Pergi ke kandungan

Tetabu leher putih (burung)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tetabu leher putih
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Order: Caprimulgiformes
Keluarga: Caprimulgidae
Genus: Eurostopodus
Spesies:
E. mystacalis
Nama binomial
Eurostopodus mystacalis
(Temminck, 1826)
Sinonim

Eurostopodus albogularis

Tetabu leher putih (Eurostopodus mystacalis) ialah spesies tukang dalam keluarga Caprimulgidae. Ia endemik di timur Australia; ia pelawat musim sejuk bukan pembiak di Papua New Guinea. Habitat semulajadinya ialah hutan kering subtropika atau tropika.

Taksonomi

[sunting | sunting sumber]

Tetabu leher putih sebelum ini dikenali sebagai Eurostopodus albogularis tetapi kemudiannya dilangkelaskan kepada E. mystacalis. Sesetengah penulisan mungkin masih merujuk kepada spesies ini sebagai Eurostopodus mystacalis albogularis. Spesies ini pernah dianggap sebagai subspesies dan konspesies dengan Eurostopodus exul dan Eurostopodus nigripennis.[2] Walau bagaimanapun, penyelidikan kemudian memisahkan ketiga-tiganya kepada spesies tersendiri masing-masing berdasarkan perbezaan dalam penyuaraan dan morfologi. Sejak itu, E. mystacalis kekal ekajenis.[3]

Etimologi

[sunting | sunting sumber]

Nama genusnya, Eurostopodus berasal daripada perkataan bahasa Yunani eurostos bermaksud "kuat" dan podos atau pous bermaksud "kaki", manakala nama spesiesnya mystacalis berasal dari bahasa Rumi dan bermaksud 'misai'.[4]

Pemerihalan

[sunting | sunting sumber]
Lukisan tetabu leher putih

Ia merupakan spesies tukang dari Australia yang paling besar dan berukuran sekitar 30–37 cm.[5][6] Jantan dan betina sangat mirip dari segi rupa dan mempunyai buluan beraneka warna gelap. Bahagian atas badan dan sayapnya berwarna perang-kelabu dengan jalur dan tompok perang kehitaman yang luas. Bahagian bawah badannya kelihatan perang atau putih-kelabu dan karat bersorot. Bahagian atas sayapnya berwarna putih-kelabu tetapi berbintik-bintik perang-hitam juga. Lehernya berwarna kuning pucat dengan tompokan putih besar di kedua-dua belah tekaknya menjadikannya kelihatan seperti memakai kolar. Empat bulu primer paling luarnya mempunyai tompok putih yang ketara yang membantu membezakannya daripada tukang yang kelihatan serupa.[5] Ekornya berwarna perang dengan bintik-bintik hitam dan tiada sebarang warna putih.[3] Paruhnya berwarna hitam-kelabu dan kakinya berwarna perang gelap dan pendek, menyukarkan perjalanan di tanah.[3][7]

Apabila dalam penerbangan, sayapnya panjang, runcing, dan mencapai atas kepalanya. Spesies tersebut melantun dengan lancar semasa terbang dan kerap meluncur diiringi rentak sayap berganda.[5]

Taburan dan habitat

[sunting | sunting sumber]

Ia ialah spesies yang endemik di timur Australia.[3] Ia mendiami timur laut Australia sepanjang tahun dan pergi ke selatan untuk membiak. Khususnya, julat pembiakannya berada di Australia di timur Banjaran Pembahagian Besar, Kaledonia Baharu, atau Kepulauan Sulaiman.[8] Ia paling banyak ditemui di New South Wales dan Queensland. Semasa musim sejuk, ia berhijrah dari Februari hingga April ke Papua New Guinea sebagai pelawat bukan pembiak.[9] Walaupun kebanyakannya bermusimsejuk di luar Australia, terdapat yang kekal di utara dan tengah Queensland sepanjang tahun.

Ia boleh mendiami pelbagai jenis habitat tetapi paling biasa ditemui di hutan dataran rendah yang kering. Ia lebih suka bersarang dan bertengger di hutan sklerofil kering dengan bahagian bawah yang jarang-jarang dan tidak berterusan.[10] [11] Banyak individu telah didapati khususnya tinggal di kawasan hutan yang mengalami gangguan seperti kebakaran hutan.[11] Di New South Wales, ia telah ditemui mendiami pinggir hutan hujan dan bakau.[8] Burung yang bermusimsejuk di New Guinea ditemui di savana, padang rumput terbuka, pinggir hutan, tanah paya, dan kebun. Burung yang bermusimsejuk juga boleh ditemui di sepanjang pantai Kepulauan Sulaiman.[12]

Tingkah laku

[sunting | sunting sumber]

Vokalisasi

[sunting | sunting sumber]

Ia sering didengar lebih daripada yang dilihat. Ia mempunyai lagu tersendiri yang membantu membezakannya daripada spesies yang sebelum ini dianggap sama dengannya. Kebanyakannya dibuat oleh jantan, lagunya terdiri daripada satu tubian nada menggelegak menaik dengan pantas. Lagunya digambarkan sebagai wow-wow-wow-wow-ho-ho ho-ho-o-o-O mengandungi 9-12 nada dan berlangsung selama tiga hingga enam saat.[3][5] Ia mengembungkan kerongkongnya sambil menyanyi.[3] Betina kadang-kadang juga boleh menyanyi. Lagunya kebanyakannya didengar pada waktu subuh atau senja dan reda apabila musim pembiakan berakhir.[5]

Seruannya juga sangat jelas digambarkan sebagai "wuk wuk wuk" meninggi selama kira-kira sepuluh nada yang kemudiannya memecut menjadi 'kekek ketawa'.[6][7]

Burung dewasa berkomunikasi dengan anaknya menggunakan nada serak rendah. Sebagai balasan, anaknya membuat nada khaah yang keras tetapi akan menciap apabila meminta makanan. Jika anaknya atau sarangnya terancam, induk boleh membuat salakan, tok-tokan, dan desisan yang mengganggu. Semasa pemikatan, kedua-dua jantina membuat kuak rendah dan ketap paruh antara satu sama lain.[5]

Pemakanan

[sunting | sunting sumber]

Ia ialah pemburu udara yang keluar untuk mencari makanan terutamanya pada waktu malam. Ia menggunakan penghelangan dan menyasarkan pelbagai jenis serangga terbang. Makanannya termasuklah mentadak, cengkerik, belalang, kumbang, dan semut bersayap, walaupun rama-rama besar merupakan sebahagian besar daripada dietnya.[4] Ia mungkin membentuk kumpulan meramu yang terdiri daripada 20 atau lebih individu terutamanya semasa penghijrahan. Apabila berhijrah, ia menandang pada waktu siang supaya dapat memaksimumkan masa memburu pada waktu malam.[8]

Pembiakan

[sunting | sunting sumber]

Musim pembiakan berlaku dari September hingga Februari tetapi berbeza sedikit bergantung pada rantau. Bagi burung di selatan Australia, musimnya adalah dari Oktober–Disember. Di Kepulauan Sulaiman adalah dari Oktober–November dan di Kaledonia Baharu adalah dari Ogos–September. Pemikatan melibatkan jantan mengejar betina, paparan daripada jantan, dan pertukaran vokal antara kedua-dua jantina. Jantan selalunya akan mendarat di dahan rendah dan melambai sayapnya ke atas dan ke bawah semasa menyeru.[5]

Ia tidak membuat sarang dan sebaliknya bertelur terus ke atas sampah daun atau tanah kosong. Telurnya berwarna kuning pucat dengan tompok perang keunguan dan saiz sangkaknya ialah satu. Tapak sarang pilihannya adalah di puncak bukit atau rabung berbatu dan ia sering melanggunakan tapak sarang yang sama setiap tahun.[13] Kedua-dua jantina terlibat dalam menginduk dan bergilir-gilir mengeram telur.[5] Pada siang hari, betina akan mengeram telur manakala jantan bersarang berdekatan. Kemudian pada waktu malam, jantan akan mengambil alih pengeraman, membenarkan betina memburu makanan. Jika sarang atau anaknya terancam, induk melakukan pelbagai gangguan termasuklah penerbangan pendek, desisan suara dan salakan, dan pergerakan ekor menjentik semasa di atas tanah. Pengeraman berlangsung selama 29 hingga 33 hari dan anak yang baru menetas agak matang. Anaknya cukup berkebolehan dan mudah bergerak bermula pada hari pertama.[7] Selepas kira-kira 30 hari, anaknya keluar terbang. Tiga minggu selepas telur pertama menetas, betina mungkin bertelur lagi. Jika telur hilang, betina akan bertelur lagi untuk menggantikannya dan boleh bertelur sehingga 5 biji setiap musim pembiakan.[3]

Pemuliharaan

[sunting | sunting sumber]

Walaupun E. mystacalis kini disenaraikan sebagai Kurang Membimbangkan, trend dalam populasi keseluruhannya semakin berkurangan. Ia sering mengembara di sepanjang sisi jalan pada waktu malam untuk mencari makanan yang mengakibatkan perlanggaran lalu lintas maut. Kucing dan anjing jalang memangsa kedua-dua dewasa dan anaknya. Semut api (Wasmannia auropunctata) yang diperkenalkan pada tahun 1970-an telah merebak ke kawasan asli E. mystacalis dan mengancam sarangnya. Tambahan pula, peningkatan kebakaran belukar telah menjejaskan sebahagian besar savana Melaleuca, memusnahkan tapak yang boleh didiaminya.[2] Anggaran terkini individunya tidak diketahui.[14]

  1. ^ BirdLife International (2017). "Eurostopodus mystacalis". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2017: e.T22725660A112390311. doi:10.2305/IUCN.UK.2017-1.RLTS.T22725660A112390311.en. Dicapai pada 15 November 2021.
  2. ^ a b M.M. Ekstrom, Johnathan; P.G. Jones, Julia; Willis, Jake; Tobias, Joe; Dutson, Guy; Barre, Nicolas (2002). "New information on the distribution, status and conservation of terrestrial bird species in Grande Terre, New Caledonia". Emu - Austral Ornithology. 2 (102): 197:207. doi:10.1071/MU01004. Dicapai pada 10 October 2020.
  3. ^ a b c d e f g Cleere, N; G. M., Kirwan; E.F.J, Garcia (2020). Del Hoyo, Josep; Elliott, Andrew; Sargatal, Jordi; Christie, David; De Juana, Eduardo (penyunting). "White-throated Nightjar(Eurostopodus mystacalis)". In Birds of the World. 1. doi:10.2173/bow.whtnig3.01. Dicapai pada 14 October 2020. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "botw" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  4. ^ a b Cayley, Neville William; Chisholm, Alec H. (1971). What Bird Is That?: A Guide to the Birds of Australia (ed. 6). Sydney: Angus and Robertson. m/s. 82. ISBN 0207941300. Dicapai pada 11 October 2020.
  5. ^ a b c d e f g h Cleere, Nigel (1998). Nightjars: a guide to nightjars and related nightbirds. Pica Press. m/s. 180–181. ISBN 9781408135464. Dicapai pada 14 October 2020. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "book" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  6. ^ a b "White-throated nightjar". Queensland Government. Department of Environment and Science. Dicapai pada 11 October 2020.
  7. ^ a b c Hollands, David (1991). Birds of the night: owls, frogmouths, and nightjars of Australia. Balgowlah N.S.W: Reed. m/s. 176–179. hdl:2027/coo.31924059235469. ISBN 0730103250. Dicapai pada 11 October 2020. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "david" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  8. ^ a b c Roderick, Michael; Filewood, Winston (2012). "Observation of White-throated Nightjars at Tahlee, New South Wales" (PDF). The Whistler. 6: 59–60. Dicapai pada 12 October 2020.
  9. ^ Beehler, Bruce M.; Pratt, Thane K. (2016). Bird of New Guinea. Princeton: Princeton University Press. m/s. 151. ISBN 9781400880713. Dicapai pada 14 October 2020.
  10. ^ Kavanagh, Rodney P.; Bamkin, Khia L. (1995). "Distribution of nocturnal forest birds and mammals in relation to the logging mosaic in south-eastern New South Wales, Australia". Biological Conservation (dalam bahasa Inggeris). 71 (1): 41–53. doi:10.1016/0006-3207(94)00019-M.
  11. ^ a b Kavanagh, Rp; Debus, S; Tweedie, T; Webster, R (1995). "Distribution of Nocturnal Forest Birds and Mammals in North-Eastern New South Wales: Relationships With Environmental Variables and Management History". Wildlife Research (dalam bahasa Inggeris). 22 (3): 359. doi:10.1071/WR9950359. ISSN 1035-3712.
  12. ^ Read, John L.; Moseby, Katherine (2006). "Vertebrates of Tetepare Island, Solomon Islands" (PDF). Pacific Science (dalam bahasa Inggeris). 60 (1): 69–79. doi:10.1353/psc.2005.0060. ISSN 1534-6188. |hdl-access= requires |hdl= (bantuan)
  13. ^ Elliott, A. J. (1935). "Notes on the White-throated Nightjar". Emu - Austral Ornithology (dalam bahasa Inggeris). 35 (2): 129–132. doi:10.1071/MU935129. ISSN 0158-4197.
  14. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama iucn