Pergi ke kandungan

Islam di Oman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Islam merupakan agama terbesar di Oman, dengan kira-kiranya 99% penduduknya mengamalkan ajaran Islam. Tidak seperti negara Islam yang lain, majoriti orang Islam di Oman bukanlah dari aliran Sunni atau Syiah tetapi dari aliran Ibadi. Ibadi merangkumi lebih 75% daripada jumlah orang Islam di negara itu tetapi terdapat juga komuniti Sunni, Syiah dan agama-agama lain.

Aliran Ibadi atau Ibadiyyah adalah antara aliran tertua dalam agama Islam, ia wujud 20 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW dan sebelum perpisahan Sunni dan Syiah. Ibadi diasaskan oleh Jabir ibn Zayd akan tetapi nama "Ibadi" berasal dari Abdullah ibn Ibad daripada Bani Tamim. Asalnya aliran ini berada di Basra, Iraq lalu ia tersebar hingga ke seluruh pelosok dunia Islam termasuk Oman. Tetapi sekarang aliran ini hanya terhad kepada beberapa buah negara sahaja iaitu Oman, Algeria (di Lembah M'zab), Libya (Pergunungan Nafusa), Tunisia (Pulau Djerba) dan Tanzania (Pulau Zanzibar yang juga bekas wilayah Kesultanan Oman). Ibadiyyah selalu disalahertikan sebagai cabang Khawarij akan tetapi penganut aliran ini tidak menganggap Ibadiyyah sebagai cabang Khawarij kerana tidak seperti Khawarij, aliran Ibadiyyah tidak setuju akan pembunuhan Khalifah ketiga Uthman bin Affan r.a. dan memberi takfir terhadap orang Islam yang mempunyai berbeza pendapat. Aliran Ibadiyyah terkenal dengan sifat toleransinya terhadap aliran lain terutama sekali Sunni dan Syiah, pernikahan antara aliran dibenarkan dan aliran lain bebas untuk mengamalkan ajarannya, ramai juga orang Sunni dan Syiah datang solat di masjid Ibadi tanpa sebarang masalah.

Sunni merupakan aliran kedua terbesar di Oman selepas Ibadiyyah. Mereka kebanyakannya berada di barat daya Oman hampir dengan sempadan Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi. Majoriti ahli Sunnah di Oman tergolong dalam cabang Hanbali dengan minoriti tergolong dalam cabang Mazhab Syafii terutama sekali yang tinggal di sempadan negara Yaman. Disebabkan kedatangan pekerja buruh asing dari Pakistan, Bangladesh dan India, mereka membawa masuk cabang Mazhab Hanafi ke negara itu.

Aliran Syiah di Oman kebanyakannya dari cabang Imamiyyah (cabang yang mempercayai dua belas Imam maksum bermula dari Sayyidina Ali r.a.). Majoriti orang Syiah di Oman tinggal di persisiran pantai dari ibu kota Muscat sehinggalah ke wilayah Al-Batinah. Kebanyakan mereka yang menganut Syiah adalah dari keturunan Iran, Bahrain dan Sindh (yang sekarang menjadi wilayah Pakistan dan India). Selain Ithna 'Ashariyyah terdapat juga mereka dari cabang Zaidiyah yang berbeza dari cabang Syiah lain dan lebih dekat dengan Sunni, majoriti berasal dari Yaman yang berhijrah ke Oman akibat faktor perang atau ekonomi. Dahulu terdapat juga mereka yang menganut cabang Ismailiyah tetapi aliran itu sudah pupus di Oman akibat penukaran Ismailiyah kepada Imamiyyah pada abad ke-19.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]