Pergi ke kandungan

Hantu dalam masyarakat Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Hantu merupakan kepercayaan mengenai makhluk halus yang ada di dalam alam lain yang terdapat dalam semua kebudayaan dalam dunia ini. Dalam masyarakat Melayu, istilah hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah ada sejak zaman animisme lagi. Ketika itu semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap didiami "penunggu" yang perlu dijaga dengan baik agar penunggu tersebut tidak mengamuk dan membahayakan penduduk sekitar. Malahan jamuan makanan atau acak disediakan oleh seseorang yang berpengalaman yang dikenali sebagai pawang bagi memastikan penunggu tersebut pula membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman. Amalan ini masih kekal di kalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme. [1]

Kedatangan Hindu dan Buddha

[sunting | sunting sumber]

Dengan kedatangan agama Hindu dan Buddha, konsep penunggu dan jembalang diubah menjadi konsep dewa-dewa yang mendiami tempat-tempat tertentu. Bagi menghormati dewa-dewa ini, kuil-kuil dibina di tempat-tempat tersebut dengan tujuan pemujaan bagi mendapatkan pertolongan [2]. Keadaan ini tidak berubah dengan kedatangan orang-orang Cina yang juga mendirikan tokong kecil di bawah pokok atau tempat tertentu bagi mendapatkan bantuan tuah kepada mereka.

Kedatangan Islam

[sunting | sunting sumber]

Kedatangan agama Islam mengajar bahawa tidak terdapat mambang ataupun hantu dan yang ada hanyalah mahkluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Makhluk halus ini dikenali sebagai jin. Golongan ini dianggap mendiami alam yang berlainan dengan manusia. Islam mengajar bahawa makhluk halus atau jin ini tidak dapat memudaratkan manusia kecuali dengan keizinan Allah, Islam mengajarkan agar hanya takut dan mengesakan Allah semata-mata. Manusia digesa agar menjauhi pujukan syaitan dan selalu berdoa 'Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam - (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم)'.

Bagaimanapun, kebudayaan Melayu yang masih menebal ini menyebabkan masih ada lagi yang terkeliru kelainan antara kebudayaan Islam dan Melayu. Hal ini mendorong mereka menyangka amalan-amalan kebudayaan tersebut ialah amalan Islam. Sebagai contoh mandi Safar pernah disalah anggap sebagai satu amalan Islam, sehinggalah para ulama tampil ke hadapan bagi menjelaskan amalan Islam yang sebenar, yang akhirnya mendorong pesta mandi safar dimansuhkan.[3]

Bagaimanapun, budaya hantu sukar dikikis daripada masyarakat kerana kecenderungan ibu bapa menakutkan anak-anak menyebabkan anak mereka benar-benar takut akan hantu dan percayakan bahawa hantu itu wujud.

Peranan media massa

[sunting | sunting sumber]

Pelbagai filem hantu Melayu diadaptasikan seperti Pontianak, Dendam Pontianak, dan Pontianak Gua Musang mendapat sambutan hangat daripada para penonton pada masa itu. Akibat kejahilan dalam agama dan ramai orang yang tidak terpelajar pada ketika itu, filem-filem itu mempengaruhi mereka. Ini mendorong kerajaan untuk menghentikan pembuatan dan penayangan filem-filem bercorak hantu yang boleh merosakkan akidah.[4] Bagaimanapun, cerita-cerita hantu masih ditulis dalam majalah seperti majalah Mastika dan Tok Ngah. Setelah dipertimbangkan kembali bahawa kebanyakan orang pada masa kini lebih terpelajar dan faktor kebanjiran masuk filem-filem hantu asing, hal ini telah mendorong kerajaan menarik balik sekatan tersebut sekitar tahun 2000. Malahan dokumentari alam ghaib seperti Melangkah ke Alam Ghaib dan Misteri Nusantara di saluran TV3 turut membincangkan mengenai kewujudan hantu.

Mengapa hantu

[sunting | sunting sumber]

Hantu wujud dalam minda Melayu sebagai satu penjelasan mengenai perkara-perkara yang tidak difahami atau diketahui. Contohnya :

  • Mengapa seseorang itu sakit mengejut padahal sebelum ini kelihatan sihat sebelum berpindah?
  • Mengapa pokok besar dan berakar songsang itu berbunyi pada waktu malam?
  • Mengapa sesebuah rumah itu ditinggalkan oleh penghuninya, dan orang yang baru berpindah masuk tidak kekal lama. Ada bunyi orang mengilai?
  • Mengapa kawasan kubur seperti ada sesuatu bergerak dan berbunyi pada waktu malam?
  • Mengapa mayat seseorang dijumpai berkecai-kecai ketika berladang?

Mungkin orang Melayu hendak menakutkan anak-anaknya agar tidak keluar waktu malam atau waktu maghrib. Mungkin cerita hantu mudah direka dan menjadi hiburan pada waktu malam.

Ciri-ciri umum

[sunting | sunting sumber]

Pada umumnya orang-orang Melayu percaya hantu menjalankan aktivitinya pada waktu malam sahaja khususnya ketika bulan mengambang. 99% hantu dalam masyarakat Melayu terdiri daripada perempuan atau menyerupai perempuan. Hantu dalam masyarakat Melayu adalah untuk ditakuti, bukan untuk didekati.

Berdasarkan gambaran umum (tidak semestinya tepat kebenarannya)[nyatakan menurut siapa?],kebanyakan hantu ini matanya merah, pada mulutnya merah lantaran kesan-kesan darah. Mulutnya penuh dengan gigi yang tajam bercerancang, berwarna merah, selalunya selepas menghisap darah.

Jenis-jenis hantu

[sunting | sunting sumber]

Ada pelbagai jenis hantu atau makhluk yang dianggap hantu ini. Munsyi Abdullah dalam Hikayat Abdullah telah lama mempertikaikan kepercayaan karut orang Melayu ini. Antara jenis kelompok hantu ini ialah :

  1. Puntianak/ Kuntilanak
  2. Hantu polong
  3. Toyol
  4. Pelesit
  5. Hantu air/ Hantu laut
  6. Hantu raya
  7. Hantu bungkus/ Pocong
  8. Langsuir
  9. Mambang
    1. Mambang putih
    2. Mambang kuning
  10. Bajang
  11. Hantu Jepun
  12. Hantu bukit
  13. Hantu kubur
  14. Pari-pari/ peri
  15. Gergasi bota
  16. Jerangkung
  17. Jin tanah
  18. Hantu galah
  19. Hantu keramat
  20. Hantu Kum-Kum
  21. Orang bunian
  22. Orang minyak
  23. Puaka
  24. Penanggalan/ Hantu tenggelong
  25. Hantu bidai
  26. Hantu tetek/ Hantu kopek
  27. Harimau jadian
  28. Jembalang tanah

Menghalau hantu

[sunting | sunting sumber]

Pada masa kini, kebanyakan orang sudahpun berfikiran moden dan akan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik. Tetapi kadang-kala, pihak hospital atau klinik mendapati tidak terdapat sebarang masalah dijumpai. Biasanya keluarga si pesakit menganggap si pesakit diganggu sesuatu, dan akan berpaling kepada perkhidmatan traditional bagi cuba mengubati pesakit.

Perubatan cara menghalau hantu secara umumnya terbahagi kepada dua:-

  • Menggunakan khidmat sahabat jin bagi menghalau jin pengganggu, biasanya dengan cara menurun. Cara ini telah difatwakan haram oleh ulama.
  • Menurut petua yang tidak bertentangan dengan Islam, tiada bacaan tertentu cuma menggunakan bahan-bahan semulajadi.
  • Menurut ajaran keagamaan masing-masing.

Sesetengah yang berfikiran moden berpendapat, ia hanyalah kesan placebo. Selagi mereka yang diubati percaya mereka sihat, mereka akan sembuh dengan sendiri. Dalam erti kata lain, penyakit ini ialah penyakit dalam fikiran (psikologi).

[sunting | sunting sumber]
  • Orang Melayu yang agak beriman akan berjumpa dengan orang alim seperti ustaz, Imam, lebai, pak aji atau tokoh agama di dalam kampung untuk menyelesaikan masalah ini dengan bacaan al Quran. Mereka yang sakit biasanya akan dibacakan ayat-ayat tertentu bagi memulihkan semangat, dan biasanya dimandikan/disuruh mandi dengan air campuran limau bagi menyegar badan. Selain itu, air yang dibacakan bacaan al Quran diberi minum bagi memulih/menguat semangat pesakit.
  • Bagi orang Melayu, hantu boleh dihalau dengan bacaan ayat-ayat suci. Oleh itu, orang Melayu menyimpan al Quran di rumah. Selain itu ayat-ayat Quran tertentu digantung di dinding-dinding rumah walaupun mereka tidak mengerti apa maksudnya dengan harapan hiasan al Quran ini dapat menghalau jin tanpa beramal dengannya. Perkara ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, kerana Al Quran adalah untuk dibaca dan bukannya menjadi hiasan.

Bersahabat dengan jin

[sunting | sunting sumber]

Bersahabat dengan jin merujuk kepada seseorang yang mengikat tali persahabatan dengan makhluk halus. Persahabatan ini biasanya tidak digalakkan kerana ia mampu mendorong seseorang menjadi syirik, tetapi selalunya masih dilakukan kerana keinginan mendapat kelebihan tertentu seperti kebolehan mengubat. Kebolehan berubat merupakan bisikan daripada jin yang menjurus kepada syirik kerana pengamal telah memohon kepada jin untuk menolong beliau. Persahabatan dengan jin ini juga dikenali sebagai saka.

Mereka yang bersahabat dengan jin ini perlu mematuhi beberapa syarat seperti terdapat jin yang meminta persembahan makanan, ada yang perlu dibakar kemian[Penjelasan diperlukan] setiap waktu tertentu, dan ada yang mengenakan apa-apa syarat kecuali mereka yang mengerjakan amalan Islam dengan taat. Jin yang mengenakan syarat kepada mereka yang bersahabat dengan mereka agar mengerjakan amalan Islam dengan taat biasanya dikenali sebagai jin Islam atau kaum bunian.

Karya berkenaan interaksi manusia dan Jin boleh dilihat dalam kisah fiksyen hasil tulisan Tamar Jalis yang menceritakan polemik perhubungan antara Jin dan manusia. Karya bersiri ini boleh didapati di internet dan buku. Ia dinamakan Siri Bercakap Dengan Jin.[5]

Cara berhubung dengan sahabat jin

[sunting | sunting sumber]
  • Cara lama ialah memanggil bomoh atau pawang di dalam sesebuah kampung. Bomoh atau pawang biasanya membakar kemenyan, membaca mentera tertentu seperti yang dalam bahasa Jawa, kain kuning dan dedaun-dedaun tertentu sebagi peramu atau perambas. Untuk kes yang lebih berat, kambing akan disembelih, darahnya dijadikan acak (hidangan kepada hantu) dan dihanyutkan ke dalam sungai. Daging kambing dimasak dan dimakan secara beramai-ramai. Sekarang perkara ini tidak lagi dilakukan kerana perkara itu telah diketahui sebagai syirik.
  • Di Terengganu dan Kelantan, tarian Ulek Mayang atau Main Puteri akan dipersembahkan. Sekiranya seseorang itu gagal diubati dengan cara biasa, satu upacara besar-besaran dengan tarian Ulik Mayang atau Main Puteri akan dilakukan. Nyanyian lagu Ulik Mayang yang merdu berserta tarian ringkas, dirambas (dikibas) dengan tandan pinang kecil menyeru tuan puteri (bunian) agar datang menyembuhkan pesakit.
  • Di banyak tempat, bomoh boleh 'menyelap' atau 'menurun' hingga boleh bertutur bahasa asing. Contohnya bahasa Siam, bahasa Jawa, bahasa Jerman dan bahasa Inggeris. Pendengar akan kehairanan kerana bagaimana jin boleh berbahasa asing walaupun sepatah dua sahaja.
  • Mutu bomoh semakin meningkat jika berasal daripada kalangan Orang Asli, orang Siam atau orang Jawa. Ilmu orang Asli tentang cara menghalau hantu dan memanggil hantu dipercayai lebih mujarab dan sangat ditakuti.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]