Pergi ke kandungan

Badan Penyelidik Usaha-usaha Persiapan Kemerdekaan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Badan Penyelidik Usaha-usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (Jepun: 独立準備調査会, Hepburn: Dokuritsu Junbi Chosakai, BPUPKI) adalah sebuah badan yang dibentuk oleh pemerintah Jepun pada 29 April 1945, bertepatan dengan hari keputeraan Maharaja Hirohito. Badan ini dibentuk sebagai usaha pelaksanaan janji Jepun perihal kemerdekaan Indonesia. BPUPKI beranggotakan 62 orang yang diketuai oleh Radjiman Wedyodiningrat, dengan Hibangase Yosio (orang Jepun) dan R.P. Soeroso sebagai timbalan-timbalannya.

Di luar anggota BPUPKI, dibentuk sebuah Badan Pentadbiran (sejenis sekretariat) yang beranggotakan 60 orang. Badan Pentadbiran ini dipimpin oleh R.P. Soeroso, dengan Abdoel Gafar Pringgodigdo dan Masuda (orang Jepun) sebagai timbalan-timbalannya.

Pada 7 Ogos 1945, Jepun membubarkan BPUPKI dan membentuk Panitia Persiapan Kemerdekaan Indonesia.


Persidangan Pertama

[sunting | sunting sumber]

Persidangan pertama diadakan di bangunan Chuo Sangi In di Jalan Pejambon 6, Jakarta yang kini dikenali sebagai "Gedung Pancasila". Pada zaman Belanda, banguan tersebut merupakan bangunan Volksraad, lembaga Dewan Perwakilan Rakyat bentukan Belanda.

Persidangan dibuka pada 28 Mei 1945 dan perbincangan dimulai pada hari keesokan, iaitu 29 Mei 1945 dengan tema dasar negara. Dalam persidangan pertama ini terdapat tiga orang yang mengajukan pendapat masing-masing tentang dasar negara. Prof. Mohammad Yamin dalam ucapan ringkasnya mengemukakan lima asas, iaitu tentang: (1) kebangsaan; (2) ketuhanan; (3) kesejahteraan rakyat; (4) perikemanusiaan; dan (5) kerakyatan. Pada 31 Mei 1945, Prof. Dr. Soepomo mencadangkan lima asas, iaitu: (1) perpaduan; (2) sepersetujuan dan demokrasi; (3) keadilan sosial; (4) kekeluargaan; dan (5) perbincangan.

Pada 1 Jun 1945 pula, Sukarno mencadangkan lima asas yang disebut Pancasila, iaitu: [1] (1) kebangsaan Indonesia; (2) internasionalisme dan perikemanusiaan; (3) sepersetujan atau demokrasi; (4) kesejahteraan sosial; dan (5) ketuhanan yang Maha Esa. Menurut Sukarno, kelima-lima asasnya itu yang disebut Pancasila dapat dipadatkan menjadi Trisila atau Tiga Sila, iaitu: (1) sosionasionalisme; (2) sosiodemokrasi; dan (3) ketuhanan yang berkebudayaan. Bahkan masih menurut Sukarno, Trisila tersebut di atas masih dapat dipadatkan menjadi Ekasila, iaitu Sila Gotong Royong. Selanjutnya, lima asas tersebut kini dikenali dengan istilah Pancasila, namun dengan urutan dan nama yang sedikit berbeza.

Sementara itu, perdebatan terus berlanjut antara para peserta persidangan BPUPKI tentang penerapan hukum Islam di dalam Indonesia yang baru.

Masa antara Persidangan Pertama dan Kedua

[sunting | sunting sumber]

Sehingga akhir persidangan pertama, kesefahaman untuk perumusan dasar negara masih belum ditemukan. Akhirnya, jawatankuasa kecil dibentukkan untuk mengkaji berbagai-bagai cadangan. Jawatankuasa kecil beranggotakan 9 orang dan dikenali sebagai "Jawatankuasa Kecil Sembilan", dengan susunan seperti yang berikut:

  1. Sukarno (ketua)
  2. Mohammad Hatta (timbalan ketua)
  3. Achmad Soebardjo (anggota)
  4. Muhammad Yamin (anggota)
  5. Wahid Hasjim (anggota)
  6. Abdul Kahar Muzakir (anggota)
  7. Abikoesno Tjokrosoejoso (anggota)
  8. H. Agus Salim (anggota)
  9. Alexander Andries Maramis (anggota).

Selepas melakukan tolak ansur antara empat orang daripada kaum kebangsaan (nasionalis) dan empat orang daripada pihak Islam, Jawatankuasa Kecil Sembila bertemu pada 22 Jun 1945 dan menghasilkan rumusan dasar negara yang dikenali sebagai Piagam Jakarta yang berisikan:

  1. Ketuhanan dengan kewajiban menjalankan syariat Islam bagi pemeluk-pemeluknya
  2. Kemanusiaan yang adil dan beradab
  3. Perpaduan Indonesia
  4. Kerakyatan yang dipimpin oleh hikmat kebijaksanaan melalui sepersetujuan perwakilan
  5. Keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia.

Persidangan Kedua

[sunting | sunting sumber]

Persidangan kedua berlangsung antara 10-17 Julai 1945 dengan tema perbincangan bentuk negara, wilayah negara, kewarganegaraan, rancangan Undang-Undang Dasar, ekonomi dan kewangan, pertahanan negara, serta pendidikan dan pengajaran. Dalam persidangan ini dibentuk:

  1. "Jawatankuasa Perancang Undang-Undang Dasar" beranggotakan 19 orang, dengan Sukarno sebagai ketua;
  2. "Jawatankuasa Pertahanan Tanah Air" yang diketuai oleh Abikoesno Tjokrosoejoso; dan
  3. "Jawatankuasa Ekonomi dan Kewangan" yang diketuai oleh Mohamad Hatta.

Melalui pengundian, akhirnya ditentukan wilayah Indonesia merdeka, yakni wilayah Hindia Belanda dahulu, ditambah Malaya, Borneo Utara, Papua, Timor Portugis, dan pulau-pulau berjiran. [2] [3]

Pada 11 Julai 1945, Jawatankuasa Perancang UUD membentuk lagi sebuah jawatankuasa kecil beranggotakan 7 orang, iaitu:

  1. Prof. Dr. Soepomo (ketua)
  2. Wongsonegoro
  3. Achmad Soebardjo
  4. A.A. Maramis
  5. R.P. Singgih
  6. H. Agus Salim
  7. Dr. Soekiman.

Pada 13 Julai 1945, Jawatankuasa Perancang UUD mengadakan persidangan untuk membincangkan hasil kerja Jawatankuasa Kecil Perancang UUD tersebut. Kemudian pada 14 Julai 1945, sidang pleno BPUPKI menerima laporan Jawatankuasa Perancang UUD yang dibacakan oleh Sukarno. Dalam laporan tersebut, tercantum tiga masalah pokok iaitu: (1) teks perisytiharan kemerdekaan Indonesia; (2) pembukaan UUD; dan (3) rangka UUD.

Teks perisytiharan kemerdekaan akan disusun dengan mengambil tiga perenggan pertama Piagam Jakarta, sedangkan konsep Undang-Undang Dasar hampir seluruhnya diambil daripada perenggan keempat piagam tersebut.

Keahlian BPUPKI

[sunting | sunting sumber]
  1. KRT Radjiman Wedyodiningrat (Ketua)
  2. R.P. Soeroso (Timbalan Ketua)
  3. Hibangase Yosio (Timbalan Ketua) - orang Jepun
  4. Soekarno
  5. Mohammad Hatta
  6. Muhammad Yamin
  7. Prof. Dr. Soepomo
  8. Wachid Hasjim
  9. Abdoel Kahar Muzakir
  10. A.A. Maramis
  11. Abikoesno Tjokrosoejoso
  12. Agoes Salim
  13. Achmad Soebardjo
  14. Prof. Dr. P.A.A. Hoesein Djajadiningrat
  15. Ki Bagoes Hadikoesoemo
  16. Soekiman
  17. Abdoel Kaffar
  18. R.A.A. Poerbonegoro Soemitro Kolopaking
  19. Ahmad Sanusi
  20. Abdul Halim

serta juga lima orang berketurunan Tionghoa, iaitu:

  1. Liem Koen Hian
  2. Tan Eng Hoa
  3. Oey Tiang Tjoe
  4. Oey Tjong Hauw
  5. Yap Tjwan Bing.
  1. ^ "Transkrip Ucapan Sukarno di Persidangan Dokuritsu Zyunbi Tyoosakai, 1 Jun 1945, disalin ke internet oleh Ronni". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-12-18. Dicapai pada 2007-04-17.
  2. ^ Asal Wilayah Negara Indonesia
  3. ^ Risalah Dokuritsu Zyunbi Tyoosakai oleh Jeffrey Anjasmara

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]