Sultan Idris Al-Mutawakil Alallahi Shah
Sultan Idris Al-Mutawakil Alallahi Shah | |
---|---|
Sultan Perak ke-XXXIII | |
Pemerintahan | 5 Januari 1963 - 31 Januari 1984 |
Pendahulu | Sultan Yussuff Izzuddin Shah |
Pengganti | Sultan Azlan Muhibbuddin Shah |
Raja Muda | Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Aziz al-Mu’tasim Billah Shah
Raja Azlan Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuff Izuddin Ghafarullah Shah |
Pasangan | Raja Noor Izah binti Raja Ali (k. 1944; c. 1956) Raja Muzwin binti Raja Ariff Shah (k. 1951; m 2011) Che Asmah (c.) Che Puan Hanizah Che Puan Aminah (k. 1960; 1984) Sharifah Salmah binti Syed Ahmad (k. 1963) Che Satira binti Abdullah (k. 1968; m 2011) Norizan binti Hamzah (m. 2006) |
Anakanda | |
Raja Izzuddin Iskandar Shah Raja Iskandar Dzurkarnain (Raja Di-Hilir Perak) Raja Shahruzzaman Raja Alang Iskandar Raja Jamil Ariffin Raja Ahmaddin Razman Raja Shaharuddin Rashid Raja Nazhatul Shima (Raja Puan Besar Perak) Raja Halimatun Shahrin Raja Zarith Sofiah (Permaisuri Johor) Raja Radziatul Zahar (mangkat ketika bayi) Raja Juliana Rafeah Raja Saidatul Mardiah Raja Shuibah | |
Nama penuh | |
Sultan Idris Al-Mutawakil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah | |
Tempat persemayaman | Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Istana Seri Tambun Ipoh Perak |
Ayahanda | Sultan Iskandar Shah ibni al-Marhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah Rahmatullah |
Bonda | Raja Puteh Umi Kalsom binti al-Marhum Raja Kulop Muhammad Kramat |
Keputeraan | Istana Negara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, British Malaya | 17 Ogos 1924
Kemangkatan | 31 Januari 1984 Hospital Angkatan Tentera, Lumut, Perak, Malaysia | (umur 59)
Dimakamkan | 3 Februari 1984 Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, Malaysia |
Agama | Islam |
Sultan Idris Al-Mutawakil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah (Jawi: سلطان إدريس المتواكيل الا الله شاه ابن المرحوم سلطان إسكندر شاه كادداسو الله ; 17 Ogos 1924 - 31 Januari 1984) atau selepas kemangkatannya dikenali sebagai Al-Marhum Sultan Idris A'fifullah Shah merupakan Sultan Perak ke-33 yang memerintah selama 21 tahun bermula dari 5 Januari 1963 sehingga 31 Januari 1984.
Riwayat awal
[sunting | sunting sumber]Raja Idris Shah II diputerakan pada 17 Ogos 1924. ialah putera kedua ayahanda kepada Sultan Iskandar Shah dan bonda kepada Raja Puteh Umi Kalsom binti al-Marhum Raja Kulop Muhammad Kramat. Kekanda sulungnya meninggal dunia ketika hanya berusia 40 hari.[1]
Pada 3 Januari 1931, Raja Idris memulakan persekolahan di Sekolah Melayu Bukit Chandan dan kemudiannya pada 1932, bersekolah di Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Kangsar. Beliau dilantik sebagai Raja Di-Hilir Perak pada tahun 1934 ketika berumur 10 tahun untuk menggantikan Raja Chulan. Pada 17 Oktober 1938, Raja Idris dilantik sebagai Raja Bendahara Perak. Ketika itu, Sultan Perak ialah Sultan Abdul Aziz.
Raja Idris melanjutkan pendidikannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 12 Disember 1938 tetapi pelajarannya terganggu apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada 1941 semasa Perang Dunia II. Beliau menyertai pasukan Giyutai, sebuah pasukan pertahanan yang ditaja oleh tentera Jepun tetapi secara sulit, berhubung dengan pasukan gerila Force 136 yang dipimpin oleh Kolonel Dobree untuk menentangnya.
Pada tahun 1943 semasa pendudukan Jepun, Raja Idris berkahwin dengan Raja Muzwin binti Raja Ariff Shah dan dikurniakan dua orang putera dan tiga orang puteri. Salah seorang daripada puterinya adalah Raja Zarith Sofiah, isteri kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim. Raja Idris Shah bertugas di Pejabat Tanah, Kuala Kangsar sebagai Penolong Pemungut Cukai Hasil Tanah antara tahun-tahun 1943 - 1945, dan seterusnya ditempatkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Apabila Sultan Abdul Aziz mangkat pada tahun 1948, Sultan Yussuf Izzuddin Shah dimasyhurkan menjadi Sultan Perak ke-32. Raja Idris dilantik sebagai Raja Muda Perak yang bersemayam di Teluk Intan. Pada tahun 1949, beliau ke England untuk menyertai kursus Kerajaan Tempatan, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Agraria di Universiti London.
Sekembalinya ke Perak pada tahun 1951, Raja Idris menyertai pasukan Angkatan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan ditauliah pangkat Leftenan. Beliau turut menerima latihan ketenteraan di Port Dickson, bersama-sama pasukan Askar Melayu dan kemudiannya, dinaikkan pangkat menjadi Mejar. Raja Idris turut serta memberi semangat kepada seluruh rakyat di Hulu Perak agar tidak tertipu dengan dakyah komunis.
Naik takhta
[sunting | sunting sumber]Baginda dilantik sebagai pemangku Raja Perak antara tahun-tahun 1954 - 1956, saat kala Sultan Yussuff Izzuddin Shah berangkat ke England untuk mengunjungi seluruh Eropah. Pada 4 Januari 1963, Sultan Yussuff Izzuddin Shah mangkat di Bukit Chandan ketika berusia 72 tahun, dan Raja Idris, Raja Muda Perak, menjadi Sultan Perak pada 5 Januari 1963 ketika berusia 39 tahun, dengan gelaran Sultan Idris al-Mutawakil Alallahi Shah ibni al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kaddasullah. Raja Muzwin ditabal sebagai Raja Perempuan Perak.
Sultan Idris amat minat akan muzik dan telah menghidupkan RIS Combo. Baginda minat juga akan memelihara pokok bunga, seni foto, sejarah negeri Perak dan sukan lumba kuda.
Pada 4 Ogos 1976, Sultan Idris merasmikan Kampung Ganda Temenggor, berikutan pembinaan Empangan Temenggor yang menenggelamkan kampung yang lama. Stesen Janakuasa Hidroelektrik Temenggor dirasmikan oleh Sultan Idris pada 19 September 1979. Pada tahun 1980, nama Sekolah Menengah Dato Maharaja Lela Kampung Gajah ditukarkan menjadi Sekolah Menengah Dato Seri Maharaja Lela (SMDSML) semasa baginda mengunjungi Kampung Gajah.
Pada 11 Jun 1983, bot Seri Andalan, sebuah bot mewah milik Sultan Idris, dilancarkan di Pelabuhan Lumut, Perak. Dalam kebanyakan lawatannya, baginda mengenakan pakaian tentera berceloreng, dilengkapi dengan pistol di pinggang.
Kemangkatan
[sunting | sunting sumber]Sultan Idris Shah II bakal dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia yang kelapan. Namun begitu, telah ditakdirkan bahawa pada 31 Januari 1984, seminggu sebelum baginda dipilih oleh semua ahli Majlis Raja-raja Melayu, baginda mangkat secara mengejut selepas mengalami serangan jantung di Hospital Angkatan Tentera, Lumut pada jam 11:15 malam.
Istiadat pemakaman jenazah baginda berlangsung pada 3 Februari 1984 dan baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Chandan berhampiran Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.
Baginda telah digantikan oleh anakanda saudara sepupu, Raja Azlan Shah. Selepas kemangkatannya, baginda kemudiannya bergelar Al-Marhum Sultan Idris A'fifullah Shah.
Sultan Idris Al-Mutawakil Alallahi Shah Tarikh keputeraan: 17 Ogos 1924 Tarikh kemangkatan: 31 Januari 1984
| ||
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Yussuff Izzuddin Shah |
Sultan Perak 1963-1984 |
Diikuti oleh: Sultan Azlan Muhibbuddin Shah |
Legasi
[sunting | sunting sumber]Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh dan Jambatan Sultan Idris Shah II dalam Bota yang dinamakan sempena nama baginda.
RIS (RAJA IDRIS SHAH) Istana Seri Tambun Ipoh Perak dinamakan semula sebagai RIS ISTANA SERI TAMBUN PERAK (RAJA IZZUDDIN SHAH) yang merupakan putera sulung Almarhum Sultan Idris Shah II.
RIS COMBAT okestra musik yang ditubuhkan sendiri dari Almarhum Sultan Idris Shah II.
Nota kaki
[sunting | sunting sumber]- ^ "Sultan Idris Iskandar Shah II". Sultan-Sultan Perak. Pejabat D.Y.M.M. Sultan Perak Darul Ridzuan. 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-21. Dicapai pada 13 Januari 2010.