Pergi ke kandungan

Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu (IPPM)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Petikan dari Naskah Kitab Hikayat Hang Tuah
"Bukan balang-balang hulubalang, hulubalang terbilang jitu. Bukan barang-barang penjurit, penjurit kepetangan jua yang tahu.. Bahawa kepetangan itu adalah penamat ilmu kau dan aku."[1]

Dato' Orangkaya Laksamana Tun Tuah, Hikayat Hang Tuah DBP.

Istiadat Pewaris
Penjurit-Kepetangan Melayu
(IPPM)

استيعادة ڤواريث
ڤنجوريت کڤتاڠن ملايو

Kerangka
KependekanPenjurit Kepetangan / IPPM
Jenis/bentuk sahIlmu isyarat-firasat persilatan hulubalang Melayu
Tapak webSalam Penjuritan
IPPM 313
Pengurusan
Ajar-Ajar Tua Guru UtamaMalaysia Dato' Hulubalang Panglima Besar, Pendita Megat Ainuddin al-Asyuro
Organisasi indukPersekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA)
Persatuan Guru-Guru Seni Beladiri Malaysia (MAGMA) Martial Arts Council (Marcil)
Lokasi
Jata rasmi Istiadat Pewaris
Penjurit-Kepetangan Melayu
Ibu pejabatMalaysia Kuala Lumpur, Malaysia
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu (Tulisan Jawi: استيعادة ڤواريث ڤنجوريت کڤتاڠن ملايو) dahulunya dikenali dengan nama Ilmu Persilatan Penjurit-Kepetangan Melayu atau ringkasannya IPPM. Ilmu persilatan ini adalah salah satu cabang Ilmu Isyarat-Firasat Hulubalang Melayu yang telah diturunkan turun temurun dari warisan bersanad, bersilsilah dan bersusur-galur sehingga ke Raja Pangeran Adityawarman yang menjadi raja dengan memakai gelaran Seri Maharaja Diraja Kerajaan Malayapura (atau Melayupura) yang kemudiannya mencetus kewujudan Kerajaan Minangkabau di Pagaruyung. Kisah ini telah diriwayatkan di dalam naskah-naskah hikayat dan sejarah Melayu seperti naskah kitab Sulalatus Salatin melalui kisah Wan Malini dan Wan Empuk yang mendapat tiga orang anak angkat apabila padinya berbunga emas.[2] Tiga orang anak inilah yang menjadi pelopor kepada 3 dinasti besar di alam Nusantara iaitu Kerajaan Majapahit, Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan juga Kerajaan Pagaruyung sekitar kurun ke-12.

Ilmu persilatan ini telah dibawa turun-temurun sehingga ke era pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka oleh Hulubalang Melayu berlima yang terbilang di dalam lipatan sejarah iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu melalui Pendita Aria Putra (atau disebut: Adi Putra) di Gunung Ledang dan juga Pendita Ajar-Ajar Sang Persata Nala di Gunung Wirana Pura.[1] Ilmu ini kemudiannya diturunkan pula ke negeri Negeri Perak Darul Ridzuan oleh Orangkaya Bendahara Paduka Raja Megat Terawis Ibni Daulat Pagaruyung[3] ketika mengiringi Sultan Mudzaffar Shah Ibni Sultan Mahmud Shah Melaka untuk ditabalkan menjadi Sultan Perak Darul Ridzuan yang pertama. Setelah itu maka diperturunkan kepada waris bersanad keturunan beliau dan sehingga kini dipertanggung-jawabkan hanya kepada Ajar-ajar Tua Pendita Megat Ainuddin al-Asyuro Ibni Allahyarham Dato' Megat Mohd Nordin.[4][5]

Asal-usul

[sunting | sunting sumber]
Inskripsi Talang Tuwo dari Kerajaan Pagaruyung

Ilmu Persilatan Penjurit-Kepetangan Melayu adalah sebuah ilmu persilatan tua di alam Melayu yang telah disampaikan dan diriwayatkan turun temurun yakni berasal dari zaman kerajaan tua di Bukit Siguntang Mahameru, Palembang di Sumatera.[1] Bermula dari kisah Paduka Demang Lebar Daun dan Sang Nila Utama di hulu muara sungai Palembang yang bernama Sungai Batang Musi.[2] Paduka Demang Lebar Daun diangkat menjadi Mangkubumi (Bapa) Ketuanan kepada semua bangsa Melayu di seluruh Nusantara.[2] Kerajaan lama ini berkembang-biak dan bersusur-galur sehingga kepada pemerintahan Panglima Besar Raja Adityarwarman pada kurun ke-13 di Pagaruyung.[6]

Menurut karangan Profesor Dr. Buya Hamka atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah melalui catitan di dalam bukunya; Islam dan Adat Minangkabau[7], Pangeran Raja Adityawarman telah memeluk Islam di tangan Sheikh Abdullah Ariff[7] atau di Kedah Tua beliau dikenali dengan nama Sheikh Abdullah al Qumairi[8] iaitu salah seorang Murid kepada Sheikh Abdul Qadir al-Jilani dan pendakwah Islam dari Arab yang awal memasuki Alam Melayu. Pengislaman Adityawarman telah merubah cara hidup dan amalannya. Agama Islam berkembang pesat di alam Melayu Nusantara dengan dipelopori oleh para keturunan Ahlul Bait Rasulullah SAW. Salah seorangnya bernama Sheikh Sunan Maulana Ishak yang dikenali sebagai Wali Solo. Dari sini ilmu permainan silat Melayu tua juga mula berubah dari sudut amalan dan permainan pencaknya mengikut nilai-nilai Islam. Keturunan Pangeran Raja Adityarwarman telah melahirkan tokoh-tokoh terkenal di perantauan ini[6], di antaranya ialah:

  • Megat Dewa
  • Megat Alam Melintang
  • Megat Alang Dilaut
  • Megat Panji Alam
  • Megat Kembar Ali
  • Raden Mahmud
  • Megat Seri Rama

Manakala turutan sebelah Puteri pula ialah:

  • Tun Hamzah
  • Tun Fatah

Serta lain-lain lagi di Alam Melayu ini termasuklah salah seorangnya iaitu Bendahara Paduka Raja Dato’ Megat Terawis Ibni Daulat Pagaruyung.[9][10]

Sejarah perkembangan

[sunting | sunting sumber]
Ajar-Ajar Tua Pendita Megat Ainuddin al-Asyuro, Dato' Hulubalang Panglima Besar Guru Utama Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu (IPPM) dengan pakai rasmi Minangkabau IPPM berserta warna rasmi Negeri Sembilan dan Perak di kanan dan kiri sebagai negeri penaung tertinggi.

Sebagai Bendahara pertama Kerajaan Perak Darul Ridzuan,[10] Dato’ Megat Terawis dan keturunan beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas segala urusan adat-istiadat hulubalang istana yang diwarisi dari Istana Pagaruyung dan juga dari Istana Kesultanan Melayu Melaka yang diamanahkan ke atas bahunya bagi menjaga kesinambungan 'Daulat Melayu' dari Paduka Mangkubumi Bukit Siguntang Mahameru turun temurun.[2] Adat istiadat ini diguna pakai di istana Negeri Sembilan, Melaka (sebelum 1511 - Zaman Kesultanan Melayu Melaka), Negeri Perak dan juga di Negeri Terengganu Darul Iman.[9] Adab, amalan dan adat istiadat tersebut telah diwarisi oleh susur-galur keturunannya turun temurun sehingga kepada Dato' Hulubalang Panglima Besar Megat Ainuddin Ibni Allahyarham Dato' Megat Mohd Nordin.[5][9][11]

Pada tahun 2013, Persatuan keturunan Megat terawis telah memganugerahkan Ajar-ajar tua dengan selempang Waris Mutlak Ilmu Persilatan Megat Terawis.Selempang tersebut diberi oleh YAB Tan Sri Dato' Seri Megat Najmuddin Bin Dato' Seri Megat Khas pada Majlis perjumpaan persatuan di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Mengikut catitan sejarah Penjurit-Kepetangan Melayu, Ajar-Ajar Tua Megat Ainuddin telah berguru dengan ramai para ilmuan persilatan dan juga agama[11] semasa hayat mudanya dan beliau merupakan satu-satunya murid yang tamat. Beliau kemudiannya dilantik sebagai 'Ketua Gelanggang' dan pada tahun-tahun berikutnya telah ditauliahkan sebagai 'Ajar-Ajar Tua' bertaraf 'Pendita' oleh Pendita-Pendita Tua yang menjadi guru kepada Megat Ainuddin al Asyuro.[11][9] Di antara Ajar-Ajar yang telah menurunkan ilmu persilatan Penjurit-Kepetangan serta telah mentauliahkan beliau termasuklah:

  • Pendita Tuan Imam Haji Megat Sabran Shahid Mekah
  • Pendita Tuan Imam Haji Megat Abdul Rauf al-Rijalul'ulghaibi
  • Pendita Kiyai Tok Muslim Pertapa Solok Slim
  • Pendita Kiyai Fakeh Lodin
  • Pendita Pak Pa'ad
  • Pendita Sheikh Othman
  • Pendita Tok Janggut Abdul Razak
  • Tuan Megat Hussein
  • Tok Awang Misai Besi
  • Pak Yeop Megat
  • Pak Hassan
  • Tun Ali

Memandangkan pertubuhan ini mengembangkan sayapnya ke arah memelihara dan mengekalkan adat-istiadat, nilai-nilai kesenian dan kebudayaan khususnya dalam perihal hulubalang Melayu, maka sayugianya nama pertubuhan ilmu persilatan ini diubah kepada Pertubuhan Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu (IPPM) atas perkenan watikah Naungan YAM Tuanku Laksamana Diraja Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan.[12][13]

Silat naungan istana

[sunting | sunting sumber]
Penjurit-Kepetangan Melayu di Majlis Istiadat Pertabalan DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir Daulat Negeri Sembilan.

Istiadat Pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu adalah satu-satunya pertubuhan silat di Malaysia yang mendapat naungan dan mandat 'Hulubalang' dari istana-istana dan Raja-Raja Melayu[12] yang bertindak sebagai penjaga warisan adat-istiadat Melayu. Di antara kerabat-kerabat istana yang mengiktiraf IPPM melalui watikah perlantikkan serta surat hitam-putih yang ditandatangani Sultan-Sultan setiap negeri termasuklah:

  • DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir Daulat Negeri Sembilan.[13]
  • Tengku Panglima Diraja, YAM Tengku Sulaiman Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah - Istana Negeri Selangor Darul Ehsan.
  • Panglima Istana Diraja Hilir Bergelar, YM Raja Idris Ibni Raja Mahmud – Istana Negeri Perak Darul Ridzuan.
  • Panglima Pewaris Tun Saban, YB Dato' Meor Roslan Bergelar Bin YAB Dato’ Seri Meor Rashidi – Istana Negeri Perak Darul Ridzuan.
  • Pewaris Kehormat YAB Tan Sri Dato’ Seri Megat Najmuddin Bin Dato’ Seri Megat Khas – Negeri Perak Darul Ridzuan.
  • Pewaris Kehormat YBhg. Dr. Ahmad Al Hatta; Luak Bung Hatta – Negeri Perak Darul Ridzuan & Kerajaan Minangkabau.
  • YM Dato’ Mangkubumi Shahrin Kamarulzaman Al-Rajapati Panji DiRaja Sungai Ujong – Negeri Sembilan Darul Khusus.

IPPM kini secara rasminya telah ditabalkan menjadi satu pertubuhan berdaftar dengan memegang mandat Hulubalang Istana Raja-Raja Melayu seMalaysia.[12] Pengiktirafan ini membawa IPPM menelusuri kembali era zaman kegemilangan Hulubalang Istana Melayu 500 tahun dahulu seperti mana era di zaman Dato' Orangkaya Laksamana Tun Tuah Diarkibkan 2013-09-13 di Wayback Machine[1][14] ketika Kesultanan Melayu Melaka dan juga Orangkaya Bendahara Paduka Raja Megat Terawis Ibni Almarhum Daulat Yang Dipertuan Pagaruyung Megat Terawan[10] di zaman Sultan Mudzaffar Shah I.

Kini di bawah tunjuk ajar Ajar-Ajar Tua Pendita Megat Ainuddin, IPPM amat menitik beratkan waris bersanad, bersilsilah dan bersusur galur daripada Ahlul Bayt Rasulullah SAW yang memakai gelaran Syed dan Syarifah selain juga membuka ruang bagi waris-waris bersanad yang lain termasuklah dari keturunan keluarga Diraja Bugis Daeng lima saudara yang dipelopori oleh Opu Daeng Perani yang bergelar 'Penjurit Agung Johan Seteru Pahlwan' [15] seperti yang tertulis di dalam naskah kitab Tuhfat al-Nafis.[15][16] Juga bagi waris-waris bersanad yang memakai gelaran Raden, Pengeran, Pangeran, Wan, Nik, Meor dan lain-lain.

Seni penjuritan

[sunting | sunting sumber]
Petikan dari Naskah Kitab Hikayat Hang Tuah
"Bukan barang-barang hulubalang, Penjurit Kepetangan jua orangnya.."[1]

Sang Winara Jaya, Hikayat Hang Tuah DBP.

Setua Senaman atau 'Satuo Senaman' adalah salah satu amalan setiap dari Pewaris Penjurit-Kepetangan yang dipelopori dan dipopularkan oleh Ajar-Ajar Tua Pendita Megat Ainuddin Al Asyuro lewat penghujung tahun '80an.
Meditasi dan bersuluk adalah antara perkara yang amat dititik beratkan bagi setiap pewaris Penjurit-Kepetangan Melayu selain dari pertapaan yang melibatkan gunung, air, laut, pulau dan lain-lain.
Ilmu Persilatan Penjurit-Kepetangan Melayu (IPPM).
Istiadat mencuci keris yang di adakan pada setiap tahun ketika bulan Muharram mengikut kalendar Islam.
Ajar-Ajar Tua, Pendita Megat Ainuddin Al Asyuro bersama Tun Azmel Ahmad dalam aksi belebat ketika di Sumatera, Indonesia.
Tun Daeng Farul Azri dalam aksi belebat bersama Jay di atas sebuah batu putih di kawasan laut Selat Melaka.

Seni dan Ilmu yang diajarkan serta diperturunkan di dalam Penjurit-Kepetangan Melayu adalah di antara salah satu cabang ilmu 'peperangan Melayu'[1] yang masih lagi diwarisi dan dipelihara turun-temurun zaman-berzaman. Kehebatan bangsa Melayu dalam ilmu-ilmu peperangan dan beladiri telah banyak dicatatkan dalam manuskrip-manuskrip lama serta penulisan sekitar Asia Tenggara[15] dan juga barat.[17] Hal ini telah ditulis dengan jelas oleh pengarang-pengarang yang terdahulu dalam catatan-catatan yang menceritakan kehebatan ilmu peperangan bangsa Melayu seperti yang terdapat di dalam jurnal Tome Pires yang berjudul Suma Oriental. Beliau dengan jelas telah menulis mengenai seorang Laksamana Melaka – Admiral (tetapi tidak dinyatakan nama). Tulisannya diterjemahkan berbunyi begini; "Afonso de Albuquerque dan angkatan King Manuel tidak akan berjaya menawan Kota Melaka sekiranya Laksamana Melaka yang terkenal itu masih ada. Perkara ini terjadi dalam serangan pertama Portugis di bawah pimpinan Diego Lopes de Sequeira pada tahun 1509 gagal kerana Laksamana Melaka itu masih ada. Kini Melaka tiada lagi Laksamana itu lalu mereka mudah kami tewaskan." [17][14] Hal yang sama juga turut disebutkan di dalam Kitab Tuhfat al Nafis karangan Raja Ali Haji di Riau yang menceritakan stategi dan bentuk peperangan 'alam Melayu' yang lengkap dengan istinggar (senapang Melayu), lela rentaka (meriam) serta tentera yang lengkap berbaju besi.[15]

Penjurit Kepetangan Melayu ini amat menitik-beratkan pengetahuan ilmu peperangan dengan penggunaan senjata di dalam silibus pembelajarannya seperti; memanah,[18][19] berpedang, berkeris, berlembing, berkuda selain ketangkasan menggunakan beladiri tangan kosong. IPPM juga turut menekankan kepentingan aspek keharmonian dalam kehidupan sehari-hari bagi setiap pewaris dan juga ahli-ahlinya. Keperluan untuk bermeditasi, bertapa dan bersuluk amatlah dititik beratkan di dalam setiap amalan Penjuritan bagi mendekatkan diri pengamalnya kepada Maha Pencipta serta alam-alam semulajadi. Selain dari itu, IPPM juga menganjurkan permainan 'Dabat' (seni permainan) dan juga 'Belebat' (tempur). Di antara dabat-dabat yang terdapat di dalam Penjurit-Kepetangan Melayu adalah seperti berikut:

  • Cengkau Taji Beroga
  • Kecamuk Lang Segara
  • Badai Mencak Kelambit
  • Belalak Jampuk Aru-Aru
  • Karang Jeraus Keruh
  • Gusar Harimau Akar
  • Kudrat Alam Adikara

Bagi permainan Belebat pula, IPPM juga amat menggalakkan setiap dari pewarisnya untuk merasai dan mencuba teknik-teknik bertempur yang boleh diguna-pakai selain dari asimilasi permainan dabat tadi. Perkara ini secara tidak lansung akan memahirkan setiap dari pewaris-pewaris dalam Penjurit-Kepetangan Melayu. Ini adalah salah satu sebab di mana apabila dipamerkan permainan IPPM kepada umum, akan kelihatan setiap pewaris atau pesilat akan mempamerkan corak permainan yang berbeza di antara satu sama lain mengikut kesesuaian watak peribadi dan keserasian empunya diri masing-masing.

Ilmu ninja Melayu

[sunting | sunting sumber]

Mengikut kajian umum para peminat seni beladiri Melayu atau Silat secara am, hanya Penjurit-Kepetangan Melayu sahaja satu-satunya pertubuhan silat atau ilmu tua Melayu yang mewarisi seni permainan 'Ninja' atau 'Shinobi' dari Jepun melalui dari cabang permainan dabat yang dikenali dengan nama Badai Mencak Kelambit.[20] Hal ini berlaku apabila Ajar-Ajar Tua, Megat Ainuddin berguru ilmu Penjurit-Kepetangan kepada Allahyarham Pendita Kiyai Tok Muslim Pertapa Solok Slim, iaitu salah seorang pengamal beladiri Melayu yang mengabadikan dirinya kepada kehidupan yang zuhud serta seorang ahli pertapa.[21] Megat Ainuddin juga mewarisi ilmu ini dari seorang lagi Pendita tua iaitu Allahyarham Pendita Pak Pa'ad. Memetik dari kata-kata kedua Pendita itu dan seperti juga yang tertulis di dalam naskah Kitab Hikayat Hang Tuah, ilmu Ninja Melayu ini telah disampaikan kepada Laksamana Hang Tuah sendiri ketika beliau melawat ke satu daerah di kawasan selatan Thailand, di mana ketika itu terdapat pemberontakkan oleh beberapa orang tentera upahan (Shinobi) dari Jepun yang melakukan kekacauan di daerah Siam tersebut. Mengikut catitan di dalam Hikayat Hang Tuah, beliau telah ditugaskan untuk memerangi pemberontak dari Jepun ini. Kesemua mereka dapat dibunuh kecuali seorang Shinobi yang ingin membunuh dirinya sendiri dengan cara 'Harakiri' tetapi dihalang oleh Hang Tuah. Beliau kemudiannya telah diIslamkan oleh Hang Tuah sendiri dan Shinobi tersebut menukar namanya kepada 'Adi Golok' sempena kehebatan permainan pedang panjangnya yang seperti 'Golok Melayu'. Hang Tuah kemudiannya mempelajari 'Seni Ninja' dan 'Shinobi' ini dari pendekar Jepun itu.[1]

Hal yang sama juga telah ditulis dengan jelas di dalam manuskrip-manuskrip Jepun lama dari kepulauan Ryukyu mengenai keterlibatan Shinobi-Shinobi Jepun di dalam kancah politik dan Istana di negara-negara sekitar Asia Tenggara termasuklah Melaka, Siam dan di Kepulauan Jawa. Mereka-mereka ini bertindak sebagai 'askar upahan' atau 'Ronin' bermula dari kurun ke-14 sehingga era penjajahan Belanda sekitar kurun ke-16. Campur tangan Shinobi Jepun ini banyak tercatat dalam jurnal-jurnal Portugis dan juga Belanda.[22]

Satuo Senaman

[sunting | sunting sumber]

Bermula sejak penghujung tahun 80an lagi, Megat Ainuddin dan IPPM secara amnya kerap mempromosikan senaman-senaman Melayu lama yang diwarisi turun-temurun. Bentuk senaman ini diberi nama Satuo Senaman (Dialek: Minang) atau Setua Senaman[11] dan mula dipromosi kepada umum melalui majalah Waris, Majalah Pendekar (tahun 80an) dan kemudiannya Majalah Seni Beladiri (lewat tahun 90an). Amalan-amalan serta petua di dalam senaman Melayu lama ini termasuklah dari jenis senaman harimau, senaman kucing, senaman tujuh, senaman tiga belas dan beberapa jenis amalan dan petua lagi yang boleh diamalkan oleh umum bagi tujuan menjaga kecantikkan, kesihatan tubuh badan selain dari menjaga aliran dan tertib pernafasan dengan betul.

Pada tahun 2005, Ajar-Ajar Tua Megat Ainuddin dengan usaha sama Professor Madya Dr. Nor Anita Megat Nordin telah menghasilkan sebuah buku panduan senaman bagi lelaki dan wanita berjudul Senaman Silat Jiwa Sihat dan Senaman Silat Wanita[23] terbitan Al Ameen Publishing. Buku ini merupakan panduan lengkap rahsia-rahsia senaman Melayu termasuk juga dengan kaedah-kaedah penjagaan pernafasan bagi khalayak umum. Buku 'Senaman Silat Wanita' juga turut mendapat sambutan yang hangat sehingga diadaptasi ke dalam program realiti TV9, Gadis Melayu.[24]

Aktiviti dan liputan media terhadap IPPM

[sunting | sunting sumber]

Berikut adalah senarai aktiviti-aktiviti pertunjukkan seni dan budaya, pementasan teater, pengiklanan, drama TV, penerbitan bahan media cetak dan animasi yang pernah disertai oleh IPPM secara amnya.

A. Liputan media

B. Filem

  • Dokumentari ‘Majalah 3’ Terbitan TV3 berjudul 'Mat Kilau - Sumpah Bahadur' yang menampilkan permainan silat dan strategi peperangan dari Tun Daeng Farul Azri, Megat Serendah Khairul Azam dan Jay - (2013)
  • Filem Animasi ‘Silat Lagenda’ – Terlibat sebagai Koreografer - (1998)
  • Pementasan untuk Silat Lagenda di PWTC Kuala Lumpur - (April 1998) dan di Amcorp Mall, Petaling Jaya - (May 1997)
  • Filem Animasi ‘Saladin’ – Terlibat sebagai Koreografer dan Pelagak Aksi - (2008 &09)
  • Filem ‘Mat Kilau’ – Terbitan Lagenda Studios - Watak Utama Pesilat - (2009)
  • Filem ‘Dendam Tamingsari’ – Terbitan Cinequip - Watak Utama Pesilat - (2009)

C. Iklan

D. Penerbitan majalah / buku

E. Teater

  1. ^ a b c d e f g Hikayat Hang Tuah - Terbitan Methodist Publishing House, Singapura & England, 1914 - Cetakan semula oleh Malaya Publishing House Ltd. Diarkibkan 2018-06-30 di Wayback Machine, 1949 & Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), 1966 dari naskah Al-Marhum Sultan Ibrahim Petra ibni Al-Marhum Sultan Muhammad; Naskah bertarikh Kelantan; 1641
  2. ^ a b c d Sulalatus Salatin - Susunan oleh Tun Sri Lanang Diarkibkan 2013-11-13 di Wayback Machine dan salinan semula oleh A. Samad Ahmad - Terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), 1977 dari naskah Raja Bongsu; MS. 18 Sir Stamford Raffles; Singapura; 1953
  3. ^ Megat Terawis: Legasi 18 Generasi Diarkibkan 2013-11-02 di Wayback Machine - Faizal Riduan[sumber tidak boleh dipercayai?] Majalah Milenia Muslim Diarkibkan 2013-08-06 di Wayback Machine; Januari; Kuala Lumpur; 2009
  4. ^ Pewaris Ilmu Firasat & Isyarat Hulubalang Melayu Yang Bersanad Pada Megat Terawis Ibni Daulat Pagaruyung[sumber tidak boleh dipercayai?]
  5. ^ a b Megat Ainuddin al Asyuro Waris Megat Terawis Diarkibkan 2013-11-02 di Wayback Machine - Majalah Seni Beladiri; Kuala Lumpur; Februari; 2000
  6. ^ a b Salasilah Keturunan Raja Alam Pagaruyung - Dr. Ir. Puti Reno Raudhatul Jannah Thaib, M.Si; Terbitan Padang Media, Sumatra; Indonesia; 2009
  7. ^ a b Islam dan Adat Minangkabau - Profesor Dr. Buya Hamka; ISBN 9839422774; Pustaka Panjimas Diarkibkan 2013-12-18 di Wayback Machine; Jakarta; 1984
  8. ^ Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah - Dikarang oleh Muhammad Hassan bin To' Kerani Mohd. Arshad (Tok Kerani Rahsia Raja al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah) Diarkibkan 2014-07-03 di Wayback Machine; Call Number: DS598.K28; Terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP); Kuala Lumpur; 1968
  9. ^ a b c d Megat Terawis[pautan mati kekal] - Persatuan Keturunan Megat Terawis; Kuala Kangsar; 1985
  10. ^ a b c Asal Usul Megat Terawis - Jeragan;[sumber tidak boleh dipercayai?] Kuala Lumpur; 2009
  11. ^ a b c d Senaman Silat Jiwa Sihat - Megat Ainuddin al-Asyuro[sumber tidak boleh dipercayai?] & Professor Madya Dr. Nor Anita Megat Mohd Nordin Diarkibkan 2013-08-19 di Wayback Machine ISBN 9789832334583 - Terbitan Al Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2005 Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "senaman silat" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  12. ^ a b c Ekslusif Penjurit Kepetangan Dinaungi Raja Melayu[pautan mati kekal] - Majalah Seni Beladiri; Kuala Lumpur; Mac; 2003 Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "Silat Naungan Istana" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  13. ^ a b IPPM Diiktiraf secara rasminya oleh Istana Besar Negeri Sembilan[pautan mati kekal]
  14. ^ a b Laksamana Tun Tuah Satu Manifestasi.. Bukan Fantasi Diarkibkan 2013-09-13 di Wayback Machine - (Tun) Muhammad Farul Azri Diarkibkan 2013-09-13 di Wayback Machine; Kuala Lumpur; 2012
  15. ^ a b c d Tuhfat al Nafis - Raja Ali Haji; ISBN 9839510029; ISBN13: 9789839510027; Terbitan oleh Yayasan Karyawan Diarkibkan 2013-07-14 di Wayback Machine; Kuala Lumpur & Riau; Dari naskah asal bertarikh 1885
  16. ^ The Precious Gift: Tuhfat Al-Nafis (East Asian Historical Monograph); - Raja Ali Haji; ISBN-10: 0195825071; ISBN-13: 978-0195825077; Cetakan Bahasa Inggeris oleh Oxford University Press; London; 1982
  17. ^ a b Suma Oriental (An Account of the East, from the Red Sea to China, Written in Malacca and India in 1512-1515) - Penulis Tomé Pires; dan Penyelenggaraan oleh Armando Cortesão; Laurier Books Ltd.: Asian Educational Services; Lisbon, India & Malacca; 1512 - 1515
  18. ^ Ilmu Memanah Di Dalam Silibus Pembelajaran Penjurit-Kepetangan Melayu
  19. ^ Latihan Memanah dan Penggunaan 'Crossbow' Di Dalam Penjurit-Kepetangan Melayu - Majalah Waris; Kuala Lumpur; 1989
  20. ^ Ilmu Ninja atau Shinobi Melayu Warisan Adi Golok - Majalah Waris; Kuala Lumpur; 1989
  21. ^ Kisah Badai Mencak Kelambit di Dalam Majalah Pendekar Lewat Tahun 80an; Majalah Pendekar; Kuala Lumpur; 1987
  22. ^ Ryukyuan Relations with Korea and South Sea Countries: An Annotated Translation of Documents in the Rekidai Hōan; - Atsushi Kobata & Mitsugu Matsuda; OCLC 221947347; Kyoto; Japan; 1969
  23. ^ Senaman Silat Wanita - Megat Ainuddin al-Asyuro & Professor Madya Dr. Nor Anita Megat Mohd Nordin Diarkibkan 2013-08-19 di Wayback Machine ISBN 9789833991853 - Terbitan Al Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2009
  24. ^ Program Realiti TV9 Gadis Melayu Mempelajari Teknik Senaman Silat Wanita

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]