Pergi ke kandungan

Kesultanan Ternate

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kerajaan Ternate
1257–1927
Ibu negaraTernate
Agama
Islam Sunni
KerajaanMonarki
Sejarah 
• Didirikan
1257
• Dibubarkan
1927

Kesultanan Ternate atau juga dikenali sebagai Kerajaan Gapi merupakan salah satu empat kerajaan Islam di Kepulauan Maluku dan merupakan salah satu kerajaan Islam tertua di Nusantara. Didirikan oleh Baab Mashur Malamo pada tahun 1257, Kesultanan Ternate mempunyai peranan penting di kawasan timur Nusantara antara abad ke-13 sehingga abad ke-17. Kesultanan Ternate menikmati kegemilangan dalam separuh abad ke-16 lantaran dagangan rempah ratus dan kuasa tenteranya. Pada masa kemuncak kekuasaannya, kesultanan tersebut membentang pengaruhnya merangkumi wilayah Maluku, Sulawesi bahagian utara, timur dan tengah, bahagian selatan kepulauan Filipina sehingga Kepulauan Marshall di Pasifik.

Asal usul

[sunting | sunting sumber]

Pulau Gapi (kini Ternate) mula diduduki ramai-ramai pada awal abad ke-13. Penduduk Ternate awal merupakan warga pelarian dari Halmahera. Pada mulanya, terdapat empat kampung di Ternate yang masing-masing dikepalai oleh seorang momole (ketua marga/puak). Merekalah yang pertama sekali mengadakan hubungan dengan para pedagang yang datang dari segala penjuru mencari rempah-rempah. Penduduk Ternate semakin heterogen dengan bermukimnya pedagang Arab, Jawa, Melayu dan Cina. Oleh kerana aktiviti dagangan yang semakin tergugat oleh perompak, maka atas daya usaha Momole Guna pemimpin Tobona diadakan musyawarah untuk membentuk suatu pertubuhan yang lebih kuat dan mengangkat seorang pemimpin tunggal sebagai raja.

Tahun 1257 Momole Ciko pemimpin Sampalu terpilih dan diangkat sebagai kolano (raja) pertama dengan gelaran Baab Mashur Malamo (1257-1272). Kerajaan Gapi berpusat di kampung Ternate, yang dalam perkembangan selanjutnya semakin besar dan ramai sehingga oleh penduduk disebut juga sebagai Gam Lamo atau kampung besar (kebelakangan orang menyebut Gam Lamo dengan Gamalama). Semakin besar dan popularnya Bandar Ternate, sehingga kemudian orang lebih suka mengatakan kerajaan Ternate berbanding kerajaan Gapi. Di bawah pimpinan beberapa generasi penguasa berikutnya, Ternate berkembang daripada sebuah kerajaan yang hanya berwilayahkan sebuah pulau kecil menjadi kerajaan yang berpengaruh dan terbesar di bahagian timur Indonesia khususnya Maluku.

Struktur kerajaan

[sunting | sunting sumber]

Pada masa-masa awal, suku Ternate dipimpin oleh para momole. Selepas membentuk kerajaan jawatan pimpinan dipegang seorang raja yang disebut kolano. Pada awal pertengahan abad ke-15, Islam diamalkan secara keseluruhan oleh kerajaan dan penerapan syariat Islam dikuatkuasakan. Sultan Zainal Abidin meninggalkan gelaran kolano dan menggantikannya dengan gelaran sultan. Para ulama menjadi tokoh penting dalam kerajaan.

Selepas sultan sebagai pemimpin tertinggi, terdapat jawatan jogugu (perdana menteri) dan fala raha sebagai para penasihat. Fala raha atau empat rumah ialah empat suku bangsawan yang menjadi tulang belakang kesultanan sebagai perwakilan para momole pada masa lalu, masing-masing dikepalai seorang kimalaha. Mereka ialah Marasaoli, Tomagola, Tomaito dan Tamadi. Pegawai-pegawai tinggi kesultanan umumnya berasal daripada suku-suku ini. Apabila seorang sultan tidak mempunyai pewaris, maka penerusnya dipilih daripada salah satu suku. Selanjutnya terdapat jawatan-jawatan lain seperti Bobato Nyagimoi se Tufkange (Dewan 18), Sabua Raha, Kapita Lau, Salahakan, Sangaji dll.

Kolano dan Sultan Ternate Masa pemerintahan[1][2][3][4][5]
Baab Mashur Malamo 1257 - 1277
Jamin Qadrat 1277 - 1284
Komala Abu Said 1284 - 1298
Bakuku (Kalabata) 1298 - 1304
Ngara Malamo (Komala) 1304 - 1317
Patsaranga Malamo 1317 - 1322
Cili Aiya (Sidang Arif Malamo) 1322 - 1331
Panji Malamo 1331 - 1332
Syah Alam 1332 - 1343
Tulu Malamo 1343 - 1347
Kie Mabiji (Abu Hayat I) 1347 - 1350
Ngolo Macahaya 1350 - 1357
Momole 1357 - 1359
Gapi Malamo I 1359 - 1372
Gapi Baguna I 1372 - 1377
Komala Pulu 1377 - 1432
Marhum (Gapi Baguna II) 1432 - 1486
Zainal Abidin 1486 - 1500
Sultan Bayanullah 1500 - 1522
Hidayatullah 1522 - 1529
Abu Hayat II 1529 - 1533
Tabariji 1533 - 1534
Khairun Jamil 1535 - 1570
Babullah Datu syah 1570 - 1583
Said Barakat syah 1583 - 1606
Mudaffar Syah I 1607 - 1627
Hamzah 1627 - 1648
Mandarsyah 1648 - 1650 (masa pertama)
Manila 1650 - 1655
Mandarsyah 1655 - 1675 (masa kedua)
Sibori 1675 - 1689
Said Fatahullah 1689 - 1714
Amir Iskandar Zulkarnain Syaifuddin 1714 - 1751
Ayan Syah 1751 - 1754
Syah Mardan 1755 - 1763
Jalaluddin 1763 - 1774
Harunsyah 1774 - 1781
Achral 1781 - 1796
Muhammad Yasin 1796 - 1801
Muhammad Ali 1807 - 1821
Muhammad Sarmoli 1821 - 1823
Muhammad Zain 1823 - 1859
Muhammad Arsyad 1859 - 1876
Ayanhar 1879 - 1900
Muhammad Ilham (Kolano Ara Rimoi) 1900 - 1902
Haji Muhammad Usman syah 1902 - 1915
Iskandar Muhammad Jabir syah 1929 - 1975
Drs. Haji Mudaffar Syah (Mudaffar II) 1975 – 2015[6]

Moloku Kie Raha

[sunting | sunting sumber]

Selain Ternate, di Maluku juga terdapat paling tidak lima kerajaan lain yang mempunyai pengaruh iaitu Kesultanan Tidore, Kesultanan Jailolo, Kesultanan Bacan, Kerajaan Obi dan Kerajaan Loloda. Kerajaan-kerajaan ini merupakan saingan Ternate dalam perebutan hegemoni di Maluku. Lantaran dagangan rempah, Ternate menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat, malah untuk menguatkan hegemoninya di Maluku, Ternate mula melakukan perluasan. Hal ini menimbulkan antipati (kebencian) dan memperbesar kecemburuan kerajaan lain di Maluku yang memandang Ternate sebagai musuh bersama sehingga tercetusnya perang.

Demi menamatkan konflik yang berlarutan, sultan Ternate ke-7, Kolano Cili Aiya atau disebut juga Kolano Sida Arif Malamo (1322-1331) menjemput raja-raja Maluku yang lain untuk berdamai dan bermusyawarah membentuk persekutuan. Persekutuan ini kemudian dikenali sebagai Persekutan Moti atau Motir Verbond. Butiran penting daripada mesyuarat ini selain terjalinnya persekutuan ialah penyeragaman bentuk kelembagaan kerajaan di Maluku. Oleh kerana mesyuarat ini dihadiri 4 orang raja Maluku yang terkuat, maka disebut juga sebagai persekutuan Moloku Kie Raha (Empat Gunung Maluku).

Kedatangan Islam

[sunting | sunting sumber]
Putera Sultan Ternate bersama seorang controleur dan seorang warga Belanda di sekitar tahun 1900

Tidak terdapat sumber yang jelas mengenai bila awal kedatangan Islam di Maluku Utara khususnya Ternate. Namun diagakkan sejak awal berdirinya kerajaan Ternate, masyarakat Ternate telah mengenal Islam lantaran banyaknya pedagang Arab yang telah bermukim di Ternate ketika itu. Beberapa raja awal Ternate sudah menggunakan nama bernuansa Islam namun kepastian mereka mahupun keluarga kerajaan memeluk Islam masih diperdebatkan. Hanya dapat dipastikan bahawa keluarga kerajaan Ternate rasmi memeluk Islam pertengahan abad ke-15.

Kolano Marhum (1465-1486), penguasa Ternate ke-18 ialah raja pertama yang diketahui memeluk Islam bersama seluruh kerabat dan pegawai istana. Pengganti Kolano Marhum ialah puteranya, Zainal Abidin (1486-1500). Beberapa langkah yang diambil Sultan Zainal Abidin ialah meninggalkan gelar kolano dan menggantikannya dengan sultan, Islam diakui sebagai agama rasmi kerajaan, syariat Islam dikuatkuasakan, dan membentuk lembaga kerajaan sesuai hukum Islam dengan melibatkan para ulama. Langkah-langkahnya ini kemudian diikuti kerajaan lain di Maluku secara keseluruhan, hampir tanpa perubahan. Baginda juga menubuhkan madrasah yang pertama di Ternate. Sultan Zainal Abidin pernah memperdalam ajaran Islam dengan berguru pada Sunan Giri di pulau Jawa. Di sana baginda dikenali sebagai Sultan Bualawa (Sultan Cengkih).

Kedatangan Portugis dan perang saudara

[sunting | sunting sumber]

Dalam masa pemerintahan Sultan Bayanullah (1500-1521), Ternate semakin berkembang, rakyatnya diwajibkan berpakaian secara Islam, teknik pembuatan perahu dan senjata yang diperoleh daripada orang Arab dan Turki digunakan untuk menguatkan pasukan Ternate. Ketika masa ini pula datang orang Eropah pertama di Maluku, Loedwijk de Bartomo (Ludovico Varthema) dalam tahun 1506.

Dalam tahun 1512, Portugis untuk pertama kalinya menjejakkan kaki di Ternate di bawah pimpinan Francisco Serrão, atas persetujuan sultan, Portugis dibenarkan menubuhkan pos dagang di Ternate. Portugis datang bukan semata-mata untuk berdagang melainkan untuk menguasai dagangan rempah-ratus, pala dan cengkih di Maluku. Untuk itu, terlebih dulu mereka perlu menaklukkan Ternate.

Sultan Bayanullah wafat meninggalkan pewaris-pewaris yang masih sangat muda. Janda sultan, permaisuri Nukila dan Putera Taruwese, adik allahyarham sultan bertindak sebagai wali. Permaisuri Nukila yang asal Tidore bermaksud menyatukan Ternate dan Tidore di bawah satu mahkota yakni satu daripada kedua-dua puteranya, Putera Hidayat (kelak Sultan Dayalu) dan putera Abu Hayat (kelak Sultan Abu Hayat II). Sementara putera Tarruwese menginginkan takhta bagi dirinya sendiri.

Portugis memanfaatkan peluang ini dan memerangi kedua-duanya sehingga meletusnya perang saudara. Kubu permaisuri Nukila disokong Tidore manakala putera Taruwese disokong Portugis. Selepas meraih kemenangan, putera Taruwese justeru dikhianati dan dibunuh Portugis. Gabenor Portugis bertindak sebagai penasihat kerajaan dan dengan pengaruh yang dimiliki berjaya memujuk dewan kerajaan untuk mengangkat putera Tabariji sebagai sultan. Tetapi ketika Sultan Tabariji mula menunjukkan sikap bermusuhan, Baginda difitnah dan dibuang ke Goa, India. Di sana Baginda dipaksa Portugis untuk menandatangani perjanjian menjadikan Ternate sebagai kerajaan Kristian dan vasal kerajaan Portugis, namun perjanjian itu ditolak mentah-mentah oleh Sultan Khairun (1534-1570).

Pengusiran Portugis

[sunting | sunting sumber]
Ngara Lamo, gerbang Istana Sultan Ternate pada tahun 1930-an

Perlakuan Portugis terhadap saudara-saudaranya membuat Sultan Khairun geram dan bertekad mengusir Portugis dari Maluku. Tindak-tanduk pihak Portugis ini juga menimbulkan kemarahan rakyat yang akhirnya berdiri di belakang Sultan Khairun. Sejak masa sultan Bayanullah, Ternate telah menjadi salah satu tiga kesultanan terkuat dan pusat Islam utama di Nusantara abad ke-16 selain Aceh dan Demak selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Ketiga-tiganya membentuk Perikatan Tiga untuk membendung serangan Portugis di Nusantara.

Tidak ingin menjadi Melaka kedua, sultan Khairun mengobarkan perang pengusiran Portugis. Kedudukan Portugis ketika itu sudah sangat kuat, selain mempunyai kubu dan poket kuasa di seluruh Maluku, mereka juga mempunyai sekutu-sekutu suku peribumi yang boleh dikerahkan untuk menghadang Ternate. Dengan adanya Aceh dan Demak yang terus mengancam kedudukan Portugis di Melaka, Portugis di Maluku kesukaran mendapat bala bantuan sehingga terpaksa memohon damai kepada Sultan Khairun. Secara licik gabenor Portugis, Lopez de Mesquita menjemput Sultan Khairun ke meja perundingan dan akhirnya dengan kejam membunuh sultan yang datang tanpa pengawalnya.

Pembunuhan Sultan Khairun semakin menggalakkan rakyat Ternate untuk menyingkirkan Portugis, malah seluruh Maluku kini menyokong kepemimpinan dan perjuangan Sultan Baabullah (1570-1583). Pos-pos Portugis di seluruh Maluku dan wilayah timur Indonesia digempur. Selepas peperangan selama 5 tahun, akhirnya Portugis meninggalkan Maluku untuk selamanya pada tahun 1575. Di bawah pimpinan Sultan Baabullah, Ternate mencapai puncak kejayaan, wilayah membentang dari Sulawesi Utara dan Tengah di bahagian barat sehingga Kepulauan Marshall di bahagian timur, dari Filipina Selatan di bahagian utara sehingga kepulauan Nusa Tenggara di bahagian selatan.

Sultan Baabullah digelar penguasa 72 pulau yang semuanya berpenghuni sehingga menjadikan Kesultanan Ternate sebagai kerajaan Islam terbesar di Indonesia timur, di samping Aceh dan Demak yang menguasai wilayah barat dan tengah Nusantara ketika itu.

Kedatangan Belanda

[sunting | sunting sumber]

Sepeninggal Sultan Baabullah, Ternate mula melemah, Kerajaan Sepanyol yang telah bersatu dengan Portugis pada tahun 1580 cuba menguasai kembali Maluku dengan menyerang Ternate. Dengan kuasa baharu, Sepanyol menguatkan kedudukannya di Filipina. Ternate pun menjalin perikatan dengan Mindanao untuk menghalau Sepanyol namun gagal, malah Sultan Said Barakati berjaya ditawan Sepanyol dan dibuang ke Manila.

Kekalahan demi kekalahan yang diderita memaksa Ternate meminta bantuan Belanda pada tahun 1603. Ternate akhirnya berjaya menahan Sepanyol namun dengan ganjaran yang amat mahal. Belanda akhirnya secara perlahan-lahan menguasai Ternate. Pada 26 Jun 1607, Sultan Ternate menandatangani kontrak monopoli VOC di Maluku sebagai ganjaran bantuan Belanda melawan Sepanyol. Pada tahun 1607 pula, Belanda membina kubunya di Ternate yang merupakan kubu pertama mereka di Nusantara.

Sejak awal hubungan yang tidak sihat dan tidak seimbang antara Belanda dan Ternate menimbulkan ketidakpuasan para penguasa dan bangsawan Ternate. Antaranya ialah Putera Hidayat (15??-1624), raja muda Ambon yang juga merupakan bekas wali raja Ternate ini memimpin pembangkang yang menentang kedudukan sultan dan Belanda. Baginda mengabaikan perjanjian monopoli dagang Belanda dengan menjual rempah–rempah kepada pedagang Jawa dan Makassar.

Perlawanan rakyat Maluku dan kejatuhan Ternate

[sunting | sunting sumber]
Pengawal Sultan Ternate pada tahun 1910-an

Semakin lama, cengkaman dan pengaruh Belanda pada Ternate semakin kuat. Belanda dengan berleluasa mengeluarkan peraturan yang merugikan rakyat melalui perintah sultan. Sikap Belanda yang kurang ajar dan sikap sultan yang cenderung patuh menimbulkan kekecewaan semua kalangan. Sepanjang abad ke-17, sekurang-kurangnya terdapat 4 pemberontakan yang dikobarkan bangsawan Ternate dan rakyat Maluku.

  • Tahun 1635, demi memudahkan pengawasan dan menaikkan dengan mendadak harga rempah yang merosot, Belanda memutuskan keputusan melakukan pembalakan besar-besaran pokok cengkih dan pala di seluruh Maluku atau yang lebih dikenali sebagai Hongi Tochten yang menyebabkan rakyat mengobarkan perlawanan. Pada tahun 1641, dipimpin oleh raja muda Ambon, Salahakan Luhu, puluhan ribu pasukan gabungan Ternate, Hitu dan Makassar menggempur pelbagai kedudukan Belanda di Maluku Tengah. Salahakan Luhu kemudian berjaya ditangkap dan dihukum mati bersama seluruh keluarganya pada pada 16 Jun 1643. Perjuangan tersebut lalu dilanjutkan oleh saudara ipar Luhu, Kapita Hitu Kakiali dan Tolukabessi sehingga 1646.
  • Tahun 1650, para bangsawan Ternate mengobarkan perlawanan di Ternate dan Ambon, pemberontakan ini dipicu sikap Sultan Mandarsyah (1648-1650,1655-1675) yang terlampau akrab dan dianggap cenderung menuruti kemahuan Belanda. Para bangsawan bersekongkol untuk menurunkan sultan. Tiga pemberontak yang utama ialah trio putera Saidi, Majira dan Kalamata. Putera Saidi ialah seorang kapita laut atau panglima tertinggi pasukan Ternate, Putera Majira ialah raja muda Ambon sementara Putera Kalamata ialah adik sultan Mandarsyah. Saidi dan Majira memimpin pemberontakan di Maluku Tengah sementara Putera Kalamata bergabung dengan raja Gowa Sultan Hasanuddin di Makassar. Bahkan mereka sempat berjaya menggulingkan Sultan Mandarsyah daripada takhta dan mengangkat Sultan Manilha (1650–1655), namun lantaran bantuan Belanda kedudukan Mandarsyah kembali dipulihkan. Selepas 5 tahun pemberontakan, Saidi dkk[Penjelasan diperlukan] berjaya dipadamkan. Putera Saidi diseksa secara kejam sehingga mati sementara Putera Majira dan Kalamata menerima pengampunan sultan dan hidup dalam pengasingan.
  • Sultan Muhammad Nurul Islam atau yang lebih dikenali dengan nama Sultan Sibori (1675 – 1691) berasa runsing akan tindak-tanduk Belanda yang sewenang-wenang. Baginda kemudian menjalin persekutuan dengan Datuk Abdulrahman penguasa Mindanao, namun upayanya untuk menghalang kuasa kurang berkesan kerana daerah-daerah strategik yang boleh diandalkan untuk pangkalan perlawanan terlanjur jatuh ke tangan Belanda oleh pelbagai perjanjian yang dibuat para pendahulunya. Baginda kalah dan terpaksa berundur ke Jailolo. Pada 7 Julai 1683, Sultan Sibori terpaksa menandatangani perjanjian yang isinya menjadikan Ternate sebagai kerajaan tergantung Belanda. Perjanjian ini menamatkan masa Ternate sebagai negara berdaulat.

Meskipun telah kehilangan kekuasaan mereka, beberapa sultan Ternate berikutnya tetap berjuang mengeluarkan Ternate daripada cengkaman Belanda. Dengan kemampuan yang terbatas kerana sentiasa diawasi, mereka hanya mampu mengekal perjuangan rakyatnya secara diam-diam. Perjuangan yang terakhir berlaku dalam tahun 1914 iaitu Sultan Haji Muhammad Usman Syah (1896-1927) menggerakkan perlawanan rakyat di wilayah-wilayah kekuasaannya, bermula di wilayah Banggai di bawah pimpinan Hairuddin Tomagola namun gagal.

Di Jailolo, rakyat Tudowongi, Tuwada dan Kao di bawah pimpinan Kapita Banau berjaya menimbulkan kerugian di pihak Belanda, banyak tentera Belanda yang tewas termasuk Controleur Belanda Agerbeek dan markas mereka diporak-peranda. Akan tetapi kerana keunggulan tentera/ketenteraan serta persenjataan yang lebih lengkap dimiliki Belanda, perlawanan tersebut berjaya dipatahkan – kapita Banau ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung. Sultan Haji Muhammad Usman Syah terbukti terlibat dalam pemberontakan ini. Berdasarkan keputusan kerajaan Hindia Belanda, pada 23 September 1915 no. 47, Sultan Haji Muhammad Usman Syah dilucut daripada jawatan sultan dan seluruh hartanya disita, baginda dibuang ke Ipoh tahun 1915 dan meninggal di sana dalam tahun 1927.

Selepas penurunan Sultan Haji Muhammad Usman Syah, jawatan sultan pernah kosong selama 14 tahun dan pemerintahan adat dijalankan oleh Jogugu serta dewan kesultanan. Pernah muncul keinginan kerajaan Hindia Belanda untuk menghapuskan Kesultanan Ternate namun niat itu dibatalkan dilaksanakan kerana bimbang akan tindak keras yang boleh mencetus pemberontakan baharu sementara Ternate berada jauh dari pusat pemerintahan Belanda di Batavia.

Dalam usianya yang kini memasuki usia 750 tahun, Kesultanan Ternate masih tetap bertahan walaupun hanya sebagai simbol budaya. Jawatan sultan sebagai pemimpin Ternate ke-49 kini dipegang oleh sultan Drs. H. Mudaffar Sjah, BcHk. (Mudaffar II) yang dinobatkan tahun 1986.

Warisan Ternate

[sunting | sunting sumber]

Empayar nusantara timur yang dipimpin Ternate memang telah runtuh sejak pertengahan abad ke-17, namun pengaruh Ternate sebagai kerajaan dengan sejarah yang panjang masih terus terasa sehingga berabad-abad kemudian. Ternate mempunyai saham yang sangat besar dalam kebudayaan nusantara bahagian timur khususnya Sulawesi (utara dan pesisir timur) dan Maluku. Pengaruh itu merangkumi agama, adat istiadat dan bahasa.

Sebagai kerajaan pertama yang memeluk Islam, Ternate mempunyai peranan yang besar dalam usaha pengislaman dan pengenalan syariat-syariat Islam di wilayah timur nusantara dan bahagian selatan Filipina. Bentuk pertubuhan kesultanan serta penerapan syariat Islam yang diperkenalkan pertama kali oleh Sultan Zainal Abidin menjadi piawai yang diikuti semua kerajaan di Maluku hampir tanpa perubahan yang bermaksud.

Kejayaan rakyat Ternate di bawah Sultan Baabullah dalam pengusiran Portugis pada tahun 1575 merupakan kemenangan pertama peribumi nusantara terhadap kuasa barat. Oleh itu, Buya Hamka malah memuji kemenangan rakyat Ternate ini yang telah menangguhkan penjajahan barat atas bumi nusantara selama 100 tahun sekali gus memperkukuh kedudukan Islam, dan sekiranya rakyat Ternate gagal, nescaya wilayah timur Indonesia akan menjadi pusat kristian seperti keadaannya di Filipina.

Kedudukan Ternate sebagai kerajaan yang berpengaruh turut pula mengangkat darjah bahasa Ternate sebagai bahasa pergaulan di pelbagai wilayah yang berada di bawah pengaruhnya. Prof E.K.W. Masinambow dalam tulisannya, "Bahasa Ternate dalam konteks bahasa-bahasa Austronesia dan Non Austronesia" mengemukakan bahawa bahasa Ternate mempunyai kesan terbesar terhadap bahasa Melayu yang digunakan masyarakat timur Indonesia. Sebanyak 46% kosa bahasa Melayu di Manado diambil daripada bahasa Ternate. Bahasa Melayu Ternate ini kini digunakan luas di Indonesia Timur terutamanya Sulawesi Utara, pesisiran timur Sulawesi Tengah dan Selatan, Maluku dan Papua dengan dialek yang berlainan.[7]

Dua naskhah surat diutuskan Sultan Abu Hayat II kepada Raja Manuel I di Portugal pada 27 April dan 8 November 1521 diakui sebagai manuskrip berbahasa Melayu tertua di dunia selepas naskhah Tanjung Tanah. Kedua-dua surat Sultan Abu Hayat tersebut kini masih tersimpan di Muzium Lisbon, Portugal.[8][9][10]

  1. ^ Royal Ark Ternate p.2
  2. ^ Royal Ark Ternate p.3
  3. ^ Royal Ark Ternate p.4
  4. ^ Royal Ark Ternate p.5
  5. ^ http://www.sil.si.edu Ternate
  6. ^ Artikel:"Sultan Ternate Meninggal Dunia" di Detik.com
  7. ^ Ternate, Bandar Jalur Sutera. LinTas. 2001.
  8. ^ "Melestarikan Surat Leluhur Melayu di Rumah Larik". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-03-14. Dicapai pada 2013-03-21.
  9. ^ Henry Chambert-Loir & Oman Aturrahman. "Khazanah naskhah: panduan koleksi naskah-naskah Indonesia sedunia". Dicapai pada 2013-02-21.
  10. ^ "Undang Undang Tanjung Tanah, Naskah Melayu Tertua di Dunia?". Dicapai pada 2013-03-21.

Senarai pustaka

[sunting | sunting sumber]
  • M. Adnan Amal, "Maluku Utara, Perjalanan Sejarah 1250 - 1800 Jilid I dan II", Universiti Khairun Ternate 2002.
  • Willard A. Hanna & Des Alwi, "Ternate dan Tidore, Masa Lalu Penuh Gejolak", Pustaka Sinar Harapan Jakarta 1996.
  • Abdul Hamid Hasan, “Ternate dari abad ke abad”, Ternate 1987