Pergi ke kandungan

Tentera Darat Ke-25 Jepun

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tentera Darat Kedua Puluh Lima
Bendera perang Empayar Jepun
Aktif5 Julai 1941 - 15 Ogos 1945
NegaraEmpayar Jepun
CawanganTentera Darat Imperial Jepun
JenisInfantri
PerananKor
Nama samaranTomi shudan (富集団, 'Makmur')
PertempuranKempen Tanah Melayu (Malaya)
Pertempuran Singapura
Tentera Jepun semasa Pertempuran Singapura

Tentera Darat Ke-25 Jepun (第25軍, Dai-nijyūgo gun) ialah sebuah ketumbukan Tentera Imperial Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua dan menempa nama semasa kempen Tanah Melayu dan Pertempuran Singapura.

Tentera Darat Ke-25 ditubuhkan pada 5 Julai 1941 di bawah perintah Markas Tentera Darat Imperial Jepun. Pemerintahan ketumbukan ini (bersaiz kor Tentera Darat British) kemudiannya dipindahkan kepada Tentera Darat Wilayah Ke-7 Jepun di bawah Kumpulan Tentera Darat Ekspedisi Selatan pada 6 November 1941.

Kempen Tanah Melayu

[sunting | sunting sumber]

Kempen Tanah Melayu bermula dengan pelancaran serangan amfibi Tentera Darat Ke-25 Jepun terhadap pantai utara Tanah Melayu (Malaya British) pada 8 Disember 1941. Diperintah Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita, pasukan ini mendarat di Kota Bharu Kelantan dan mara ke selatan sepanjang pesisir pantai Semenanjung Tanah Melayu. Gerakan ini dibuat bersamaan pendaratan Jepun di Pattani dan Singora di Siam. Dari sana unit-unit Jepun kemudiannya bergerak ke arah selatan bahagian barat semenanjung Tanah Melayu.

Tentangan awal diberikan Kor India ke-III daripada Tentera Darat India British dan beberapa batalion tentera British. Pihak Jepun dengan pantas memencilkan unit-unit individu India yang mempertahankan kawasan pesisran pantai sebelum mengumpulkan kekuatan mereka, mengepung tentera yang bertahan mereka dan memaksa mereka menyerah diri.

Pasukan Jepun memiliki sedikit kelebihan dari segi kelebihan bilangan anggota di utara Tanah Melayu, dan mempunyai kelebihan ketara dari segi bantuan udara jarak dekat, kereta kebal, kordinasi, taktik dan pengalaman, dengan tentera Jepun meraih pengalaman dalam Perang China-Jepun Kedua. Tentera Jepun juga menggunakan infantri berbasikal dan kereta kebal ringan, yang mengupayakan mereka bergerak pantas merentasi bumi yang diselubungi hutan hujan tropika yang tebal.

Berikutan Pertempuran Jitra pasukan Jepun, dengan dibantu kereta kebal yang bergerak dari selatan Thailand pada 11 Disember, terus mara ke arah selatan, mengalahkan anggota tentera dan kedudukan pertahanan British.

Pulau Pinang dibom setiap hari bermula 8 Disember dan ditinggalkan tentera British pada 17 Disember. Kelengkapan ketenteraan seperti senjata dan peluru, bekalan dan sebuah stesen radio yang masih bekerja ditinggalkan secara tergesa-gesa. Orang Eropah dipindahkan dari Pulau Pinang; namun orang tempatan ditinggalkan bagi menghadapi tentera Jepun yang sedang mara ke pulau itu. Tindakan ini menyebabkan perasaan malu di kalangan British dan merenggangkan mereka daripada penduduk tempatan. Pada 19 Disember satu batalion serta satu bateri artileri Jepun mendarat tanpa ditentang di Pulau Pinang.[1]

Kuala Lumpur jatuh tanpa tentangan ke tangan Jepun pada 11 Januari 1942. Divisyen India Ke-11 berjaya melengahakan kemaraan Jepun buat beberapa hari dalam Pertempuran Kampar. Pertempuran ini disusuli pertempuran di Sungai Slim (Pertempuran Sungai Slim). Pertempuran ini merupakan satu malapetaka bagi pihak British, dengan kebinasaan dua briged India.

Pameran Muzium Negara Malaysia menunjukkan pakaian seragam tentera Jepun dan basikal yang digunakan.

Unit-unit Tentera Darat Ke-25 Jepun tiba di Johor pada pada pertengahan Januari 1942 dan pada 4 Januari mereka bertempur buat kali pertama dengan Divisyen Australia Ke-8 yang diperintah Mejar Jeneral Gordon Bennett. Pihak Jepun mengalami hambatan besar pertama apabila tentera Australia menentang mereka dengan kuat di Gemas. Pertempuran tersebut berpusat di Jambatan Gemencheh (Gemenceh) dan merugikan pihak Jepun yang mengalami 600 orang korban. Namun, jambatan Gemencheh, yang telah diletupkan demi menghindar kemaraan Jepun, dapat dibina semula dalam masa enam jam oleh tentera Jepun.

Pada 27 Januari 1942, panglima Malaya Command Leftenan Jeneral AE Percival mengarahkan pasukan British dan Komanwel meninggalkan semenanjung Tanah Melayu dan berundur ke Singapura.

Yamashita dan Tentera Darat Ke-25 meneruskan serangan terhadap Singapura dari Johor. Tambak Johor telah diletupkan sejurus selepas pengunduran British dari semenanjung Tanah Melayu pada 27 Januari, namun Yamashita meneruskan serangan dengan mendaratkan tenteranya di pantai barat laut Singapura. Dengan bantuan udara, yang mengebom Singapura setiap hari sebelum mereka sampai di pantai Johor lagi,[2]Tentera Darat Ke-25 berjaya menawan Singapura. Yamashita sendiri menerima dokumen serah kalah British daripada Percival di Dewan Bandaran Singapura pada 15 Februari 1942.

Berikutan penaklukan Tanah Melayu dan Singapura, Tentera Darat Ke-25 bertindak sebagai tentera garison wilayah yang ditakluk. Pada tahun 1945, semasa keadaan menjadi genting bagi tentera Jepun, Tentera Darat Ke-25 diletakkan di bawah perintah Tentera Darat Wilayah Tujuh Jepun, dengan pemindahan markasnya ke Bukittinggi di kawasan tinggi Sumatra sehinggalah Jepun menyerah kalah pada bulan Ogos 1945.

Senarai panglima

[sunting | sunting sumber]
Name From To
1 Leftenan Jeneral Shojiro Iida 28 Jun 1941 6 November 1941
2 Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita 6 November 1941 1 Julai 1942
3 Leftenan Jeneral Yaheita Saito 1 Julai 1942 8 April 1943
4 Leftenan Jeneral Moritake Tanabe 8 April 1943 15 Ogos 1945
  1. ^ Warren, Alan Singapore 1942 Britain's Greatest Defeat Talisman, 2002 ms 110 ISBN 9810453205
  2. ^ Warren, Alan ms 203
  • Warren, Alan (2005). Singapore 1942 Britain's Greatest Defeat. Talisman. ISBN 9810453205.
  • Thompson, Peter (2005). The Battle for Singapore. London: John Murray. ISBN 0-7499-5068-4.
  • Madej, Victor (1981). Japanese Armed Forces Order of Battle, 1937-1945. Game Publishing Company. ASIN: B000L4CYWW. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]