Marcus Junius Brutus
Marcus Junius Brutus Caepio (85 SM – 42 SM), atau lebih dikenali sebagai Brutus, ialah seorang Senat Rom pada akhir Republik Rom dan merupakan salah seorang pembunuh Julius Caesar.
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Ayah Marcus Brutus, seorang ahli politik yang tidak begitu penting, mempunyai nama yang sama. Ibunya, Servilia Caepionis, ialah kakak tiri Cato Lebih Muda dan perempuan simpanan Julius Caesar. Sesetengah sumber merujuk kepada kemungkinan Caesar sebagai ayahnya yang benar, tetapi ini tidak mungkin kerana Caesar hanya berumur lima belas tahun pada masa kelahiran Brutus, dan hubungan cinta Caesar dengan ibunya hanya bermula lebih kurang sepuluh tahun kemudian. Adalah dipercayai Brutus merupakan cucu-cicit Lucius Junius Brutus, seorang wira Rom yang lampau yang berjaya menjatuhkan Raja Rom yang terakhir. Quintus Servilius Caepio, bapa saudara Brutus, mengambilnya sebagai anak angkat ketika Brutus merupakan seorang pemuda, dan Brutus menambah kognomen kepada nama sendiri.
Kerjaya politik Brutus bermula ketika beliau menjadi pembantu Cato, semasa Cato menjadi gabenor Cyprus. Semasa itu, Brutus memperkayakan diri dengan meminjam wang kepada orang-orang yang terdesak dengan kadar bunga yang tinggi. Dari kemunculannya yang pertama di Senat Rom, Brutus bersepakat dengan Optimat (puak konservatif) terhadap Perintahan Bertiga Pertama yang terdiri daripada Marcus Licinius Crassus, Pompey, dan Caesar. Beliau mempunyai setiap alasan untuk membenci Pompey yang membunuh ayahnya pada tahun 77 SM semasa pengharaman oleh Lucius Cornelius Sulla.
Ketika perang saudara bermula pada tahun 49 SM antara Pompey dan Caesar, Brutus mengikut Pompey, pemusuhnya yang lama dan ketua Optimat yang terkini. Selepas kecelakaan Perang Pharsalus, Brutus menulis kepada Caesar untuk meminta maaf dan Caesar mengampunkannya dengan segera. Caesar menerimanya ke dalam golongan dalamannya dan melantiknya sebagai gabenor Gaul ketika beliau bertolak ke Afrika untuk mengejar Cato dan Metellus Scipio. Pada tahun yang berikut (45 SM), Caesar mencalonkan Brutus sebagai praetor.
Pembunuhan Caesar dan akibat
[sunting | sunting sumber]Seorang yang bersifat konservatif, Brutus tidak pernah menyembunyikan keyakinannya. Bagaimanapun, beliau kini dipercayai merupakan seorang pejuang kebangsaan serta penyokong yang kuat kepada kawan-kawan keturunannya. Brutus berkahwin dengan Porcia Catones yang merupakan saudara sepupunya dan anak perempuan kepada Cato, dan menulis sebuah teks yang memujikan sifat-sifat mendiang bapa mertuanya. Caesar amat menyayangi Brutus dan amat menghormati pendapat-pendapatnya. Bagaimanpun, Brutus, bersama-sama dengan banyak senator yang lain, berasa amat tidak puas dengan keadaan Republik. Caesar telah dijadikan diktator untuk sepanjang hayat dan telah meluluskan undang-undang untuk menumpukan kuasa pada dirinya. Brutus bermula untuk berkomplot terhadap Caesar bersama-sama dengan kawan dan adik iparnya, Cassius, serta orang-orang yang lain, dan memanggil kumpulan mereka sebagai Liberatores ("Pembebas").
Tidak lama selepas pembunuhan Caesar, Brutus bertemu dengan pengkomplot-pengkomplotnya dan memberitahu mereka bahawa, jika komplot mereka terbocor, mereka harus membunuh diri. Pada 15 Mac 44 SM (sila lihat takwim Rom), sekumpulan senator menjemput Caesar ke sebuah forum untuk tujuan membaca petisyen yang ditulis oleh senator-senator. Petisyen itu meminta Caesar untuk mengembalikan kuasanya kepada Senat. Bagaimanapun, petisyen itu adalah palsu. Setelah mengetahui komplot itu, Mark Antony cuba menghalang Caesar di tangga forum, akan tetapi sekumpulan senator memintas Caesar ketika beliau melewati Teater Pompey, dan mengarahkannya ke sebuah bilik yang bersebelahan dengan porsio timur.
Ketika Caesar bermula membaca petisyen yang palsu itu, salah satu senator yang bernama Servilius Casca menarik tunik Caesar dan menikam lehernya. Dalam beberapa ketika, seluruh kumpulan, dan akhir sekali Brutus, menyerangnya. Caesar cuba melarikan diri, tetapi disebabkan beliau dibutakan oleh darah, tersandung dan jatuh; golongan itu kemudian membunuhnya ketika beliau berbaring tanpa berupaya mempertahankan diri di tangga bawah portiko.
Dalam drama Julius Caesar oleh Shakespeare, Caesar menujukan perkataan-perkataan terakhirnya kepada Brutus: Tu quoque, Brute, fili mi ("Engkau juga, Brutus, anak ku?") atau Et tu, Brute ("Dan engkau [juga], Brutus?"). Suetonius menyatakan bahawa Caesar berkata dalam bahasa Yunani, "καὶ σύ, τέkνον; " (ditransliterasikan sebagai "Kaì sú, téknon?", iaitu "Engkau juga, anakku?") (De Vita Caesarum, Liber I Divus Iulius, LXXXII). Tidak lama selepas pembunuhan Caesar, senator-senator itu meninggalkan bangunan dan berbual-bual antara satu sama lain dengan teruja, dan Brutus bersorak kepada kota yang disayangi: "Orang-orang Rom, kita bebas sekali lagi!"
Bagaimanapun, kota itu menentang mereka kerana kebanyakan penduduk amat menyayangi Caesar. Antony, seorang kawan rapat Caesar, memutuskan untuk mempergunakan keadaan ini dan pada 20 Mac memarahkan pembunuh-pembunuh Caesar semasa eulogi pengebumian. Oleh sebab Rom tidak melihatkan mereka sebagai penyelamat Republik dan mereka menghadapi tuduhan pengkhianatan, Brutus dan pengkomplot-pengkompotnya melarikan diri ke Timur. Di Athens, Brutus menumpukan masanya untuk membelajari falsafah, dan tidak kurang penting, memungut wang untuk membentukkan seangkatan tentera untuk perang kuasa yang akan datang.
Octavian dan Antony memimpin angkatan tentera mereka berkawat menghadapi Brutus dan Cassius. Selepas pertempuran pertama di Philippi pada tahun 42 SM, Cassius membunuh diri, dan pada pertempuran kedua, Brutus melarikan diri dengan angkatannya yang masih tinggal. Melihatkan bahawa penewasan dan penangkapannya pasti akan datang, beliau membunuh diri.
Garis masa
[sunting | sunting sumber]- 85 SM – Brutus dilahirkan di Rom
- 58 SM – menjadi pembantu Cato, gabenor Cyprus
- 53 SM – memperoleh kekuestoran di Cilicia
- 49 SM – mengikut Pompey ke Greece, semasa perang saudara terhadap Caesar
- 48 SM – diampunkan oleh Caesar
- 46 SM – menjadi gabenor Gaul
- 45 SM – menjadi praetor
- 44 SM – membunuh Caesar bersama-sama dengan senator yang lain; pergi ke Athens
- 42 SM – meninggal dunia
- 3 Oktober - Perang Philippi Pertama – menewaskan Gaius Octavius, tetapi Antony menewaskan Cassius yang kemudian membunuh diri.
- 23 Oktober - Perang Philippi Kedua – angkatan tentera Brutus ditewaskan dengan muktamad; beliau melarikan diri, tetapi membunuh diri tidak lama kemudian. Bagaimanapun, menurut drama Julius Caesar, beliau menyuruh pengikut-pengikutnya, Clitus, Dardanius, dan Volumnius untuk membunuhnya. Setiap mereka menolak. Bagaimanapun, Strato bersetuju dan memegang pedang Brutus ketika beliau jatuh pada pedang itu dan meninggal dunia sejurus kemudian.
Penilaian kemudian terhadap Brutus
[sunting | sunting sumber]- Dante menganggap Brutus sebagai contoh unggul untuk pengkhianatan yang amat malu, dan dalam babak Inferno karya Divina Commedia dikarangnya (Inferno, XXXIV, 64-67), beliau menggambarkan Brutus dikunyah-kunyah tetapi tidak dimakan Syaitan bersama-sama dengan Judas Iscariot (salah satu hawari yang mengkhianati Yesus) dan Cassius di aras Neraka yang paling rendah.
- William Shakespeare membuat Mark Antony memerihalkan Brutus sebagi "seorang Rom yang paling mulia" dalam adegan terakhir Julius Caesar. Dalam penerbitan-penerbitan moden untuk drama ini, Brutus biasanya digambarkan sebagai didorongkan oleh niat yang mulia, dan perbuatannya merupakan pembunuhan penzalim, dan bukannya pembunuhan.
- Frasa Sic semper tyrannis ("Oleh itu sentiasa untuk penzalim") dianggap dikatakan oleh Brutus pada masa pembunuhan Caesar, dan kini diterimagunakan sebagai cogan kata oleh penyokong-penyokong pembunuhan penzalim.
- John Wilkes Booth, pembunuh Abraham Lincoln mendakwa bahawa dia diilhami oleh Brutus. Mengeluh tentang reaksi yang negatif terhadap perbuatannya, Booth menulis dalam jurnalnya pada 21 April 1865, "Dengan setiap tangan orang menentangi aku, aku di sini berputus asa. Dan mengapa; Kerana membuat perbuatan yang sama dengan apa yang Brutus dihormati... Dan lagi pun, saya yang memukul seorang penzalim yang lebih besar daripada apa yang mereka pernah mengetahui kini diperlihatkan sebagai seorang pembunuh yang biasa."
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Wikipetik mempunyai koleksi petikan mengenai: Marcus Junius Brutus |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Marcus Junius Brutus. |