Pergi ke kandungan

Sōmen

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Somen)
Seikat sōmen
Sōmen yang dihidangkan sejuk

Sōmen (素麺 atau そうめん) adalah mi Jepun yang halus dan tipis, dan selalu dijual dalam bentuk kering. Sōmen dibuat daripada tepung gandum dicampur air, garam dapur, dan minyak goreng. Sōmen biasanya dihidangkan sebagai makanan penyejuk di musim panas.

Sōmen terdiri daripada dua jenis berdasarkan cara pembuatannya, somen buatan tangan dan somen buatan mesin. Adunan mi direntangkan dengan tangan helai demi helai untuk menghasilkan sōmen buatan tangan. Sementara itu, mesin pemotong digunakan untuk memotong adonan mi menjadi sōmen buatan mesin. Bandar Sakurai di Wilayah Nara disebut-sebut sebagai tempat asal sōmen.

Menurut Piawaian Pelabelan Kualiti dan Jenis Mi Kering yang dikeluarkan Piawaian Pertanian Jepun (JAS), sōmen buatan tangan atau buatan mesin harus berdiameter di bawah 1.3 mm. Mi berdiameter yang lebih daripada 1.7 mm disebut udon, manakala mi yang berukuran 1.3 mm ke atas hingga bawah 1.7 mm disebut hiyamugi.[1]

Teknik pembuatan

[sunting | sunting sumber]

Adunan sōmen dibuat dari tepung gandum yang diadun bersama air garam. Adunan dibentuk menjadi seutas mi tebal yang tidak terputus. Mi direntangkan beberapa kali untuk membentuk seutas mi yang semakin lama semakin tipis. Sebelum direntangkan, mi diberi sedikit minyak masak seperti minyak kapas, serta ditabur dengan tepung gandum atau tepung lain. Mi direntangkan dengan cara dililitkan ke dua batang tongkat kayu dan ditarik. Begitulah seterusnya hingga dihasilkan berlembar-lembar mi antara kedua batang tongkat itu. Setelah selesai, mi digantung dan ditarik untuk mendapatkan diameter mi sesuai piawai. Dalam keadaan tergantung dan terentang seperti tirai, mi "dimasak" (dikeringkan) dalam udara terbuka musim sejuk yang kering.

Setelah terbentuk, sōmen kering sangat tahan lama disimpan dan sukar berkulat jika dibandingkan mi jenis lain. Sebahagian orang berpendapat bahawa rasa sōmen yang sudah lama disimpan menjadi semakin enak kerana kadar minyak yang terkandung di dalamnya sudah menurun. Sebaliknya, sebahagian orang tidak menyukai sōmen yang telah lama disimpan kerana kandungan minyak sudah teroksida.

Sōmen yang sudah direbus biasanya disejukkan terlebih dulu sebelum dihidangkan di dalam mangkuk. Sebelum dimakan, sōmen dicelup dahulu ke dalam sos cair (mentsuyu) yang rasanya masin dan sedikit manis. Bahan untuk sos cair tersebut adalah campuran dashi, kicap, dan gula pasir. Sebagai bahan penyedap biasanya ditambahkan hirisan halus daun bawang atau myoga, parutan halia, dan bijan. Pada musim panas, sōmen dihidangkan bersama ais supaya sentiasa sejuk sebelum dimakan.

Cara menghidangkan

[sunting | sunting sumber]

Setelah direbus sehingga empuk, sōmen disejukkan secara dicuci dengan air berais atau air yang mengalir. Proses pencucian juga menghilangkan sisa-sisa tepung pada permukaan sōmen. Air untuk merebus sōmen tidak diberi garam, dan kadar garam yang dikandung sōmen menjadi berkurang setelah direbus.

Pelbagai jenis hidangan sōmen:

Sōmen mengalir (nagashi sōmen)
  • Sōmen kuah (nyūmen)
Setelah direbus, sōmen tidak disejukkan, melainkan terus dihidangkan panas-panas, atau dimasak bersama bahan-bahan lain seperti mi rebus, miso, atau udon. Di beberapa daerah di Jepun, sōmen kuah merupakan hidangan musim sejuk. Istilah "nyūmen" kemungkinkan berasal dari perkataan"nimen" (煮麺, mi rebus).
  • Sōmen goreng (sōmin tashā atau sōmin chanpurū) asal Okinawa
Setelah direbus setengah empuk, sōmen dimasak seperti mi goreng atau yakiudon.
  • Sōmen mengalir (nagashi sōmen)
Nagashi sōmen merupakan hidangan musim panas. Setelah direbus dan didinginkan, sōmen dihidangkan dengan cara diletakkan dalam aliran air. Batang buluh dibelah dua dan disambung-sambung seperti saluran air. Pangkal batang buluh diletakkan di tempat yang lebih tinggi agar air boleh mengalir. Orang yang ingin memakannya bersedia di sisi aliran air dengan membawa penyepit. Sōmen yang sedang hanyut ditangkap dengan penyepit, dan dicelup ke dalam mangkuk kecil berisi sos cair sebelum dimakan.

Menurut cerita yang diketahui meluas di Jepun, asal-usul sōmen adalah salah satu jenis kuih dari Dinasti Tang mula dikenali sejak zaman Nara. Kuih tersebut ditulis dalam aksara hanzi 索餅, dan dibaca orang Jepun sebagai sakubei. Kuih yang sama juga dikenali sebagai muginawa (麦縄, galian gandum) kerana bentuknya seperti galian yang dipilin.[2] Catatan mengenai sakubei ditemui pada mokkan (papan kayu bertulis) dari tapak penggalian bekas kediaman pentadbiran zaman Nara bernama Nagaya.[2] Adonan dibuat dari campuran bersama tepung gandum. Setelah digoreng dengan minyak goreng, kuih tersebut menyerupai dengan kueh teow.

Dalam sastera klasik Engishiki dari pertengahan zaman Heian ditulis bahan, bekas, dan alat untuk membuat sakubei. Dalam resepi tersebut, digunakan campuran tepung gandum, tepung beras, dan garam. Bentuknya tidak dijelaskan, tetapi dianggarkan lebih besar dari somen dan udon yang ada sekarang.[2] Orang memakan sakubei dengan cara dikuis dengan tangan.

Pada zaman Heian, terdapat kepercayaan di kalangan penghuni istana maharaja bahawa memakan sakubei pada hari Tanabata boleh menghindarkan diri dari malaria. Kepercayaan tersebut kononnya berasal dari China. Istilah "sōmen" pertama kali muncul dalam kitab Gion Shikkō Nikki (Catatan Harian Kegiatan Kuil Gion) dari zaman Istana Utara-Istana Selatan. Dalam catatan peristiwa 7 hari bulan 7 tahun 1343 disebut tentang tiga jenis mi, iaitu sakubei, sakumen, dan sōmen.[3] Istilah "sakubei", "sakumen", dan "sōmen" digunakan orang zaman Muromachi untuk menyebut mi yang sama. Di antara ketiga-tiganya, sōmen menjadi istilah yang paling popular dan digunakan hingga sekarang.

Penghasilan

[sunting | sunting sumber]

Sebahagian besar pengeluar yang menghasilkan sōmen berjenama terkenal berada di Jepun barat. Jenama sōmen tertua di Jepun ialah Miwa Sōmen yang berasal dari Sakurai, Wilayah Nara. Penghasilan sōmen berjenama Ibonoito berada di Tatsuno, Wilayah Hyogo. Bahan asas yang digunakan adalah tepung gandum asal kawasan Harima, dan garam dari Akō.

Shōdoshima di Wilayah Kagawa terkenal dengan somen menggunakan minyak bijan sebagai bahan campuran sōmen. Shima no Hikari dan Setō no Kaze adalah dua jenama terkenal dari Shōdoshima. Wilayah Saga terkenal dengan jenama Kanzaki Sōmen, sedangkan Wilayah Nagasaki terkenal dengan sōmen berjenama Shimabara Sōmen.


  1. ^ "Kanmenrui hinshitsu hyōji kijun" (PDF). Kementerian Pertanian, Kehutanan, dan Perikanan Jepun. Dicapai pada 12 Januari. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan); Check date values in: |accessdate= (bantuan)
  2. ^ a b c "Menrui zatsugaku jiten: dai 4-kai, sōmen (bagian 1)". Nihon Menruigyū Dantai Rengo-kai. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-09-29. Dicapai pada 12 Januari. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan); Check date values in: |accessdate= (bantuan)
  3. ^ "Menrui zatsugaku jiten: dai 4-kai, sōmen (bagian 2)". Nihon Menruigyū Dantai Rengo-kai. Dicapai pada 12 Januari. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan); Check date values in: |accessdate= (bantuan)

Lihat pula

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]