Edisi ke-75 Piala Emas Raja-Raja telah diadakan bermula 20 November hingga 25 Disember 2015 di beberapa buah stadium di Perlis, Kelantan, Putrajaya dan Selangor. Edisi kali ini menyaksikan Pulau Pinang menyertai kejohanan ini setelah tidak bertanding untuk beberapa tahun kebelakangan.[1]
15 buah pasukan dari Malaysia dan sebuah pasukan dari Singapura telah menyertai kejohanan kali ini. Selain Singapura, Proton FC dan Putrajaya merupakan pasukan jemputan untuk edisi kali ini.[1]
Bagi peringkat kumpulan, Negeri Sembilan merupakan tuan rumah bagi kumpulan A, perlawanan diadakan di Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM. Untuk kumpulan B, Proton FC merupakan tuan rumah dan mereka menggunakan Stadium Proton City yang terletak di Tanjung Malim. Putrajaya merupakan tuan rumah bagi kumpulan C yang menggunakan stadium mini yang terletak di kawasan perumahan Taman Pancarona.
Untuk kumpulan D, Selangor ditetapkan sebagai tuan rumah dan menggunakan beberapa buah stadium di sekitar Selangor untuk perlawanan peringkat kumpulan. Untuk peringkat kalah mati pula, perlawanan diadakan di stadium mengikut pasukan tuan rumah yang bertanding.
Undian bagi menentukan pasukan-pasukan di dalam kumpulan telah diadakan pada 22 Oktober 2015. Setiap pasukan akan melawan pasukan yang lain. Tiga (3) mata diberikan kepada pasukan yang menang, satu (1) mata diberikan kepada pasukan yang seri dan tiada mata diberikan kepada pasukan yang kalah.
Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan memasuki peringkat kalah mati.