Pergi ke kandungan

Keling

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Keling (Jawi: كليڠ, Sebutan bahasa Melayu: [kəliŋ]) ialah suatu frasa yang digunakan di bahagian Asia Tenggara bagi menandakan individu yang berasal dari benua kecil India. Istilah ini digunakan di Kepulauan Melayu atau Nusantara — khususnya Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei — tetapi wujud juga perkataan serumpun di negara jiran juga.[1] Walaupun pada definisi awalnya bersifat neutral dan berkait dengan kerajaan Kalingga di India Timur yang bersejarah, secara umumnya kini ia dianggap penghinaan, perlekehan atau konotasi negatif oleh orang India di Asia Tenggara seperti Malaysia[2] dan Indonesia.[3]

Nama keling juga menjadi nama bagi beberapa karya tempatan, seperti dalam Panggau-Gelong dari kebudayaan Iban.[4]

Etimologi

[sunting | sunting sumber]

Perkataan keling berasal daripada bahasa Sanskrit "Kalinga"[5] yang merujuk kepada sebuah daerah di Pesisir Koromandel di tenggara India.[1]

Dari segi sejarah, perkataan keling merujuk kepada Benua Keling,[6] (kini India), sebagaimana yang disebut dalam Peta Google dan Hikayat Hang Tuah mengenai pelayaran ke benua Keling, kampung Keling dan sebagainya. Selain itu, perkataan keling menjadi lumrah di keseluruhan Tanah Melayu pada masa itu tetapi kini ia disalah tafsir. Penggunaan perkataan ini dapat dilihat melalui Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang, Tanjung Keling, Melaka, dan kuih telinga keling di Johor. Kemungkinan lain ialah ia merujuk kepada Kerajaan Kalinga juga merupakan sebuah kerajaan besar Filipina.[perlu rujukan]

Selain itu, beberapa Dinasti Kalinga turut menghantar angkatan besar yang terdiri daripada beberapa kapal dan rakyatnya dan belayar ke banyak tempat di Asia Tenggara termasuk Sri Lanka (Ceylon). Mereka ini kemudiannya mengasaskan keluarga Diraja Sinhala (merujuk kepada Ceylon) dan dinasti Kalinga di Jawa. Kapal-kapal ini belayar dari Kalinga dan terus ke Nicobar atau ke Ta Kuapa di selatan Thailand atau mereka belayar ke selatan dan sampai ke kerajaan Sumatera Utara seperti Akshaya, atau Kadaram di Malaysia.

Pelabuhan Kalinga ini mengendalikan laluan perkapalan yang banyak dengan jumlah perdagangan dan kuasa ekonomi yang besar. Disebabkan kebanyakan kapal datang dari Kalinga, dan pengembara, walaupun datang dari segenap penjuru India tiba menggunakan kapal kepunyaan Kalinga, istilah Keling digunakan bagi merujuk kepada kesemua mereka. Disebabkan lumrahnya penggunaan perkataan keling, keturunan dari India lain seperti suku Indo-Aryan seperti di utara India, Pakistan, Bangladesh juga dikenali sebagai bangsa keling dari Benua Keling (kini dikenali sebagai negara India).

Orang Cina pula mengenali mereka sebagai 'Kleynga' dan orang Tamil sebagai Chu-lien. Chu-lien diambil daripada Cholzia - penduduk tempatan Cholza Desa. Kini, perkataan itu dikenali sebagi Chulia dan digunakan bagi merujuk kepada Tamil Muslim.[7]

Penduduk India ini menetap di banyak tempat dan di mana mereka duduk, tempat itu dikenali sebagai Pekan Keling, Kampong Keling, dan Tanjung Keling.[perlu rujukan]

Semasa Kesultanan Melaka, pedagang Tamil tinggal dengan senang-lenang. Pengembara Portugis seperti Castanheda banyak menulis tentang zaman keagungan Melaka dari 1528 hingga 1538, menyebut mengenai kekayaan mereka dan memanggil mereka sebagai Chiitis, daripada perkataan Tamil, Chetti atau Keling (Quelins).[8] Mereka menulis bahawa bahagian bandar Melaka di mana golongan Chiities tinggal adalah lebih besar, baik, cantik dan kaya berbanding bahagian lain di Melaka, yang kini dikenali sebagai 'Tanjong Keling'.

Castanheda:

"Di bahagian utara bandar, tinggal saudagar yang dikenali sebagai Quelins; Di bahagian ini, bandarnya lebih besar berbanding bahagian lain. Terdapat ramai saudagar asing di Melaka, yang seperti saya katakan dahulu, tinggal sesama mereka. Mereka ialah moors (Arab) dan pagan. Kaum pagan kebanyakannya datang dari Paleacate; mereka menetap di sini. Mereka amat kaya. Mereka ialah pedagang terkaya di dunia pada tempoh ini"...... [9][10]

Penggunaan

[sunting | sunting sumber]

Perkataan keling selalunya digunakan untuk merujuk masyarakat India tetapi ada pihak yang mendakwa bahawa istilah ini dianggap menunjukkan rasa tidak hormat kepada masyarakat India di Malaysia. Ada mereka yang menyamakan istilah ini seperti nigger untuk masyarakat Amerika Afrika.[perlu rujukan]

Peribahasa seperti janji keling misalnya digunakan oleh masyarakat berbahasa Melayu untuk merujuk kepada orang yang suka berbohong, memberi kenyataan yang bercanggah dan mereka yang tidak tetap pendirian.[perlu rujukan] Begitu juga dengan peribahasa "kalau jumpa ular dengan keling, pukul keling dahulu" menunjukkan keling tidak boleh dipercayai, dan ular itu melambangkan pembelit atau penipu.[perlu rujukan] Selain itu, istilah keling juga digunakan dalam simpulan bahasa seperti cakap macam keling yang bemaksud seorang yang tidak berterus terang, jujur atau suka memutar belit apabila bercakap.

Dalam masyarakat Cina, perkataan keling-a (Hokkien; 吉寧仔; POJ: kiet-lêng-á), keling kwai (Kantonis; 吉寧鬼; Yale: git-lìhng-gwái), dan keling-kia (Teochew) selalu digunakan di Malaysia dan Singapura. Perkataan-perkataan ini boleh digunakan dalam niat baik atau tidak. Dalam dialek Hokkien dan Teochew tambahan -a dan -kia bermaksud "anak" dan dalam dialek Kantonis, istilah kwai bermaksud "hantu"[perlu rujukan]

Dalam kebudayaan Iban

[sunting | sunting sumber]

Keling dalam kebudayaan Iban ialah nama seorang pahlawan yang menjadi epitome kepada seorang lelaki dalam masyarakat Iban.[11] Menurut hikayat, Keling tinggal di rumah panjang Panggau Libau[12] dan isteri beliau bernama Kumang yang berasal dari rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang Nyerabang. Keling ialah seorang lelaki yang gagah, berani, dan juga mempunyai wajah yang cantik, serta mempunyai kuasa ajaib seperti boleh menghilangkan diri daripada penglihatan musuh serta mampu bertukar wajah serta memegang watak yang berbeza. Menurut masyarakat Iban seseorang yang berjaya berjumpa dengan Keling atau Kumang dalam mimpi mereka sudah pasti akan menjadikan seseorang itu berani dan menjadi pahlawan, atau "Raja Berani".[11]

Sebagai memperingati legenda Keling dan Kumang, masyarakat Iban di Sarawak mengadakan pertandingan Keling Gawai bagi lelaki dan Kumang Gawai bagi wanita untuk memilih mereka yang menawan dan cantik. Upacara ini diadakan pada tiap-tiap tahun bersempena Gawai Dayak di Sarawak. [13][14]

Isu dan tengkarah

[sunting | sunting sumber]

Dianggap menghina

[sunting | sunting sumber]

Perubahan perkataan keling daripada istilah umum bagi kaum India bertukar menjadi satu istilah yang dianggap menghina bermula semenjak 1963. Hal ini terbukti dengan perubahan istilah orang Keling kepada orang India dalam buku Cherita Jenaka yang diterbitkan 1960 dengan Cherita Jenaka yang diterbitkan pada 1963.[15] Kemungkinan yang lain adalah dari segi sejarah, kebanyakan pendatang dari India yang awal bekerja di ladang dan dikenali sebagai keling. Oleh itu apabila mereka mencapai tahap ekonomi yang lebih tinggi, mereka mahu menjauhkan diri daripada gelaran yang mempunyai stigma kelas bawahan.[perlu rujukan]

Usaha utama menghalang penggunaan "keling" dalam bahasa Melayu diketuai oleh Angkatan Pelopor India Muslim (APIM).[1] Diarkibkan 2007-09-28 di Wayback Machine

Kontroversi ini bertambah apabila Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyenaraikan perkataan asal "keling" dan ditambah dengan beberapa perkataan penambah seperti keling kapal karam dan keling mabuk todi.

Keling dalam Kamus Dewan (Malaysia)

[sunting | sunting sumber]

Pada 22 Disember 2005, Pengerusi Angkatan Pelopor India Muslim Selangor dan Wilayah Persekutuan (APIM), Ramli@Mohd Othman Ravinthranath Abdullah menyaman DBP, Ketua Pengarah DBP, Menteri Pendidikan, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, syarikat pencetak Harian (Zulfadzli) Sdn Bhd dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. Ramli memohon supaya istilah itu dipadamkan daripada Kamus Dewan Edisi Ketiga kerana menghina kaum India Malaysia. Tetapi Timbalan Ketua Pengarah DBP, Abu Bakar Mohamad berhujah bahawa APIM tidak mempunyai 'locus standi' (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan saman tersebut bagi pihak kaum India Muslim.

Pada 29 Disember 2006, Penolong Pendaftar Kanan (SAR) Mahkamah Tinggi, Nik Isfahanie Tasnim Wan Abdul Rahman membenarkan permohonan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menafikan dakwaan APIM bahawa 'Keling' menghina kaum India Malaysia. Pada 14 Mei 2009, Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memutuskan istilah 'keling' dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga dibenarkan kerana ia untuk tujuan pembelajaran. Tiada 'mala fide' (niat jahat) kepada mana-mana pihak dan DBP hanya melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan.[16]

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ a b Braddell, Roland (1935). "An Introduction to the Study of Ancient Times in the Malay Peninsula and the Straits of Malacca". Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. 13 (2 (122)): 70–109. ISSN 2304-7550.
  2. ^ Jeevendran, Kasthuri (2019-05-10). "Masa Tun M gelar masyarakat India 'keling' di mana Waytha?". MalaysiaGazette (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-12-24.
  3. ^ "Dari Kampung Keling ke Kampung Madras, KOMPAS, Jumat, 18 Juli 2008". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-04-09. Dicapai pada 2009-06-22.
  4. ^ uwa1971 (2013-06-28). "The arrival of the Orang Panggau and Orang Gelong". Ibanology (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-12-24.
  5. ^ www.wisdomlib.org (2009-04-12). "Kalinga, Kāliṅga, Kaliṅga, Kalimga: 41 definitions". www.wisdomlib.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-12-24.
  6. ^ Andaya, Leonard Y. (2008-01-22). Leaves of the Same Tree: Trade and Ethnicity in the Straits of Melaka (dalam bahasa Inggeris). University of Hawaii Press. ISBN 978-0-8248-3189-9.
  7. ^ Saletore, Bhasker Anand (1960). India's Diplomatic Relations with the East (dalam bahasa Inggeris). Popular Book Depot.
  8. ^ Dalgado, Sebastião Rodolfo (1988). Portuguese Vocables in Asiatic Languages: From the Portuguese Original of Monsignor Sebastião Rodolfo Dalgado (dalam bahasa Inggeris). Asian Educational Services. ISBN 978-81-206-0413-1.
  9. ^ Foreign notices of South India By Kallidaikurichi Aiyah Nilakanta Sastri
  10. ^ KELING BY DR.S.JAYABARATHI
  11. ^ a b Canberra, Neilson Ilan Mersat & (2003-08-11). "Keling - wira masyarakat Iban Sarawak". Malaysiakini. Dicapai pada 2023-12-24.
  12. ^ Kedit, Vernon (2009). "Restoring Panggau Libau: A Reassessment of Engkeramba' in Saribas Iban Ritual Textiles (Pua' Kumbu')". Borneo Research Bulletin.
  13. ^ "Komuniti Dayak rindukan tradisi 'ngabang'". www.astroawani.com. Dicapai pada 2023-12-24.
  14. ^ Dawi, Steward (2022-06-18). "Pertandingan Little Kumang and Keling promosi pakaian tradisional Dayak". TVS (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-12-24.
  15. ^ malay concordance project - Cherita Jenaka, edisi baru, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1963.
  16. ^ 'Keling' kekal dalam Kamus Dewan

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]