Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
جابتن ڤرليندوڠن هيدوڤن ليار دان تامن نڬارا | |
Intisari agensi | |
---|---|
Dibentuk | 5 April 1972 |
Agensi terdahulu |
|
Jenis | Kerajaan |
Ibu pejabat | KM 10, Jalan Cheras, 56100 Kuala Lumpur |
Eksekutif kerajaan |
|
Agensi induk | Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia |
Laman sesawang | www |
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Tulisan Jawi: جابتن ڤرليندوڠن هيدوڤن ليار دان تامن نڬارا; singkatan: PERHILITAN) merupakan pertubuhan kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab menjaga, mengurus dan memelihara hidup liar dan taman negara di Semenanjung Malaysia. Taman negara di Sabah terletak di bawah Jabatan Hidupan Liar Sabah manakala taman negara di Sarawak di bawah Perbadanan Perhutanan Sarawak.[1]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Zaman pramerdeka dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar dan Burung
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1955, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar dan Burung diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Sebelum itu, beberapa ordinan dan enakmen berhubung dengan perlindungan hidupan liar berikut telah diwujudkan dan dilaksanakan seperti Ordinan Negeri-Negeri Selat No. 111 (1894) yang memberi perlindungan bagi burung-burung liar, dengan ordinan serupa telah dilaksanakan di Selangor pada tahun 1889. Terdapat juga Enakmen Perlindungan Hidupan Liar dan Burung 1902 bagi negeri Selangor dan Perak, dan enakmen yang serupa dilaksanakan di Negeri Sembilan pada 1903.
Pada tahun 1904 negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan meluluskan satu enakmen baru yang buat pertama kalinya memperuntukkan pembayaran bagi lesen-lesen berburu dan memperuntukkan peraturan menghalang dari memburu binatang liar dan rusa yang belum matang serta menentukan panduan peringkat kematangan hidupan liar termasuk rusa; Enakmen Hidupan Liar dan Perlindungan Burung-Burung yang pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu diluluskan pada tahun 1911. Enakmen yang sama telah dilaksanakan di negeri Johor pada tahun 1912. Dalam tahun 1921, peruntukan bagi penubuhan satu badan untuk melaksanakan undang-undang hidupan liar telah dimasukkan dalam Enakmen Hidupan Liar dan Perlindungan Burung Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini.
Berikutnya pada 1930, Suruhanjaya Hidupan Liar telah ditubuhkan untuk mengkaji isu-isu perlindungan hidupan liar di tiap-tiap negeri. Pada 1937, Jabatan Mergastua telah ditubuhkan sebagai hasil dari kajian tersebut. Selain itu, beberapa rizab hidupan liar telah diwujudkan di negeri Perak, pada tahun 1903 dan King George V National Park di Pahang (kini Taman Negara) yang diwujudkan pada tahun 1938. Walaupun telah wujud Ordinan dan Enakmen Perlindungan Hidupan Liar tetapi ianya tidak seragam dan tidak lengkap kerana setiap negeri mempunyai pelbagai peraturan yang berbeza. Pada tahun 1955, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar dan bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu diluluskan. Ordinan itu digubal untuk mengadakan peruntukan menyeluruh dan sempurna bagi memberi perlindungan kepada hidupan liar dan burung-burung agar tidak pupus.
Zaman pascakemerdekaan dan Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76
[sunting | sunting sumber]Pada 4 Mei 1972, Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76 telah diwartakan. Dengan itu, nama "Jabatan Mergastua" telah ditukarkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara atau ringkasnya PERHILITAN. Akta itu merangkumi 106 seksyen yang berkaitan dengan perkara-perkara seperti perlantikan pegawai, kuasa-kuasa mengeledah, menangkap dan menyiasat, pengeluaran lesen-lesen tertentu, penubuhan rezab dan santari Hidupan Liar, kesalahan serta penalti dan sebagainya. Akta tersebut kemudian dipinda pada 1988 dan pada 2010 hingga membentuk Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang diguna pakai sekarang.
Pada 1987, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Amar Stephen K.T. Yong telah merasmikan bangunan baharu ibu pejabat PERHILITAN di Kilometer 10, Jalan Cheras, Kuala Lumpur yang menggantikan bangunan ibu pejabat usang di Jalan Duta.
Tugas
[sunting | sunting sumber]Misi jabatan ini ialah untuk mewujudkan satu institusi yang cekap dan berkebolehan dalam mengurus dan memelihara kemampanan kepelbagaian habitat dan spesies di Semenanjung Malaysia. Fungsi jabatan ini melibatkan penyelidikan spesis hidupan liar dan habitat, program penyelidikan dan pendidikan di zoo dan pemeliharaan pusat pembiakan haiwan.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara diberi kuasa untuk menggeledah, menangkap dan menyiasat, pengeluar lesen-lesen tertentu, kesalahan dan sebagainya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76. Akta itu bertujuan untuk memberi perlindungan terhadap hidupan liar di Malaysia.
Isu
[sunting | sunting sumber]Dalam bidang pemeliharaan alam sekitar, PERHILITAN terpalit dengan beberapa amalan dan masalah yang sebaliknya memberi ancaman lanjutan kepada hidupan-hidupan liar. Laporan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) pada 2017 menyenaraikan beberapa kelemahan dalam PERHILITAN termasuk latihan pegawai yang kurang lengkap dalam bidang siasatan, kekurangan daripada segi perisian dan pangkalan data, dan ganjaran terhadap pengadu yang bersifat lemah.[2] PERHILITAN juga diktritik kerana melazimi aktiviti pembunuhan hidupan liar, termasuk haiwan terlindung dalam menanangi isu konflik haiwan-manusia, seperti laporan tahunan 2018 yang mencatatkan lebih 53,000 ekor kera dibunuh dalam isu tersebut.[3] Masalah korupsi yang ketara dalam kalangan pegawai PERHILITAN juga diberi perhatian; sesetengah pegawai didakwa bersekongkol dengan pihak pemburu dan pengumpul haiwan haram.[4][5]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ https://www.nre.gov.my/ms-my/.../CITES%20by%20PERHILITAN.pdf[pautan mati kekal]
- ^ "Criminal justice response to wildlife crime in Malaysia - A rapid assessment" (PDF). Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (dalam bahasa Inggeris). Oktober 2017. m/s. 47. Dicapai pada 20 Jun 2021.
- ^ Aliff, Imran (3 Jun 2021). "How animal culling harms the ecosystem". Free Malaysia Today (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-06-02. Dicapai pada 20 Jun 2021.
- ^ "Exotic Animals Are Simply Being Sold on Instagram! This Malaysian Seller Reveals How". Cilisos.my (dalam bahasa Inggeris). 13 Jun 2018. Dicapai pada 20 Jun 2021.
- ^ "Protections versus Corruption – Can Malaysia Save its Wildlife?". Clean Malaysia (dalam bahasa Inggeris). 1 November 2015. Dicapai pada 20 Jun 2021.