Pergi ke kandungan

Sega Saturn

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sega Saturn
Model Saturn untuk pasaran Amerika Utara
Model 2 Saturn untuk pasaran Jepun
Atas: Model 1 Saturn untuk pasaran Amerika Utara
Bawah: Model 2 Saturn untuk pasaran Jepun
PengilangSega
JenisKonsol permainan video
GenerasiGenerasi kelima
Ketersediaan runcitJepun 22 November 1994
Amerika Syarikat 11 Mei 1995
Kesatuan Eropah 8 Julai 1995
MediaCD
CPU2× Hitachi SH-2 berkelajuan 28.6 MHz

Sega Saturn (セガサターン, Sega Satān) merupakan sebuah konsol permainan video 32-bit yang dikeluarkan oleh syarikat permainan video Sega. Ianya telah dikeluarkan pada 22 November 1994 di Jepun, 11 Mei 1995 di Amerika Utara dan pada 8 Julai 1995 di Eropah sebagai pengganti kepada konsol Sega Genesis. Konsol ini dikenali ramai kerana ianya bersaing secara terus dengan konsol Sony PlayStation yang dikeluarkan sebulan kemudian dan juga konsol Nintendo 64.

Pada awalnya konsol ini dijadualkan untuk dilancarkan pada 2 September 1995 di kawasan Amerika Utara namun begitu, ketika acara E3 bulan Mei 1995, presiden Sega bahagian Amerika Utara, Tom Kalinske mengumumkan bahawa konsol Saturn sudah mula dijual di kebanyakkan kedai yang menyebabkan para pembangun permainan video merasa terkejut kerana pihak Sega tidak memberitahu mengenai tarikh sebenar perasmian konsol ini di kawasan Amerika Utara[1]. Tom merasakan pihak Sega perlu mempercepatkan tarikh perasmian konsol ini bagi permintaan yang tinggi[2].

Akibat daripada keputusan mempercepatkan tarikh pengeluaran konsol Saturn ini menyebabkan para pembangun permainan video tidak sempat untuk membangunkan permainan video semasa pelancaran tersebut dan hanya sedikit sahaja permainan video yang dikeluarkan pada ketika itu[3]. Konsol Saturn kemudiannya gagal mendapat sambutan pengguna-pengguna pada ketika itu yang lebih memilih konsol PlayStation yang menawarkan harga yang lebih rendah serta mempunyai lebih permainan video berbanding konsol ini[1].

Sega kemudiannya menamatkan pengeluaran konsol Saturn pada tahun 1998 di Amerika Utara dan Eropah serta tahun 2000 di Jepun[4].


Idea mengenai pembangunan konsol Saturn bermula pada seawal tahun 1990-an dan perbincangan mengenai idea ini hanya berlaku di dalam bahagian kajian dan pembangunan Sega. Pada awalnya, konsol ini dipanggil sebagai Gigadrive, rekaan konsol ini akan tertumpu kepada kemampuan menjalankan permainan video dalam bentuk 2D menggunakan teknologi CD-ROM[5] dan tidak tertumpu kepada pembangunan 3D yang berasal dari konsol arked Sega Model 1 kerana ianya terlalu mahal. Pada tahun 1993 pula, Sega dan Hitachi bersetuju untuk membangunkan sebuah cip mikropemproses baru untuk konsol Saturn ini, yang akhirnya membawa kepada penciptaan cip SuperH RISC Engine (atau SH-2) pada tahun berikutnya[6].

Konsol ini siap dibangunkan pada sebelum penghujung tahun 1993, namun begitu pada ketika itu syarikat Sony mengumumkan bahawa mereka akan memasuki industri permainan video dengan pengenalan kepada konsol PlayStation yang menawarkan teknologi 3D, menyebabkan Sega melakukan beberapa ubahsuai kepada konsol Saturn[7][5]. Beberapa jurutera telah direkrut untuk mengubahsuai konsol Saturn supaya ianya mampu menjalankan permainan video dalam bentuk 3D, dan pada masa yang sama mampu bersaing dengan konsol PlayStation dari segi kemampuan menjalankan permainan video yang berkualiti[8].

Pada bulan Mac 1995, Tom Kalinske, ketua eksekutif Sega Amerika mengumumkan bahawa konsol Saturn akan dilancarkan di Amerika Syarikat pada hari "Saturnday" (Sabtu) 2 September 1995[1]. Namun begitu Sega Jepun memberi arahan untuk melancarkan konsol ini lebih awal untuk memberi kelebihan dari segi memdominasi pasaran pada ketika itu berbanding konsol PlayStation[7]. Oleh itu, pada ketika acara E3 berlangsung di Los Angeles pada tahun 1995, Kalinske mengumumkan bahawa konsol Saturn sudah dilancarkan dengan harga permulaan sebanyak US$399[9][10]. Dengan alasan bahawa permintaan terlalu tinggi, Sega sudah mengedarkan sebanyak 30 000 konsol Saturn di beberapa kedai-kedia elektronik terkemuka di Amerika Syarikat yang membawa kepada kekecewaan penjual-penjual barang elektronik kerana mereka tidak diberitahu mengenai tarikh pelancaran yang begitu awal[7]. Selang beberapa bulan kemudian, Sony melancarkan konsol mereka PlayStation dan harga yang ditawarkan pula adalah sebanyak US$299[9][10].


Spesifikasi

[sunting | sunting sumber]
Cip mikropemproses Hitachi SH-2

Konsol Saturn memiliki lapan jenis cip mikropemproses yang memproses beberapa jenis data. Konsol ini menggunakan dua buah cip mikropemproses Hitachi SH-2 32-bit yang berkelajuan 28.6 MHz sebagai cip mikropemproses utama[11]. Untuk mengawal suara, konsol ini menggunakan cip mikropemproses Motorola 68EC000 pada kelajuan 11.3 MHz, cip mikropemproses Yamaha YMF292 DSP berkelajuan 22.6 MHz sebagai cip untuk memproses suara dan audio yang mampu menjana sebanyak 32 saluran audio dengan kadar maksimum 44.1 kHz[12] dan dua cip mikropemproses untuk memaparkan grafik iaitu VDP1 yang memproses tekstur dan poligon dan VDP2 yang mengawal gambar latar[13]. Pemacu cakera CD-ROM pula dikawal oleh cip mikropemproses Hitachi SH-1 yang berfungsi untuk mengurangkan masa untuk konsol menyediakan data dari CD-ROM. Konsol ini juga mempunyai cip mikropemproses kedua yang dikenali sebagai System Control Unit (SCU) yang berfungsi sebagai pengawal kesemua fungsi komponen serta komunikasi antara komponen-komponen elektronik.

Konsol Saturn menggunakan output jenis RCA untuk disambung ke telvision dan memaparkan paparan grafik permainan video dan mampu memaparkan sebanyak 16.7 billion warna serentak[13]. Manakala, badan konsol ini bersaiz 260 mm × 230 mm × 83 mm. Pengguna yang membeli set konsol ini akan menerima konsol Saturn itu sendiri, buku panduan penggunaan, sebiji alat pengawal, kabel AV stereo dan bekalan kuasa sebanyak 100V AC dengan penggunaan kuasa sebanyak 15W.


Sistem teras
Cip mikropemproses 2× Hitachi SH-2 berkelajuan 28.6 MHz
RAM 2 MB
RAM video tidak diketahui
Grafik dan suara
Palet warna 16.7 billion warna
Resolusi skrin 320 x 224, 640 x 224, 720 x 576
Saluran audio Yamaha YMF292 DSP


  1. ^ a b c Buchanan, Levi (2 Mei 2008). "The Sad Legacy of the Saturn Launch". IGN. Dicapai pada 23 Oktober 2015.
  2. ^ Cifaldi, Frank (11 Mei 2010). "This Day in History: Sega Announces Surprise Saturn Launch". 1UP. Dicapai pada 23 Oktober 2015.
  3. ^ Powell, Chris (11 Mei 2015). "Former SEGA president gives his thoughts on the Saturn's launch". Sega Nerds. Dicapai pada 23 Oktober 2015.
  4. ^ Reisinger, Don (31 Januari 2008). "Why the Saturn was the worst major console of all time". CNET. Dicapai pada 23 Oktober 2015.
  5. ^ a b "Retrospective: The Story Of Sega Saturn". Now Gamer. 30 Jun 2010. Dicapai pada 23 Oktober 2015.
  6. ^ Pollack, Andrew (22 September 1993). "COMPANY NEWS; Sega to Use Hitachi Chip In Video Game Machine". NY Times. Dicapai pada 23 Oktober 2015.
  7. ^ a b c Parish, Jeremy (11 November 2014). "The Lost Child of a House Divided: A Sega Saturn Retrospective". US Gamer. Dicapai pada 23 Oktober 2015.
  8. ^ Pettus, Sam (2013). Service Games: The Rise and Fall of SEGA: Enhanced Edition. ISBN 1311080821. Dicapai pada 22 Oktober 2015.
  9. ^ a b Dring, Christopher (11 Julai 2013). "A Tale of Two E3s - Xbox vs Sony vs Sega". MCV. Dicapai pada 23 Oktober 2015.
  10. ^ a b Good, Owen S. (16 Mei 2015). "Twenty years ago, Sega rushed out the Saturn, dooming its console business". Polygon. Dicapai pada 23 Oktober 2015.
  11. ^ "Sega's Exit Out Of Consoles – The Saturn". Red Gaming Tech. 23 April 2013. Dicapai pada 24 Oktober 2015.
  12. ^ "Yuji Naka interview by Sega Saturn Magazine (October 8, 1998)". Sega Saturn magazine. 8 Oktober 1998. Dicapai pada 23 Oktober 2015.
  13. ^ a b McFerran, Damien (4 April 2014). "Hardware Classics: Sega Saturn". Nintendo Life. Dicapai pada 24 Oktober 2015.