Perang Salib Ketujuh
Perang Salib Ketujuh | |||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Sebahagian daripada the Perang Salib | |||||||||
Louis IX semasa Perang Salib Ketujuh. | |||||||||
| |||||||||
Pihak yang terlibat | |||||||||
Komandan dan pemimpin | |||||||||
Louis IX Alfonso Charles I Robert I Guillaume de Sonnac Renaud de Vichiers |
As-Salih Ayyub Shajar al-Durr Faris ad-Din Aktai Aybak Baibars[1] | ||||||||
Kekuatan | |||||||||
15,000 orang[2]
| Tidak diketahui | ||||||||
Kerugian dan korban | |||||||||
Tidak diketahui | Tidak diketahui |
Perang Salib Ketujuh ialah satu perang salib yang diketuai Louis IX dari Perancis dari tahun 1248 hingga 1254. Dianggarkan sebanyak 50,000 bezant emas (satu jumlah yang setara dengan keseluruhan hasil tahunan Perancis) telah dibayar untuk menebus Raja Louis yang telah ditawan dan ditewaskan beserta ribuan bala tenteranya oleh pasukan tentera Mesir yang diketuai Sultan Bani Ayyubiyyah Turanshah yang disokong orang Mamluk Bahriyyah yang diketuai Faris ad-Din Aktai, Baibars al-Bunduqdari, Qutuz , Aybak dan Qalawun[3][4][5].
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1244, orang Khwarezm yang baru sahaja berpindah akibat kemaraan orang Mongol telah mengambilalih Baitulmaqdis sebagai satu cara untuk bersekutu dengan orang Mamluk Mesir. Ini menyebabkan penguasaan Baitulmaqdis kembali ke tangan orang Islam tetapi kejatuhan Baitulmaqdis tidak lagi merupakan kejadian malapetaka bagi orang Kristian Eropah yang telah menyaksikan peralihan bandar tersebut dari tangan orang Kristian ke tangan tangan orang Islam beberapa kali dua kurun yang lalu. Kali ini, tiada lagi keghairahan besar terhadap perang salib baru meskipun seruan tersebut datang daripada Pope.
Pope Innocent IV dan Frederick II, Maharaja Rom Suci terus bertelagah sesama sendiri. Frederick telah menawan dan memenjarakan pendeta-pendeta gereja yang dalam perjalanan ke Persidangan Lyons, dan pada tahun 1245 secara rasmi dia digulingkan oleh Innocent IV.Pope Gregory IX juga terlebih dahulu takhta Jerman kepada saudara Raja Louis, Count Robert of Artois, tetapi Louis menolaknya. Dengan demikian, Maharaja Rom Suci tidak berkedudukan untuk pergi berperang. Henry III of England masih lagi bertarung dengan Simon de Montfort dan masalah-masalah lain di England. Henry dan Louis berada dalam hubungan yang kurang baik, sedang terlibat dalam pertelagahan Capetian-Plantagenet, dan ketika Louis keluar berperang, raja Inggeris itu menandatangani satu perjanjian yang berjanji tidak akan menyerang Perancis. Louis IX juga menjemput Raja Haakon IV of Norway keluar berperang dengan menghantar pembabad Inggeris Matthew Paris sebagai duta, namun gagal sekali lagi. Hanya Louis IX yang berminat memulakan perang salib lain yang mengisytiharkan niatnya untuk pergi ke Timur pada tahun 1245.
Pertarungan
[sunting | sunting sumber]Diperkirakan bahawa Perancis adalah negara terkuat di Eropah pada masa itu, dengan Perang Salib Albigensian telah membawa Provence ke dalam penguasaan Paris. Poitou diperintah oleh saudara Louis IX, Alphonse of Poitiers yang menyertainya dalam perang salib itu pada tahun 1245. Seorang saudaranya yang lain, Charles I of Anjou juga menyertai Louis. Untuk tiga tahun berikutnya, Louis telah mengumpulkan sepersepuluh kegerejaan (kebanyakannya datang daripada zakat gereja) dan pada tahun 1248, dia dan pasukan tenteranya yang berjumlah lebih kurang 15,000 orang yang melibatkan 3,000 orang kesatria dan 5,000 orang pemanah telah belayar dengan 36 buah kapal dari pelabuhan Aigues-Mortes yang dibina khas sebagai persediaan bagi perang salib tersebut, dan Marseille.[2] Persediaan kewangan Louis bagi ekspedisi ini agak terancang dengan baik, dan dia mampu mencapai lebih kurang 1,500,000 livres tournois. Bagaimana pun, ramai bangsawan yang menyertai Louis pada ekspedisi terpaksa meminjam wang daripada Perbendaharaan Raja, dan perang salib tersebut bertukar menjadi perang yang sangat mahal.
Mula-mula mereka belayar ke Cyprus dan menghabiskan masa musim sejuk di pulau tersebut sambil berunding dengan pelbagai kuasa di Timur; Empayar Nicaea Bizantin, dan Kerajaan Antioch dan Kesatria Kuil mahukan bantuannya di Syria, di sana orang Islam baru sahaja menawan Sidon.
Pun begitu, Mesir adalah sasaran perang salibnya, dan dia mendarat di Damietta pada tahun 1249 di atas Sungai Nil. Pada fikiran Louis, Mesir dapat menyediakan pengkalan untuk menyerang Baitulmaqdis, dan kekayaaan dan bekalan bijirinnya dapat menjadikan pasukan tentera salib mempunyai bekalan makanan dan peralatan.
Pada 6 Jun, Damietta dapat ditakluki walaupun menerima sedikit tentangan daripada orang Mesir yang berundur jauh ke hulu Sungai Nil. Bagaimana pun, banjir Sungai Nil tidak dimasukkan ke dalam laporan, dan ia kemudian memakukan Louis dan pasukan tenteranya di Damietta selama enam bulan, di sana kesatria-kesatria itu pulang dan menikmati harta rampasan perang. Louis tidak mengendahkan perjanjian yang telah dipersetujui semasa Perang Salib Kelima bahawa Damietta sepatutnya diserahkan kepada Kerajaan Jerusalem yang kini merupakan sebuah negara serpihan di Acre, tetapi dia meletakkan ketua biskop (yang berada di bawah kekuasaan Patriarch Latin Jerusalem) dan menggunakan bandar itu sebagai pengkalan untuk melancarkan operasi ketenteraan ke atas orang Islam di Syria. Louis IX telah mengirimkan sepucuk surat kepada al-Salih Ayyub yang berbunyi:
Seperti mana yang tuan ketahui bahawa saya adalah pemerintah umat Kristian dan saya tahu bahawa tuan adalah pemerintah umat Muhammad. Orang Andalusia memberi wang dan hadiah kepada saya ketika mana kami menunggang mereka bagaikan lembu. Kami membunuh kaum lelaki mereka dan kami buatkan kaum wanita mereka menjadi janda. Kami ambil budak-budak lelaki dan perempuan sebagai tawanan perang dan kami buatkan rumah-rumah mereka kosong. Saya sudah cukup katakan pada tuan dan saya nasihatkan tuan habis-habisan, oleh itu sekarang sekiranya tuan melafazkan sumpah terkuat pada saya dan sekiranya tuan pergi kepada paderi-paderi dan rahib-rahib Kristian dan sekiranya tuan membawa lilin di depan mata saya sebagai tanda kepatuhan pada salib, semua ini tidak dapat memujuk saya daripada mencapai dan membunuh tuan di tempat kesayangan di atas dunia. Sekiranya tanah tersebut akan menjadi milik saya maka ia adalah hadiah buat saya. Sekiranya tanah tersebut adalah milik tuan dan tuan mengalahkan saya maka tuan berada di pihak yang menang. Saya sudah mengatakan pada tuan dan telah memberi amaran pada tuan mengenai askar-askar saya yang taat pada saya. Mereka dapat memenuhi padang-padang terbuka dan gunung-ganang, bilangan mereka seperti batu kerakal. Mereka akan dihantar kepada tuan dengan pedang kebinasaan.[6]
Pada bulan November, Louis mara ke Kaherah, dan hampir pada masa yang sama, sultan Dinasti Ayyubiyyah Mesir, al-Salih Ayyub, meninggal dunia. Satu pasukan tentera yang diketuai Robert of Artois dan Kesatria Kuil telah menyerang perkhemahan tentera Mesir di Gideila dan mara ke Mansoura yang di situ mereka mengalami kekalahan dalam Pertempuran Al Mansurah, dan Robert terbunuh. Sementara itu, pasukan tentera utama Louis telah diserang Baibars dari golongan Mameluk, komander tentera Mesir dan bakal sultan Mesir itu sendiri. Louis telah kalah, namun dia tidak berundur ke Damietta selama berbulan-bulan, dia memilih untuk mengepung al-Mansurah yang berakhir dengan kelaparan dan kematian para tentera salib berbanding tentera Islam. Bagi menunjukkan penderitaan yang teramat sangat, seorang kesatria kuil mengeluh:
Keberangan dan kesedihan bersarang di dalam hatiku...sungguh kukuh sehinggakan aku takut untuk meneruskan kehidupan. Nampaknya Tuhan mahu menolong orang Turki untuk mengalahkan kami...ah, ya Tuhan...aduhai, wilayah Timur telah hilang sungguh banyak sehinggakan ia tidak akan bangun lagi. Mereka akan membina masjid di atas runtuhan biara Maryam Suci, dan disebabkan pencurian menyenangkan hati Anak-nya yang menangisi hal ini, kami terpaksa menurut sahaja...Sesiapa yang berkeinginan untuk melawan orang Turki adalah gila, kerana Isa al-Masih tidak lagi melawan mereka. Mereka telah menawan dan mereka akan menawan. Setiap hari mereka mengejar kami, tahu bahawa Tuhan yang dahulunya jaga kini tidur, dan Muhammad berkuasa.[7]
Pada bulan Mac 1250, Louis akhirnya cuba kembali ke Damietta, tetapi dia ditawan dalam Pertempuran Fariskur yang dalam pertemupran itu pasukan tenteranya hancur. Louis jatuh sakit akibat terkena disenteri, dan telah dirawat oleh seorang doktor Arab. Pada bulan Mei, dia ditebus dengan 50,000 bezant emas, dan dia dengan segera meninggalkan Mesir dan menuju ke Acre, salah satu kepunyaan tentera salib yang masih tinggal di Syria. Pada tahun 1250, Turanshah, pewaris al-Salih, telah dibunuh di Fariskur oleh orang Mamluk yang mengesyakinya mengenepikan mereka.[8][9]
Akibat
[sunting | sunting sumber]Louis membuat perikatan dengan orang Mamluk yang merupakan saingan bagi Sultan Damsyik, dan dari pengkalan barunya di Acre, dia membangunkan kembali bandar-bandar tentera salib yang lain, khususnya Jaffa and Saida.[10] Walaupun Kerajaan Cyprus mendakwa bahawa ia berkuasa di situ, Louislah yang merupakan pemerintah de facto. Louis juga membuat rundingan dengan orang Mongol yang mula muncul di Timur dan menjadi bangsa yang diharapkan oleh orang Kristian yang diransang oleh lagenda sebuah kerajaan Nestorian yang wujud di kalangan mereka (cf. Prester John), dapat membantu mereka melawan orang Islam dan memulihkan kembali negeri tentera salib. Seperti orang Islam yang juga membuat rundingan dengan orang Mongol bagi melawan orang Kristian, mereka tidak menyedari bahawa orang Mongol tidak berminat untuk membantu kedua-dua belah pihak dan akhirnya membawa malapetaka bagi kedua-dua belah pihak. Dua orang utusan daripada orang Mongol yang bernama David dan Marc telah mengunjungi Louis di Cyprus. Sebagai jawapan, Louis mengirim seorang duta bernama André de Longjumeau, dan kemudian William of Rubruck. Khan menolak pelawaan Louis untuk memeluk agama Kristian dan sebaliknya menyarankan agar Louis tunduk padanya.
Pada tahun 1254, wang Louis mula habis, dan kehadirannya diperlukan di Perancis yang di sana ibu dan pemangkunya Blanche of Castile baru meninggal dunia. Sebelum meninggalkan Tanah Suci, dia menubuhkan garison tetap Perancis di Acre, ibukota Kerajaan Jerusalem setelah kehilangan Baitulmaqdis, sehingga ia menjejaskan mahkota Perancis, ia kekal di situ hinggalah kejatuhan Acre pada tahun 1291.[11] Perang salibnya berakhir dengan kegagalan, tetapi dia dianggap sebagai santa oleh ramai orang, dan kemasyhurannya menjadikan dia berkuasa besar di Eropah berbanding Maharaja Rom Suci. Pada tahun 1270, dia cuba melancarkan satu lagi perang salib, walaupun ia juga berakhir dengan kegagalan.
Sejarah Perang Salib Ketujuh telah ditulis oleh Jean de Joinville yang merupakan juga peserta perang ini, Matthew Paris dan ramai sejarawan Islam.
Respons Kesusasteraan
[sunting | sunting sumber]Kegagalan Perang Salib Ketujuh menimbulkan beberapa respons puisi daripada troubadour Occitan. Austorc d'Aorlhac yang mengubah sejurus selepas perang salib tersebut, berasa terkejut bahawa Tuhan membenarkan Louis IX dikalahkan, tetapi tidak berasa terkejut apabila sesetengah penganut Kristian dengan itu memeluk agama Islam.
Dalam satu puisi yang agak terkemudian, D'un sirventes m'es gran voluntatz preza, Bernart de Rovenac menyerang peribadi James I of Aragon dan Henry III of England kerana mengabaikan tanggungjawab mempertahankan "tanah jajahan mereka" yang dimiliki rei que conquer Suria ("raja yang menakluki Syria"). "Raja yang menakluki Syria" ialah satu jolokan yang mengejek Louis yang masih berada di Syria (1254) apabila Bernart sedang menggubahnya, mungkin dengan harapan agar raja-raja Inggeris dan Aragon itu akan mengambil kesempatan atas ketiadaan raja Perancis itu.
Salah satu karya terakhir Bertran d'Alamanon yang mengkritik Charles of Anjou pada tahun 1247 kerana mengabaikan Provence dan mengutamakan perang salib, telah ditulis antara Perang Salib Ketujuh dan Perang Salib Kelapan (1260–1265) dan meratapi kejatuhan kerajaan Kristian di Tanah Syam.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Hinson, p.393
- ^ a b J. Riley-Smith, The Crusades: A History, 193
- ^ Abu al-Fida
- ^ Al-Maqrizi
- ^ Ibn Taghri
- ^ Al-Maqrizi, p. 436/vol.1
- ^ Howarth,p.223
- ^ Watterson, Barbara. The Egyptians. Blackwell Publishing, 1998. page 261
- ^ Al-Maqrizi
- ^ Joinville and Villehardouin: Chronicles of the Crusades, translated by M.R.B. Shaw, pages 295-316, Penguin Classics: New York, 1963
- ^ Keen, p. 94
Sumber primer
[sunting | sunting sumber]- Abu al-Fida, Tarikh al-Mukhtasar fi Akhbar al-Bashar.
- Al-Maqrizi, Al Selouk Leme'refatt Dewall al-Melouk, Dar al-kotob, 1997. In English: Bohn, Henry G., The Road to Knowledge of the Return of Kings, Chronicles of the Crusades, AMS Press, 1969
- Ibn Taghri, al-Nujum al-Zahirah Fi Milook Misr wa al-Qahirah, al-Hay'ah al-Misreyah 1968
- Jean de Joinville, Histoire de Saint Louis, 1309
Sumber sekunder
[sunting | sunting sumber]- Keen, Maurice (editor). Medieval Warfare. Oxford University Press, 1999. ISBN 0-19-820639-9
- Konstam, Angus (2002). Historical Atlas of The Crusades. Thalamus Publishing.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Memoirs of Jean de Joinville, from the University of Virginia
- Lyric allusions to the crusades and the Holy Land