan sentuhan, dan alahan inhalan

Masalah lain:[perlu rujukan]

  • Tompok panas
  • Jangkitan kulat—terutamanya di bahagian telinga dan janggut

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Jawi: تيريئر هيتم روسيا; Rusia: ру́сский чёрный терье́р, rumi: rússkij čórnyj tɛrʹjér; bahasa Inggeris: Russian black terrier; black Russian terrier
  2. ^ Jawi: تيريئر هيتم; Rusia: чёрный терье́р, rumi: čórnyj tɛrʹjér; bahasa Inggeris: chornyi terrier; tchornyi terrier
  1. ^ "Breed Standards : Black Russian Terrier | United Kennel Club (UKC)" [Piawaian Baka: Terier Hitam Rusia | United Kennel Club (UKC)]. United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 20 Julai 2024.
  2. ^ "The Dog Scene: Russian Black Terrier" [The Dog Scene: Terier Hitam Rusia]. www.thedogscene.co.uk (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Februari 2010. Dicapai pada 18 Januari 2024.
  3. ^ "The Kennel Club" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 18 Januari 2024.
  4. ^ a b "FCI-Standard N° 327 RUSSKIY TCHIORNY TERRIER (Russian Black Terrier)" [Piawaian FCI No. 327 Terier Hitam Rusia] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Yerusalimsky, Eugene; Kornienko, Olga. Disemak oleh Renée Sporre-Willes. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 10 Januari 2011. Dicapai pada 18 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  5. ^ "Russian Black Terrier | Breeds A to Z | The Kennel Club" [Terier Hitam Rusia | Baka A hingga Z | The Kennel Club] (dalam bahasa Inggeris).
  6. ^ a b "Black Russian Terrier standard" [Piawaian Terier Hitam Rusia] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 September 2009. Dicapai pada 18 Januari 2024.
  7. ^ McMillan, Kirsten M.; Bielby, Jon; Williams, Carys L.; Upjohn, Melissa M.; Casey, Rachel A.; Christley, Robert M. (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan). PMID 38302530 Check |pmid= value (bantuan). S2CID 267382263 Check |s2cid= value (bantuan).
  8. ^ "Black Russian Terrier" [Terier Hitam Rusia] (dalam bahasa Inggeris). Canine Health Information Centre. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 November 2014. Dicapai pada 18 Januari 2024.
  9. ^ "Canine Hyperuricosuria" [Hiperurikosuria Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Veterinary Genetics Laboratory.
  10. ^ "Juvenile Laryngeal Paralysis & Polyneuropathy (JLPP) in Black Russian Terriers" [Kelumpuhan Larinks Juvenil dan Polineuropati (JLPP) pada Terier Hitam Rusia]. Canine Genetic Diseases Network (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 18 Januari 2024.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]