Tuntutan Sabah
Pertikaian Sabah, tuntutan [ke atas] Sabah (Sabah dispute) ataupun tuntutan [ke atas] Borneo Utara (bahasa Inggeris: North Borneo dispute ) merujuk kepada tuntutan ke atas bahagian timur laut Sabah di Malaysia oleh Filipina. Sabah sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.
Pihak Filipina yang menggelar dirinya sebagai entiti penyambung kepada Kesultanan Sulu menegaskan bahawa timur Sabah sepatutnya termasuk dalam wilayah negaranya, atas alasan bahawa wilayah itu hanya disewakan kepada Syarikat Borneo Utara British pada kurun ke-19 dan selanjutnya tidak pernah melepaskan hak kedaulatan Sulu itu.[2] Walau bagaimanapun, pertikaian terhadap Sabah dilihat semakin sepi dan tidak dibangkitkan secara serius oleh pemerintah Filipina lagi. Sementara itu, pihak Malaysia tidak menganggap pertikaian ini suatu permasalahan besar kerana menganggap bahawa kandungan perjanjian yang dipersetujui pada 1878 itu adalah berbentuk penyerahan wilayah.[3] Bahkan, Malaysia juga menegaskan bahawa rakyat wilayah Sabah termasuk pantai timurnya telah menunaikan hak menentukan kedaulatan dan status politik sendiri dengan memilih untuk bergabung membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.[4]
Perjanjian 1878
[sunting | sunting sumber]Tuntutan ini boleh dikatakan berpunca utamanya daripada perjanjian yang ditandatangani pada 22 haribulan Januari 1878 di antara pihak-pihak Kesultanan Sulu diwakili Sultan Jamalul Alam dan Syarikat Borneo Utara British diwakili Alfred Dent dan Gustav von Overbeck. Perjanjian ini menetapkan bahawa Borneo Utara sama ada diserahkan atau disewakan (berrgantung kepada versi terjemahan mana yang digunakan) kepada pihak Syarikat British dengan bayaran sebanyak 5,000 dolar Malaya setahun,[5][6] selain juga melantik Dent dan Overbeck sebagai Dato Bendahara dan Raja Sandakan.
Kandungan asal perjanjian yang dimaktubkan dalam Bahasa Melayu tulisan Jawi adalah seperti berikut:
Perjanjian asal yang ditulis dengan tulisan Jawi | Kandungan perjanjian dalam tulisan Rumi |
---|---|
بهوا اداله کيت سري فادوکمولانا السلطان محمد جمالالا عظم ابن سري فادوکالسلطان محمد فذلٌ سلطاندالم نݢري سولوق سرة سکالين دايره تعلوقڽ کارن ديري کيت سنديري دان کارن واريث٢ دان فڠݢنتي٢ کيت سرة دڠن کريضأن سکلين داتوء٢يڠ سده برموفقة سده کريضاءي فاجاقکن دڠن کريضأن دان کسوکأن کيت سنديري کفد توان ݢوستيس بارون دي اوبربق يڠ تڠݢل د نݢري هوڠکڠ دان کفد الفريد دينت اسکوير يڠ تڠݢل د نݢري لندان يڠ منجادي واکيل سواة کمفني اڠݢريس برسام٢ سرة واريث٢ڽ دان کوڠسيڽ دان فڠݢنتيڽ دان واليڽ سمفي سلملماڽ سکلين فرنته دان کواس يڠ کيت فوڽ اتس سکلين ججاهن٢ دان تانه٢ يڠ تعلوق کفد کيت د تانه بسر فولو بروني دري سوڠي فنداسن د سبله بارت سمفي سفنجڠ سموا تانه٢ د فنتي سبله تيمور سجاوه سوڠي سبوکو د سبله سلاتن يڠترماسوق سکلين ججاهن٢ د فنتي سوڠي فنداسان دان فسيسر فيتن دان سوݢوة دان بڠݢاي دان لابوق دان سنداکن دان چينابتاڠن دان مميڠ سرة سکلين لاين٢ ججاهن٢ دان فسيسر٢ د سبله سلاتنڽ ايت د فنتي تلوق دربل سمفي سوڠي سبوکو برسام٢ سکلين فولو٢ يڠ ترماسوق دالمڽ اية سجاوه سمبيلن ميل دري تفي لاوت. ادفون سبب تله دانݢرهکن فجاکن اين مک توان ݢستبس بارون دي اوبربق دان الفريد دينت اسکوير يڠترسبوة اية برجنجي ممباير کفد سري فدوک مولانا السلطان محمد جمالالا عظم دان کفد واريث٢ڽ دان کفد فڠݢنتيڽ٢ اکن جادي فمبايرن ليم ريبو رڠݢيت فد ساتو تاهون اکن دباير فد تيف٢ تاهون ادفون ججاهن٢ يڠترسبوة اية درفد هاري اين سده دفاجقکن کفد توان ݢستبس بارون دي اوبربق دان کفد الفريد دينت اسکوير يڠترسبوة اية برسام٢ دان کفد واريث٢ڽ دان کفد کوڠسيڽ دان کفد فڠݢنتيڽ اتو کفد واليڽ سمفي سبراف لام يڠ دياڽ سوکا ماو فاکي فسيسر اية تتافي تياداله بوله سکالي٢ کواس دان فرنته يڠ دکريضأي دالم فجاکن اين دبري اتو دتوکرکن کفد لاين بڠسا اتو کمفني درفد بڠسا اسيڠ کالو تياد دڠن کريضأن فرنته باوه دولي کوين ترلبه دهولو سباݢيلاݢي جکالو اد بربڠکيت کمدين هاري اف٢ فربنتاهن اتو فرسليسهن انتارا کيت دان واريث٢ دان فڠݢنتي٢ کيت دڠن توان ݢستبس بارون دي اوبربق اتو کفد کمفنيڽ مک کامي انتارا کدوا فيهق اکن مڽراهکن فرکارا اين کفد اختيار دان فيکران باوه دولي کوين فوڽ کنسيل جنرال د نݢري بروني. دانلاݢي جکالو کيت سري فدوک مولانا السلطان محمد جمالالا عظم دان واريث٢ دان فڠݢنتي٢ کيت اد مندافة اف٢ سوسه کمدين هاري مک توان ݢستبس بارون دي اوبربق دان کمفنيڽ برجنجي اکن منولڠ ممبري نصيحة دان اجرن کفد کيت دڠن سبوليه٢ڽ ترمکتوب سورة فرجنجين اين دالم نݢري سولک د استان سلطان محمد جمالالا عظم کفد ١٩ هاري بولن محرام ١٢٩٥ سَنَة يأية کفد 22 هاري بولن جنواري تاهن 1878 |
Bahawa adalah kita Seri Paduka Maulana as-Sultan Muhammad Jamalul A’zam Ibni Seri Paduka as-Sultan Muhammad Fadhlun sultan dalam negeri Suluk serta sekalian daerah takluknya kerana diri kita sendiri dan kerana waris-waris dan pengganti-pengganti kita serta dengan keredhaan sekalian dato’-dato’ yang sudah bermuafakat sudah keredhai pajakkan dengan keredhaan dan kesukaan kita sendiri kepada tuan Gustavus Baron De Overbeck yang tinggal di negeri Hong Kong dan kepada Alfred Dent Esquire yang tinggal di negeri London yang menjadi wakil suatu kompeni Inggeris bersama-sama serta waris-warisnya dan kongsinya dan penggantinya dan walinya sampai selama-lamanya sekalian perintah dan kuasa yang kita punya atas sekalian jajahan-jajahan dan tanah-tanah yang takluk kepada kita di tanah besar Pulau Borneo dari Sungai Pandasan di sebelah barat sampai sepanjang semua tanah-tanah di pantai sebelah timur sejauh Sungai Sibuku di sebelah selatan yang termasuk sekalian jajahan di pantai Sungai Pandasan dan pesisir Paitan dan Sugut dan Bonggaya dan Labuk dan Sandakan dan Kinabatangan dan Mumiang serta sekalian lain-lain jajahan-jajahan dan pesisir-pesisir di sebelah selatannya itu di pantai Teluk Darvel sampai Sungai Sibuku bersama-sama sekalian pulau-pulau yang termasuk dalamnya itu sejauh sembilan mil dari tepi laut. Adapun sebab telah dianugerahkan pajakan ini maka tuan Gustavus Baron de Overbeck dan Alfred Dent Esquire yang tersebut itu berjanji membayar kepada Seri Paduka Maulana as-Sultan Muhammad Jamalul A’dzam dan kepada waris-warisnya dan kepada pengganti-penggantinya akan jadi pembayaran lima ribu ringgit pada satu tahun akan dibayar pada tiap-tiap tahun. Adapun jajahan-jajahan yang tersebut itu daripada hari ini sudah dipajakkan kepada tuan Gustavus Baron von Overbeck dan kepada Alfred Dent Esquire yang tersebut itu bersama-sama dan kepada waris-warisnya dan kongsinya dan kepada penggantinya atau kepada walinya sampai seberapa lama yang dianya suka mau pakai pesisir-pesisir itu tetapi tiadalah boleh sekali-sekali kuasa dan perintah yang dikeredhai dalam pajakan ini diberi atau ditukarkan kepada lain bangsa atau kompeni daripada bangsa asing kalau tiada dengan keredhaan perintah bawah duli Queen terlebih dahulu. Sebagai lagi jikalau ada berbangkit kemudian hari apa-apa perbantahan atau perselisihan antara kita dan waris-waris dan pengganti-pengganti kita dengan Tuan Baron de Overbeck atau kepada kompeninya maka kami antara kedua pihak akan menyerahkan perkara ini kepada ikhtiar dan fikiran ke bawah duli Queen punya Konsil Jeneral di negeri Berunei. Dan lagi jikalau kita Seri Paduka Maulana as-Sultan Muhammad Jamaulu A’dzam dan waris-waris dan pengganti-pengganti kita ada mendapat apa-apa susah kemudian hari maka tuan Gustavus Baron de Overbeck dan kompeninya berjanji akan menolong memberi nasihat dan ajaran kepada kita dengan seboleh-bolehnya. Termaktub surat perjanjian ini dalam negeri Suluk di istana Sultan Muhammad Jamalul A’dzam kepada 19 hari bulan Muharram 1295 sanah, iaitu kepada 22 hari bulan Januari 1878. |
Ungkapan utama yang dipertikaikan antara kedua-dua pihak adalah seperti berikut:
"...sudah kuredhai pajakkan dengan keredhaan dan kesukaan kita sendiri kepada tuan Gustavus Baron von Overbeck yang tinggal dalam negeri Hong Kong dan kepada Alfred Dent Esquire yang tinggal dalam negeri London... sampai selama-lamanya sekalian perintah dan kuasa yang kita punya yang takluk kepada kita di tanah besar Pulau Borneo dari Sungai Pandasan di sebelah barat sampai sepanjang semua tanah di pantai sebelah timur sejauh Sungai Sebuku di sebelah selatan."[7][8]
...dan;
tiadalah boleh sekali-sekali kuasa dan perintah yang dikeredhai dalam pajakan ini diberi atau ditukarkan kepada lain bangsa atau kompeni daripada bangsa asing kalau tiada dengan keredhaan perintah bawah duli Queen terlebih dahulu.[9]
Kata kunci yang menjadi permasalahan dalam perjanjian tersebut adalah istilah pajakkan, yang mempunyai tafsiran berbeza-beza:
- bahasa Melayu sebagai bahasa perjanjian memberi takrifan pajakkan sebagai "gadaikan" atau "sewakan", di mana wilayah tersebut pada hakikatnya digadaikan dengan sejumlah wang yang dibayarkan secara tahunan dan pihak kesultanan harus membayar kembali dari nilai wang yang diberikan untuk menuntut wilayahnya kembali;[10] selama-lama pula menandakan bahawa perjanjian tersebut akan laku kuatkuasa selama pemerintahan sultan-sultan berikutnya.
- ahli bahasa Sepanyol pada tahun 1878 dan dua ahli antropologi asal Amerika Syarikat H. Otley Beyer dan Harold Conklin pada tahun 1946 mentafsirkan ia hampir sama sebagai "sewa" (arrendamiento, lease).[11][12][13]
- Pihak British menggunakan terjemahan dari sejarawan Najeeb Mitry Saleeby pada tahun 1908 serta William George Maxweel dan Wiliam Summer Gibson pada tahun 1924, yang mengertikan kata pajakkan sebagai "menganugerah dan menyerahkan" (grant and cede).[14][15]
- Kandungan perjanjian asal menetapkan bahawa kuasa pemindahan hak milik tanah yang dipajak/diserah itu adalah tertakluk sepenuhnya kepada Duli Queen iaitu Ratu Britain sahaja, manakala dalam terjemahan ke Bahasa Sepanyol, kuasa tunggal Ratu Britain ini dikaburkan sambil kata putus dikatakan terserah kepada para Raja-Raja.
Selama masa penjajahan British di Borneo Utara, penjajah British meneruskan pembayaran tahunan kepada Sultan Sulu dan para waris takhta baginda yang terlampir dalam nota pembayaran sebagai "wang serahan" (cession money).[16] Dalam sebuah sidang perjumpaan di London tahun 1961 antara wakil-wakil pemerintah Filipina dan British untuk membincangkan tuntutan Filipina atas Borneo Utara, pihak British memberitahukan kepada anggota kongres Filipina Jovito Salonga bahawa kata-kata "wang serahan" dalam nota pembayaran tidak dibantah atau disanggah oleh Sultan Sulu dan waris baginda.[17]
Dalam pertemuan Mafilindo pada tahun 1963 antara kerajaan Filipina, Indonesia, dan Malaysia, pemerintah Filipina menyampaikan bahawa Sultan Sulu meminta pembayaran sejumlah RM5,000 daripada kerajaan Malaysia.[18] Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, Tunku Abdul Rahman, mengatakan bahawa beliau akan kembali ke Kuala Lumpur untuk mengurus permintaan tersebut.[18] Sejak saat itu, Kedutaan Besar Malaysia di Manila telah membayarkan cek sejumlah RM5,300 (bersamaan USD1,710 atau sekitar PHP77,000) kepada penguasa undang-undang pewaris takhta Kesultanan Sulu;[19] pembayaran ini diteruskan sehingga ia dihentikan sejak tahun 2013 apabila berlakunya pencerobohan ke wilayah Sabah oleh pengikut-pengikut seorang yang mengakui waris kepada Kesultanan Sulu.[19] Pemerintah Malaysia menganggap bahawa jumlah yang dibayar setiap tahunnya adalah pembayaran untuk penyerahan wilayah, sedangkan pihak keluarga keturunan sultan menganggapnya sebagai biaya sewa.[20]
Surat kuasa sebagai Datu Bendahara dan Raja Sandakan 1878
[sunting | sunting sumber]Di samping geran yang diberikan Sultan Sulu ke atas jajahan dan taklukannya di tanah besar Pulau Borneo, satu lagi perjanjian ditandatangani pada hari yang sama untuk melantik Baron de Overbeck sebagai kepala dan wali yang mempunyai kuasa mutlak ke atas penduduk-penduduk dan harta benda di tanah yang dianugerahi tersebut.[25][26][27]
Surat dan lantikan kuasa ini bertindih dengan surat kuasa lain yang ditandatangani oleh Sultan Brunei Sultan Abdul Momin pada 29 Disember 1877 yang kandungannya menetapkan Baron de Overbeck sebagai "Maharaja Sabah", "Rajah Gaya dan Sandakan". Perjanjian ini juga memberikan Overbeck wilayah Paitan sampai ke Sungai Sibuku sehinggakan kawasan tersebut bertindih dengan wilayah yang diakui taklukan Kesultanan Sulu di Sabah.[28] Ini menunjukkan bahawa pada tahun 1877 sekalipun, Kesultanan Brunei masih menganggap dan mempertahankan bahawa wilayah tersebut berada dalam kekuasaan mereka dan tidak pernah diberi kepada Kesultanan Sulu pada abad ke-17.[29]
Protokol Madrid 1885
[sunting | sunting sumber]Pada 22 Julai 1878, Sultan Sulu melucutkan sepenuhnya hak kedaulatan ke atas jajahan dan taklukan miliknya dan diserahkan sepenuhnya kepada Sepanyol, yang termaktub dalam perjanjian bertajuk "Dasar-dasar Pendamaian dan Penyerahan" antara Sultan Sulu dah Raja Sepanyol di Jolo. Sultan Sulu menitahkan tanpa syarat bahawa Sepanyol berhak sepenuhnya ke atas Kepulauan Sulu dan segala jajahan dan taklukannya.[30][31]
Pada tahun 1885 pula, United Kingdom, Jerman dan Sepanyol menandatangani Protokol Madrid yang mengiktiraf kedaulatan Sepanyol ke atas Kepulauan Sulu serta sebagaimana juga had pengaruh Sepanyol di rantau ini. Di bawah perjanjian itu, Sepanyol melepaskan semua tuntutannya ke atas Borneo.[32]
Pengesahan Penyerahan Pulau-pulau berkenaan 1903
[sunting | sunting sumber]Pada 22 haribulan April 1903, waris Sultan Jamalul Alam iaitu Sultan Jamalul Kiram II menandatangani sebuah perjanjian yang bernama "Pengesahan Penyerahan Pulau-pulau berkenaan". Dalam perjanjian itu, baginda menyerahkan seberapa pulau tambahan selain yang telah dinyatakan dalam perjanjian 1878 yang berada di sekeliling tanah besar Borneo antara Pulau Banggi dan Teluk Sibuku, kepada Syarikat British Borneo Utara.[33]
Di dalam perjanjian tersebut, istilah "pajakkan" yang takrifannya meragukan tidak lagi digunakan, sebaliknya frasa kita telah keredhai menyerahkan kepada pemerintah British North Borneo digunakan dalam perjanjian 1903 sedikit sebanyak menjelaskan pemahaman pihak sultan berkenaan maksud perjanjian yang lebih awal pada 1878 itu.[34]
Maka, perjanjian pengesahan 1903 mengumumkan antara kedua-dua pihak bahawa pulau-pulau yang disebut dalam perjanjian itu termasuk dalam penyerahan daerah-daerah dan pulau-pulau yang dinyatakan dalam perjanjian 22 Januari 1878. Bayaran asal sebanyak 5000 Dolar Malaya setahun itu dinaikkan kepada 5300 Dolar Malaya setahun, manakala tunggakan 3,200 dolar Malaya dijelaskan sekaligus atas penjajahan ke pulau-pulau tersebut sebelum 1903[35][36][37]
Pencerobohan Pantai Timur Sabah
[sunting | sunting sumber]Pada 11 Februari 2013, telah berlaku satu pencerobohan di bahagian timur Sabah oleh kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai pengikut Jamalul Kiram III. Kehadiran mereka adalah disebabkan ingin menuntut pengiktirafan kedaulatan ke atas Sabah dan hak untuk selama-lamanya tinggal di negeri ini.[38] Namun, perlakuan ini telah ditentang sekeras-kerasnya oleh kerajaan Filipina.[39]
Perselisihan diplomatik
[sunting | sunting sumber]Pada 27 Julai 2020, Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin Jr. menulis pernyataan dari akaun media sosial Twitter beliau yang dibalas dari Kedutaan AS di Manila mengatakan bahawa Sabah bukan berada dalam Malaysia. Menteri Luar Hishammuddin Hussein membalas dalam platform sama membidas pernyataan Locsin sebagai kenyataan tidak berasas yang boleh menjejaskan hubungan dua hala, dan pada 30 Julai 2020 menyaman kedutaan Filipina. Locsin kemudian menyaman kedutaan Malaysia.[40]
Selain itu, bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman, meminta Filipina untuk menarik balik pendirian untuk menuntut Sabah, dan berhenti membuat kenyataan 'basi' untuk tujuan politik dalaman. Bekas Menteri Luar, Anifah Aman, yang juga berasal dari Sabah, mengkritik Locsin atas kenyataannya.[41]
Tindak Balas oleh Malaysia
[sunting | sunting sumber]dalam konflik berkepanjangan di Laut China Selatan (terutamanya antara Brunei, Filipina, Malaysia, Vietnam dan Republik Rakyat China (serta Republik China)), Filipina mula mengumpulan fail kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres [42], dengan berisi mengenai Wilayah Dasar Laut, dengan pelantar benua yang dimana Filipina berdakwa ia berhak kedaulatan dan eksekutif untuk kelola sumber daya asli dengan jarak 200 batu, selepas Filipina berbuat sedemikian Malaysia sebagai negara berdaulat, dengan Sabah sebagai bahagian dalam Persekutuan Malaysia sejak 1963, telah menghantar nota diplomatik juga kepada PBB, dengan menyatakan bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh Filipina, kerana pelantar benua versi Filipina yang ada merangkum 200 batu ke Barat Pulau Pahlawan ada di lengkapi dengan sempadan yang diperpanjang berdasarkan garis dasar Sabah, dengan maksud Wilayah Sabah ada termasuk dalam zon ekonomi ekslusif Barat Filipina, dengan sejauh 200 batu tersebut dan dalam nota diplomatik Malaysia, sudahpun ditegaskan bahawa Malaysia pasti menolak pemfailan Filipina, tindakan Malaysia untuk membuat bantahan tersebut ialah atas dasar marjin benua yang dilanjutkan dalam penyerahan "diunjurkan daripada garis dasar negeri Sabah di negara ini", dari itu Filipina bermaksud tidak menghormati kedaulatan Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan termasuk pada wilayah Sabah [43].
Untuk rekod, pertikaian membabitkan Sabah berlanjutan beberapa kali sebelumnya, yang menyaksikan bukan hanya membabitkan penyerahan nota diplomatik, tetapi juga tindakan undang-undang dan pencerobohan bersenjata [43].
dan Nota Bantahan yang dibuat oleh Malaysia sebagai tindak balas kepada tuntutan Filipina, ialah selaras dengan status negara merdeka dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang juga ditekankan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan iaitu nota bantahan itu dihantar kepada PBB susulan usaha Manila untuk mengambil sempadan laut negara ini sebagai sebahagian wilayah mereka bermula dari Sabah, dengan perkataan beliau dengan sebagai berikut
"Kita buat nota kepada pihak PBB kerana ada nota daripada pihak Filipina menyatakan bahawa dia (Manila) mengambil kira sempadan laut dari Sabah."
dan diikuti dengan perkataan sebagai berikut
"Jelas sekali, jika itu jadi asas ukuran Manila, maka mereka mengatakan Sabah itu mereka punya, jadi kita buat nota bantahan kepada PBB."
[44].
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi mengenai mempertahankan kadaulatan negara dan tidak menerima sebarang tuntutan termasuk tuntutan keatas Sabah, beliau juga menjelaskan pada perkara mengenai tuntutan Filipina keatas Sabah, iaitu Kerajaan Malaysia telahpun membuat pernyataan yang kukuh bahawa Malaysia tidak akan berkompromi bahkan seinci tanah air dan tidak pernah sekalipun terlibat rundingan yang melibatkan hak serta kedaulatan Malaysia, walaupun dimasa yang sama beliau secara kekalkan hubungan baik antara Malaysia dan Filipina, juga beliau sebagai perdana menteri Malaysia kekal dekat dan berhubungan baik kepada Ferdinan Marcos Jr. sebagai Presiden Filipina, dari itu beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menekankan pentingnya tingkatkan keselamatan serantau melalui hubungan diplomatik tersebut [45].
lalu pihak Menteri Luar Malaysia (juga dikenali sebagai Wisma Putra), ada mengulangi pendirian kerajaan yang telah lama wujud, bahawa Sabah sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia, dengan pernyataan sebagai berikut:
Malaysia tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah.
Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963
juga pernah dinotakan bahawa rakyat Sabah menggunakan hak penentuan nasib sendiri melalui Suruhanjaya Cobbold 1962 semasa pembentukan Malaysia [46].
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "British North Borneo company charter (page 4)". OpenLibrary.org. 1878. Dicapai pada 16 Mac 2013.
- ^ "Philippines - The World Factbook". www.cia.gov. Dicapai pada 2021-02-02.
- ^ Campbell, Charlie (2013-02-26). "Sabah Standoff: Diplomatic Drama After Filipino Militants Storm Malaysia". Time (dalam bahasa Inggeris). ISSN 0040-781X. Dicapai pada 2021-02-02.
- ^ Gould, James Warren. (1969). The United States and Malaysia. Cambridge, Mass.: Harvard University Press. m/s. 106. ISBN 0-674-92615-3. OCLC 44871.
- ^ Summaries of judgments, advisory opinions, and orders of the International Court of Justice, 1997-2002. International Court of Justice. New York: United Nations. 2003. m/s. 205-. ISBN 92-1-133541-8. OCLC 55851512.CS1 maint: others (link)
- ^ Southeast Asia : a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor. Ooi, Keat Gin, 1959-. Santa Barbara, Calif.: ABC-CLIO. 2004. m/s. 1163-. ISBN 1-57607-770-5. OCLC 54528945.CS1 maint: others (link)
- ^ Anuar Nik Mahmud, Nik. (2001). Tuntutan Filipina ke atas Borneo Utara (ed. Cet. 1). Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. m/s. 66–67. ISBN 967-942-533-9. OCLC 49285345.
- ^ Hamdan Aziz (2016). "Tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah: Soroton dari Perspektif Sejarah dan Perundangan (The Claim Over Sabah by the Sultanate of Sulu: A Revision from Historical and Legal Perspective)" (PDF). Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. 9: 284–285 – melalui Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
- ^ Hamdan Aziz (2016). "Tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah: Soroton dari Perspektif Sejarah dan Perundangan (The Claim Over Sabah by the Sultanate of Sulu: A Revision from Historical and Legal Perspective)" (PDF). Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu. 9: 284–285 – melalui Dewan Bahasa dan Pustaka.
- ^ The Muslim private sector in Southeast Asia : Islam and the economic development of Southeast Asia. Mohamed Ariff, 1940-. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies. 1991. m/s. 30-. ISBN 981-3016-09-4. OCLC 29935359.CS1 maint: others (link)
- ^ "Translation by Professor Conklin of the Deed of 1878 in Arabic characters found by Mr. Quintero in Washington | GOVPH". Official Gazette of the Republic of the Philippines (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-02-03.
- ^ "Contrato de Arrendo de Sandacan en Borneo, con el Baron de Overbeck - Philippine Claim to North Borneo, Vol. I". Official Gazette of the Republic of the Philippines (dalam bahasa Sepanyol). Presidential Communications Office of the Philippines. 13 Julai 1878. Dicapai pada 3 Februari 2021.
- ^ Beyer, H. Otley (8 Disember 1946). "Brief memorandum on the government of the Sultanate of Sulu and powers of the Sultan during the 19th century - The Philippine Claim to a Portion of North Borneo". Official Gazette of the Republic of the Philippines (dalam bahasa Inggeris). Presidential Communications Office of the Philippines. Dicapai pada 3 Februari 2021.
- ^ Najeeb Mitry Saleeby, Ethnological Survey for Philippine Islands (1908). The History of Sulu (dalam bahasa English). Harvard University. Bureau of Printing.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ "1878 Grant of Lease by the Sultan of Sulu to Britain: Profession Conklin Translation vis a vis Maxwell and Gibson Translation". Official Gazette of the Republic of the Philippines (dalam bahasa Inggeris). Presidential Communications Office of the Philippines. 1 Disember 1968. Dicapai pada 3 Februari 2021.
- ^ Philippines (1967). Philippine Claim to North Borneo (dalam bahasa Inggeris). Bureau of Printing.
- ^ Philippines (1967). Philippine Claim to North Borneo (dalam bahasa Inggeris). Bureau of Printing.
- ^ a b "Why 'Sultan' is dreaming | Daily Express Online - Sabah's Leading News Portal". www.dailyexpress.com.my. Dicapai pada 2021-02-03.
- ^ a b Bernama (2020-07-23). "Malaysia stopped paying cession money to Sulu Sultanate in 2013 | New Straits Times". NST Online (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2021-02-03.
- ^ "WHAT WENT BEFORE: Sultan of Sulu's 9 principal heirs". Philippine Daily Inquirer (dalam bahasa Inggeris). 23 Februari 2013. Dicapai pada 3 Februari 2021.
- ^ Rozan Yunos (21 September 2008). "How Brunei lost its northern province". The Brunei Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 June 2014. Dicapai pada 28 October 2013.
- ^ Rozan Yunos (7 March 2013). "Sabah and the Sulu claims". The Brunei Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 June 2014. Dicapai pada 20 September 2013.
- ^ International Court of Justice (2003). Summaries of Judgments, Advisory Opinions, and Orders of the International Court of Justice, 1997–2002. United Nations Publications. m/s. 205–. ISBN 978-92-1-133541-5.
- ^ Keat Gin Ooi (1 January 2004). Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor. ABC-CLIO. m/s. 1163–. ISBN 978-1-57607-770-2.
- ^ https://www.officialgazette.gov.ph/1878/01/22/commission-from-the-sultan-of-sulu-appointing-baron-de-overbeck-datu-bandahara-and-rajah-of-sandakan/
- ^ https://sagc.sabah.gov.my/?q=en/content/commission-sultan-sulu-appointing-baron-de-overbeck-datu-bandahara-and-rajah-sandakan-dated
- ^ https://wikisource.org/wiki/Surat_Kuasa_Sultan_Sulu_kepada_Baron_de_Overbeck
- ^ British Government (1877). "British North Borneo Treaties. (British North Borneo, 1877)" (PDF). Sabah State Government (State Attorney-General's Chambers). Dicapai pada 3 Februari 2021.
- ^ Yunos, Rozan (7 Mac 2013). "Sabah and the Sulu claims". The Brunei Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Februari 2021.
- ^ International Court of Justice (2003). Summaries of Judgments, Advisory Opinions, and Orders of the International Court of Justice, 1997–2002 (PDF). United Nations Publications. m/s. 268–. ISBN 978-92-1-133541-5.
- ^ Patricio N. Abinales; Donna J. Amoroso (2017). State and Society in the Philippines. Rowman & Littlefield Publishers. m/s. 97–. ISBN 978-1-5381-0395-1.
- ^ British Government (1885). "British North Borneo Treaties. (British North Borneo, 1885)" (PDF). Sabah State Government (State Attorney-General's Chambers). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 29 October 2013. Dicapai pada 24 February 2013.
- ^ R. Haller-Trost (1 January 1998). The Contested Maritime and Territorial Boundaries of Malaysia: An International Law Perspective. Kluwer Law International. ISBN 978-90-411-9652-1.
- ^ Haller-Trost, R (1998). The Contested Maritime and Territorial Boundaries of Malaysia: An International Law Perspective. University of Michigan: Kluwer Law International. m/s. 155. ISBN 9789041196521.
- ^ Dahlhoff, Guenther, penyunting (2012). International Court of Justice: Digest of Judgments and Advisory Opinions, Canon and Case Law 1946–2011. Martinus Nijhoff Publishers. m/s. 1133–. ISBN 978-90-04-23062-0.
- ^ British Government (1903). "British North Borneo Treaties. (British North Borneo, 1903)" (PDF). Sabah State Government (State Attorney-General's Chambers). Dicapai pada 18 August 2017. Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
- ^ Office of the President of the Philippines (2013). "CONFIRMATION by Sultan of Sulu of Cession of Certain Islands". Government of the Philippines. Dicapai pada 12 May 2014. Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
- ^ "Battle for control of Kampung Tanduo". Al Jazeera English. 25 Februari 2013. Dicapai pada 1 Mac 2013.
- ^ "Malaysia stand-off with Philippine group". BBC News Online. 15 Februari 2013. Dicapai pada 19 Februari 2013.
- ^ "Malaysia, Philippines in war of words over Sabah claim". Al Jazeera English. July 30, 2020. Dicapai pada August 2, 2020.
- ^ "Ex-chief minister Musa Aman slams Philippines over Sabah claim". The Straits Times. Aug 1, 2020. Dicapai pada August 2, 2020.
- ^ REUTERS (16 Jun 2024). "Filipina fail tuntutan di Laut China Selatan dengan PBB". www.bharian.com.my. Berita Harian. Dicapai pada 5 Julai 2024.
Filipina memfailkan tuntutan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam, ke atas pelantar benua lanjutan (ECS) di Laut China Selatan.
(dalam bahasa Bahasa Melayu) - ^ a b AGENSI (5 Julai 2024). "Tuntut kedaulatan Sabah: Malaysia serah nota diplomatik kepada PBB". www.bharian.com.my. Berita Harian. Dicapai pada 5 Julai 2024.
Malaysia menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bagi menyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah, lapor South China Morning Post (SCMP).
(dalam bahasa Bahasa Melayu)
Dalam nota diplomatik itu, Malaysia berkata kerajaannya 'secara jelas' menolak pemfailan itu atas alasan pemanjangan sempadan pelantar benua yang dikemukakan Filipina dilakukan berdasarkan garis dasar Sabah.
Pemfailan (Submission) Filipina kepada PBB itu mengenai tuntutan semula wilayah dasar laut. - ^ Mohd Amin Jalil (7 Julai 2024). "'Nota bantahan Malaysia terhadap Filipina selari status negara merdeka diiktiraf PBB'". www.bharian.com.my. Berita Harian. Dicapai pada 16 Julai 2024.
Kita buat nota kepada pihak PBB kerana ada nota daripada pihak Filipina menyatakan bahawa dia (Manila) mengambil kira sempadan laut dari Sabah.
(dalam bahasa Bahasa Melayu)
"Jelas sekali, jika itu jadi asas ukuran Manila, maka mereka mengatakan Sabah itu mereka punya, jadi kita buat nota bantahan kepada PBB.
"Penubuhan dan kemerdekaan Sabah serta Sarawak, bersama-sama dalam pembentukan Persekutuan Malaysia ini dibuat secara teratur, tersusun dan semua pemimpin bersetuju serta diperakui PBB.
"Tiada sesiapa atau mana-mana pihak boleh mendakwa ada kawasan di negara ini, wilayah mereka kerana Malaysia sebuah negara merdeka, berdaulat yang mana ada dalam Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung menjadi Persekutuan Malaysia, - ^ BERNAMA (30 Julai 2024). "No Compromise On Defending Country's Sovereignty - PM Anwar". www.bernama.com (dalam bahasa Inggeris). BERNAMA (Malaysia). Dicapai pada 30 Julai 2024.
Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim today stressed that the Unity Government will not compromise on defending the country's sovereignty and will never tolerate any demands, including over Sabah.
- ^ BERNAMA (30 Julai 2024). "Malaysia stands firm on Sabah's sovereignty and national interests". www.theborneopost.com (dalam bahasa Inggeris). The Borneo Post (Malaysia). Dicapai pada 30 Julai 2024.
Malaysia will continue its efforts to defend the sovereignty of Sabah as an integral part of the country and ensure that its sovereignty, territorial integrity and national interests are protected at all times.
The Malaysian Foreign Ministry, in a statement on Monday, reiterated the government’s long-standing position that Sabah has always been an integral part of Malaysia.
"Malaysia has never and will not recognise any claims on Sabah."
"Sabah has been recognised by the United Nations (UN) and the international community as part of Malaysia since the formation of the Federation of Malaysia on 16 September 1963", the statement read.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Kesultanan Sulu sudah tiada, tuntutan Sabah terbatal. Sinar Harian. Capaian 10 Mac 2013