Pergi ke kandungan

Kadazan-Dusun

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Kadazandusun)
Bangsa Kadazan Dusun
"Orang Kadazan Dusun"
Mamasok
Bobohizan/Bobolian Kadazandusun menghadiri upacara pembukaan Kaamatan 2014 di Hongkod Koisaan, dewan perpaduan KDCA, Penampang
Jumlah penduduk
714,000 (2024)[1]
Kawasan ramai penduduk
 Malaysia
(Sabah, Labuan, Brunei, Semenanjung Malaysia)
Bahasa
Bahasa Dusun, Kadazan, dan Bahasa Melayu
Agama
Kristian (74.8%), Islam (22.6%), Animism
Kumpulan etnik berkaitan
Dusun, Rungus, Kadazan, Orang Sungai , Murut, Lun Bawang/Lun Dayeh

a Buku Tahunan Statistik: Sabah, 2002, & Data Sabah Statistik 2020

Kaum Kadazandusun (juga dikenali sebagai bangsa "Mamasok Sabah") atau Bangsa Mamasok Kadazan-Dusun merupakan kumpulan kaum bumiputera asal yang terbesar di Sabah.[2] Kaum Kadazan-Dusun juga merupakan satu kumpulan etnik dari dua bangsa iaitu Bangsa Kadazan dan Bangsa Dusun di Borneo yang digabungkan menjadi satu kumpulan kaum/etnik. Kaum ini juga telah dikenali dalam bahasa asal sebagai "Mamasok" atau "Pasok" yang ertinya "original", "yang sudah menduduki", "orang asal " ataupun "orang asli pribumi". Kaum etnik Kadazandusun ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialect dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam tradisional. Etnik Kadazan-Dusun telah diiktiraf sebagai etnik masyarakat orang asal Borneo Utara (Sabah) dengan warisan dan budaya yang didokumenkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sejak tahun 2004.[3] Kadazan-Dusun turut diiktiraf sebagai kumpulan Pribumi asal di Sabah yang mempunyai hak istimewa tersendiri dari hak tanah, sungai, sehingga penjagaan adat resam.

Beberapa pertubuhan telah ditubuhkan untuk menjaga hak istimewa Kadazan-Dusun di Malaysia dan salah satunya adalah, Pertubuhan Kadazan-Dusun Murut (KDM) Malaysia, atau dikenali sebagai Pertubuhan KDM (Organisation) Malaysia yang berpusat di Donggongon, Penampang Sabah, Malaysia.

Peratusan populasi Kadazan Dusun di Sabah pada Tahun 2019-2020

Entomologi

[sunting | sunting sumber]

Richard Francis Tunggolou dalam artikelnya, "The Origins and Meanings of the Terms Kadazan and Dusun" telah menghuraikan perbezaan yang wujud di antara dua kaum bumiputera tersebut. Pada awalnya, semua suku kaum Tangara/Tangaa yang menduduki kawasan Pantai Barat Sabah dipanggil menggunakan istilah "Kadazan". Manakala suku kaum asli bukan Tangara yang menduduki kawasan pedalaman dan lembah bukit pula dipanggil menggunakan istilah "Dusun". Ini dibuktikan melalui hasil penulisan Owen Rutter (Pagan Borneo Utara, 1929, p31) dalam terjemahan ke bahasa melayu, "warga Dusun yang tinggal di kawasan Pantai Barat Utara biasanya merujuk dirinya sebagai Tulun Tindal (orang Tindal), manakala yang tinggal di kawasan jalur Pantai Barat, kususnya di Papar, merujuk diri mereka sebagai Kadazan".[4] Tetapi, semasa kekuasaan Empayar Brunei sejak kurun ke-14, Sultan Brunei telah memanggil semua etnik petani, peladang dan pemburu dengan istilah "Orang Dusun" dan diteruskan oleh orang Inggeris yang memerintah Borneo Utara selepas itu. Ini menyebabkan semua orang Kadazan dirujuk sebagai orang Dusun dalam semua urusan dokumen rasmi, dan hal ini dirasakan kurang tepat bagi masyarakat Kadazan.[5][6] Secara sejarahnya, tidak ada bukti adanya kaum Tangara menolak istilah "Dusun" pada zaman kolonial, ia kelihatannya hanyalah idea yang sengaja dicipta oleh sesetengah pemimpin Tangara bagi menjustifikasi kehendak mereka supaya semua suku-suku Dusun memakai istilah Kadazan sebagai istilah pengganti istilah Dusun. Kaum Kadazan yang disebut "Dusun Tangara" oleh kaum Dusun yang lain adalah bahagian daripada "bangsa Dusun", dibuktikan dengan bahasa suku Tangara (Kadazan) yang sama dengan bahsa suku-suku Dusun yang lain seperti Bundu, Liwan, Tindal dan sebagainya. Perbezaanya hanya di bahagian "cognate", iaitu cara penyebutan kata. Maka Kadazan itu bukanlah bahasa yang terpisah dari Dusun, sebaliknya salah satu dialek bahasa Dusunik.

Tetapi suku Tangara sebagai suku Dusun yang terlebih dahulu mengecapi kemajuan kerana mereka lebih dahulu menganut Katolik dan dididik di sekolah-sekolah Katolik, menyebabkan mereka lebih dahulu memiliki kesedaran "nationhood" atau "kesedaran kebangsaan". Ini menyebabkan mereka ingin mencipta idea baru mengenai bangsa yang diperkenalkan oleh pihak kolonial. Untuk mencapai tujuan mereka ini, maka mereka menggunakan istilah "Kadazan" sebagai istilah untuk memperkenalkan idea mengenai "bangsa baru" pasca-kolonial ini. Maka pada tahun 1960, melalui KCA – Kadazan Cultural Association (kini KDCA – Kadazan-Dusun Cultural Association), Ketua Menteri Sabah yang pertama, Tun Fuad Stephens @ Donald Stephens telah menggunakan istilah autonim suku Tangara "Kadazan" untuk menggantikan istilah "Dusun". Setelah pembentukan Malaysia pada tahun 1963, semua suku-suku Dusun mula disebut sebagai "Kadazan" dalam semua urusan dokumen rasmi kerajaan dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum Dusun yang bukan dari suku Tangara, yang tidak begitu berpuas hati dengan penggunaan istilah "Kadazan", kerana itu adalah istilah dari suku Tangara, sedangkan suku-suku Dusun yang lain memiliki istilah mereka sendiri seperti Kadayan, Mononggingi, Toltinting, Momogun dan sebagainya. Pada tahun 1989, melalui KCA, Parti Bersatu Sabah (PBS) mancadangkan istilah baru, iaitu "Kadazandusun" bagi mewakili 'Dusun' dan 'Kadazan'. Istilah gabungan "Kadazandusun" ini telah sebulat suara dipersetujui dan diluluskan sebagai resolusi semasa Persidangan Delegasi Persatuan Kebudayaan Kadazan ke-5. Walaupun tindakan ini dilihat sebagai alternatif terbaik dalam menyelesaikan konflik "Kadazan versus Dusun" yang telah berlarutan akibat dipolitikkan semenjak tahun 1960, kesan positifnya hanya terlihat menjelang tahun 2000 hingga ke hari ini apabila generasi baru kini sudah tidak ada lagi mentaliti feudalisme "Kadazan versus Dusun". Penyatuan Kadazan dan Dusun telah membawa masyarakat Kadazandusun sebagai satu etnik ke arah kemajuan yang lebih positif dari segi pembangunan, socio-kultural, ekonomi dan juga politik.[5]

Ras dan segregasi ras

[sunting | sunting sumber]
Panduan klasifikasi morfologi wajah
Panduan klasifikasi morfologi wajah

Etnik Kadazandusun termasuk dalam kelompok ras mongoloid, kelompok segregasi malayan-mongoloid, dengan klasifikasi morfologi wajah yang dominan pada Kelas 1.[7] Manusia kelompok ras mongoloid merupakan kelompok manusia dalam klasifikasi fizikal berambut hitam dan lurus, warna pigmen kulit daripada variasi kuning langsat dan sawo matang, warna mata coklat dengan variasi tona coklat cerah ke coklat gelap, dan julat ketinggian tubuh dari 150CM ke 165CM.[8] Malayan-mongoloid pula merupakan segregasi kelompok manusia ras mongoloid yang mendiami kawasan Asia Tenggara hingga ke Asia Timur. Klasifikasi morfologi wajah pula merupakan garis panduan bidang sosiologi manusia dalam kajian klasifikasi struktur wajah manusia bagi penetapan ciri-ciri khusus wajah pada setiap ras dan juga segregasi ras manusia.[9]

Kesalinghubungan genetik melalui distribusi ras dan genetik mongoloid

[sunting | sunting sumber]

Satu kertas kajian tentang asal-usul Dusun Borneo Utara melalui kaedah DNA (SNP) oleh Universiti Malaysia Sabah (2018)[10] merumuskan bahawa orang Dusun Borneo Utara (Sabah) secara umumnya memiliki persamaan ciri-ciri DNA yang lebih dekat dengan warga asli Taiwan dari suku Ami dan Atayal, dan juga suku bukan-Austro-Melanesian di Filipina; seperti Visaya, Tagalog, Ilicano, Minanubu, daripada penduduk lain di Borneo. Kesemua etnik yang disebut ini jatuh dalam kumpulan ras dan segregasi ras yang sama, iaitu ras malayan-mongoloid.

Asal usul

[sunting | sunting sumber]

Sejak tahun 2009, heboh diperkatakan bahawa etnik Kadazandusun berasal daripada Taiwan dan dikaitkan khusus dengan suku Bunun. Teori ini hebat diperkatakan setelah kajian mendapati etnik Kadazandusun dan Bunun mempunyai budaya dan tradisi yang hampir mirip antara satu sama lain. Namun, teori ini dibuktikan tidak relevan melalui kajian mtDNA dan juga kajian Y-DNA.

Kajian mtDNA

[sunting | sunting sumber]
mtDNA haplogroup M
mtDNA haplogroup M1

Kajian Maternal atau Matrilineal merupakan ujian salasilah DNA bagi menjejak keturunan daripada sebelah ibu dengan menggunakan DNA mitokondria (mtDNA) yang didapatkan daripada luar sel nukleus yang bebas daripada kombinasi kromosom-Y. Menurut kajian Kee Boon Pin terbitan tahun 2014, hasil keputusan kelompok-haplo mtDNA daripada 150 orang sukarelawan warga Kadazandusun daripada seluruh Sabah memberikan keputusan sebanyak 9 jenis kelompok-haplo (haplogroup) induk, dengan Haplogroup M mencatatkan jumlah frekuensi terbanyak (60/150 40%). Diikuti oleh Haplogroup R (26/150 17.33%), Haplogroup E (22/150 14.67%), Haplogroup B (20/150 13.33%), Haplogroup D (9/150 6%), Haplogroup JT (6/150 4% ), Haplogroup N (4/150 2.67%), Haplogroup F (2/150 1.33) dan Haplogroup HV (1/150 0.67%). Mutasi genom selama ribuan tahun telah memecahkan lagi Haplogroup mtDNA induk ini kepada beberapa subkategori-haplo dengan ribuan variasi subkelompok-haplo. Subkelompok-haplo daripada haplogroup induk M yang didapati dari kajian ini ialah: M7b1'2'4'5'6'7'8 (22%), M7c3c (12.67%), M31a2 (0.67%), dan M80 (3.33%). Subkelompok-haplo daripada haplogroup induk E: E1a1a (8%), E1b + 16261 (4.67%), dan E2 (2%). Subkelompok-haplo daripada haplogroup induk B: B4a1a (3.33%), B4b1 (1.33%), B4b1a + 207 (3.33%), B4c2 (0.67%), B4j (0.67%), B5a (2%), dan B5a1d (1.33% ). Subkelompok-haplo daripada haplogroup induk D: D4s (1.33%), dan D5b1c1 (4.67%). Untuk Haplogroup induk F, H, JT, R dan N pula, terdapat hanya 1 subkelompok-haplo yang didapati bagi setiap haplogroup induk: F1a4a1 (1.33%), HV2 (0.67%), JT (4%), R9c1a (17.33%), N5 (2.67% ).[11] Kajian Kee Boon Pin ini juga mengesahkan kajian S.G Tan yang menyatakan perkaitan hubungan genetik mtDNA kaum Kadazandusun dengan suku Paiwan, yang juga merupakan salah satu etnik orang asli di Taiwan, melalui mtDNA kelompok-haplo induk N. Namun begitu, S.G. Tan juga mengatakan bahawa jumlah keputusan mtDNA kelompok-haplo N daripada warga Kadazandusun ini terlalu kecil untuk mewakili keseluruhan masyarakat Kadazandusun, seterusnya menjadi tidak relevan untuk dijadikan poin bahas dalam mengaitkan etnik Kadazandusun sebagai warga migrasi daripada Taiwan. Menurut S.G. Tan dalam kajiannya yang diterbitkan pada tahun 1979, etnik Kadazandusun mempunyai hubungan genom mtDNA yang dekat dengan etnik lain yang terdapat di Borneo, Semenanjung Malaysia dan Filipina; termasuklah etnik Iban, Bisaya, Ifugao, Jakun, Dayak Kalimantan, dan Tagalog.[12]

Menurut Ken-ichi Shinoda di dalam kajiannya yang diterbitkan pada November 2014, etnik Bunun pula memiliki kelompok-haplo (haplogroup) mtDNA induk B(41.5%), F(30.3%), E(23.6%), M(3.4%) dan N(1.1%).[13] Walaupun etnik Kadazandusun ada berkongsi kelompok-haplo mtDNA dengan etnik Bunun dan Paiwan di Taiwan, penanda kelompok-haplo M yang mencatatkan frekuensi tertinggi (majoriti besar) dan frekuensi kecil bagi kelompok-haplo B, E, F dan N (tidak cukup signifikan untuk mewakili keseluruhan etnik Kadazandusun) dalam genetik etnik Kadazandusun sudah cukup untuk menyangkal teori kedatangan etnik Kadazandusun daripada Taiwan. Kajian Kee Boon Pin juga ada menyebut tentang kepelbagaian dan variasi maklumat mtDNA pada etnik Kadazandusun yang telah terhapus (depleted) pada mtDNA etnik Bunun, yang juga memberikan gambaran usia mtDNA etnik Kadazandusun yang lebih tua berbanding dengan mtDNA etnik Bunun. Antaranya variasi M7b1'2'4'5'6'7'8 yang unik dan wujud hanya di Borneo, dengan usia mutasi lebih daripada 12,700 tahun dan yang tertua di Asia Tenggara. Subkelompok-haplo M7b1'2'4'5'6'7'8 ini juga telah menyebar di sekitar wilayah Borneo dan membentuk beberapa siri mutasi baru dalam genetik beberapa etnik; Malaysia(etnik orang asli Jakun di Johor dan Pahang), Brunei(etnik Dusun), Filipina(etnik Tagalog dan Visaya), dan Indonesia(stok etnik Dayak di kepulauan Riau).[14]

Kajian Y-DNA

[sunting | sunting sumber]

Kajian DNA kromosom Y (Y-DNA) merupakan ujian salasilah DNA yang bagi menjejak keturunan daripada sebelah bapa dengan menggunakan kromosom-Y. Menurut kajian daripada Prof. Dr. Zafarina Zainuddin di Universiti Sains Malaysia, etnik Kadazandusun mempunyai kelompok-haplo Y-DNA O2-P31 (O-M268) dan kelompok-haplo ini memainkan peranan dalam sekuen genom etnik Melayu kini. O2-P31 merupakan hasil mutasi daripada M214 sebagai kelompok haplo-induk dengan urutan mutasi seperti berikut: M214 > M175 > P31 > O2 [15][16] Kajian ini turut disahkan melalui kumpulan pengkaji genetik daripada National Geografic yang mendedahkan keputusan ujian STR melalui sampel yang diambil daripada warga Kadazandusun daripada Kota Belud pada tahun 2011. Keputusan STR tersebut ialah: DYS393: 15 DYS439: 12 DYS388: 12 DYS385a: 16 DYS19: 15 DYS389-1: 13 DYS390: 25 DYS385b: 20 DYS391: 11 DYS389-2: NaN DYS426: 11 DYS392: 13, yang mana menjelaskan komposisi khusus kromosom Y bersesuaian dengan kelompok-haplo Y-DNA O2-P31 (O-M268). [17]

Mutasi Y-DNA O2-P31
Mutasi Y-DNA O2-P31

Menurut kajian Y-DNA oleh Jean A Trejaut, Estella S Poloni, dan Ju-Chen Yen pula membuktikan bahawa etnik Bunun di Taiwan memiliki kelompok-haplo O1a2-M50 dan O2a1a-M88. Kedua-dua kelompok-haplo ini juga merupakan hasil mutasi daripada M214 sebagai kelompok-haplo induknya dengan urutan-urutan mutasi seperti yang berikut: M214 > M175 > MSY2.2 > M119 > M50 > O1a2, dan M214 > M175 > P31 > M95 > M88 > M111/M88 > PK4 > O2a1a. [18]

Mutasi Y-DNA O2a1a & O1a2
Mutasi Y-DNA O2a1a & O1a2

Usia kelompok-haplo Y-DNA O2-P31 (O-M268) berada dalam lingkungan 34,100 tahun dan pernah ditemui melalui penemuan tulang manusia purba di Gua Niah, Sarawak.[19][20] Manakala usia bagi kelompok-haplo O1a2-M50 dan O2a1a-M88 masing-masing mencatatkan 33,103 tahun dan 28,500 tahun. Melalui hasil kajian ini, teori kedatangan etnik Kadazandusun daripada Taiwan adalah tidak relevan sama sekali. Ini kerana usia kelompok-haplo Y-DNA O2-P31 yang dimiliki oleh etnik Kadazandusun adalah lebih tua jika dibandingkan dengan kelompok-haplo Y-DNA yang dimiliki oleh etnik Bunun di Taiwan.

Kesimpulan

[sunting | sunting sumber]

Walaupun kajian genetik pengesanan kumpulan-haplo pada awalnya dimulakan dengan objektif untuk mengesan asal usul keturunan manusia, namun, belum ada keputusan muktamad yang boleh mengesahkan objektif asal ini. Setakat ini, hasil kajian genetik hanya mampu digunakan sebagai bukti penjelajahan manusia secara global, dan bukannya penghijrahan manusia dari tempat asal. Ini kerana belum ada bukti DNA yang dapat mengesahkan titik habitat asal bagi setiap kelompok-haplo induk yang sudah dikenalpasti setakat ini.[14] Seperti contoh penemuan Tianyuan Man yang tiada jawapan konklusif mengenai asal usul sebenarnya sehingga kini.[21] Dengan bukti mtDNA dan Y-DNA, dan juga filosopi daripada pakar pengkaji genetik dan antropologi, maka wajarlah disimpulkan bahawa kaum Kadazandusun merupakan masyarakat asli Sabah dan Borneo. Malah, hasil kajian mutasi genetik siri M7 juga memuktamadkan bahawa genetik masyarakat Kadazandusun merupakan antara penyumbang genetik utama yang membenihkan masyarakat di Asia Tenggara terutamanya Filipina, Taiwan, dan Indonesia hari ini.[22]

Suku kaum yang membentuk Kadazandusun (Bangsa Mamasok Kadazan-Dusun)

[sunting | sunting sumber]

Kadazan-Dusun terbentuk dari kumpulan etnik terbesar di Borneo Utara (Sabah). Kumpulan etnik yang terbesar adalah suku kaum Kadazan dan juga kaum Dusun yang merupakan satu pertiga dari penduduk Sabah. Suku kaum Kadazan & Dusun yang tinggal di Pantai Barat dan juga Pantai Barat Utara; seperti Penampang, Papar, Tuaran, Kiulu, Tamparuli, Tenghilan, Kota Belud dan juga di lembah bukit; seperti di Ranau, Tambunan, dan Keningau adalah petani tradisi yang menanam padi sawah dan huma. Sesetengah dari mereka memburu serta menangkap ikan sungai. Mereka kebanyakan bertempat di sekelilingi kawasan lembah pantai barat dan kawasan pendalaman Sabah, Malaysia. Terdapat juga sesetengah orang Kadazan-Dusun yang tinggal di Brunei dan terdapat juga sebilangan minoriti yang tinggal di Semenanjung Malaysia (Johor, Pulau Pinang, Klang, Kuala Lumpur).

Lazimnya masyarakat daripada subetnik yang disebut di atas adalah berasal (mendiami) daripada kawasan-kawasan (daerah) tertentu umpamanya Kimaragang di daerah Kota Marudu, Lotud di daerah Tuaran, Orang Sungai di daerah Kinabatangan, Sugut, Paitan dan Pitas. Kebanyakan orang Kadazan-Dusun menganuti agama Kristian. Bagi Orang Sungai yang tinggal di daerah Pitas, mereka menganut agama Islam manakala daerah-daerah lain seperti Kinabatangan (Tongod) dan Paitan, Orang Sungai beragama Islam dan Kristian. Masyarakat Lotud (Suang Lotud) turut mendiami kawasan Pantai Barat Selatan negeri Sabah terutamanya Tuaran, Tamparuli, Telipok dan sedikit di Kota Belud (Tempasuk). Mereka hidup secara kolektif dengan mendiami rumah panjang yang mengumpulkan beberapa keluarga, iaitu antara 150 - 200 orang. Walau bagaimanapun, rumah panjang sudah jarang dilihat dalam etnik ini. Kadazandusun terdiri daripada empat puluh suku kaum penutur bahasa Dusunik dan Paitanik.[23]

Bahasa Kadazandusun

[sunting | sunting sumber]

Bahasa Kadazandusun merupakan bahasa Malayo-Polinesia yang dituturkan di Sabah. Pada dasarnya, bahasa Kadazan (dulunya juga dikenali sebagai Tanga'ara) adalah bahagian daripada bahasa di dalam Bahasa Kadazan-Dusun. Manakala Bahasa Dusun juga mempunyai banyak gaya dalam percakapan melalui gaya sub-etnik Dusun. Perbezaannya hanya terletak pada sebutan dan penggunaan konsonan serta vokal pada sesetengah perkataan. Kaum Kadazan kerap menggunakan konsonan V, Z dan L dalam pertuturan seharian, sementara kaum Dusun yang lain seperti Liwan dan Bundu pula lebih kerap menggunakan konsonan W, Y dan R dalam pertuturan seharian; contohnya "naawi"(Dusun) dan "naavi"(Kadazan) yang bermaksud "habis", "tagayo"(Dusun) dan "tagazo"(Kadazan) yang bermaksud "besar", dan juga "karaja"(Dusun) dan "kalaja"(Kadazan) yang bermaksud "kerja".[24] Berikut merupakan contoh beberapa ayat dan sebutan nombor dalam bahasa Kadazan dan Dusun yang diterjemah daripada bahasa Melayu.

Nombor dan pengiraan

Melayu Kadazan Dusun
Satu Iso Iso
Dua Duvo Duo
Tiga Tohu Tolu
Empat Apat Apat
Lima Himo Limo
Enam Onom Onom
Tujuh Tuu' Turu
Lapan Vahu Walu
Sembilan Sizam Siam
Sepuluh Opod Hopod


Frasa dan perbualan harian

Melayu Kadazan Dusun
Siapa nama kamu? Iisai ngaan nu? Isai ngaran nu?
Nama saya ialah John. Ngaan ku nopo nga i John. Ngaran ku nopo nga i John.
Apa khabar kamu? Onu abal nu? Nunu tabar nu?
Khabar baik. Avasi. Awasi i.
Mary di mana? Nonggo zi Mary? Siongo i Mary?
Terima kasih Kotohuadan Pounsikou
Berapa harganya? Pio hoogo dino? Piro torogo diti?
Saya tidak faham. Au zou kalati Amu oku karati.
Saya rindukan kamu Hangadon zou diau Lumangad oku dika
Anda pandai berbahasa melayu kah? Koiho ko moboos do malazu? Koilo ko momoros malayu?
Dari manakah asal kamu? Nomboo o nontodonon nu? Siongo montod nu?
Sungai Bavang Bawang

Budaya dan masyarakat

[sunting | sunting sumber]

Pesta Kaamatan (Menuai) disambut oleh Kadazandusun sebagai meraikan tuaian baik, tetapi Pesta Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain Sabah seperti Murut. Pesta Kaamatan disambut sepanjang bulan Mei walaupun perayaan ini hanya pada 30 dan 31 Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan Ratu Cantik atau Unduk Ngadau, tarian tradisi, dan upacara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan[Tangara]/Bobolian[Liwan] "ketua pendita"

Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai 'Tadau Ka'amatan' dalam bahasa Kadazandusun.

Penampang Sabah Kaamatan Celebrations 2014

Kadazan percaya kepada makhluk halus dan dipercayai terdapat lima makhluk halus: Kinoingan[Tangara](dialek suku lain;Kinorohingan[Liwan]/Kinoringan[Suku Dusun yang lain,salah satunya ialah Dusun Tatana)(Ketua makluk halus & Pencipta), Rusod(semangat semua benda hidup kecuali manusia), Koduduwo(Koduduvo[Tangara]) (semangat manusia), Tombiruo (semangat orang yang telah meninggal), dan Rogon (semangat jahat).

Menurut kepercayaan Kadazan, semangat padi merupakan Kinoingan (Kinorohingan dalam dialek Liwan) yang dikenali sebagai Bambaazon, disembah sebagai pencipta dan berkuasa sumber kepada kewujudan. Semangat padi Bambaazon[Tangara]/Bambarayon[Liwan] dimuliakan pada pokok padi, beras, dan nasi. Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."

Kini, majoriti kaum Kadazan-dusun telah menganuti agama Kristian dan juga Islam. Walaupun Kaamatan masih dirayakan mengikut amalan tradisi tahunan, namun perayaannya sudah tidak lagi dibuat bagi memenuhi tuntutan adat dan tradisi spiritual nenek moyang, tetapi lebih kepada misi untuk memperingati dan menghormati adat dan tradisi nenek moyang. Hari ini, Kaamatan lebih simbolik sebagai hari reuni bersama keluarga tersayang, dan juga hari untuk berpesta bagi kaum Kadazan-dusun. Secara domestiknya, Kaamatan hari ini dirayakan selari dengan tuntutan agama anutan dan juga kemahuan individu tersendiri; dengan pilihan samada mahu atau tidak menghidangkan makanan dan minuman tidak-halal seperti masakan daging babi dan arak. Pada peringkat negeri pula, pesta Kaamatan disambut dengan pelbagai warna warni tentatif pesta seperti persembahan seni tari kebudayaan, jualan tamu, warung minuman keras dan makanan tradisi, persembahan dan jualan kraftangan di rumah-rumah tradisi, pertandingan menyanyi sugandoi dan juga pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau.[25]

Makanan dan minuman tradisional

[sunting | sunting sumber]
Tapai diminum melalui tajau sewaktu Pesta Kaamatan

Antara makanan tradisi yang terkenal di kalangan kaum Kadazan-Dusun ialah Hinava, Noonsom, Pinaasakan, Bosou, Tuhau, Sup Kinoring Bakas (tidak halal) dan Sup Manuk Lihing. Minuman tradisi kaum Kadazan-Dusun pula ialah tapai dan lihing. Makanan dan minuman ini dapat disediakan dengan pelbagai cara mengikut kebiasaan amalan tradisi kaum Kadazan-Dusun.[26]

Tarian tradisional

[sunting | sunting sumber]

Tarian Sumazau merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang terkenal di seluruh Malaysia. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Juga melaluinya ibu-bapa/keluarga dapat menonton dan memilih bakal menantu yang berpotensi.

Dikatakan bahawa tarian ini adalah berasal daripada cara burung helang terbang dan ditiru oleh petani-petani KadazanDusun yang sedang duduk berehat di sebuah pondok yang dipanggil 'Suhap(Tangara)/Sulap(Liwan)' oleh warga tempatan selepas penat bekerja menguruskan padi-padi mereka.

Irama Sumazau adalah perlahan. Alat alat pengiring tarian adalah set gong dan gendang. Pasangan penari berhadapan dan menggerak-gerakkan kaki berlangkah kecil, sementara tumit kaki diangkat-turunkan mengikut irama. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan secara berpasangan lelaki-perempuan semasa hari keramaian majlis jamuan Pesta Kaamatan.[27]

Pakaian tradisional

[sunting | sunting sumber]

Pakaian Tradisional Suku Kaum Kadazan Penampang dikenali sebagai 'Sinuangga' yang dipakai oleh kaum wanita dan 'Gaung' untuk para lelaki. Baju ini selalunya menggunakan kain hitam(kain baldu) yang bersulamkan benang emas. Ia dipakai semasa sambutan Pesta Menuai. 'Sinuangga' dilengkapi dengan perhiasan ikatan pinggang yang dipanggil 'Himpogot'(logam perak/2 lilitan pada bahagian atas dan bawah perhiasan di pinggang) dan 'Tangkong'(logam tembaga/3 lilitan) 'Gaung'(dihiasi dengan renda keemasan&butang betawi) dengan topi yang dinamakan 'Siga'(tanjak dari kain dastar yang ditenun),ia juga disertakan dengan 'Sandangon'(hiasan dripda daun palma hanya dipakai ketika mempersembahkan tarian Sumazau) yang dipakaikan secara menyilang pada tubuh badan. Pakaian Traditional Suku Kaum Dusun Tambunan dipanggil 'Sinombiaka' bagi yang telah dipermodenkan.Manakala jenis yang asal dikenali dengan nama 'Sinombiaka Rombituon',di mana mempunyai hiasan lebih ringkas. Pakaian Tradisional Suku Kaum Dusun Tindal Kota Belud dipanggil ' Sinipak '.[28]

Alat muzik tradisional

[sunting | sunting sumber]
Pemalu gong pada musim Kaamatan

Kebanyakan alat-alat muzik di Sabah diperbuat daripada bahan-bahan asli. Seperti contoh, suling (seruling), sompoton dan togunggak diperbuat daripada buluh bambu.

Alat-alat musik di Sabah dikelaskan kepada Kordofon(tongkungon, gambus,sundatang atau gagayan), Erofon(suling, turali atau tuahi, bungkau dan sompoton), dan Idofon(togunggak, gong,kulintangan) dan membranofon (kompang,gendang atau tontog).

Alatan muzik yang lazim dimainkan di dalam upacara dan majlis Kadazan ialah gong, dan kulintangan. Paluan gong dengan iringan kulintangan biasanya berbeza mengikut daerah, dan paluan gong yang sering dimainkan di majlis kebudayaan rasmi ialah paluan gong daripada daerah Penampang.[29]

Kraftangan

[sunting | sunting sumber]
Koleksi wakid dan barait pelbagai saiz

Kaum Kadazan-dusun menggunakan bahan asli dalam menghasilkan kraftangan, termasuklah bambu, rotan, lias, labu air dan kayu. Antara hasil kraftangan yang sinonim dengan etnik kadazandusun ialah wakid, barait, sompoton, pinakol, topi siung, parang dan gayang.[30]

Sebelum hasil kraftangan ini dipromosi dan dikomersialkan sebagai ikon fesyen dan juga khazanah kebudayaan negeri Sabah bagi kaum Kadazandusun, sebahagian daripada hasil tangan ini dahulunya digunakan warga kadazandusun secara praktikal dalam kehidupan seharian. Wakid dan barait digunakan untuk mengangkat barang, khususnya hasil kutipan dari kebun. Pinakol pula digunakan dalam upacara-upacara penting, seperti upacara perkahwinan dan juga kematian bergantung kepada warna manik pada pinakol yang digunakan. Sompoton pula digunakan masyarakat kadazandusun sebagai alat muzik. Parang dan gayang pula digunakan dalam aktiviti berkebun, menebas semak dan juga sebagai senjata pada zaman perang saudara yang secara tidak langsung telah membuatkan etnik kadazandusun pada zaman itu digelar sebagai pengait, ataupun pemburu kepala.[31]

Pemburu kepala

[sunting | sunting sumber]
Rumah Tengkorak Monsopiad

Amalan memburu kepala merupakan salah satu tradisi kuno yang pernah diamalkan oleh masyarakat Kadazandusun.[31] Pemenggal kepala ini digelar sebagai pengait atau tonggorib.[32] Kepala musuh yang dipenggal akan dibawa pulang bukan sahaja sebagai trofi kemenangan, tetapi juga sebagai objek pemujaan roh dan amalan perubatan. Pemenggalan kepala tidak dilakukan untuk tujuan perang semata-mata, tetapi juga untuk memenuhi tuntutan persepsi masyarakat pada zaman itu, dan juga memenuhi syarat ritual-ritual kuno.[33] Masyarakat kuno Kadazandusun meletakkan keperkasaan seorang lelaki pada kekuatan fizikal dan keberaniannya untuk berperang dan memenggal kepala musuh. Etnik yang terkenal dengan amalan memenggal kepala di Sabah ialah Kadazandusun dan Murut. Pantang utama amalan memenggal kepala ialah, musuh wajib dalam keadaan masih hidup saat kepalanya dipenggal. Ini kerana kepala yang dipenggal daripada orang yang telah meninggal tidak bermakna untuk disimpan.

Terdapat lima faktor utama yang membetuk objektif pemenggalan kepala dilakukan.

  • Bagi situasi perang besar
    • Kepala pihak musuh dipenggal untuk tujuan membuktikan kekuatan pahlawan dan puak
    • Pengumpulan kepala pihak lawan sebanyak yang mungkin (lebih banyak kepala bermaksud telah banyak musuh yang telah berjaya dikalahkan)
    • Kepala akan disimpan di dalam rumah tengkorak(bangkawan) milik puak yang menang.[34][35]
  • Bagi situasi perang kecil atau perang keluarga
    • Kepala pihak musuh dan keluarga dipenggal dengan tujuan menghapuskan keluarga musuh secara total
    • Kepala musuh akan disimpan di rumah keluarga yang menang[35]
  • Bagi tujuan memperkasakan kelelakian
    • Seorang lelaki wajib memenggal kepala untuk menjadi lelaki perkasa kalau tidak mahu dianggap sebagai pengecut
    • Lelaki yang tidak berani/pernah memenggal kepala musuh tidak layak memiliki pasangan hidup kerana dikhuatiri tidak akan dapat melindungi isteri dan keluarganya[35]
  • Bagi tujuan menjadi ketua kampung
    • Lelaki wajib memperoleh sekurang-kurangnya 10 kepala musuh bagi memperoleh kehormatan daripada puaknya
    • 10 kepala ini juga penting bagi meyakinkan puaknya bahawa dia layak mengetuai perang[35]
  • Bagi tujuan memperkasakan kegagahan seorang pahlawan
    • Masyarakat dahulu percaya bahawa kekuatan dan semangat musuh akan diperoleh oleh pahlawan yang memenggal kepalanya[35]

Kepala-kepala yang dipenggal akan disimpan dan dijaga rapi dengan menggunakan amalan dan ritual kuno. Masyarakat dahulu percaya bahawa roh dan semangat seseorang individu terletak pada kepalanya yang disebut sebagai "tandahau". Oleh itu, kepala-kepala ini tidak hanya disimpan sebagai trofi kemenangan semata-mata, tetapi juga digunakan sebagai objek dalam ritual keagamaan dan juga perubatan.[32]

Antara kegunaan kepala-kepala ini ialah sebagai penjaga rumah. Masyarakat Kadazandusun kuno percaya bahawa sebuah rumah harus mempunyai penjaganya. Maka, mereka akan menggunakan semangat 'tandahau' daripada kepala ini bagi tujuan melindungi rumah dan penghuninya daripada serangan musuh dan binatang buas. Kegunaan kepala-kepala ini juga penting untuk diletakkan di bawah jambatan yang baru dibina. Masyarakat kuno Kadazandusun percaya bahawa setiap sungai ada semangat air yang juga disebut sebagai "tambaig". Kepala-kepala ini akan diletak atau digantung pada jambatan sebagai persembahan damai buat tambaig supaya jambatan yang dibina tidak dirobohkan oleh tambaig. Kepala-kepala ini juga digunakan oleh bobohizan atau bobolian sebagai tujuan perubatan, dan pemujaan roh nenek moyang.[32][33]

Senjata yang lazim digunakan pahlawan kuno masyarakat Kadazandusun untuk memburu kepala adalah Ilang sakuit/mandau, gayang dan juga tandus/adus. Peralatan lain yang wajib ada ketika memburu kepala adalah taming kayu yang digunakan sebagai perisai.[35][32]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]


  1. ^ "Demographic Statistics, First Quarter 2024". Department of Statistics, Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 June 2024. Dicapai pada 22 June 2024.
  2. ^ United Nations, Official Sabah Statistic (1 January 2004). "Kadazan-Dusun merupakan etnik terbesar di Sabah menurut data statistik Sabah - United Nation". UNESCO. Dicapai pada 1 January 2004.
  3. ^ United Nations, Discovery Channel (1 Januari 2004). "Kadazandusun, Malaysia". UNESCO. Dicapai pada 1 Januari 2004.
  4. ^ Rutter, Owen (1 Januari 1929). "The Pagans of North Borneo". Universiti Oxford. Dicapai pada 18 Mac 2018.
  5. ^ a b Luping, Herman (7 August 2016). "A history of the term Kadazandusun". Oxford University Press. Dicapai pada 28 November 2019.
  6. ^ Essays, UK (16 Mei 2017). "Origins Of The Kadazan People". UK Essays. Dicapai pada 30 November 2019.
  7. ^ Atmadja, Hengki (10 November 2016). "BAB 3METODOLOGI PENELITIAN". Docplayer.
  8. ^ Maryati, Kun (10 November 2016). "Sosiologi untuk SMA". Amazon.com.
  9. ^ Singha Roy, Abishek (9 September 2012). "Jaw Morphology and Vertical Facial Types" (PDF). semanticscholar. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2019-02-27. Dicapai pada 2020-03-21.
  10. ^ Genetic relatedness of indigenous ethnic groups in northern Borneo to neighboring populations from Southeast Asia, as inferred from genome-wide SNP data https://www.researchgate.net/publication/323665511
  11. ^ Boon Pin, Kee (1 February 2014). "Assesment and Analysis of Genomic Diversity and Biomarkers in Sabahan Indigenous Populations" (PDF). Universiti Malaya. Dicapai pada 1 February 2014.
  12. ^ S.G, Tan (1 March 1979). "Genetic Relationship between Kadazans and Fifteen other Southeast Asian Races" (PDF). Universiti Putra Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-12-22. Dicapai pada 19 December 2018.
  13. ^ Shinoda, Ken-ichi (1 March 2014). "Mitochondrial genetic diversity of Pingpu tribes in Taiwan". BM Genetics. Dicapai pada 18 December 2019.[pautan mati kekal]
  14. ^ a b Matsumura, Hirofumi (22 Jun 2018). "Cranio-morphometric and aDNA corroboration of the Austronesian dispersal model in ancient Island Southeast Asia: Support from Gua Harimau, Indonesia". Sapporo Medical University. Dicapai pada 24 December 2019.
  15. ^ Zainuddin, Zafarina (2 Julai 2013). "Orang Melayu berasal dari Etnik Dusun". USM.
  16. ^ Express, Borneomail (5 Mei 2015). "Kaum Dusun Sabah bukan berasal dari China, Tibet maupun Taiwan". Wordpress.
  17. ^ Potpouri, Karabo (4 April 2012). "The Haplogroup O2(P31) or O2-P31 Y-DNA among the Natives of Kelawat Kota Belud Sabah East Malaysia". Blogspot.
  18. ^ A Trejaut, Jean (1 March 2014). "Taiwan Y-chromosomal DNA variation and its relationship with Island Southeast Asia(P.2)". BM Genetics. Dicapai pada 19 December 2019.
  19. ^ Curnoe, Darren (27 Jun 2016). "Deep Skull from Niah Cave and the Pleistocene Peopling of Southeast Asia". frontiersin.
  20. ^ M Karafet, Tatian (4 Jun 2014). "Improved phylogenetic resolution and rapid diversification of Y-chromosome haplogroup K-M526 in Southeast Asia". Human Genetics. Dicapai pada 21 December 2019.
  21. ^ Fu, Qiaomei (21 September 2012). "DNA analysis of an early modern human from Tianyuan Cave, China". Sapporo Medical University. Dicapai pada 24 December 2019.
  22. ^ Putri, Adi (11 November 2019). "ada-satu-kaum-asli-di-taiwan-ni-menyerupai-etnik-kaum-di-sabah-sarawak". Sapporo Medical University. Dicapai pada 24 December 2019.
  23. ^ Sabah, Edu. "Taburan Penduduk Suku Kaum Momogun Rungus". Sabah Edu. Dicapai pada 27 Disember 2019.
  24. ^ White, Tessie (5 Mac 2012). "Berbezakah Etnik Kadazan dan Dusun ?". Blogspot. Dicapai pada 27 Januari 2018.
  25. ^ Unnip Abdullah, Mohn Izham (29 Mei 2019). "Kemuncak sambutan Kaamatan: Ribuan pengunjung banjiri Hongkod Koisaan". Berita Harian. Dicapai pada 27 Disember 2019.
  26. ^ Edu, Sabah. "Upacara Momohizan". Sabah Edu. Dicapai pada 29 Januari 2018.
  27. ^ A. Majik, Suheimi (20 Mei 2019). "Tarian Sumazau, lambang falsafah etnik Kadazandusun di masa silam". The Patriots Asia. Dicapai pada 26 November 2019.
  28. ^ Edu, Sabah. "Pakaian Tradisi". Sabah Edu. Dicapai pada 6 September 2018.
  29. ^ Edu, Sabah. "Muzik Tradisional". Sabah Edu. Dicapai pada 6 September 2018.
  30. ^ Jabatan, Penerangan (9 April 2018). "Kraftangan Tradisi Imbau Memori Zaman Kanak-kanak". Utusan Borneo. Dicapai pada 6 September 2018.
  31. ^ a b Unnip Abdullah, Mohn Izham (13 Oktober 2018). "Kisah pengait, pemburu kepala perlu dikaji, dibukukan". Berita Harian. Dicapai pada 27 September 2018.
  32. ^ a b c d Bujang, Haslina (21 Mac 2019). "Pengait @ Tonggorib: Pemburu Kepala di Sabah". The Patriots Asia. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  33. ^ a b Sintian, Minah (20 Januari 2014). "Amalan Memotong Kepala dalam Masyarakat Primitif Kadazandusun: Survival atau Budaya?". ResearchGate. Dicapai pada 21 Disember 2019.
  34. ^ Unnip Abdullah, Mohn Izham (18 Jun 2015). "Tengkorak musuh bukti kegagahan Pahlawan Monsopiad". Berita Harian. Dicapai pada 23 Disember 2019.
  35. ^ a b c d e f Madkauw, Faridah. "ADAT MEMENGGAL KEPALA DI SABAH". Berita Harian. Dicapai pada 23 Disember 2019.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]