Pergi ke kandungan

Tetabu bertompok (burung)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tetabu bertompok
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Order: Caprimulgiformes
Keluarga: Caprimulgidae
Genus: Eurostopodus
Spesies:
E. argus
Nama binomial
Eurostopodus argus
Hartert, 1892

Tetabu bertompok (Eurostopodus argus) ialah spesies tukang dalam keluarga Caprimulgidae. Ia mendiami sebahagian besar tanah besar Australia dan juga ditemui di beberapa pulau di Indonesia. Habitat semulajadinya ialah hutan terbuka dan hutan kayu, semak belukar, padang rumput lari-lari dan rumpun, hutan savana dan bakau.[2]

Ia lebih besar dan lebih berwarna daripada spesies tukang yang lain, dan terkenal dengan corak buluan berbintik-bintik rumit yang membolehkannya menyamar dengan baik di atas tanah. Dewasa mempunyai tompok putih besar pada empat bulu utama luar, tidak mempunyai tanda ekor putih yang wujud pada tukang kubur yang lebih tropika.

Ia bersifat nokturnal dan insektivor, dan gemar bertengger di atas tanah, jarang di atas pokok. Ia cenderung untuk makan dan minum semasa dalam penerbangan, meluncur di sepanjang permukaan lubang air untuk berbuat demikian.

Taksonomi

[sunting | sunting sumber]

Ia julung kali diperihalkan oleh Ernst Hartert pada tahun 1892.[2] Order Caprimulgiformes mengandungi empat keluarga; minyak, segan, malas, dan tukang. Tukang dibahagikan kepada tiga subkeluarga, Chordeilinae (sintang), Caprimulginae (tukang sungguh dan cabak) dan Eurostopodinae (taptibau dan tetabu).[3][4][5]

Ia terdapat di kebanyakan tanah besar Australia, walaupun ia biasanya tidak terdapat di timur dan selatan Banjaran Pemisah Besar di sepanjang pesisir pantai timur dari tengah Queensland ke tenggara Australia Selatan dan tiada di Tasmania. Individu mungkin bersifat nomad secara tempatan atau tidak giat di kawasan utara, manakala burung-burung selatan sebahagiannya tidak giat atau bersifat penghijrah, bermusimsejuk di utara Australia dari Mei hingga September. Ia juga mungkin bermusimsejuk di pulau Indonesia di Laut Banda, dengan kutu rayau dirakamkan sejauh utara Irian Jaya.[2]

Ia mendiami pelbagai habitat, dari gurun hingga ke hutan bakau, secara amnya lebih suka negara yang lebih panas dan kering berbanding kawasan beriklim yang lebih lembap dan lebih sejuk. Jenis habitat termasuklah hutan savana; hutan sklerofil terbuka rendah; semak mali; mulga dan padang belukar akasia serta padang rumput spinifeks dan rumpun. Ia juga telah dirakamkan dalam persekitaran yang agak keras termasuklah dataran kelikir, separa gurun dan gurun.[6] Ia biasanya mengelakkan padang rumput yang tebal dan hutan yang tinggi dan tertutup. Habitat musim sejuk di pulau-pulau Indonesia termasuklah savana, padang rumput, dan pinggir hutan hujan.[2]

Pemerihalan

[sunting | sunting sumber]

Ia merupakan salah satu tukang yang agak besar dan berwarna-warni. Corak buluannya rumit, penuh dengan tompok-tompok dan bintik-bintik yang membolehkannya menyamar dengan sempurna dengan tanah yang merah atau perang yang dipenuhi taburan batu, daun, dahan, dan ranting.[7] Penampilannya serupa dengan dua spesies tukang Australia yang lain, Caprimulgus macrurus dan Eurostopodus mystacalis. Tetabu bertompok dewasa dalam penerbangan memaparkan tompok putih besar pada empat bulu pelepah primer luarnya, tanpa tanda ekor berwarna putih yang wujud pada tukang kubur yang lebih tropika. Panjang badan dewasanya ialah 25–28 cm.[7] Jantan dewasa mencapai berat 81-132 g manakala betina dewasa lebih kecil sedikit (74–123 g). Lebar sayap dewasa ialah 20.5-23.9 cm; panjang ekornya 13.4-16.8 cm dan panjang paruhnya 1.5-2.5 cm.[2] Paruh tetabu bertompok berwarna perang daging hingga kehitaman, kadang-kadang lebih pucat berdekatan celah rahang bawah. Irisnya berwarna perang hingga perang sangat gelap; tungkai dan kakinya berwarna perang dengan kuku yang lebih gelap.[8]

Kepala dewasanya berbintik-bintik kelabu, dengan bulu pelepah gombak tengah hitam dan sisi karat hingga kuning pucat, manakala bahagian tepi kepalanya berwarna kehitaman dengan tompok-tompok kuning keperangan. Leher belakangnya berwarna karat atau kuning pucat yang selalunya berbintik-bintik hitam. Bahagian atasnya berwarna kelabu dengan jalur kuning keperangan atau karat dan hitam. Bulu susup sayapnya berbintik-bintik kelabu hingga kehitaman, selalunya dengan tompok-tompok ketara berwarna kuning pucat hingga karat. Empat bulu susup sayap primer paling luarnya mempunyai tompok putih. Bahagian tengah lehernya mempunyai sepasang tompok putih bujur besar, manakala bahagian atas lehernya berwarna kehitaman dengan tompok-tompok kuning pucat. Bahagian bawah leher dan dadanya yang kuning keperangan mempunyai sorot perang kehitaman yang selalunya berbintik-bintik kelabu, manakala bahagian bawahnya berwarna kuning keperangan hingga hartal.[8] Walaupun ia secara amnya dianggap ekajenis, betina dewasa mungkin cenderung menjadi sedikit kuning muda yang lebih terang dan pucat di sekeliling bahagian belakang, bahagian bawah, dan lehernya, sementara juga mempunyai tanda putih yang kurang menonjol pada bulu susup sayap luar.[8] Juvenil mempunyai bahagian atas bercorak halus dan keseluruhannya lebih merah daripada dewasa, dengan satu jalur tengah hitam sempit di sepanjang gombaknya. Corak bulu susup sayap luarnya yang putih lebih kecil dan kurang jelas, biasanya dikelilingi dengan jidar berwarna hartal. Dada juvenilnya berwarna kelabu dan berbintik-bintik lebih halus dengan sorotan suram memanjang ke perutnya. Anaknya yang gebu menetas dengan buluan seragam pendek, perang kemerahan ke bawah, yang tidak lama akan gugur menjadi buluan juvenilnya.[8]

Tingkah laku

[sunting | sunting sumber]

Sebagai spesies krepuskul/malaman yang giat selepas gelap dan sebelum subuh, ia biasanya diperhatikan bertengger, berjalan, atau berlari di sepanjang tanah dan jarang dilihat bertengger di atas pokok. Ia sering ditemui di jalan raya pada waktu malam dan telah diperhatikan menghelang serangga dengan penerbangan yang sangat mudah diolahgerak di sekitar unggun api, pencahayaan buatan, dan semak berbunga.[2] Apabila dihambat, ia pada mulanya mungkin akan terbang dalam jarak dekat sebelum mendarat, tetapi apabila menghadapi ancaman yang lebih tegar, ia mungkin akan terbang jauh di luar penglihatan. Jika terancam semasa mengeram, ia mungkin akan mula mendesis, menganga dengan luas dan melebarkan sayap dan ekornya dalam postur membela atau paparan gangguan.[7] Ia biasanya bertengger di tapak yang sebahagiannya terlindung, selalunya disamarkan di antara sampah daun atau di atas tanah berbatu.[2] Ia boleh menahan suhu tinggi semasa tempoh paling panas dengan pendebargelambiran (penyejukan bersejat) dan dengan menghadapkan belakangnya ke matahari, sambil mengekalkan kadar metabolisme yang agak rendah.[9] Walaupun ia biasanya ditemui secara tunggal, kumpulan sehingga 15 ekor burung telah diperhatikan semasa penghijrahan.[2]

Seruan pembiakannya biasanya melibatkan kira-kira 9-12 nada, menaik dalam kekerapan dan rani, kemudian diteruskan dengan setubi bunyi kelokok. Apabila berada di atas tanah menghampiri kawasan sarangnya,ia mungkin mengeluarkan bunyi kuak seperti katak dan bunyi bising yang rendah.[6] Lagu kawasan bermelodinya bertempoh 4–6 saat, bermula 2-5 nada dengan rani menaik, setiap satu menjadi lebih pantas, diikuti dengan 8-15 nada pantas berturut-turut dengan rani tinggi.[10]

Pemakanan

[sunting | sunting sumber]

Ia menghelang serangga dan memakan ketika terbang, selalunya memburu pada tahap yang agak rendah dalam lingkungan 20–30 m dari tanah. Ia telah diperhatikan meminum air ketika terbang dengan meluncur di atas lubang air.[10] Ia juga boleh mendapatkan air daripada mangsa serangganya.[9] Ia dianggap hampir sepenuhnya insektivor. Spesies mangsanya termasuklah pepijat, kumbang, rama-rama, kelekatu, belalang; belalang juta; sibur-sibur dan mentadak.[11]

Pembiakan

[sunting | sunting sumber]

Pembiakan biasanya berlaku antara September dan Disember, dengan populasi utara membiak lebih awal daripada populasi di selatan.[7] Di Australia tengah, musimnya kurang ditakrifkan dengan jelas, sehingga pembiakan cenderung berlaku selepas kejadian hujan yang ketara.[6] Burung dewasa tidak membina sarang, sebaliknya menghasilkan sebiji telur kuning-hijau pucat dengan tompok ungu-perang di atas tanah di antara sampah daun, ranting, rumput, dan batu, biasanya untuk menyukarkan pengesanan induk yang sedang mengeram.[7] Kedua-dua induk mengeram telur berganti-ganti dalam tempoh sekitar 30 hari. Anaknya boleh berjalan dalam tempoh yang singkat selepas menetas dan dapat mengepak-ngepak pada jarak dekat dalam sekitar 20 hari, menjadi lebih kurang berdikari selepas 30 hari. Dalam keadaan yang menggalakkan, betina yang sedang menginduk boleh bertelur kali kedua selepas anaknya berumur sekitar 22 hari.[2] Seekor betina telah dirakamkan bertelur sebanyak lima biji telur, berjaya menjaga dua sangkak dalam satu musim.[6]

Status dan Pemuliharaan

[sunting | sunting sumber]

Sebelum ini, ia dianggap cukup banyak di kawasan pedalaman dan utara tetapi mungkin semakin berkurangan, terutamanya di bahagian selatan julatnya akibat kehilangan habitat yang berkaitan dengan pembukaan tanah, pengurangan produktiviti, dan ragutlampau sisa tumbuh-tumbuhan pribumi.[8][12] Pemangsaan oleh kucing jalang dan rubah juga berkemungkinan besar memberi kesan kepada kelimpahan di sesetengah kawasan.[10] Spesies tersebut kini disenaraikan dalam kalangan 26 burung hutan yang semakin berkurangan di Australia.[12]

  1. ^ BirdLife International (2016). "Eurostopodus argus". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2016: e.T22689656A93241881. doi:10.2305/IUCN.UK.2016-3.RLTS.T22689656A93241881.en. Dicapai pada 12 November 2021.
  2. ^ a b c d e f g h i Cleere, N. (2010).
  3. ^ Christidis, L., & Boles, W. E. (2008).
  4. ^ <Han, K.-L., M.B. Robbins, and M.J. Braun. (2010)A multi-gene estimate of phylogeny in the nightjars and nighthawks (Caprimulgidae)Molecular Phylogenetics and Evolution,volume 55, pp 443;453.
  5. ^ "Comparison of IOC 8.1 with other world lists". IOC World Bird List. Dicapai pada 30 December 2017.
  6. ^ a b c d Hollands, D. (2008).
  7. ^ a b c d e Morcombe, M. (2003).
  8. ^ a b c d e Schodde, R., & Mason, I. J. (1980).
  9. ^ a b Dawson, W. R., & Fisher, C. D. (1969).
  10. ^ a b c Holyoak, D. T. (2001).
  11. ^ Barker, R. D., & Vestjens, W. J. M. (1989).
  12. ^ a b Watson, D. M. (2011).