Pergi ke kandungan

Penglibatan golongan rentan dalam demokrasi Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Golongan rentan terdiri daripada wanita, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin, belia, pelarian atau imigran.[1] Tujuh kelas masyarakat yang termasuk di bawah kategori golongan rentan mempunyai ciri dan definisi yang tersendiri. Walaupun begitu, definisi warga emas, orang kelainan upaya dan orang miskin sering kali disalah ertikan. Hakikatnya, warga emas merujuk kepada individu lelaki mahupun wanita, yang berusia 60 tahun ke atas.[2][3] Manakala, orang kelainan upaya atau orang kekurangan upaya pula bermaksud individu yang memiliki kekurangan jangka masa panjang, sama ada dalam aspek fizikal, mental, intelektual atau deria, yang boleh menghalang penyertaan penuh mereka dalam  masyarakat.[4]Setakat Januari 2023, seramai 637,537 individu OKU telah didaftarkan.[5] Orang miskin pula merupakan individu yang mengemis di satu tempat dengan pelbagai cara sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada orang awam.[6]

Perkembangan

[sunting | sunting sumber]

Penglibatan golongan rentan dalam aktiviti politik Malaysia seperti pilihan raya dan proses pembuatan dasar-dasar negara dilihat berubah-ubah mengikut jenis kelas masyarakat.

Di Malaysia, bilangan wanita adalah seramai 15.92 juta.[7] Nisbah perbandingan jumlah wanita dan lelaki pula adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.[8] Sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, penyertaan wanita dalam aspek pencalonan parti politik di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah sebanyak 10 peratus. Ini terjadi apabila di peringkat Parlimen, seramai 72 orang calon wanita telah bertanding, berbanding 615 calon lelaki. Manakala di peringkat DUN, seramai167 orang calon wanita bertanding, berbanding 1,479 calon lelaki. Fakta penyertaan wanita sebagai calon pilihan raya ini menunjukkan penyertaan wanita kurang dalam politik Malaysia.[9] Sungguhpun begitu, wanita dengan 50.17 peratus dilihat telah mendahului lelaki dalam aktiviti mengundi calon pilihan raya.[10] Di peringkat antarabangsa, Malaysia berada pada kedudukan ke-117 dari segi pembabitan wanita dalam bidang politik. Kedudukan ini melambangkan penyertaan wanita di Malaysia yang masih rendah berbanding negara-negara membangun seperti Ghana dan Cuba. Kedudukan Malaysia yang ke-117 diianggap merisaukan kerana ia adalah hasil kejatuhan Malaysia pada kedudukan ke-90 pada tahun 2006.[11]

Warga emas

[sunting | sunting sumber]

Malaysia dianggarkan mencapai status negara tua pada tahun 2030 dengan 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara adalah berusia 60 tahun dan ke atas.[12] Kebanyakan parti-parti politik di Malaysia cuba untuk tidak mensampingkan 1.3 juta warga emas yang memiliki kelayakan yang sah untuk mengundi, sama ada dalam pilihan raya umum mahupun pilihan raya negeri.[13] Warga emas turut terlibat dalam politik Malaysia dalam pelbagai cara dan salah satunya menerusi penyertaan di dalam pilihan raya. Sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15, Selangor telah mencatatkan bilangan 598,549 pengundi yang terdiri daripada warga emas.[14] Di Malaysia, insiatif untuk meningkatkan penyertaan warga emas dalam politik dilihat kurang berbanding negara-negara luar seperti di United Kingdom.[15]

Orang kelainan upaya dan orang miskin

[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan orang kelainan upaya memiliki kecacatan tubuh seperti kudung jari, mahupun kecacaran mental seperti autisme dan ADHD. Tetapi, kecacatan tersebut tidak menghalang mereka untuk turut sama bergiat di dalam politik Malaysia. Ini terbukti apabila sebahagian individu yang tergolong di dalam kelompok OKU tetap pergi mengundi dan menyertai kempen-kempen parti politik biarpun terpaksa berkerusi roda. Malah, individu-individu yang mengalami kecacatan pendengaran dan penglihatan turut turun mengundi[16]. Sama seperti kelas masyarakat orang miskin yang turut menyertai politik Malaysia disamping kesusahan mereka. Misalnya, dalam Pilihan Raya Negeri Johor, majoriti kelas masyarakat orang miskin tetap menuju ke pusat undi biarpun tidak memiliki kenderaan dan terpaksa berjalan kaki[17]. Akan tetapi, penyertaan orang kelainan upaya dan orang miskin dalam politik tidak bermakna Kerajaan Malaysia boleh berpuas hati. Sebaliknya, inisiatif untuk menarik minat OKU dan orang miskin dalam politik perlu digandakan.[18]

Belia boleh didefinisikan sebagai individu yang berumur 15 hingga 40 tahun.[19] Kira-kira 1,393,549 pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun di seluruh negara akan mengundi kali pertama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022. Secara pecahannya, terdapat seramai 4,614,429 pengundi berusia 21 hingga 29 tahun yang layak mengundi. Manakala bagi umur 30 hingga 59 tahun pula adalah seramai 11,354,094.[20] Kini, belia memanfaatkan media untuk terlibat sama di dalam politik. Contohnya, kajian mendapati individu berusia antara 21 hingga 35  tahun lebih  mempercayai kredibiliti informasi politik yang disebarkan menerusi media massa seperti surat khabar, berbanding berita yang dikongsikan dari mulut ke mulut.[21]Tidak cukup dengan itu, belia turut mengaplikasikan media sosial untuk mendapat maklumat lanjut tentang politik. Malah, menerusi Internet, belia dilihat berperanan sebagai agen semak dan imbang politik Malaysia secara atas talian. Ini dilihat apabila kebanyakan media sosial seperti Facebook, Twitter, dan Instagram diaplikasikan oleh belia untuk bertukar pendapat tentang politik.[22]

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi penglibatan golongan rentan dalam politik Malaysia.

Antara faktor yang menyumbang kepada kurang penyertaan golongan rentan dalam politik Malaysia adalah kurang menerima pendedahan tentang politik. Golongan rentan terutamanya warga emas dan orang miskin yang tinggal di kawasan pedalaman tidak memiliki akses kepada kemajuan teknologi yang kini menjadi salah satu cara penyampain maklumat[23]. Bagi golongan wanita pula, majoriti wanita menjadi suri rumah tangga sepenuh masa mahupun sambil bekerja. Kesibukan golongan wanita menyebabkan mereka memiliki masa yang sedikit untuk terdedah di dalam dunia politik. Malah, sebahagian besar wanita tidak memiliki minat tentang politik jika dibandingkan dengan lelaki.[24] Faktor lain adalah keterhadan pergerakan golongan rentan dari satu tempat ke tempat yang lain. Terdapat seramai 299,217 individu OKU yang memerlukan bantuan daripada segi pergerakan seperti kemudahan kerusi roda dan tongkat berjalan.[25] Lebih kurang 35% peratus warga emas berumur 70 tahun dan ke atas mempunyai masalah kesukaran berjalan.  Kesukaran berjalan termasuklah kelajuan berjalan berkurangan, kehilangan keseimbangan dan koordinasi pergerakan. Kemampuan untuk berjalan tanpa bantuan di peringkat warga emas memerlukan daya tumpuan yang baik, serta kekuatan  dan kawalan otot yang berkesan.[26].

Antara faktor yang dapat meningkatkan penyertaan golongan rentan dalam politik Malaysia adalah kestabilan landskap politik sesebuah negara itu sendiri. Malaysia pernah berdepan dengan ketidakstabilan politik seperti isu kerajaan lompat parti, kerajaan pintu belakang dan banyak lagi yang menyebabkan rakyat kurang minat mengetahui tentang politik.[27] Semenjak kewujudan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, rakyat dilihat semakin ingin mengambil tahu tentang politik. Bukan itu sahaja, apabila politik Malaysia dilihat semakin stabil, peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 turut dijangka meningkat sebanyak 10 peratus berbanding sebelum ini.[28] Seramai 21,173,638 orang pemilih terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.[29]Faktor lain adalah pendidikan politik secara efektif. Setakat ini, pendidikan politik hanya dijadikan sebagai topik sisipan di dalam subjek-subjek utama, seperti subjek sejarah di peringkat Sekolah Menengah.

“Saya sarankan Kementerian Pendidikan mahupun Kementerian Pendidikan Tinggi perlu mengadakan satu silibus untuk memberi kefahaman politik, bukan belajar politik tapi unsur-unsur dan subjek berkaitan dengan politik itu perlu ada.[30]

Isu-isu golongan rentan akan diusulkan ke Parlimen Malaysia

Terdapat beberapa isu demokrasi serta politik yang dihadapi oleh golongan rentan.

Suara tidak diangkat

[sunting | sunting sumber]

Golongan rentan yang menghadapi pelbagai jenis keterbatasan menyebabkan hak bersuara mereka diketepikan. Cadangan daripada golongan rentan untuk menggubal satu undang-undang khusus atau menambah baik penguatkuasaan undang-undang tidak diambil endah.[31] Kesannya, golongan rentan di Malaysia terdedah kepada siri-siri penindasan terutamanya penindasan di tempat kerja. Sebagai contoh, wanita OKU tidak diterima bekerja kerana dianggap tidak memiliki penampilan yang menarik dan sentiasa mengharapkan bantuan orang sekeliling.[32] Bahkan, protes oleh golongan rentan seperti orang miskin bagi meminta bantuan juga diabaikan. Sedangkan, jumlah kelompok orang miskin adalah seramai 129,395 orang.[33][34]

Kurang representasi

[sunting | sunting sumber]

Representasi atau perwakilan merujuk kepada perihal melambangkan atau mewakili sesuatu.[35] Golongan rentan kurang representasi apabila tidak diberi banyak peluang untuk terlibat di dalam aktiviti politik Malaysia, seperti menjadi wakil di Dewan Negara. Di dalam Dewan Negara, individu yang dilantik mestilah berkemahiran sama ada dalam kerjaya, perniagaan, industri, pertanian, aktiviti kebudayaan atau khidmat sosial atau mewakili kaum-kaum minoriti seperti golongan rentan.[36]Kini, kelompok OKU tidak lagi diwakili oleh mana-mana senator di Dewan Negara yang menyebabkan Kerajaan Malaysia tidak dapat mengetahui masalah sebenar yang menimpa kumpulan OKU serta jenis kelas masyarakat lain yang termasuk di bawah definisi golongan rentan.[37] Bukan itu sahaja, kurang representasi golongan rentan turut dapat disaksikan apabila hanya minoriti daripada kaum wanita dapat menjadi pemimpin atau memegang jawatan tinggi di sesebuah organisasi. Malah, penilaian utama bagi wanita untuk diterima berkerja adalah rupa semata-mata. Di sektor awam, hanya 30 peratus wanita terlibat dalam proses pembuatan keputusan. Di swasta pula, hanya 27 peratus ahli lembaga pengarah syarikat adalah wanita, dan baki 73 peratus adalah lelaki. Dalam aspek politik, sekadar 14.4 peratus kerusi di Parlimen diduduki oleh wanita dan 17.9 peratus wanita memegang jawatan menteri.[38]

Cadangan penambahbaikan

[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa langkah untuk menambah baik penglibatan golongan rentan dalam demokrasi Malaysia.

Membaiki prasarana

[sunting | sunting sumber]

Prasarana terutama di pusat-pusat mengundi perlulah bersifat mesra golongan rentan. Prasarana seperti kerusi roda, tempat menunggu ibu mengandung, lorong khas OKU serta khemah khas warga emas wajar disediakan bagi memastikan keselesaan setiap jenis lapisan masyarakat golongan rentan. Usaha baik pengenalan penggunaan kod Braille sebagai alternatif kertas undi bagi golongan cacat penglihatan harus diteruskan.[39]Tambahan itu, pihak berkuasa dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti melakukan pemeriksaan awal terhadap kesesuaian pusat mengundi. Pusat-pusat mengundi yang tidak memiliki prasarana asas seperti tandas OKU dan memiliki pelbagai kerosakan infrastruktur wajar dielakkan.

Menambah tenaga kerja

[sunting | sunting sumber]

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi yang akan dibuka sempena PRU kali ini adalah sebanyak 9,536 buah dengan 39,318 tempat mengundi atau saluran".[40]

Biarpun pelbagai inisiatif bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja telah dijalankan, tenaga kerja seperti kakitangan pilihan raya masih dilihat tidak mencukupi. Hal ini demikian kerana, golongan rentan yang turut layak mengundi memerlukan perhatian dan jagaan yang lebih rapi. Kebanyakan golongan rentan berdepan dengan kesukaran apabila tiada waris yang dapat menemani mereka.[41] Selain itu, tenaga kerja yang direkrut juga perlulah bersifat menyeluruh, meliputi aspek pengawasan dan penjagaan keselamatan seperti polis dan askar.[42]

Meningkatkan kesedaran

[sunting | sunting sumber]

Kesedaran untuk membela golongan rentan perlulah diterapkan dalam jiwa setiap individu. Kesedaran yang kurang akan menyebabkan segelintir individu tidak prihatin dan tidak peka terhadap masalah yang dihadapi oleh golongan rentan. Lebih teruk, ada yang menganggap golongan rentan berada pada kedudukan paling bawah dan tidak perlu diberi perhatian.[43] Pendidikan atau subjek khusus tentang pemerkasaan golongan rentan seperti di Kenya wajar diwujudkan. Ini bagi mengelak sebarang bentuk penindasan yang dialami oleh mereka.[44] Akhir sekali, setiap individu perlu meraikan golongan rentan untuk menyertai politik di Malaysia. Demokrasi politik di Malaysia sepatutnya tidak mensampingkan mana-mana kumpulan lapisan masyarakat terutamanya golongan rentan.

  1. ^ "Golongan Rentan". MyGov. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  2. ^ Report of The World Assembly on Aging. United Nations. 1982. m/s. 76.
  3. ^ "Warga Emas". MyGov. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  4. ^ Akta Orang Kurang Upaya 2008. 24 Januari 2008. m/s. 9.
  5. ^ "Statistik Pendaftaran OKU". Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  6. ^ Akta Orang Papa 1997 (Akta 183).
  7. ^ "Jumlah Penduduk Malaysia Terkini Statistik 2022". Permohonan.my. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  8. ^ Abd Mutalib, Zarinah (14 Februari 2022). "Nisbah jantina rakyat Malaysia 110 lelaki berbanding 100 wanita". BHarian.
  9. ^ Abdu Samad, Norlizawaty (25 Februari 2021). "Penyertaan Wanita Dalam Arena Politik". BHarian.
  10. ^ "Daftar Pemilih Terkini Sehingga Bulan Ogos 2022 PRU 15" (PDF). 9 Oktober 2022.
  11. ^ Laporan Global Gender Gap Report, 2020 (GGGP 2020). Forum Ekonomi Dunia (WEF). 2020.
  12. ^ "Malaysia sebagai 'negara tua' menjelang tahun 2030". Harakah Daily. 22 September 2021. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  13. ^ Zain, Nizam (28 September 2022). "Jangan sisihkan 1.3 juta pengundi warga emas". Dicapai pada 17 Jun 2023.
  14. ^ Che Noh, Norzamira (31 Oktober 2022). "PRU-15: Jumlah pengundi berdaftar di Selangor meningkat lebih 50 peratus". Metro.
  15. ^ Goerres, Achim (2009). Introduction: The Political Participation of Older People in an Era of Demographic Ageing. In: The Political Participation of Older People in Europe. m/s. 18.
  16. ^ Md Zain, Ruwaida (15 November 2022). "'Saya sebak mengundi dalam keadaan tak upaya'". BHarian. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  17. ^ Zainuddin, Zazrina (12 Mac 2022). "PRN Johor: Kita tak kaya dan tak miskin mengundi sajalah". Malaysia Gazette. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  18. ^ Halid, Suzalina. "SPR lakukan 'post mortem' tambah baik undi pos". BHarian. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  19. ^ "Dasar Pembangunan Belia Negara" (PDF). Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
  20. ^ Tuan Muhamad Adnan, Tuan Buqhairah (20 Oktober 2022). "Lebih sejuta belia usia 18 hingga 20 tahun mengundi kali pertama". Dicapai pada 17 Jun 2023.
  21. ^ Kamara, Jeffrey (February 2008). Youth policy: what works and what doesn’t? A review of youth policy models from Canada and other jurisdictions. United Way Toronto.
  22. ^ Salman, Ahmad (Ogos 2015). Youth Online Political Participation Through New Media Information Democracy Space. Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of Communication.
  23. ^ "Orang Asli: Kemiskinan punca keciciran?". BHarian. 29 Disember 2022.
  24. ^ "What Makes Us Busy? Predictors of Perceived Busyness Across the Adult Lifespan". National Library of Medicine. 26 Januari 2019.
  25. ^ "Laporan Statistik 2021" (PDF). Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  26. ^ Kiau, Ho Bee (28 Ogos 2020). "Masalah Berjalan Di Kalangan Warga Emas". Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  27. ^ Hairom, Nurhidayah (25 Januari 2023). "'Perubahan pucuk pimpinan beri risiko ketidakstabilan politik'". Sinar Harian. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  28. ^ "Minat rakyat pada politik kian meningkat". Utusan Malaysia. 14 November 2022. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  29. ^ Mohd Noor, Mohd Husni (20 Oktober 2022). "Lebih 21 juta pengundi berdaftar PRU15". Dicapai pada 17 Jun 2023.
  30. ^ Zain, Nizam (28 April 2023). "GPMS mahu KPM perkenal silibus politik di sekolah". Malaysia Gazette. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  31. ^ Zainudin, Hartini (27 Disember 2021). "Suara rakyat dan golongan rentan tidak harus terus diketepikan pihak berkuasa". Astro Awani KOLUMNIS. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  32. ^ Jamal, Gulgoona (2010). "ASIA PACIFIC DISABILITY REHABILITATION JOURNAL". Dicapai pada 17 Jun 2023.
  33. ^ Zainuddin, Mohd Zaky (18 Oktober 2022). "Jumlah miskin tegar di Malaysia makin berkurangan". BHarian. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  34. ^ Yusop, Siti Haliza (4 November 2021). "Bantuan JKM tidak mencukupi". BHarian. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  35. ^ "Maksud representasi". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dicapai pada 18 Jun 2023.
  36. ^ William, John (1977). Area Handbook for Malaysia. American University, Washington D.C., Foreign Area Studies. m/s. 217.
  37. ^ "Tiada lagi wakil OKU di Dewan Negara selepas khidmat Ras Adiba tamat". Utusan Borneo. 30 Mei 2023. Dicapai pada 18 Jun 2023.
  38. ^ Jaafar, Jamaliah (2020). "Penyertaan Wanita Dalam Ekonomi" (PDF). Newsletter Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 18 Jun 2023.
  39. ^ Harun, Nazdy (12 Oktober 2022). "Pertis saran kaedah untuk cacat penglihatan mengundi". Metro. Dicapai pada 18 Jun 2023.
  40. ^ "PRU15: 363,515 petugas dilantik demi kelancaran pilihan raya". Kosmo. 20 Oktober 2022. Dicapai pada 18 Jun 2023.
  41. ^ Alavi, Khadijah (2017). "Komunikasi Berkesan dengan Warga Emas" (PDF). Dicapai pada 18 Jun 2023.
  42. ^ Ahmad, Samadi (24 September 2022). "Ambil kira faktor tenaga kerja polis jika PRU15 ketika banjir". BHarian. Dicapai pada 18 Jun 2023.
  43. ^ Khalid, Kartini Aboo (Oktober 2016). "Dilema Kemiskinan: Falsafah, Budaya dan Strategi" (PDF). Dicapai pada 18 Jun 2023.
  44. ^ Lewis, Suzzane Grant (20 May 2022). "Overcoming barriers to learning for the world's most marginalized". UNESCO IIEP Learning Portal. Dicapai pada 18 Jun 2023.