Tragedi Empat Disember
Tragedi Empat Disember merupakan sebuah novel karya Dzul Karnain Ithnain. Ia turut dijadikan komponen sastera untuk para pelajar tingkatan dua di negeri Melaka, Johor dan Kelantan. Ia diadaptasikan dari tragedi kapal terbang Malaysia Airlines Penerbangan 653 (MH653) pada 4 Disember 1977 yang terhempas di Tanjung Kupang, Johor, Malaysia. Pesawat ini berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang walau bagaimanapun dirampas dan dipaksa untuk menukar haluannya ke Singapura atas arahan dan ugutan perampas pesawat tersebut.
Novel Tragedi Empat Disember mempunyai no. KK: 893 93492101, no. ISBN 983626986X dan diterbitkan pada 2000.
Sinopsis
[sunting | sunting sumber]Kamarul Azam meminta kebenaran daripada ayahnya, iaitu Encik Razali dan ibunya Puan Katijah untuk mengikuti perkhemahan di Tanjung Pangku, Johor. Dia dan beberapa anggota pengakap dan pandu puteri sekolah iaitu Razi, Zanawati, Lina Lim, dan Rendera mengikuti perkhemahan itu untuk mengambil Ujian Kelas Pertama Pengakap dan Pandu Puteri. Kebetulan pada hari itu, Encik Razali akan mengiringi Menteri Pertanian sebagai wartawan kehormat untuk rangka lawatan ke negeri-negeri di utara Semenanjung. Malangnya, kapal terbang yang dinaiki oleh Razali yang berlepas dari Lapangan Terbang Bayan Lepas telah dirampas oleh pengganas. DSP Yazid telah memaklumkan perampasan kapal terbang kepada isteri Encik Razali, iaitu Puan Katijah. Justeru itu, Puan Katijah bersama keluarga-keluarga penumpang lain telah ke Hotel Gentre untuk menunggu berita tentang kejadian tersebut.
Semasa aktiviti perkhemahan, Azam melihat kejadian kapal terbang meletup di udara. Dia tidak tahu bahawa ayahnya turut berada di dalam kapal terbang tersebut. Azam dan Razi yang mencuba pergi ke tempat kejadian itu telah diculik oleh beberapa lelaki bersenjata yang dipercayai terlibat dalam rampasan tersebut. Mereka menculik Azam dan Razi ke tengah laut lalu membiarkan motobot mereka karam.
Azam dan Razi hanyut di tengah laut hingga pengsan. Mereka kemudiannya diselamatkan oleh Pak Widodo Samsi, nelayan dari Pulau Rangsang, Sumatera Timur. Dengan bantuan Antik, anak Pak Widodo, Azam dan Razi berjaya pulang ke Johor. Azam dapat memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah arwah ayahnya. Azam berharap agar penjenayah yang merancang rampasan itu akan segera ditangkap.