Pergi ke kandungan

Putih (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Putih
PengarahRashid Sibir
PenulisAzlina Din (skrip)
Dihasilkan olehIda Rahayu Mohd Noor
DibintangiErra Fazira
M. Nasir
Wan Maimunah
Raja Azura
Noraini Hashim
Disunting olehAmisyahril Edwan Amran
Syarikat
penerbitan
  • Eurofine (M) Sdn. Bhd.
  • Fine Animation (M) Sdn. Bhd.
Diedarkan olehSkop Productions
Tarikh tayangan
25 Oktober 2001
Masa tayangan
90 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu

Putih ialah sebuah filem animasi Malaysia 2001 arahan Rashid Sibir terbitan Fine Animation, anak syarikat Eurofine.[1] Berdasarkan daripada cerita rakyat Bawang Putih Bawang Merah, ia menampilkan lakonan suara Erra Fazira, M. Nasir, Wan Maimunah, Raja Azura dan Noraini Hashim. Filem ini ditayangkan pada 25 Oktober 2001.[2]

Tersebut kisah seorang gadis jelita, Putih namanya. Putih, anak malang yang didera oleh ibu tirinya, Kundur dan kakak tirinya, Merah selepas kematian bapanya, Pak Sukam. Ibunya, Labu turut mati disebabkan oleh Kundur. Putih yang ditemani oleh dua ekor haiwan peliharaannya, Gemuk dan Mikus, tinggal bersama ibu dan kakak tirinya selepas kematian ibunya Mak Labu. Gemuk dan Mikus yang nakal menjadi teman tempatnya menumpang kasih. Kehidupan Putih tidak pernah tenang kerana dirinya asyik dibuli oleh Mak Kundur dan Merah.

Pada suatu hari, Putih telah bermimpi bahawa dia telah berjumpa dengan ibunya dan dalam mimpi tersebut, ibunya telah membawanya ke satu pokok yang sangat besar dan mempunyai sebuah buaian yang tergantung di dahan pokok tersebut. Pada keesokan harinya, Putih lantas pergi ke pokok yang besar yang telah dia mimpikan malam tadi. Sewaktu Putih sedang asyik menyanyi dan dibuai angin, Putera Afdus yang sedang mencari haiwan buruan terdengar suaranya lalu menyuruh panglima Sulong dan laksamana mencari siapakah yang sedang menyanyi sungguh merdu itu. Setelah berjumpa dengan pemilik suara, Putera Afdus terpesona dengan wajahnya yang cantik lalu Putera Afdus ingin mendekatinya namun Putih bingkas bangun dari buaiannya dan bergegas pulang ke rumah. Putera Afdus mengarah agar orang bawahannya mengejar dan menjejaki Putih. Setelah sampai ke rumah Mak Kundur, Mak Kundur menghalau Sulong dan laksamana kerana dia tidak tahu siapa mereka sebenarnya. Setelah diberitahu akan pangkat mereka, Mak Kundur segera memohon maaf dan bertanya apa hajat mereka kemari.

Setelah menyatakan hasrat mereka, Mak Kundur gembira dan mengarah Merah untuk pergi menghadap Putera Afdus di pokok yang sama pada keesokan harinya. Merah menyanyikan sebuah lagu namun buaian tersebut tidak bergerak dan suaranya yang nyaring dan sumbang membuatkan Putera Aftus marah. Mak Kundur takut lalu pulang ke rumah dan mendapatkan Putih. Putih menyanyikan sebuah lagu dan buai itu terbuai sendiri. Putera Afdus berasa sangat kagum dengan suaranya yang merdu tambah pula dengan wajahnya yang ayu. Akhirnya Putera Afdus mengahwini Putih dan Putih bahagia bersama suaminya di dalam mahligai yang dihiasi indah. Kebahagiaan mereka tidak kekal lama setelah Putih difitnah telah melakukan perkara yang mengaibkan bersama panglima Sulong. Namun, itu hanyalah fitnah semata kerana Putih bertemu dengan Sulong hanya kerana ingin mendapatkan Mikusnya kembali. Putih dan Sulong dibuang daripada istana namun tidak lama kemudian Mak Kundur telah tertangkap menabur fitnah oleh laksamana. Putih kembali bersama Putera Aftus dan mereka hidup bersama bahagia selamanya.

Pelakon suara

[sunting | sunting sumber]
Erra Fazira sebagai Putih. Beliau digambarkan dalam bentuk animasi 2D.

Penerbitan

[sunting | sunting sumber]

Idea untuk filem ini mula dicadangkan oleh Fine Animation pada 1999.[3] Putih ialah keluaran sulung Fine Animation, anak syarikat Eurofine. Kos pembikinan filem ini dianggarkan berjumlah RM1 juta hingga RM2 juta.[4]

Keluaran dan sambutan

[sunting | sunting sumber]

Filem ini dikeluarkan pada 25 Oktober 2001 dan mendapat kutipan sebanyak RM 392,020.61. Tidak lama selepas dikeluarkan, filem ini telah dijual dalam bentuk VCD cetak rompak meskipun masih ditayangkan di pawagam.[5] Akmal Abdullah dari Berita Harian menyifatkan filem ini mempunyai imej dan identiti berteraskan tradisi masyarakat Melayu.[6]

  1. ^ "Putih - Kesegaran baru dalam animasi". Utusan Malaysia. 16 November 2001. Dicapai pada 3 Mac 2015.
  2. ^ Khadijah Ibrahim (22 Oktober 2001). "Putih, filem animasi sasar RM10 juta". Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 Mac 2015.
  3. ^ "Putih - Adaptasi cerita rakyat kepada animasi". Utusan Malaysia. 17 Mac 2001. Dicapai pada 3 Mac 2015.
  4. ^ Azian Adnan (4 Jun 1999). "Filem Putih setanding animasi Disney". Berita Harian. Dicapai pada 3 Mac 2019.
  5. ^ Akmal Abdullah (7 Disember 2001). "Filem Putih dicetak rompak". Berita Harian. Dicapai pada 3 Mac 2019.
  6. ^ Akmal Abdullah (1 November 2001). "Filem Putih tampil isi kekosongan". Berita Harian. Dicapai pada 3 Mac 2019.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]