Perwakilan berkadar
Perwakilan berkadar merupakan suatu sistem pengundian atau pilihan raya di mana keputusan akhir pilihan raya adalah berdasarkan kepada agihan undi yang diperolehi oleh setiap parti. Misalnya, jika parti A menang 30% undi keseluruhan pilihan raya, 30% kerusi di parlimen akan diberi kepada parti tersebut. Ini bermakna setiap undian adalah bernilai. Manakala dalam sistem pengundian majoriti mudah (simple majority), peratusan ini tidak penting.
Terdapat tiga sistem yang berasaskan pengundian cara perwakilan berkadar:
- Sistem Senarai Parti (Party List System)
- Sistem Campuran Ahli (Mixed Member System)
- Undi Pemindahan Tunggal (Single Transferable Vote)
Sistem Senarai Parti
[sunting | sunting sumber]Sistem ini merupakan sistem yang paling popular berbanding dengan kaedah lain dalam sistem perwakilan berkadar. Semua parti akan menyenaraikan nama calon-calon yang mewakili parti masing-masing. Semua nama ini akan dicetak ke atas kertas undi. Sewaktu pilihan raya, para pengundi akan memilih parti dan bukannya calon individu. Sistem ini mudah difahami kerana perwakilan di Parlimen mencerminkan agihan undi yang diraih oleh setiap parti dalam pilihan raya.
Negara-negara yang mengamalkan sistem pengundian ini adalah: Afrika Selatan, Algeria, Angola, Argentina, Austria, Belanda, Belgium, Benin, Bosnia dan Herzegovina, Brazil, Bulgaria, Burkina Faso, Burundi, Cape Verde, Chile, Colombia, Costa Rica, Cyprus, Denmark, Republik Dominican, El Salvador, Eritrea, Estonia, Finland, Greece, Guinea-Bissau, Guinea Khatulistiwa, Guyana, Iceland, Indonesia, Israel, Kemboja, Latvia, Liberia, Liechtenstein, Luxembourg, Moldova, Montenegro, Mozambique, Namibia, Nicaragua, Norway, Paraguay, Peru, Poland, Portugal, Republik Czech, Republik Dominican, Romania, San Marino, São Tomé dan Príncipe, Sepanyol, Serbia, Slovakia, Slovenia, Sri Lanka, Surinam, Sweden, Switzerland, Turki, Uruguay.
Sistem Campuran Ahli
[sunting | sunting sumber]Suatu sistem yang menggabungkan sistem majoriti dan perwakilan berkadar. Pada mulanya, setiap negeri akan memilih perwakilan menggunakan sistem pengundian majoriti. Selepas itu, baki kerusi di Parlimen akan dipenuhi oleh perwakilan berdasarkan kepada kadar peratusan undi yang dimenangi oleh setiap parti yang bertanding. Kebaikan sistem tersebut ialah ia 100% seimbang dan juga mengambil kira penyertaan wakil dari setiap negeri.
Negara-negara yang menggunakan sistem ini termasuklah Bolivia, Jerman, Hungary, Itali, Lesotho, Mexico, New Zealand, dan Venezuela.
Undi Pemindahan Tunggal
[sunting | sunting sumber]Undi Pemindahan Tunggal atau Pengundian secara Keutamaan (Preference Voting) adalah satu sistem yang unik kerana di samping menggunakan sistem perwakilan berkadar ia juga membenarkan rakyat mengundi calon individu. Di dalam sistem ini, pengundi akan menyenaraikan calon-calon mengikut keutamaannya. "1" mewakili keutamaannya yang pertama, "2" kedua, dan seterusnya. Semua keutamaan pertama akan dikira dahulu. Sesiapa yang mencapai kuota yang ditetapkan akan dipilih sebagai wakil. Kuota ini adalah berdasarkan jumlah kerusi di Parlimen dan jumlah buangan undi. Bergantung kepada sistem yang digunakan, kawasan yang diwakili tiga ahli parlimen, akan mempunyai kuota antara 25% dan 33% jumlah keseluruhan undi. Sekiranya tiada calon mencapai kuota dalam pengiraan pertama, calon yang menerima undian keutamaan pertama yang paling rendah akan disingkirkan. Kertas undiannya akan diambil di mana keutamaan keduanya pula akan dikira. Sesiapa yang mencapai kuota akan dianggap sebagai pemenang. Jika masih terdapat kerusi yang belum dipenuhi calon keutamaan terakhir akan disingkirkan dan kertas undiannya akan diberi kepada keutamaan sebelumnya. Proses ini akan berterusan sehingga semua kerusi di Parlimen diisikan.
Antara ketiga-tiga sistem perwakilan berkadar, sistem inilah yang paling rumit dan hanya beberapa negara yang menggunakannya seperti Australia, Ireland dan Malta.