Pergi ke kandungan

Perang Salib Kelapan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perang Salib Kelapan
Sebahagian daripada Perang Salib
Tarikh1270
Lokasi
Keputusan Kemenangan mutlak orang Islam.
Kematian Louis IX.
Pembukaan perdagangan dengan Tunis.
Perubahan
wilayah
Status quo ante bellum
Pihak yang terlibat

Tentera Salib

Muslim

Komandan dan pemimpin
Louis IX
Charles I
Muhammad I al-Mustansir

Perang Salib Kelapan ialah satu Perang Salib yang dilancarkan oleh Raja Perancis Louis IX pada tahun 1270. Perang Salib Kelapan kadang kala dihitung sebagai Perang Salib Ketujuh sekiranya Perang Salib Kelima dan Perang Salib Keenam yang dilancarkan Frederick II dikira sebagai satu perang salib tunggal. Perang Salib Kesembilan juga kadang kala dikira sebagai sebahagian daripada Perang Salib Kelapan.

Louis berasa tidak senang duduk dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi di Syria yang di sana sultan Mamluk bernama Baibars telah menyerang saki-baki negeri tentera salib. Baibars merebut peluang setelah perperangan sesama sendiri antara bandar-bandar Venice dan Genoa (1256–1260) telah melemahkan pelabuhan-pelabuhan Syria yang dikuasai kedua-dua buah bandar tersebut. Pada tahun 1265, Baibars telah menakluki Nazareth, Haifa, Toron, dan Arsuf. Hugh III dari Cyprus, raja Jerusalem pada nama, telah mendarat di Acre bagi mepertahankan bandar tersebut manakala Baibars mara ke utara sejauh Armenia yang berada dalam penguasaan Mongol pada masa itu.

Peristiwa-peristiwa ini memaksa Louis melancarkan satu perang salib baru pada tahun 1267, walaupun hanya menerima sedikit sokongan; Jean de Joinville, pembabad yang menemani Louis dalam Perang Salib Ketujuh enggan menyertai perang salib baru ini. Tidak lama kemudian Louis dipujuk oleh saudara lelakinya Charles dari Anjou untuk menyerang Tunis terlebih dahulu yang dapat memberi pangkalan yang kuat kepada mereka untuk menyerang Mesir, fokus Louis dalam Perang Salib Keenam dan juga dalam Perang Salib Kelima sebelumnya, yang menyaksikan kekalahan Tentera Salib. Sebagai Raja Sicily, Charles juga memiliki kepentingan sendiri di dalam kawasan Mediterranean. Khalifah Tunis, Muhammad I al-Mustansir juga mempunyai hubungan dengan Sepanyol dan dianggap sebagai calon yang sesuai untuk kemasukan ke dalam agama Kristian. Pada tahun 1270, Louis mendarat di atas pantai Afrika dalam bulan Julai, satu musim yang amat tidak sesuai untuk pendaratan. Ramai tentera menjadi sakit akibat kekurangan air minuman, anaknya yang dilahirkan di Damietta John Sorrow meninggal dunia pada 3 Ogos dan pada 25 Ogos[1] Louis sendiri meninggal dunia akibat "fluks di dalam perut", sehari selepas ketibaan Charles. Kata-kata terakhirnya ialah "Baitulmaqdis". Charles mengisytiharkan anak Louis, Philip III sebagai raja yang baru, tetapi disebabkan dia masih muda, Charles bertindak sebagai pemimpin sebenar perang salib ini.

Akibat penyakit yang berlanjutan, kepungan terhadap Tunis diabaikan pada 30 Oktober melalui satu persetujuan dengan sultan tersebut. Dalam persetujuan ini, orang Kristian memperolehi kebebasan berdagang dengan Tunis, dan kediaman untuk rahib dan paderi di dalam bandar tersebut dijamin keselamatannya, jadi perang salib ini dapat dianggap sebagai kejayaan separa. Setelah mendengar berita kematian Louis dan pemindahan tentera salib dari Tunis, Sultan Baibars di Mesir membatalkan rancangannya untuk menghantar pasukan tentera Mesir bagi menentang Louis di Tunis[2]. Charles kini bersekutu dengan Putera Edward dari England yang tiba sementara itu. Apabila Charles menarik balik serangan ke atas Tunis, Edward meneruskan perjalanan ke Acre, kota kara tentera Salib terakhir di Syria. Masanya yang dihabiskan di situ kerap kali dinamakan Perang Salib Kesembilan.

Kesusasteraan Pengiring

[sunting | sunting sumber]

Bertran d'Alamanon, seorang diplomat yang berkhidmat dengan Charles dari Anjou, dan Ricaut Bonomel, seorang Kesatria Kuil di Tanah Suci, kedua-duanya telah menggubah lagu-lagu sekitar tahun 1265. Bertran mengkritik kejatuhan agama Kristian di Outremer, manakala Bonomel mengkritik polisi pihak Pope yang mengejar perang di Itali dengan wang yang sepatutnya dihantar ke seberang laut.

Kegagalan Perang Salib Kelapan, seperti perang-perang salib sebelumnya, membangkitkan respons yang dipahat dalam puisi Occitan oleh para troubadour. Kematian Louis dari Perancis terutamanya mencetuskan hasil karya mereka yang kreatif, ketara memandangkan permusuhan yang ditujukan para troubadour terhadap institusi pemerintahan beraja Perancis semasa Perang Salib Albigensian. Tiga planh, lagu-lagu ratapan, digubah sempena kematian Louis IX.

Guilhem d'Autpol telah menggubah Fortz tristors es e salvaj'a retraire bagi Louis. Raimon Gaucelm de Bezers telah menggubah Qui vol aver complida amistansa untuk meraikan persediaan perang salib ini pada tahun 1268, tetapi dalam tahun 1270 dia terpaksa menggubah Ab grans trebalhs et ab grans marrimens untuk memperingati raja Perancis tersebut. Austorc de Segret telah menggubah No sai quim so, tan sui desconoissens, sebuah lagu perang salib yang lebih umum, yang meratapi Louis tetapi juga bahawa samada Tuhan atau syaitan yang menyesatkan orang Kristian. Dia juga menyerang saudara Louis, Charles yang digelarnya sebagai caps e guitz (kepala dan pembimbing) orang kafir, kerana dia memujuk Louis untuk menyerang Tunis dan bukannya Tanah Suci, dan dia dengan segera membuat rundingan damai dengan orang Islam selepas kematian Louis.

Selepas perang salib ini, troubadour berumur Peire Cardenal telah menulis sebuah lagu, Totz lo mons es vestitiz et abrazatz yang memberi galakan kepada pewaris Louis, Philip III untuk pergi ke Tanah Suci bagi membantu Edward Longshanks.

Syair-syair sindiran telah digubah di Tunis tentang rancangan baru Louis untuk menakluki Tunis : "Wahai Louis, Tunis adalah saudara perempuan Mesir! Maka tunggulah pengalaman pahitmu! Kamu akan menemui kuburmu di sini dan bukannya di rumah Ibn Luqman; dan sida-sida Sobih akan digantikan oleh Munkar dan Nakir."[3].

  1. ^ John Sorrow (dalam bahasa Perancis sebagai Jean Tristan ) dilahirkan di Damietta, Mesir pada 8 April 1250 semasa Perang Salib Ketujuh
  2. ^ Al-Maqrizi, p. 69/vol.2
  3. ^ Syair gubahan seorang Tunis sezaman bernama Ahmad ibn Ismail al-Zayat ( Al-Maqrizi, p.462/vol.1 ) - Rumah Ibn Luqman ialah rumah di al-Mansurah yang menjadi tempat tahanan Louis selepas dia ditawan di Fariskur semasa Perang Salib Ketujuh berada di bawah pengawasan seorang sida-sida bernama Sobih. Menurut aqidah orang Islam, Munkar dan Nakir ialah dua malaikat yang menyoal siasat orang mati.
  • Al-Maqrizi, Al Selouk Leme'refatt Dewall al-Melouk, Dar al-kotob, Cairo 1997.
  • Idem in English: Bohn, Henry G., The Road to Knowledge of the Return of Kings, Chronicles of the Crusades, AMS Press, 1969.