Pergi ke kandungan

Asam rong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Gulai asam rong)
Gambar gulai asam rong di satu majlis kenduri di Kampung Lubok Payung Mukim Tembeling Tengah Jerantut.

Asam Rong (Jawi: أسم روڠ) atau Asam Rum (Pahang Tengah: Asang rong, Ulu Tembeling: Aseroq, Pahang Hulu: Asa ro) merupakan makanan tradisional bagi masyarakat di daerah Jerantut,Pahang dan begitu popular di sekitar beberapa perkampungan di dalam daerah ini seperti di kawasan perkampungan kecil iaitu di Kampung Ulu Tembeling, Kampung Kuala Tembeling, Kampung Kuala Tahan dan sekitarnya. Kini asam rong mula dikenali hingga ke beberapa daerah dalam negeri Pahang yang lain seperti di Kuala Lipis, Maran, Raub dan Kuantan. Uniknya ialah asam rong ini diperbuat dari biji buah getah yang dikutip dari bawah pokok getah lalu diproses menjadi asam rong.

Asal asam rong

[sunting | sunting sumber]

Perkataan asam rong ini berasal dari perkataan isirong iaitu merujuk kepada bahagian isi dalam buah dan perkataan asam itu digunakan kerana kaedah penyimpanan dan pembuatan asam rong ini sama dengan asam yang lain. Asam rong ini dipopularkan oleh penduduk di sebelah perkampungan mukim Tembeling, Jerantut, Pahang. Pada asalnya asam rong ini diperbuat dari buah perah iaitu sejenis buah yang didapati dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan tebal. Namun menyedari sukarnya mencari dan mendapatkan buah perah ini penduduk di sini mula mencari alternatif lain dengan menggantikan dengan biji getah iaitu biji dari pokok getah. Pada masa kini mereka menggunakan biji getah kerana ianya senang diperolehi berbanding dengan buah perah yang perlu dicari di dalam hutan tebal. Memandangkan kebanyakan penduduk di sini banyak menanam pokok getah sebagai sumber pendapatan utama mereka maka penggunaan biji getah untuk membuat asam rong ini memudahkan mereka mendapatkan bahan tersebut.

Asam rong ini bukanlah mempunyai rasa masam seperti lazim asam yang lain, ianya mempunyai rasa yang sedikit pahit dan lemak. Mungkin kerana ianya diperam berbulan-bulan lamanya dan dipanggil asam oleh penduduk di sini lantaran cara penyedian dan penyimpanannya sama dengan asam yang lain.

Cara memproses asam rong

[sunting | sunting sumber]

Bahan utama yang diperlukan untuk membuat asam rong ini ialah biji getah atau buah perah. Biji getah ini dikutip di bawah pokok getah yang gugur dari pokok-pokok getah yang telah matang. Biji getah ini dikumpulkan lalu dipecahkan kulitnya untuk mendapatkan isi yang berwana putih kerana biji getah ini mempunyai kulit yang keras dan licin.

Biji getah ialah biji yang dihasilkan dari pokok getah yang matang. Biji getah ini berbentuk bulat dan lonjong. Warnanya bergantung kepada baka pokok getah itu ada yang berwarna cokelat, hitam, merah-kemerahan, berjalur hitam dan putih. Saiz biji getah ini juga mengikut baka pokok tersebut ada yang kecil dan ada yang besar kebiasaanya dalam lingkungan (20mm hingga 35mm). Kulit di bahagian permukaannya keras, licin dan nipis dan mempunyai tertulang di bahagian belakang biji getah ini. Isinya bewarna putih dan ianya lembut serta kenyal.Biji getah ini akan gugur sendiri ke bumi jika ianya sudah cukup matang dan biji getah yang gugur ke bumi ini boleh mengeluarkan tunas dan boleh menjadi baka anak pokok getah yang baru.

Biji getah ini dikutip di bawah pokok getah dan kesemua biji getah ini dipecahkan lalu isinya dikumpul dan dijemur di tengah panas. Proses penjemuran ini memakan masa 3 hingga 7 hari bergantung kepada keadaan kekeringannya. Setelah kering isi biji getah tadi ditumbuk tetapi tidak terlalu hancur seperti menumbuk kacang untuk dibuat kuah ketupat.

Isi biji getah yang telah ditumbuk tadi lalu diperam di dalam bekas yang tertutup rapi dan sedia untuk dimasak. Kebiasaanya asam rong ini boleh bertahan hingga berbulan-bulan lamanya walaupun tidak di simpan di dalam peti sejuk.

Bagaimanapun, adalah menjadi kepercayaan tempatan bahawa jika masakan asam rong biji getah ini di makan selalu atau diamalkan selalu boleh menyebabkab berak berdarah.

Gulai asam rong

[sunting | sunting sumber]

Bagi penduduk di sini asam rong boleh dimasak bersama ikan atau sayur seperti kangkung. Jika ia dimasak dengan menggunakan ikan ia dikenali sebagai gulai asam rong. Cara memasak gulai asam rong ini sama seperti cara memasak gulai yang lain cuma perlu dicampurkan sedikit asam rong ini (tiga hingga lima sudu teh) di dalam masakan tersebut.

Jika dicampurkan di dalam sayur seperti kangkung ianya kelihatan seperti kangkung dimasak bersama taucu. Asam rong itu akan kelihatan seperti kacang yang ditumbuk halus. Asam rong ini juga boleh dipelbagaikan cara masakanya bergantung kepada daya kreativiti tukang masaknya. Selain itu asam rong ini juga boleh di buat sambal.

Keunikkan rasanya

[sunting | sunting sumber]

Bagi yang baru pertama kali merasainya mungkin ada yang terus jatuh hati dengan keunikkan rasanya yang berbeza dengan masakan Melayu yang lain dan mungkin juga ada yang tidak menyukai dengan masakan ini. Bagi penggemar gulai asam rong ini aroma baunya sahaja sudah cukup memberikan selera makan yang cukup luar biasa. Bagi yang ingin merasai keaslian rasa gulai asam rong ini anda bolehlah mencari di beberapa buah restaurant disekitar pendalaman Pahang. Kini asam rong mula dipasarkan diserata Malaysia malah boleh didapati di beberapa pasaraya besar di negara ini.


Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]