Api Olimpik, Obor Olimpik, dan Cahaya Olimpik semuanya merupakan nama-nama bagi satu lambang promosi Sukan Olimpik. Asal-usulnya terletak di Yunani Kuno di mana sebuah api dibiarkan bernyala sepanjang sambutan sukan Olimpik Kuno, serta memperingati kecurian api ini dari dewa Zeus oleh Prometheus. Api ini diperkenalkan semula pada Sukan Olimpik 1928 di Amsterdam, dan semenjak itu menjadi sebati dengan Sukan Olimpik. Larian obor dari Yunani ke tapak sukan moden itu tiada dalam temasya Olimpik kuno, sebaliknya diperkenalkan oleh Carl Diem, dengan sokongan Joseph Goebbels, di Olimpik Berlin 1936 yang diselubungi kontroversi sebagai cara memupuk fahaman Nazi.[1]
Kini, Obor Olimpik dinyalakan beberapa bulan sebelum upacara pembukaan Sukan Olimpik di tapak sukan Olimpik Kuno di Olympia, Yunani. 11 orang wanita yang menyandang peranan paderi wanita, melangsungkan upacara di mana obor dinyalakan cahaya Matahari yang sinarnya ditumpukan oleh sebuah cermin parabolia.
Larian obor Olimpik tamat pada hari upacara pembukaan di stadium utama temasya sukan. Pembawa terakhir selalunya dirahsiakan namanya sehingga detik terakhir, biasanya merupakan selebriti sukan negara tuan rumah. Pembawa obor yang terakhir berlari menuju kawah yang biasanya terletak di atas tangga utama, kemudian membuka api dengan obor di stadium. Pelawaan menyalakan Api Olimpik merupakan penghormatan yang besar sekali. Selepas dinyalakan, Api itu terus membara sepanjang temasya sehingga dipadamkan pada penghujung upacara penutupan temasya.[perlu rujukan]
Bagi masyarakat Yunani kuno, api membawa erti kerohanian. Api suci ini dikisahkan pernah dicuri dari dewa-dewi oleh Prometheus. Maka, api boleh dijumpai di kebanyakan tempat suci di Olympia, Yunani. Sebuah api yang membara secara berpanjangan di atas masbah Hestia di Olympia. Ketika berlangsungnya temasya Olimpik yang memberi penghormatan kepada Zeus, api tambahan di kuilnya dan juga kuil ratunya Hera. Api Olimpik moden dinyalakan di tapak di mana pernah didirikan kuil Hera.
Api Olimpik dari temasya sukan kuno dihidupkan semula pada Sukan Olimpik 1928. Seorang kakitangan Kemudahan Elektrik Amsterdam menyalakan api Olimpik pertama di Menara Maraton Olimpik Stadium di Amsterdam.
Adat moden menggerakkan Api Olimpik dalam larian obor dari Olympia ke tempat berlangsungnya temasya Olimpik bermula di Sukan Olimpik 1936 di Berlin, Jerman.
Larian obor yang dirakam dalam filem Olympia oleh Leni Riefenstahl ini ialah sebahagian cubaan jentera propaganda Nazi untuk menokok keajaiban rejim Adolf Hitler. Hitler melihat kaitan dengan sukan Olimpik kuno sebagai cara terbaik untuk menggambarkan kepercayaan beliau bahawa Yunani klasik ialah sebuah perintis Arya kepada Reich Jerman moden.[2]
Walaupun biasanya dibawa oleh pelari, obor Api Olimpik pernah diangkut dalam pelbagai kaedah. Pada tahun 1948, api ini menaiki perahu untuk menyeberangi Selat Inggeris, dan julung kali menaiki pesawat pada tahun 1952, untuk ke Helsinki. Pada tahun 1956, semua pembawa obor menunggang kuda ke Stockholm, di mana berlangsungnya acara sukan berkuda sedangkan tuan rumah di Melbourne.
Kaedah-kaedah pengangkutan luar biasa digunakan pada temasya tahun 1976, apabila api diubah menjadi isyarat radio. Dari Athens, isyarat itu dipancarkan melalui satelit ke Kanada[3], di mana isyarat ditermia dan digunakan untuk melancarkan pancaran laser untuk menyalakan semula api. Pada tahun 2000, obor ini dibawa ke dasar air oleh penyelam berhampiran Terumbu Sawar Besar. Kaedah-kaedah pengangkutan unik yang lain termasuk mengayuh kanupribumi Amerika, menunggang unta, dan menaiki pesawat Concorde.[4] Pada tahun 2004, larian obor sedunia julung kali diadakan dalam satu perjalanan yang memakan masa 78 hari. Api Olimpik ini meliputi jarak lebih 78,000 km di tangan kira-kira 11,300 orang pembawa obor, merentasi Afrika dan Amerika Selatan buat julung kalinya, melawat semua bekas bandar raya tuan rumah Olimpik sebelum kembali ke Athens untuk temasya sukan.