Kementerian Luar Negeri Malaysia
كمنترين لوار نڬري | |
Intisari agensi | |
---|---|
Dibentuk | 31 Ogos 1957 |
Jenis | Kerajaan |
Ibu pejabat | Wisma Putra, No. 1, Jalan Wisma Putra, Precinct 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62602 Putrajaya |
Kakitangan | 3,184 (2018) |
Belanjawan tahunan | MYR 740,674,000 (2018) |
Menteri bertanggungjawab | |
Eksekutif kerajaan |
|
Laman sesawang | www |
Negara Anggota ASEAN |
Portal Malaysia |
Kementerian Luar Negeri (Tulisan Jawi: كمنترين لوار نڬري; singkatan KLN) ialah kementerian di bawah kerajaan Malaysia.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Asal Kementerian ini bermula sebelum kemerdekaan negara ini dalam tahun 1957. Penubuhan Kementerian Luar Malaysia telah dimulakan setahun sebelum kemerdekaan untuk melatih sekumpulan sebelas diplomat untuk menggerak misi diplomatik luar negara. Kumpulan ini telah dilatih di Britain dan Australia. Kementerian ini mengikut model Pejabat Luar Negeri British. Pada mulanya, hanya tiga pegawai yang membahagikan dunia ini kepada tiga bahagian mengikut tanggungjawab geografi individu mereka.
Objektif
[sunting | sunting sumber]Melaksanakan dasar luar negara merupakan tugas yang rumit dan mencabar. Dengan persekitaran politik dunia yang dinamik, Kementerian Luar Negeri perlu sentiasa peka terhadap perubahan dan mampu bertindak balas dengan berkesan bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara Malaysia dilindungi sewajarnya manakala pandangan Malaysia dinyatakan dengan jelas di peringkat antarabangsa.
Kementerian akan menyelaras dan bekerja rapat dengan Kementerian dan Agensi yang berkaitan untuk mewujudkan bidang tugas yang boleh dilaksanakan dalam melaksanakan kepentingan negara Malaysia dan untuk menyelaras strategi pemasaran dan penjenamaan Malaysia di luar negara.
Dalam merumuskan dasar luar negara, setiap negara mempunyai matlamatnya sendiri. Dasar luar negara Malaysia adalah mudah, iaitu mencari apa yang penting kepada negara di peringkat antarabangsa.
Kerajaan Malaysia akan berusaha memastikan bahawa Malaysia terus memainkan peranan yang aktif dalam hubungan antarabangsa demi manfaat negara. Dalam usaha mencapai objektif dasar luar negara Malaysia, perkara berkut diberikan penekanan:
•Mengekalkan hubungan yang harmoni dengan semua negara tanpa mengambil kira ideologi dan sistem politik;
•Mengambil pendirian bebas, berkecuali dan berprinsip dalam hal ehwal diplomatik serantau dan antarabangsa;
•Menjalin hubungan erat dan perkongsian ekonomi dengan semua negara, terutamanya dengan ASEAN dan negara serantau yang lain;
•Menggalakkan keamanan dan kestabilan di rantau ini dengan membina keupayaan dan mengambil pendekatan menyelesaikan konflik;
•Berperanan sebagai pemimpin yang berpengaruh selaku Pengerusi ASEAN, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) (sebagaimana yang kita lakukan beberapa tahun lalu);
•Melibatkan diri secara gigih dan penuh bermakna dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya dalam usaha membanteras ketidakadilan dan penindasan serta menjunjung undang-undang antarabangsa; dan
•Mengangkat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang bertoleransi dan progresif.
Hubungan Dua Hala
[sunting | sunting sumber]Mewujudkan hubungan dua hala yang mesra dengan negara jiran terus menjadi keutamaan. Pendekatan yang membina diambil untuk menyelesaikan masalah yang masih belum terlerai termasuklah yang berkaitan dengan tuntutan bertindih dan penetapan sempadan tanah dan maritim. Setiap usaha diplomatik dilaksanakan untuk memastikan hubungan dua hala dengan semua negara jiran tidak terjejas akibat masalah tersebut. Persetujuan untuk merujuk kepada ICJ berkaitan tuntutan pertindahan wilayah menunjukkan sejauh mana kita bersedia untuk mencari penyelesaian bagi masalah dua hala.
Penubuhan suruhanjaya bersama antara Malaysia dengan Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Laos dan Vietnam juga menyediakan rangka yang berguna untuk mewujudkan kerjasama dua hala yang lebih luas dalam semua bidang yang memanfaatkan kedua-dua pihak.
Walaupun tumpuan utama Malaysia dengan negara luar lebih tertumpu kepada negara ASEAN, hubungannya dengan negara dan rantau lain tidak kurang pentingnya. Perwakilan Diplomatik negara yang pertama ditubuhkan di London, Washington, Canberra, New York, New Delhi, Jakarta dan Bangkok. Menjelang tahun 1963, Malaysia telah menubuhkan 14 buah Perwakilan Diplomatik di luar negari. Bilangannya terus bertambah menjadi 21 pada tahun 1966. Pada hari ini, Malaysia mempunyai serangkaian 105 perwakilan diplomatik di serata dunia – bukti membanggakan yang menunjukkan sejauh mana hubungan dua hala Malaysia tidak berkembang dalam tempoh beberapa tahun seiring dengan kemajuan negara.
Dalam hal ini, Malaysia meletakkan kepentingan yang sama kepada hubungan dengan negara Asia, Afrika, Timur Tengah dan Amerika Latin yang lain dan akan terus memantapkan dan mempertingkat hubungan kukuh yang sedia ada dengan rantau tersebut. Hubungan dua hala dengan negara Asia, Afrika, Timur Tengah dan Amerika Latin yang lain akan diteruskan tanpa mengetepikan rakan ekonomi kita yang lama di Eropah dan Amerika. Jepun, Kesatuan Eropah, AS, Australia dan Republik Korea akan terus menjadi rakan dagang Malaysia yang utama dan juga sumber pelaburan dan teknologi.
Satu-satunya pengecualian ialah Israel. Seperti negara lain, Malaysia turut prihatin tentang ketegangan dan konflik yang berterusan di Timur Tengah, seperti konflik Palestin–Israel yang terus menemui jalan buntu. [Sebagai menunjukkan keprihatinannya, Malaysia hanya akan menimbangkan untuk memulakan hubungan dengan Israel apabila perjanjian damai yang menyeluruh antara Israel dengan rakyat Palestin berjaya dimuktamadkan.] Begitu juga, Malaysia tidak berhasrat untuk mengurangkan hubungan yang telah lama terjalin dengan Barat. Tidak ada percanggahan antara kritikan wajar yang dibuat oleh Malaysia terhadap negara Barat dalam isu tertentu dengan penerimaan negara Barat sebagai pasaran untuk produk dan sumber pelaburan di negara kita.
Peluasan negara Eropah bukanlah satu-satunya tumpuan Malaysia dalam meningkatkan hubungan, tetapi juga hubungan ASEAN dengan negara sahabatnya di Eropah melalui ASEM atau hubungan ASEAN yang serupa dengan benua Amerika melalui APEC.
Selain ASEAN, Malaysia banyak memberikan tumpuan kepada hubungan dengan negara di Asia Timur Laut. Sebagai penyokong kuat kerjasama serantau, China sentiasa menjadi rakan kuat ASEAN. Sokongan padu Chinalah yang membantu rantau ini mengatasi krisis kewangan dan ekonomi pada tahun 1997. China dijangka memegang peranan utama dan positif dalam mengukuhkan hubungan antara ASEAN dengan Asia Timur Laut. Hubungan dua hala kita dengan Jepun dan Republik Korea juga sama pentingnya. Kita berharap suatu hari nanti, kedua-dua negara ini akan bersepadu. Begitu juga halnya, “Dasar Satu China” yang kita terima pakai, di samping meneruskan hubungan ekonomi yang erat dengan Taiwan bukanlah suatu paradox, tetapi menggambarkan sikap pragmatik kita dalam menghadapi kenyataan.
Kerjasama Pelbagai Hala
[sunting | sunting sumber]Matlamat dasar luar negara Malaysia yang jelas berhubung dengan pertahanan dan keselamatan, pembangunan dan perdagangan, kerjasama dan diplomasi antarabangsa menentukan corak hubungan kita dengan negara jiran serta negara lain dalam rangka kerja ASEAN, ARF, APEC, ASEM, Kerjasama Selatan-Selatan, OIC, Komanwel, NAM, PBB dan pertubuhan serantau dan antarabangsa yang lain.
Pertubuhan inilah yang cuba melindungi kepentingan negara membangun. Diakui bahawa kejayaan terbaik mereka dihasilkan secara gabungan, tetapi ternyata negara membangun menghadapi banyak masalah yang sama dan perlu bekerjasama untuk berdepan dengan cabaran globalisasi yang baru. Kita juga akan terus membuatkan kehadiran kita dirasai dalam forum antarabangsa.
Di peringkat pelbagai hala, Malaysia sentiasa mempertahankan kedudukan negara membangun dalam isu penting seperti keganasan, hak asasi manusia, demokrasi dan alam sekitar meskipun menghadapi tekanan yang kuat dalam proses itu. Malaysia akan terus memegang peranan yang proaktif di peringkat antarabangsa.
Malaysia telah dan akan terus aktif dalam OIC, Komanwel, NAM dan PBB. Forum sedemikian berguna untuk menggalakkan kerjasama antara negara anggota, mencari penyelesaian untuk masalah global dan mewujudkan peraturan asas bersama yang akan menjadi panduan dalam hubungan antarabangsa yang harmoni. Malaysia akan terus menggunakan platform ini untuk membicarakan isu global seperti hak asasi manusia dan demokrasi, alam sekitar, keganasan antarabangsa dan jenayah transnasional, pelarian, pelucutan senjata dan pembaharuan Majlis Keselamatan PBB. Kebelakangan ini, Malaysia berdiri di barisan hadapan dalam menyuarakan keprihatinan dan keperluan menentang ancaman kegiatan melanun di peringkat antarabangsa.
Kita percaya bahawa PBB perlu sentiasa berkesan dalam menangani isu pembangunan global, keamanan dan keselamatan, aktiviti kemanusiaan, krisis antarabangsa dan pelanggaran Piagam PBB serta prinsip undang-undang antarabangsa – secara adil dan saksama.
Malaysia sentiasa menyokong kuat semangat hubungan pelbagai hala dan menentang semua bentuk unilateralisme. Kita tidak percaya bahawa unilateralisme ialah cara untuk menyelesaikan masalah antarabangsa. Malaysia yakin bahawa hanya PBB sahaja yang boleh mengesahkan peraturan antarabangsa. Sebagai sebuah negara membangun yang kecil dalam arena antarabangsa, Malaysia perlu mendukung kuat prinsip piagam PBB sebagai jalan terakhir dalam pertahanan. Dasar Luar Malaysia – Rumusan
Fenomena penting yang akan memberikan kesan hebat kepada dasar luar negara Malaysia sambil kita mara ke depan ialah globalisasi. Cabaran terbesar kita adalah memperoleh perkara terbaik daripada proses globalisasi dan memberikan sumbangan terbaik kita dalam sistem tersebut. Dan sebagai balasan, kita membantu dalam menjadikan dunia tempat tinggal yang lebih aman dan saksama, menjadi pemimpin di rantau kita dan menunjukkan teladan serta menjadi negara anggota yang bertanggungjawab dalam komuniti antarabangsa.
Dalam bidang politik, kita menyaksikan berakhirnya perang dingin. Namun, dunia pada hari ini masih tidak selamat seperti yang dijanjikan. Apa yang digelar ‘desa global’ yang mesra masih belum menjadi kenyataan. Konflik lama masih belum tamat atau ada saja caranya untuk menghantui kita. Pada masa yang sama, konflik baru yang ada kalanya menumpahkan lebih banyak darah dan lebih kejam daripada konflik lama terus wujud dan mengganas atau tiada penyelesaiannya. Selain itu, dua isu lain yang amat membimbangkan juga masih berterusan, iaitu:
• Keganasan yang terus mengancam kehidupan dan harta benda mangsa yang tidak berdosa: dan
• Kewujudan senjata yang mengakibatkan kemusnahan besar dan boleh membawa kepada perang nuklear, kimia dan biologi.
Oleh itu, dasar luar negara kita perlu didorong ke arah memastikan lebih banyak negara menandatangani dan mengesahkan persidangan antarabangsa yang berkaitan, seperti Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), Triti Larangan Senjata Nuklear (TPNM), Konvensyen Senjata Biologi (BWC), Konvensyen Senjata Kimia (CWC) dan Konvensyen Periuk Api (CLM).
Aspek ekonomi globalisasi jauh lebih mengecewakan. Krisis kewangan yang melanda Asia Timur pada tahun 1997 tidak sahaja membawa kesengsaraan kepada masyarakat dan menghancurkan ekonomi tetapi juga mengakibatkan ketakstabilan politik. Pengangguran secara besar-besar, pertumbuhan negatif, keruntuhan pasaran saham dan kejatuhan nilai mata wang yang teruk menarik berjuta-juta penduduk di bawah garis kemiskinan. Dan kini, kita melihat dengan penuh rasa cemas kesan yang mungkin disebabkan oleh pencairan ekonomi ekoran daripada krisis kewangan global.
Situasi yang buruk ini menghendaki semua perkara berkaitan globalisasi ekonomi serta liberalisasi kewangan dan perdagangan ditangani dengan bersungguh-sungguh. Ini merupakan satu lagi cabaran terbesar bagi dasar luar negara Malaysia. Malaysia akan terus menekan supaya distruktur semula reka bentuk kewangan antarabangsa yang mudah dimanipulasi secara spekulasi dan mudah turun naik terlalu kerap dan secara berlebihan.
Aktivisme Malaysia di peringkat antarabangsa pastinya menarik perhatian dan reaksi daripada pelbagai pihak. Sehingga baru-baru ini, Malaysia menjadi sasaran kritikan kerana “terlalu lantang”. Tetapi langkah ini perlu kita ambil jika Malaysia mahu menjadi proaktif di peringkat global.
Prinsip dasar luar negara kita mampu bertahan apabila diuji masa. Malah, pegangan teguh kita terhadap prinsip ini, disertai dengan dasar luar negara yang konsisten, memantapkan kredibiliti Malaysia di mata dunia.
• Inisiatif Malaysia di pelbagai forum serantau dan antarabangsa meletakkan negara dalam peta dunia.
• Kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik yang meningkat membolehkan Malaysia mewujudkan bidangnya sendiri di peringkat antarabangsa.
• Hadirnya dirasai membolehkan Malaysia menunjukkan usaha yang dibuat supaya pengaruhnya dalam menentukan agenda antarabangsa.
• Disebabkan kurang bergantung pada pertolongan dan bantuan luar, Malaysia boleh menyuarakan isu yang tidak dapat disuarakan oleh negara membangun lain kerana bimbangkan balasan yang akan diterima daripada kuasa besar dunia, terutamanya Barat.
Tahun-tahun yang akan datang bakal menyaksikan dasar luar negara kita khususnya berorientasikan usaha menjamin kejayaan dalam negeri dan juga di peringkat antarabangsa, selaku pelaksana geopolitik dan ekonomi di peringkat global.
Senarai Menteri Luar Negeri Malaysia
[sunting | sunting sumber]Individu berikut telah dilantik memegang portfolio luar negeri, atau mana-mana tajuk terdahulu:[1]
Nama
Parlimen |
Parti Politik | Gelaran | Tempoh Perkhidmatan | Perdana Menteri
(Kabinet) |
---|---|---|---|---|
Tunku Abdul Rahman | Perikatan(UMNO) | Menteri Luar Negeri | 31 Ogos 1957 - 2 Februari 1959 | Tunku Abdul Rahman
(I) |
Tun Dr. Ismail Abdul Rahman
AP Johore Timor |
3 Februari 1959 - 31 Ogos 1960 | Tunku Abdul Rahman
(II) | ||
Tunku Abdul Rahman
AP Kuala Kedah |
1 September 1960 - 22 September 1970 | Tunku Abdul Rahman
(II · III · IV) | ||
Menteri Luar Negeri | ||||
Tun Abdul Razak Hussein
AP Pekan |
23 September 1970 - 12 Ogos 1975 | Abdul Razak Hussein
(I · II) | ||
BN(UMNO) | ||||
Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail
AP Kota Bharu |
13 Ogos 1975 - 16 Julai 1981 | Abdul Razak Hussein
(II) | ||
Muhammad Ghazali Shafie
AP Lipis |
17 Julai 1981 - 16 Julai 1984 | Mahathir Mohamad
(I · II) | ||
Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail
AP Kota Bharu |
17 Julai 1984 - 10 Ogos 1986 | Mahathir Mohamad
(II) | ||
Rais Yatim
AP Jelebu |
11 Ogos 1986 - 7 Mei 1987 | Mahathir Mohamad
(III) | ||
Abu Hassan Omar
AP Kuala Selangor |
20 Mei 1987 - 14 Mac 1991 | Mahathir Mohamad
(III · IV) | ||
Abdullah Ahmad Badawi
AP Kepala Batas |
15 Mac 1991 - 8 Januari 1999 | Mahathir Mohamad
(IV · V) | ||
Syed Hamid Syed Jaafar Albar
AP Kota Tinggi |
9 Januari 1999 - 18 Mac 2008 | Mahathir Mohamad
(VI) Abdullah Ahmad Badawi (I · II) | ||
Rais Yatim
AP Jelebu |
19 Mac 2008 - 8 April 2009 | Abdullah Ahmad Badawi
(III) | ||
Anifah Aman
AP Kimanis |
9 April 2009 - 10 Mei 2018 | Najib Razak
(I · II) | ||
Saifuddin Abdullah
AP Indera Mahkota |
PH (PKR) | 2 Julai 2018 - 24 Februari 2020 | Mahathir Mohamad
(VII) | |
Hishammuddin Hussein
AP Sembrong |
BN(UMNO) | 10 Mac 2020 - 16 Ogos 2021 | Muhyiddin Yassin
(I) | |
Saifuddin Abdullah
AP Indera Mahkota |
PN(PPBM) | 30 Ogos 2021 - 24 November 2022 | Ismail Sabri
(I) | |
Zambry Abd. Kadir
Senator |
BN(UMNO) | 3 Disember 2022 - 12 Disember 2023 | Anwar Ibrahim
(I) | |
Mohamad Hasan
AP Rembau |
BN(UMNO) | 12 Disember 2023 - kini | Anwar Ibrahim
(II) |
Jabatan/Agensi
[sunting | sunting sumber]- Jabatan Hubungan Dua Hala
- Jabatan Hubungan Pelbagai Hala
- Jabatan Pengurusan Perkhidmatan
- Jabatan Protokol dan Konsular
- Jabatan Perancangan Dasar dan Strategi
- Jabatan Hal Ehwal Maritim
- Sekretariat Kebangsaan Asean-Malaysia
- Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IFDR)
- Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT)
- Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia (CWC)
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- ^ "Former Ministers". Ministry of Foreign Affairs, Malaysia. Dicapai pada 19 April 2014.[pautan mati kekal]